Skip to content

Kencing tak Lawas: Punca dan Cara Rawatan

Kencing tak lawas bermaksud perasaan ingin buang air kecil walaupun seseorang itu baru sahaja membuang air kecil sebentar tadi. Masalah ini akan mengganggu individu tersebut kerana terpaksa berulang alik ke tandas untuk membuang air kecil.

Malah jika ia berlaku dalam jangka waktu yang lama, ia boleh memberi tekanan perasaan kepada pesakit tersebut.


kencing tak lawas

Simptom Kencing Tak Lawas

Seseorang yang mempunyai masalah kencing tak lawas selalunya akan mengadu simptom-simptom ini. Simptom tersebut adalah:

  • Kerap ingin buang air kencing (Increase frequency)
  • Merasakan masih lagi ada air kencing walaupun baru sahaja buang air kecil (Incomplete voiding)
  • Terdapat air kencing yang meleleh keluar tanpa boleh dikawal (Dribbling)

Dribbling bermaksud air kencing meleleh daripada kemaluan tanpa boleh dikawal walaupun baru seketika tadi pesakit telah membuang air kencing. Perkara ini menyebabkan seluar dalam atau seluar yang dipakai oleh pesakit tadi basah sedikit dengan air kencing.

Pesakit juga akan mengadu simptom yang lain seperti:

  • Kencing sakit – Disebabkan kencing kotor
  • Kerap kencing waktu malam – Disebabkan Kencing Manis
  • Arus air kencing yang tidak laju – Disebabkan Prostat Bengkak
  • Terpaksa meneran untuk mengeluarkan air kencing – Disebabkan Prostat Bengkak
  • Kencing berdarah – Disebabkan kanser pundi kencing atau Batu karang

Periksa Simptom anda Di Sini


migrain perut

Punca Kencing Tak Lawas

Terdapat pelbagai punca kepada masalah kencing tak lawas. Ia adalah:

1. Benign Prostatic Hyperplasia

Penyakit ini berlaku apabila struktur prostat dibahagian saluran air kencing membesar dan menghimpit saluran air kencing. Prostat berfungsi sebagai struktur yang merembeskan semen ke dalam air mani sebelum ia dipancut keluar daripada zakar.

Ketika seseorang itu berumur, prostat tersebut boleh bengkak. Jika ia terlalu besar, ia akan menghimpit saluran air kencing dan menyebabkan air kencing susah untuk dibuang. Pesakit terpaksa meneran untuk mengeluarkan air kencing tersebut

Benign Prostatic Hyperplasia atau Prostat bengkak akan menyebabkan saluran air kencing menjadi sempit. Pesakit akan mengalami kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing.

2. Batu Karang

Batu karang yang berada di dalam pundi kencing akan menyebabkan rasa sakit dan juga kencing berdarah. Pesakit juga akan mengalami rasa kencing tak lawas disebabkan batu tersebut akan merangsang reseptor di dalam pundi kencing. Pesakit seolah-olah merasakan terdapat air kencing lagi di dalam pundi kencing tersebut

3. Kanser prostat atau kanser pundi kencing

Kanser prostat akan menyebabkan saiz prostat membesar dan menghimpit saluran air kencing. Ini menyebabkan pesakit sukar untuk membuang air kencing dan rasa tidak puas walaupun telah membuang air kencing.

Bagi kanser pada pundi kencing pula, ia akan menyebabkan pendarahan dalam pundi kencing. Ketika mana darah terlalu banyak, ia akan membeku di dalam pundi kencing dan menyumbati saluran air kencing

Kanser prostat juga akan menyebabkan saluran air kencing menjadi sempit dan susah untuk mengeluarkan air kencing

4. Kencing manis

Pesakit kencing manis yang mempunyai gula tidak terkawal akan menyebabkan penghasilan air kencing semakin meningkat. Ini kerana gula yang berlebihan akan masuk ke dalam air kencing dan menyebabkan ia pekat. Kepekatan air kencing ini akan menarik air di dalam badan untuk masuk ke dalam air kencing.

Pesakit akan kencing selalu dan kerap kerana isipadu air kencing yang dihasilkan adalah lebih banyak. Ini menyebabkan perasan kencing tidak lawas oleh pesakit.

5. Masalah Saraf

Masalah saraf yang dimaksudkan adalah masalah saraf yang akan mengganggu fungsi kawalan air kencing. Terdapat beberapa masalah saraf yang akan mengganggu kawalan untuk buang air kencing. Masalah saraf tersebut adalah:

  • Multiple sclerosis
  • Slipped disc
  • Sindrom Cauda equina
  • Kecederaan pada tulang belakang

6. Keradangan prostat

Seperti yang dinyakatakan diatas, prostat adalah organ yang merembeskan simen ketika ejakulasi berlaku. Ketika mana keradangan ataupun jangkitan kuman berlaku, ini akan menyebabkan prostat tersebut membengkak dan menghimpit saluran air kencing.

7. Kencing kotor

Kencing kotor iaitu jangkitan kuman pada tempat buang air kencing juga akan menyebabkan rangsangan pada pundi kencing dan saluran air kencing. Ia akan menyebabkan pesakit rasa seolah-olah terdapat air kencing lagi di dalam pundi kencing.

Sedangkan apa yang berlaku adalah pundi kencing tersebut mengalami rangsangan daripada jangkitan kuman yang sedang berlaku.

8. Tahan Kencing

Jika seseorang menahan kencing dengan terlalu lama, ia akan menyebabkan otot pundi kencing tidak dapat mengecut dengan sempurna. Ini akan menyebabkan terdapat lebihan air kencing di dalam pundi kencing. Oleh itu, dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terlalu lama menahan air kencing

Ujian untuk Kencing tak Lawas


Terdapat beberapa penyiasatan yang perlu dilakukan untuk mengetahui punca kepada masalah ini. Ia adalah

1. Analisa Air Kencing

Dalam ujian ini, air kencing akan diambil dan dianalisa untuk mengesan kehadiran sel darah putih, sel darah merah, kompaun nitrate dan beberapa bahan yang lain untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut.

Jika pesakit mengalami kesakitan ketika hendak membuang air berserta kehadiran sel darah putih dalam air kencing, ini menunjukkan pesakit mungkin mengalami kencing kotor iaitu jangkitan kuman dalam saluran air kencing.

Air kencing yang mempunyai darah pula mungkin menunjukkan pesakit mempunyai batu karang di dalam pundi kencing.



2. Pemeriksaan prostat

Bagi pesakit lelaki yang kerap mengalami masalah ini, ia mungkin menunjukkan masalah pada bahagian prostat iaitu satu kalenjar yang terdapat pada saluran air kencing. Ia berfungsi untuk mengeluarkan semen ketika ejakulasi berlaku.

Dalam pemeriksaan ini, doktor akan memakai sarung tangan terlebih dahulu. Kemudian satu jari akan dimasukkan ke dalam dubur dengan tujuan untuk merasa permukaan prostate dan juga saiznya.

Perlu diketahui bahawa prostate hanya terletak dibahagian hadapan dubur. Oleh itu, prostat boleh dirasa dengan jari.

3. Ultrasound



Boleh digunakan untuk melihat saiz prostat sama ada besar ataupun bersaiz normal.

4. Ujian kelajuan dan aliran air kencing(Urinary flow study)

Ujian ini dilakukan untuk mengetahui sama ada terdapat rintangan dalam aliran air kencing ataupun tidak. Jika terdapat prostat yang bengkak, pesakit akan terpaksa kencing dalam waktu yang lama.

5. Bacaan PSA (Prostatic Spesific Antigen)

PSA adalah bahan yang berada di dalam sel di prostate. Apabila sel di prostat mati, ia akan mengeluarkan PSA dan boleh dikesan di dalam darah.

Bacaan PSA ini selalunya akan tinggi ketika mana terdapat kanser prostat.


ubat rosuvasatin

Rawatan

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah kencing tak lawas ini berlaku. Oleh itu, rawatan pesakit ini adalah bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut.

Beberapa jenis rawatan adalah:

1. Penggunaan antibiotik

Bagi pesakit yang mengalami kencing kotor, antibiotik diperlukan untuk merawat dan membunuh jangkitan kuman yang berlaku pada saluran air kencing.

Doktor juga selalunya akan memberikan ubat untuk mengalkalikan air kencing supaya pembiakan bakteria akan terganggu di kawasan tersebut. Kebanyakkan bakteria tidak sesuai hidup dalam kawasan beralkali.

2. Prosedur pemecahan batu karang

Batu karang yang mempunyai saiz yang kecil selalunya boleh dipecahkan dengan menggunakan ubat seperti potassium citrate. Ubat ini boleh mengalkalikan air kencing dan membuatkan struktur batu karang tersebut lebih rapuh dan mudah pecah.

Batu karang yang masih tidak boleh dipecahkan menggunakan ubat tersebut, boleh dipecahkan dengan menggunakan laser khas.

Walaubagaimanapun untuk batu karang yang saiznya besar, pembedahan mungkin diperlukan untuk mengeluarkan batu tersebut.

3. Ubat untuk kecutkan prostat

Pesakit yang mengalami masalah bengkak kalenjar prostat (Benign Prostatic Hyperplasia) boleh menggunakan beberapa jenis ubat yang terbukti untuk mengurangkan saiz prostat tersebut.

Ubat ini selalunya akan diberi daripada bahagian pembedahan(surgical department) di hospital. Ini kerana kesan sampingan daripada ubat ini perlu dipantau oleh doktor berkaitan.

4. Pembedahan untuk buang prostat

Jika saiz prostat terlalu besar dan mempunyai bacaan PSA yang tinggi, maka prostat akan disyaki mempunyai kanser. Oleh itu, biopsi akan dilakukan bagi mengambil sedikit sampel daripada prostat.

Jika terbukti terdapat sel kanser pada bahagian prostat, maka pembedahan untuk membuang prostat tersebut perlulah dilakukan sebelum kanser tersebut merebak ke tempat lain.

Akhir sekali, terdapat berbagai lagi cara rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat masalah ini. Akan tetapi, ujian untuk mengesahkan punca kepada masalah tersebut perlulah dilakukan terlebih dahulu untuk mengetahui punca yang menyebabkan masalah ini berlaku.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:



  1. P Abrams. New words for old: lower urinary tract symptoms for “prostatism” BMJ 1994; 308 doi: https://doi.org/10.1136/bmj.308.6934.929 (Published 09 April 1994)
  2. Takahashi, Satoru et al: Clinical Guideline for Female Lower Urinary Tract Symptoms. LUTS: Lower Urinary Tract Symptoms. 8 (1): 5–29. doi:10.1111/luts.12111.
  3. Kidney and ureteral stones: Surgical management. American Urological Association
  4. Wein AJ, et al., eds. Lower urinary tract calculi. In: Campbell-Walsh Urology. 11th ed. Philadelphia, Pa.: Elsevier; 2016.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 4 =