Skip to content

5 Larangan untuk Menjaga Alat Bantu Dengar Anda

Apakah larangan atau perkara yang tidak boleh anda lakukan pada alat bantu dengar yang anda pakai. Artikel ini akan membincangkan beberapa larangan tersebut.

Seperti yang kita sedia tahu, alat bantu dengar adalah sejenis alat yang disarankan kepada seseorang yang mengalami masalah pendengaran untuk memakainya. Seperti mana kaca mata yang berfungsi untuk membantu manusia melihat dengan lebih jelas, alat bantu dengar pula dipakai untuk membantu manusia mendengar dengan lebih jelas.

Namun begitu, tidak semua orang tahu bahawa alat ini perlu dijaga dengan teliti berbanding penjagaan kaca mata. Hal ini kerana alat ini adalah sejenis alat yang bersaiz kecil, sensitif dan mudah rosak. Kebiasaannya audiologis akan menerangkan tentang penjagaan alat bantu dengar kepada individu yang akan memakainya sewaktu temujanji pemakaian alat bantu dengar bagi mengelakkan kerosakan alat di kemudian hari. Antara larangan yang selalu diingatkan kepada pesakit yang memakai alat bantu dengar adalah seperti yang dinyatakan di bawah.

Larangan 1: Elakkan daripada terkena air atau terdedah kepada kelembapan



Alat bantu dengar adalah sejenis alat elektronik yang menggunakan kuasa bateri bagi menguatkan bunyi persekitaran dan pertuturan orang sekeliling untuk berkomunikasi. Oleh itu, alat ini mudah rosak apabila terkena air kerana kebanyakan alat bantu dengar tidak kalis air. Selain daripada terkena air kerana sengaja membasuhnya disebabkan kotoran yang terdapat pada alat tersebut, alat yang terkena peluh secara tidak sengaja juga boleh menyebabkan kerosakan alat. Oleh itu, individu yang memakai alat bantu dengar sangat digalakkan untuk mencabutnya apabila hendak mandi, melakukan aktiviti sukan air atau aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh dengan banyak.

Disebabkan itu, pemakai alat ini biasanya akan diberi kit pengering seperti kapsul penyerap kelembapan (silica gel) untuk menyerap kelembapan yang terdapat pada alat tersebut. Kebiasaannya alat bantu dengar akan diletakkan di dalam kit pengering ini apabila anda tidak menggunakannya. Seandainya alat bantu dengar anda terkena air secara tidak sengaja, jangan cemas. Lapkan alat tersebut dengan tuala atau kain kering sebelum memasukkannya ke dalam kit pengering. Namun begitu, larangan ini tidak terpakai untuk semua jenis alat bantu dengar kerana pada masa kini sudah tercipta banyak alat bantu dengar jenis kalis air.

Larangan 2: Elakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari atau suhu panas

Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana alat elektronik untuk tidak dibiarkan terdedah kepada suhu yang panas seperti meletakkannya berdekatan ketuhar (oven) atau ketuhar gelombang mikro (microwave). Begitu juga dengan alat bantu dengar.

Matahari ataupun suhu yang panas boleh menyebabkan kemungkinan yang tinggi untuk alat bantu dengar rosak seperti alat elektronik yang lain. Oleh itu, pemakai alat bantu dengar tidak dibenarkan untuk meninggalkan alat ini di tempat yang sememangnya terdedah kepada matahari seperti di dalam kereta mahupun tempat yang berdekatan dengan tingkap.

Antara kesalahan yang mungkin dilakukan oleh individu yang memakai alat ini adalah apabila mereka mengeringkan alat bantu dengar yang basah dengan menggunakan pengering rambut. Ini adalah satu tindakan yang salah dan amat dilarang kepada semua pemakai alat bantu dengar kerana ia boleh menyebabkan kerosakan yang serius kepada alat yang berpunca daripada suhu yang panas.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Larangan 3: Elakkan memakai alat bantu dengar sebelum memakai alat penjagaan diri



Larangan yang ketiga ini jarang dijumpai kerana tidak semua orang memakai alat penjagaan diri seperti alat solek dan semburan rambut. Lebih-lebih lagi apabila si pemakai alat bantu dengar adalah dalam kalangan warga emas.

Namun begitu, ia tidak bermaksud kita boleh mengambil mudah dengan larangan ini. Sebenarnya, benda-benda kecil yang kita tidak perasan seperti semburan rambut ataupun alat solek boleh menyebabkan mikrofon alat bantu dengar tersumbat. Apabila ia berlaku, mikrofon tidak dapat berungsi sebagai penerima bunyi yang menukarkan tenaga bunyi kepada tenaga elektronik dengan baik seterusnya menyebabkan alat bantu dengar turut tidak dapat berfungsi.

Disebabkan itu, inidividu yang memakai alat bantu dengar digalakkan untuk memakai alat ini apabila mereka telah selesai merapikan diri.

Larangan 4: Elakkan daripada menghempas atau terjatuhkan alat bantu dengar

Walau semahal atau sebagus mana pun alat tersebut, ia tetap sejenis alat elektronik yang mesti dijaga dengan sangat teliti. Sebagai contoh, apabila anda ingin mencabut atau menukar bateri, adalah lebih baik jika anda membuatnya di atas tuala atau permukaan yang lembut bagi mengelakkan sebarang kemalangan seperti hentakan yang kuat berlaku.

Selain itu, cara untuk mengelakkan daripada situasi terhempas atau terjatuh berlaku adalah dengan meletakkan alat di tempat yang selamat dan jauh daripada kanak-kanak serta haiwan peliharaan anda. Hal ini kerana dalam kebanyakan kes, alat bantu dengar selalunya digigit oleh haiwan peliharaan tersebut.

Kanak-kanak pula kebiasaanya akan menganggap alat tersebut sebagai permainan yang boleh dibuat baling atau pun memasukkan alat tersebut ke dalam mulut mereka. Justeru itu, individu yang memakai alat bantu dengar hendaklah sentiasa meletakkannya di dalam bekas yang anda perolehi semasa membelinya bagi mengelakkan insiden yang tidak dijangka berlaku.

Larangan 5: Elakkan daripada membiarkan tahi telinga tersumbat pada alat bantu dengar

Walaupun tahi telinga memainkan peranan yang baik untuk kesihatan telinga manusia, ia tidak bermakna tahi telinga turut menghasilkan fungsi yang baik apabila anda memakai alat bantu dengar. Hal ini kerana tahi telinga ataupun kotoran yang terdapat dalam telinga boleh menyebabkan tiub ataupun acuan telinga (earmould) alat bantu dengar anda tersumbat.

Apabila keadaan ini berlaku, anda berkemungkinan tidak dapat mendengar bunyi daripada alat bantu dengar atau pun bunyi tersebut menjadi sekejap ada, sekejap tiada (intermittent). Bagi mengelakkan hal ini terjadi, anda digalakkan membersihkan alat bantu dengar pada setiap hari sebelum menyimpannya ke dalam kit pengering dengan menggunakan kain atau berus lembut untuk bahagian luar alat dan pam angin (blower) untuk bahagian tiub atau acuan telinga yang tersumbat.



Sekiranya tahi telinga yang tersumbat sudah menjadi sangat teruk, anda perlu berjumpa dengan audiologis untuk membantu anda membersihkannya.

Artikel berkaitan: Pekak

Rujukan

  1. Dillon, H. (2012). Hearing Aids, Second Edition. Boomerang Press:Sydney.
  2. Jamari, N. I., & Amri, N. A. (2014). Tip Penjagaan Alat Bantu Pendengaran Si Kecil. Retrieved on October, 2020 from Portal Myhealth.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen − nine =