Kandungan Anggur: Punca, Simptom dan Rawatan

kandungan anggur

Apakah itu kandungan anggur dan simptom-simptomnya. Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan punca kandungan anggur, tanda-tandanya dan rawatan yang boleh dilakukan.

Pengenalan

Kehamilan terjadi apabila ovum atau telur disenyawakan dan melekat pada dinding rahim. Kadangkala, proses di peringkat awal kehamilan yang sangat sensitif ini boleh mengalami gangguan. Apabila gangguan terjadi, kehamilan mungkin akan terancam dan mengalami keguguran.

Masalah ini terjadi apabila placenta atau uri bayi tidak membesar dengan sempurna. Sebaliknya, ketumbuhan seperti kandungan terjadi dalam rahim dan menyebabkan kandungan mengandungi cyst iaitu kantung berisi air. Ia terjadi kepada satu dalam setiap seribu kehamilan.

Kandungan seperti ini sukar hidup lama kerana uri tidak dapat berfungsi dengan baik dan tidak dapat menyalurkan nutrisi yang diperlukan oleh kandungan untuk membesar. Ia juga boleh membahayakan nyawa ibu.

Kandungan anggur dalam bahasa perubatan disebut hydatidiform mole. Walaupun anda pernah melalui kehamilan yang normal, anda juga boleh mengalami kehamilan seperti ini.

Jenis kandungan anggur

Terdapat 2 jenis masalah kandungan seperti ini, kedua duanya adalah bukan kanser.

Kandungan anggur penuh terjadi apabila hanya satu tisu uri yang tumbuh dalam rahim. Tiada langsung tanda kehidupan fetus dalam rahim.

Dalam kandungan anggur separa, terdapat tisu uri dan juga tisu bayi dalam kandungan. Namun, tisu bayi tersebut tidak sempurna dan tidak mampu membesar menjadi seorang bayi.

Punca Kandungan Anggur (Molar Pregnancy)

Ia terjadi kerana terdapat gangguan campuran genetik iaitu DNA. Setiap wanita akan menghasilkan ribuan telur. Ada antara telur tersebut tidak terhasil dengan sempurna dan akan dimusnahkan oleh badan.

Namun begitu, terdapat juga keadaan dimana telur yang tidak sempurna tadi disenyawakan oleh sperma. Ia hanya mengandungi kandungan DNA daripada bapa tetapi tiada kandungan DNA dari ibu. Ini boleh menyebabkan terjadinya kandungan seperti ini.

Dalam kes lain pula, sperma yang tidak sempurna, kadangkala lebih dari satu boleh mensenyawakan telur yang sempurna. Ia juga boleh menyebabkan masalah ini berlaku.

Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan hal ini berlaku. Ia adalah:

  • Usia – ibu hamil berusia terlalu muda atau terlalu tua berisiko untuk mengalami maslah ini
  • Sejarah – anda lebih berisiko mengalami kandungan jenis ini sekiranya anda pernah mengalaminya sebelum ini

Simptom Kandungan Anggur

Kandungan anggur boleh dirasakan seperti kandungan normal pada peringkat awal. Namun begitu, terdapat beberapa tanda yang dialami oleh pesakit. Ia adalah:

  • Pendarahan. Anda mungkin mengalami pendarahan pada trimester pertama. Pendarahan tersebut berupa seperti ketulan darah yang berketul iaitu cyst.
  • Muntah dan loya yang melampau. Kandungan ini selalunya menghasilkan paras hormon hCG yang sangat tinggi. Hormon ini menyebabkan ibu hamil menjadi loya dan kerap muntah. Dalam kandungan jenis ini, uri menghasilkan hormon hCG yang berlebihan.
  • Sakit pada bahagian pelvis. Kandungan ini selalunya membesar dengan kadar yang lebih cepat berbanding kandungan normal, terutamanya dalam trimester kedua. Perut anda juga akan nampak lebih besar berbanding saiz kandungan normal. Kandungan besar juga akan menyebabkan tekanan pada bahagian bawah abdomen.

Anda juga mungkin mengalami komplikasi daripada kandungan anggur seperti:

Ujian Pemeriksaan

Masalah ini boleh dikenal pasti melalui ujian ultrasound sewaktu kehamilan. Dalam ujian ultrasound, kandungan anggur akan kelihatan seperti gugusan anggur yang mengandungi saluran darah dan tisu.

 Anda juga mungkin memerlukan ujian darah bagi melihat kandungan hCG dalam darah yang mungkin lebih tinggi dari kandungan biasa. Namun begitu, kandungan hCG yang tinggi tidak semestinya menandakan kandungan anggur. Kandungan kembar juga boleh menyebabkan kandungan hCG yang tinggi.

Rawatan kandungan anggur

Kandungan anggur tidak akan membesar menjadi kandungan normal. Anda perlu menerima rawatan bagi mencegah komplikasi.

1. Dilation & curettage (D&C)

Doktor akan membuang kandungan ini dari dalam rahim dengan cara meluaskan bukaan cerviks dan menggunakan vacuum bagi membuang tisu berbahaya.

Anda akan menerima ubat bius sebelum prosedur dijalankan. Prosedur ini memerlukan anda untuk masuk ke dewan bedah dan dimasukkan ke hospital.

2. Ubat kemoterapi

Kandungan seperti ini membawa potensi kanser sekiranya tidak dirawat dengan betul. Sekiranya doktor mendapati kandungan hCG anda tidak menurun walaupun setelah proses D&C, anda mungkin memerlukan rawatan tambahan seperti rawatan kemoterapi.

Setelah kandungan anggur dibuang, anda perlu melakukan beberapa ujian darah dalam masa beberapa bulan bagi mengawal paras hCG dalam darah.

Rujukan:

  1. Gestational trophoblastic disease (GTD) risks and prevention. (2018). – Penn medicine
  2. Mayo Clinic Staff. (2018). Molar pregnancy.
  3. Melamed A, et al. (2016). Effect of race/ethnicity on risk of complete and partial molar pregnancy after adjustment for age. DOI:
    10.1016/j.ygyno.2016.07.117

Nurul Afza

Nurul Afza Shamsul Kamal merupakan merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Teknologi MARA. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Nurul Afza di SINI

Kenali Nurul Afza melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *