28/09/2020

The Diagnosa

Dapatkan Tips kesihatan dan penjelasan kepada penyakit anda disini

ADHD symbol conceptua;l design isolated on white background. Attention deficit hyperactivity disorder symbol conceptual design

Penyakit ADHD: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah atau Penyakit ADHD (attention deficit hyperactive disorder)? Artikel ini akan membincangkan secara lengkap berkenaan Gangguan Defisit / Hiperaktif dan juga rawatan yang akan diberikan kepada pesakit.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Penyakit ADHD
  3. Jenis ADHD
  4. Simptom ADHD
  5. Komplikasi
  6. Rawatan
  7. Cara Menguruskan Gejala

Pengenalan


Gangguan Defisit Perhatian / Hiperaktif atau Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD) adalah salah satu gangguan mental yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia selalunya dikenal pasti semasa usia kecil yang mampu berterusan hingga dewasa. Masalah ADHD merupakan gangguan kesihatan mental yang merangkumi gabungan masalah berterusan, seperti kesukaran untuk memberi tumpuan, hiperaktif dan tingkah laku impulsif (bertindak tanpa memikirkan kesan perbuatannya).

Satu kajian yang dilakukan terhadap kanak-kanak Malaysia berumur antara 5 – 15 tahun menunjukkan bahawa 4.3% mempunyai gejala ADHD dan ia lebih banyak berlaku kepada kanak-kanak lelaki. Walaupun Penyakit ADHD tidak dapat disembuh, namun gejala-gejalanya dapat diatasi dan dikawal dengan kaedah yang betul. Artikel pada kali ini akan membincangkan tentang masalah ADHD dengan lebih mendalam serta cara rawatannya.

Punca Penyakit ADHD


Walaupun penyebab sebenar ADHD masih tidak jelas, kajian yang terperinci masih lagi dijalankan. Namun, faktor-faktor yang mungkin terlibat dalam masalah ini termasuklah:

1. Genetik

ADHD boleh berlaku dalam keluarga, dan kajian menunjukkan bahawa faktor genetik mungkin memainkan peranan.

2. Persekitaran

Faktor persekitaran tertentu juga boleh meningkatkan risiko. Contohnya pendedahan bahan kimia seperti plumbum (lead) semasa kecil atau semasa dalam kandungan.

3. Masalah semasa perkembangan

Masalah dengan sistem saraf otak semasa perkembangan seperti kelahiran pramatang dan lahir tidak cukup berat.

Jenis ADHD


Terdapat tiga jenis ADHD yang berbeza, bergantung kepada jenis gejala yang paling jelas pada seseorang kanak-kanak:

1. ADHD, predominan tiada tumpuan

Kanak-kanak ini sukar untuk mengatur atau menyelesaikan sesuatu tugas, mengikuti arahan atau perbualan.Selain itu, mereka mudah terganggu dan lupa terhadap perincian rutin harian.

2. ADHD, predominan hiperaktif-kompulsif

Kanak-kanak yang menghadapi masalah ini sering berasa gelisah, bercakap banyak, sukar untuk duduk lama (contohnya, semasa makan atau membuat kerja rumah), mengganggu orang lain, mengambil barang dari orang, sukar untuk menunggu giliran atau mendengar arahan. Kanak-kanak ini juga mungkin mengalami lebih banyak kecederaan daripada kanak-kanak yang lain.

3. ADHD, jenis kombinasi

Pesakit ini mempunyai campuran gejala daripada dua jenis ADHD di atas. Disebabkan gejala boleh berubah dari masa ke masa, cara pesakit menunjukkan sikap juga turut berubah.

Dan kadang-kadang, ada juga terdapat pesakit ADHD yang mempunyai masalah autisme juga.

Simptom dan Gejala ADHD


Untuk mengenalpasti masalah ini, pegawai kesihatan akan menggunakan Manual Diagnostik dan Statistik Persatuan Psikiatri Amerika, edisi Kelima (DSM-5) iaitu manual yang dijadikan piawai di seluruh komuniti untuk membantu mendiagnosis ADHD. Berikut adalah kriteria dalam DSM-5. Harap maklum bahawa ia disajikan hanya untuk maklumat anda. Hanya pegawai kesihatan terlatih yang dapat mendiagnosis atau merawat masalah kanak-kanak ini.

1. Tiada tumpuan

Mempunyai 6 atau lebih gejala tiada tumpuan yang telah sedia ada sekurang-kurangnya selama 6 bulan atau lebih serta mempunyai tingkah-laku yang tidak bersesuaian dengan umur kanak-kanak. Gejala tersebut adalah:

  • Cuai dalam melakukan tugasan sekolah
  • Mempunyai masalah dalam menyusun aktiviti harian
  • Selalu kehilangan barang di rumah mahupun di sekolah
  • Menghadapi masalah menyiapkan tugas yang diberi
  • Tidak mendengar cakap orang lain
  • Tidak mengikut arahan yang diberi
  • Mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang memerlukan daya fikir dan tumpuan
  • Senang hilang tumpuan
  • Selalu lupa

2. Hiperaktif

Mempunyai 6 atau lebih gejala hiperaktif yang sedia ada sekurang-kurangnya 6 bulan atau lebih. Gejala tersebut adalah:

  • Menggerakkan tangan dan kaki hampir pada setiap masa
  • Meninggalkan tempat duduk di kelas ketika harus duduk
  • Berlari dan memanjat secara berlebihan (berbanding dengan kanak-kanak yang lain)
  • Susah untuk bermain secara senyap
  • Mempunyai sikap sentiasa ingin “pergi”
  • Bercakap secara berlebihan

3. Impulsif

  • Memberi jawapan sebelum soalan habis ditanya
  • Mempunyai masalah menunggu giliran sendiri
  • Mengganggu orang lain ketika orang lain bercakap atau bermain
  • Mempunyai gejala-gejala ini sebelum berumur 7 tahun atau telah sedia ada melebihi 6 bulan
  • Memiliki tingkah laku yang tidak sesuai berdasarkan usia
  • Tidak mempunyai masalah kesihatan dan perkembangan yang lain
  • Tingkah laku yang menimbulkan masalah di sekolah sama ada terhadap rakan-rakannya atau rutin harian

Komplikasi ADHD


  • ADHD sering wujud bersama masalah tingkah laku atau Oppositional Defiant Disorder di mana kanak-kanak bersikap degil, mempunyai perasaan marah dan menunjukkan sikap ingkar kepada arahan.
  • Masalah dengan keyakinan diri mungkin berlaku kerana menghadapi kesukaran di sekolah, rumah atau dengan rakan
  • Masalah pembelajaran adalah perkara biasa kerana mereka mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian dan memberi perhatian.

Rawatan ADHD


Dalam kebanyakan kes, rawatan terbaik bagi ADHD ialah kombinasi terapi tingkah laku dan ubat-ubatan. Untuk kanak-kanak pra-sekolah (4-5 tahun), rawatan utama yang disyorkan ialah terapi tingkah laku sebelum menggunakan ubat sebagai solusi seterusnya.

Ubat-ubatan lazimya disyorkan kepada kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke atas. Ubat yang paling biasa digunakan adalah Methylphenidate (Ritalin). Namun, terdapat kesan sampingan yang mungkin dialami oleh kanak-kanak ini seperti hilang selera makan, penurunan berat badan dan masalah tidur. Anda digalakkan berjumpa dan berbincang dengan doktor anda untuk informasi yang lebih lanjut mengenai penggunaan ubat ini.

Cara Menguruskan Gejala


Menjadi sihat adalah penting bagi semua kanak-kanak terutamanya kanak-kanak dengan ADHD. Selain terapi tingkah laku dan ubat-ubatan, menjalani amalan gaya hidup sihat juga dapat membantu mereka menangani gejala ADHD. Berikut adalah beberapa tingkah laku sihat yang boleh dipraktikkan oleh penjaga kepada kanak-kanak dengan ADHD:

  • Mengamalkan tabiat makan makanan sihat seperti makan banyak buah-buahan, sayur-sayuran, dan biji-bijian serta memilih sumber protein tanpa lemak.
  • Menyertai aktiviti fizikal harian berdasarkan usia
  • Mengehadkan jumlah masa skrin harian dari TV, komputer, telefon, dan elektronik lain
  • Mendapatkan jumlah tidur yang disyorkan setiap malam berdasarkan usia

Bilakah patut mendapatkan rawatan?

Sekiranya anda mempunyai kebimbangan mengenai ADHD, anda boleh membawa anak anda berjumpa pakar psikologi kanak-kanak atau pakar pediatrik perkembangan yang terdekat atau membawanya ke Klinik Kesihatan Primer yang terdekat untuk penilaian lanjut dan rujukan jika perlu.

Rujukan:

  1. Attention Deficit Hyperactivity Disorder. (2017, July 24). Retrieved August 16, 2020
  2. What is ADHD? (2020, April 08). Retrieved August 16, 2020