Skip to content

Sakit Buku Lali: Punca, Simptom dan Rawatan

Sakit buku lali adalah salah satu masalah yang sering dihadapi oleh rakyat Malaysia. Artikel ini akan membincangkan berkenaan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Buku lali ialah sendi engsel badan yang merupakan pusat pertemuan antara tiga tulang iaitu hujung tibia, hujung fibula dan tulang talus di kaki. Struktur buku lali turut merangkumi jaringan ligamen yang menghubungkan tulang-tulang tersebut, otot, tendon dan bursa yang berperanan untuk menstabilkan dan mengerakkan sendi buku lali.

Sakit buku lali boleh berpunca daripada mana-mana bahagian struktur tersebut yang mengalami kecederaan atau masalah medikal. Kecederaan, terutamanya dalam sukan yang melibatkan lompatan dan pemusingan atau pembengkokan kaki yang kerap seperti ragbi, bola sepak dan bola keranjang ialah punca yang paling biasa untuk kebanyakan individu yang mengalami sakit buku lali.



Rawatan yang seringkali berkesan untuk kebanyakan individu dengan sakit buku lali hanyalah rawatan mudah yang tidak membabitkan prosedur-prosedur yang rumit kecuali dalam keadaan tertentu yang lebih teruk tetapi kurang kerap terjadi.

Punca Sakit Buku Lali

Kecederaan

I- Terseliuh Buku Lali (Ankle Sprain)

Terseliuh buku lali ialah punca sakit buku lali yang sangat biasa dan berlaku apabila ligamen yang menghubungkan tulang-tulang sendi buku lali terkoyak. Terseliuh buku lali berpotensi berlaku apabila seseorang hilang keseimbangan dan terjatuh, berjalan dan berlari atas permukaan yang tidak sekata atau terlibat dalam aktiviti sukan yang memerlukan pergerakan kaki yang ligat.

Ligamen yang biasanya terkoyak dalam terseliuh buku lali ialah anterior talofibular ligament (ATFL) yang merupakan ligamen pada sisi lateral dan paling senang tercedera berbanding ligamen-ligamen buku lali yang lain. Tahap keseriusan masalah terseliuh buku lali boleh dibahagikan kepada tiga gred bergantung kepada jenis kecederaan yang berlaku dan fungsi yang terjejas selepas kecederaan.



Simptom yang boleh terjadi ialah sakit, lebam, kesukaran untuk berdiri dan kesukaran untuk berjalan selepas kecederaan berlaku. Sakit yang disebabkan terseliuh buku lali biasanya tidak lama tetapi berpotensi untuk berlaku secara kronik dalam kalangan individu tertentu.

Rawatan untuk terseliuh buku lali tidak rumit, namun nasihat perubatan perlu didapatkan untuk membezakan antara terseliuh buku lali dan patah buku lali terutamanya apabila pesakit langsung tidak boleh berdiri selepas kecederaan.

II- Patah buku lali (Ankle Fracture)

Kecederaan sama yang menyebabkan masalah terseliuh buku lali juga boleh turut menyebabkan patah dan retak pada tulang-tulang yang membentuk struktur buku lali. Tahap keparahan juga bergantung kepada tahap impak kecederaan dan fungsi yang terjejas selepas kecederaan.

Patah buku lali akan disyaki apabila kaki terbengkok dengan teruk ketika cedera dan pesakit yang tidak boleh memijak tanah dengan kaki yang terkesan, namun pengimejan x-ray diperlukan untuk mendapat kepastian. Rawatan dan tempoh masa sembuh juga bergantung kepada tahap keparahan patah dan retak yang berlaku.

Keradangan Sendi

I- Gout

Gout berlaku apabila lebihan asid urik dalam badan membentuk kristal yang berkumpul di sendi dan menyebabkan keradangan. Bahagian yang paling terkesan akibat gout ialah sendi ibu jari kaki namun serangan gout juga boleh berlaku pada sendi-sendi lain termasuk buku lali, lutut dan pergelangan tangan. Selain sakit pada sendi-sendi yang disebutkan, pesakit juga akan mengalami bengkak, kemerahan dan rasa panas di sendi-sendi yang terkesan.



II- Rheumatoid arthritis

Rheumatoid arthritis berlaku apabila sistem imun pesakit sendiri menyerang lapisan synovial yang membentuk sendi-sendi tulang badan. Rheumatoid arthritis biasanya menyerang sendi-sendi kecil terlebih dahulu pada kedua-dua bahagian badan dan kemudian terus merebak ke sendi-sendi yang lain.

Sendi buku lali juga boleh terkesan, tetapi pesakit dengan rheumatoid arthritis pada buku lali akan mengalami sakit pada kedua-dua buku lali dan juga sendi-sendi lain di badan. Sekiranya hanya buku lali yang terkesan, apatah lagi jika hanya satu buku lali, rheumatoid arthritis akan menduduki tangga yang lebih bawah dalam senarai punca yang dipertimbangkan.

Simptom yang dialami merangkumi rasa sakit, panas, kemerahan, sendi terasa keras, kesukaran untuk menggerakkan sendi, dan kecacatan pada sendi. Rheumatoid arthritis ialah masalah kronik dan boleh melarat dengan lebih teruk jika rawatan tidak didapatkan.

III- Osteoarthritis

Osteoarthritis ialah masalah kronik yang berlaku akibat kemerosotan tulang rawan di sendi, biasanya berlaku di sendi lutut dan paha. Akan tetapi, dalam lebih kurang 1% populasi osteoarthritis turut boleh berlaku di sendi buku lali, terutamanya jika pesakit pernah mengalami kecederaan pada buku lali pada masa lalu. Antara simptom yang berlaku ialah rasa sakit, rasa keras, dan bengkak di buku lali, kesukaran menggerakkan sendi buku lali dan kesukaran untuk berjalan.

IV- Septic Arthritis

Septic arthritis ialah serangan jangkitan mikroorganisma pada sendi. Bahagian yang paling kerap terkesan ialah sendi lutut diikuti oleh paha, bahu dan buku lali. Septic arthritis ialah masalah serius yang memerlukan rawatan segera untuk mengelak komplikasi yang lebih parah. Pesakit biasanya akan mengalami demam dan sendi yang terkesan akan terasa sakit, bengkak dan tidak dapat digerakkan.



Keradangan Tendon

Terdapat pelbagai tendon di buku lali dan kecederaan atau keradangan pada mana mana tendon ini boleh menyebabkan tendonitis. Masalah ini berlaku biasanya dalam kalangan pelari dan atlet, tetapi boleh juga berlaku kepada orang yang lebih berumur, memiliki berat badan berlebihan, mempunyai sejarah kecederaan buku lali dan memakai kasut yang tidak sesuai. Simptom yang boleh berlaku ialah rasa sakit, bengkak, kemerahan dan kesukaran menggerakkan sendi.

Keradangan Bursa

Bursa ialah kantung berisi cecair yang bertindak sebegai penampan dan pelincir kepada tulang. Di buku lali juga ada bursa dan keradangan pada bursa atau bursitis boleh menyebabkan rasa sakit di buku lali. Antara punca kepada bursitis di buku lali ialah penggunaan buku lali secara berterusan dalam aktiviti lasak, berlari tanpa meregangkan badan terlebih dahulu, pemakaian kasut yang tidak sesuai, kecederaan dan juga masalah medikal seperti penyakit-penyakit dalam kategori arthritis.

Punca Lain-Lain

Antara punca-punca lain yang boleh menyebabkan sakit buku lali

  • Flat Foot: Manusia biasa sepatutnya memiliki struktur tapak kaki yang melengkung untuk menampung berat badan dan mengurangkan tekanan ketika berjalan. Namun begitu ada sesetengah kanak-kanak membesar dengan tapak kaki rata (flat foot) tanpa membentuk lengkungan tersebut. Tapak kaki rata yang tidak melengkung ini bukan masalah serius dan boleh berlaku tanpa sebarang simptom atau kesan ke atas aktiviti kanak-kanak. Namun ada sesetengah kanak-kanak yang akan berasa sakit pada tapak kaki dan buku lali.
  • Kanser tulang: kanser yang bermula dari tulang (primary bone cancer) sangat jarang berlaku, dan dalam kalangan kanser tulang sendiri pun kanser di buku lali antara yang jarang terjadi, namun tidak mustahil.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Risiko

Antara golongan yang berisiko mendapat masalah sakit buku lali

  • Atlet dan orang yang aktif bersukan
  • Individu dengan berat badan berlebihan
  • Pemakai kasut bertumit tinggi dan sempit
  • Orang tua berumur lebih 65 tahun

Sejarah Pesakit dan Simptom

Sakit buku lali juga boleh datang bersama dengan simptom-simptom berikut



  • Bengkak buku lali
  • Kemerahan pada buku lali
  • Sukar menggerakkan kaki
  • Sendi buku lali terasa keras

Latar belakang sejarah pesakit dengan sakit buku lalu boleh jadi seperti berikut

  • Aktif bersukan
  • Pernah ada kecederaan di buku lali sebelum ini
  • Berat badan berlebihan
  • Kerap memakai kasut bertumit tinggi dan sempit

Jika pesakit ada masalah medikal yang lain seperti gout, rheumatoid arthritis atau osteoarthritis, maka sakit tidak akan terhad di buku lali semata-mata.

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan memeriksa kasut yang dipakai, struktur dan otot kaki, kemampuan untuk berdiri, kemampuan untuk menjinjit atas jari kaki, dan cara berjalan.

Kemudian, doktor akan melihat kaki dan buku lali dengan lebih teliti, menekan dan memegang bahagian tertentu untuk memeriksa tahap kesakitan dan suhu bahagian yang sakit disusuli dengan pemeriksaan pergerakan sendi buku lali. Pemeriksaan khas seperti Anterior Drawer Test atau Talar Tilt Test mungkin dilakukan untuk memeriksa kecederaan pada ligamen buku lali.

Bergantung kepada keadaan, ujian-ujian berikut mungkin dilakukan

1. X-Ray: Pesakit yang datang dengan masalah terseliuh buku lali juga ada kebarangkalian untuk turut mempunyai masalah patah atau retak buku lali. Imej x-ray akan diambil untuk memastikan pesakit tiada masalah retak atau patah buku lali

2. MRI: Imej MRI mungkin diambil jika doktor mengesyaki masalah pada tendon Achilles dan juga untuk pesakit dengan masalah terseliuh buku lali yang mengalami sakit berterusan melebihi 6 minggu walaupun sakit itu telah pun dirawat.

3. Ujian-ujian lain seperti sampel cecair dan sampel biopsi synovial mungkin dipertimbangkan untuk masalah-masalah medikal seperti septic arthritis, rheumatoid arthritis dan gout.



Cara Rawatan Sakit Buku Lali

Rawatan Kendiri di Rumah

Rawatan yang boleh dibuat sendiri di rumah merangkumi

1. Teknik RICE (rest, ice, compression, elevation):

  • Rehat (rest): elakkan bergerak terlalu banyak atau berdiri terlalu lama
  • Ais (ice): meletakkan ais yang dibalut dengan kain ke tempat yang sakit dalam jangka masa 15-20 minit sebanyak tiga kali sehari.
  • Pemampatan (compression): gunakan kain pembalut untuk mengurangkan bengkak, tetapi jangan balut sehingga menjadi terlalu ketat
  • Peninggian (elevation): Naikkan kaki pada paras yang lebih tinggi daripada jantung dengan merehatkannya di atas bantal.

2. Ubat tahan sakit: ambil di farmasi jika terlalu sakit, tetapi cuba elakkan jika tidak perlu kerana ubat tahan sakit kategori NSAID boleh menyebabkan masalah gastrik dan ulcer perut.

3. Senaman ringan: senaman ringan yang melibatkan pergerakan buku lali boleh dilakukan pada tahap yang berperingkat apabila sakit dan bengkak mula reda. Senaman ringan dan pergerakan perlahan penting untuk mendapatkan kembali fleksibiliti pergerakan sendi dan kekuatan otot yang menggerakkan sendi.

4. Pencegahan:

  • Memanaskan badan dan meregangkan sendi serta otot sebelum melakukan senaman lasak
  • Berhati hati apabila berjalan atau berlari atas permukaan yang tidak sekata
  • Pakai kasut yang tidak terlalu ketat dengan tumit rendah dan tapak yang lembut
  • Menjaga berat badan agar kekal pada tahap ideal
  • Mengamalkan gaya hidup sihat dengan makanan yang seimbang dan senaman yang mencukupi

Rawatan oleh Doktor

  1. Pendakap ortopedik (brace) dan splint: untuk menstabilkan buku lali yang sakit
  2. Fisioterapi: untuk menguatkan otot dan melancarkan pergerakan
  3. Suntikan steroid: untuk mengurangkan kesakitan yang terlalu sakit

Bilakah kena berjumpa dengan doktor?

Pesakit perlu bertemu dengan doktor jika



  • Sakit buku lali yang terlalu teruk sehingga tidak boleh berdiri atau berjalan langsung ketika kecederaan berlaku
  • Buku lali terpulas teruk atau bentuk buku lali menjadi terlalu pelik selepas kecederaan
  • Sakit buku lali mengganggu aktiviti harian
  • Sakit buku lali semakin teruk dari masa ke masa
  • Sakit dan bengkak buku lali tidak hilang walaupun dengan rawatan sendiri di rumah dalam jangka masa 1-2 minggu
  • Ada rasa kebas dan hilang deria di kaki
  • Pesakit sakit kaki dan pada masa sama ada kencing manis
  • Ada tanda jangkitan kuman seperti demam melebihi 37.8 celcius dan kemerahan pada bahagian yang sakit

Rujukan

  1. Ankle Ligament – Orthobullet 
  2. KECEDERAAN DALAM SUKAN (ANKLE) – Institut Sukan Negara Malaysia
  3. Melanson, S. W., & Shuman, V. L. (2021). Acute Ankle Sprain. In StatPearls [Internet]. StatPearls Publishing.
  4. Ankle Fractures – Orthobullet
  5. Ankle Fractures (Broken Ankle) – AAOS
  6. Gout and Pseudogout: Practice Essentials, Background, Pathophysiology – Medscape
  7. Simonsen, M. B., Hørslev-Petersen, K., Cöster, M. C., Jensen, C., & Bremander, A. (2021). Foot and Ankle Problems in Patients With Rheumatoid Arthritis in 2019: Still an Important Issue. ACR open rheumatology, 3(6), 396–402.
  8. Rheumatoid Arthritis (RA): Practice Essentials, Background, Pathophysiology – Medscape
  9. Osteoarthritis of ankle: Symptoms, treatment, exercises, surgery, and more – Medical News Today
  10. Herrera-Pérez, M., González-Martín, D., Vallejo-Márquez, M., Godoy-Santos, A. L., Valderrabano, V., & Tejero, S. (2021). Ankle Osteoarthritis Aetiology. Journal of clinical medicine, 10(19), 4489. https://doi.org/10.3390/jcm10194489
  11. Septic arthritis – Symptoms and causes – Mayo Clinic
  12. Momodu, I. I., & Savaliya, V. (2019). Septic arthritis
  13. Foot or Ankle Tendonitis – Mercy Health
  14. Tendonitis – NHS
  15. Bursitis: Ankle Bursa, Care, and Prevention – Healthline 
  16. Flat feet – NHS
  17. Mascard, E., Gaspar, N., Brugières, L., Glorion, C., Pannier, S., & Gomez-Brouchet, A. (2017). Malignant tumours of the foot and ankle. EFORT open reviews, 2(5), 261–271.
  18. Alazzawi, S., Sukeik, M., King, D., & Vemulapalli, K. (2017). Foot and ankle history and clinical examination: A guide to everyday practice. World journal of orthopedics, 8(1), 21–29.
  19. Foot and Ankle Assessment-Investigations and Tests – Physiopedia
  20. Solomon, L., Warwick, D., Nayagam, S., & Apley, A. G. (2010). Apley’s system of orthopaedics and fractures (9th ed.). London: Hodder Arnold.
  21. Ankle Pain: Common Causes, Treatments & At-Home Remedies – Cleveland Clinic
  22. Ankle pain – NHS
  23. Ankle pain When to see a doctor – Mayo Clinic
  24. Perawatan Fisioterapi Bagi Terseliuh Buku Lali Kaki – MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia
  25. How to Wear High Heels and Avoid Injury – FootCareMD
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 + 7 =