Skip to content

Senggugut: Punca, Simptom dan Rawatan

Salah satu gangguan dalam kalangan wanita ketika didatangi haid (menstrual disorder) adalah senggugut atau dalam istilah perubatannya disebut dysmenorrhoea. Dys- membawa maksud kesakitan, menorrhoea pula adalah haid. Kesakitan yang dialami di bahagian bawah perut atau pelvis semasa datang haid.

Pelvis adalah tempat dimana organ berikut berada, iaitu rahim, ovari (kilang telur), saluran falopio, dan termasuk juga pundi kencing. Harus dibezakan senggugut (dysmenorrhea) dengan sindrom sebelum haid (premenstrual syndrome).

Ciri-ciri bagi sindrom sebelum haid (premenstrual syndrome) adalah seperti selera makan berubah, emosi tidak stabil, tumbuhnya jerawat, cirit birit atau sembelit, kelesuan dan sebagainya. Ia bermula beberapa hari sebelum datang haid dan akan semakin reda selepas bermulanya haid



Manakala karakter kesakitan senggugut (dysmenorrhea) pula adalah di bahagian bawah perut yang datang bila turunnya darah haid. Secara umumnya senggugut ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder

SENGGUGUT PRIMER/ KEKEJANGAN / IDIOPATIK (puncanya tidak diketahui)

Senggugut atau kesakitan ketika datang haid adalah perkara biasa. Kesakitan itu disebabkan oleh rahim (uterus) sedang melakukan tugas yang ia sepatutnya lakukan. Ia meluruhkan lapisan dindingnya untuk bersiap sedia bagi kitaran haid yang seterusnya. Setelah pemeriksaan doktor dilakukan, kesakitan senggugut primer ini tidak mempunyai apa-apa patologi di pelvis dan rahim (idiopathic).

Senggugut primer juga dikenali sebagai senggugut utama. Kebanyakan para penyelidik menyokong teori senggugut primer adalah disebabkan oleh penghasilan hormon prostaglandin yang menyebabkan pengecutan rahim yang luar biasa kuatnya. Prostaglandin ialah hormon yang terhasil dari tisu yang rosak atau terdapat jangkitan dalam badan. Sel-sel dinding rahim yang meluruh ini akan mengeluarkan Prostaglandin. Prostaglandin inilah yang akan merangsang dinding rahim utk mengecut (contraction)  yang dirasai sebagai ‘senggugut’ atau dysmenorrhea.

Individu yang mengalami senggugut yang teruk, adalah mereka yang banyak penghasilan prostaglandin ini. Senggugut primer biasanya berlaku pada perempuan remaja yang belum berkahwin dan menyerang pada hari pertama dan kedua turunnya darah haid. Ianya kerap menjadi keluhan kepada kebanyakan remaja.

Ciri-ciri klinikal

1. Lingkungan umur:



Biasanya berlaku selepas 6 hingga 12 bulan dari akil baligh apabila kitaran ovulasi bermula dan akan beransur pulih selepas berumur 25 tahun. Tetapi ia juga boleh berlaku dalam kalangan wanita berusia yang masih subur.

2. Perihal kesuburan:

Senggugut ini akan beransur pulih atau hilang selepas proses kelahiran atau keguguran, hal ini disebabkan oleh bukaan servik akan menyebabkan kecederaan/ koyakan pada gentian saraf yang membawa mesej kesakitan pada rahim. Malah kehamilan juga akan melengkapkan proses membaikpulih otot rahim serta salur darahnya.

3. Sejarah keluarga:

Potensi wanita untuk mendapat senggugut utama ini adalah tinggi apabila mempunyai sejarah keluarga (ibu dan kakak) yang juga mempunyai senggugut primer ini

4. Perihal kesakitan:

Sakit di sekitar kawasan ari-ari (suprapubic), belakang atau dalam peha. Sakitnya datang dan pergi (intermittent). Paling kuat sakitnya pada dua hari pertama datang haid (semasa darah keluar dengan banyak) dan reda beberapa hari selepas itu, serta berhenti apabila darah haid telah kering. Biasanya berlaku selama 12 ke 24 jam, ada yang selama 2 ke 3 hari. Kesakitan ini berkurangan apabila umur meningkat dan selepas bersalin.

  • Gejala yang berkaitan:
  • Keletihan hingga tidak bermaya, dan rasa tidak sihat
  • Sakit kepala, cirit-birit dan loya
  • Rasa hendak pitam atau pening

Epidemiologi

Lebih daripada 60% perempuan remaja mengalami senggugut primer. Satu dalam 10 wanita mengalami kesakitan yang teruk sehingga menganggu aktiviti seharian.



Ia adalah lebih kerap berlaku kepada seseorang yang merokok, mereka yang mengalami akil baligh yang lebih awal, dan yang mempunyai aliran darah haid yang banyak. Senggugut adalah lebih jarang berlaku dalam kalangan wanita yang pernah atau baru bersalin, dan yang menggunakan pil perancang.

Punca

Ia disebabkan beberapa keadaan seperti:

a. Struktur rahim yang tidak normal

  1. Terdapat halangan pada serviks (cervical obstruction).
  2. Hipoplasia rahim (uterine hypoplasia). Otot yang tidak sihat menyebabkan darah haid tidak dapat dikeluarkan dengan baik, seterusnya terkumpul  di dalam rahim dan menyebabkan kesakitan

b. Fisiologi yang tidak normal

  1. Toleransi yang rendah terhadap kesakitan (Low pain threshold)
  2. Iskemia otot rahim (ischaemia of uterine muscle). Kekurangan bekalan darah pada otot rahim. Kekurangan darah yang berterusan akan menyebabkan kematian otot-otot rahim.
  3. Hipersensitiviti gentian saraf simpatik pada rahim (hypersensitivity of nerve fibre of the uterus)
  4. Gumpalan darah haid. Menyebabkan darah susah untuk dikeluarkan, namun ada juga darah haid yang bergumpal dapat dikeluarkan tanpa rasa sakit
  5. Ketidakseimbangan hormon. Hormon progesterone yang berlebihan akan menyebabkan dinding rahim menebal dan menyukarkan darah haid untuk dikeluarkan
  6. Kesan dari hormon Prostaglandin (teori yang diterima oleh kebanyakan penyelidik)

c. Sebab umum

  1. Gangguan psikologi.
  2. Merokok. Membantu penghasilan prostaglandin di dalam rahim dan menyebabkan kesakitan

Rawatan berperingkat mengikut tahap kesakitan

a. Rawatan am

  1. Memberi penerangan tentang senggugut dan menenangkan pesakit
  2. Elakkan gaya hidup tidak aktif dan galakan untuk melakukan senaman otot
  3. Rawatan sembelit dan mengurangkan pengambilan kefein yang berlebihan
  4. Penggunaan haba untuk meredakan kesakitan melalui pek panas yang boleh diletakkan pada bahagian bawah perut atau mandi air suam
  5. Yoga dan akupunktur juga boleh untuk dicuba

b. Rawatan bukan hormon. (Senggugut beransur pulih dalam 80% dari kes yang dilaporkan)

  1. nSAIDs(non streroidal anti-inflammatory drugs). Ubat pengurang radang. Contoh:  naproxen, ibuprofen, mefenamic acid
  2. Analgesik. Ubat tahan sakit. Contoh: paracetamol

c. Rawatan hormon. Diberikan apabila kaedah rawatan bukan hormon telah gagal



Idea utama adalah untuk menghalang atau menghindari ovulasi kerana kitaran haid tanpa ovulasi itu tidak menyakitkan. Rawatan hormon diberikan selama 6-12 bulan secara berturut-turut

  1. Tablet kontraseptif gabungan (combine contraceptive tablets) adalah pil perancang untuk menghalang ovulasi. Senggugut beransur pulih dalam 90% dari kes yang dilaporkan. Kegunaan lainnya sebagai ubat pencegah kehamilan
  2. Sebatian dydrogesterone, Duphastone. Ia tidaklah menghalang ovulasi tetapi melegakan kesakitan dengan mengurangkan kadar kontraksi rahim

c. Rawatan elektroterapi

TENS (“Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation”) boleh digunakan sekiranya tidak ingin menggunakan ubat. Mesin in menghasilkan pengaliran kuasa elektrik kecil yang menghindari tanda sakit dari saraf sakit daripada disampaikan ke otak. Dengan ini sakit mungkin berkurangan.

SENGGUGUT SEKUNDER

Jika kebiasanya tidak mengalami senggugut, tetapi kini rasa sakit apabila datang haid, kesakitan itu mungkin disebabkan oleh sesuatu yang lain. Ini dikenali sebagai dysmenorrhoea sekunder (secondary dysmenorrhoea)

Senggugut sekunder lebih jarang berlaku berbanding senggugut primer. Ia berisiko terhadap golongan lingkungan umur 30 –  45 tahun. Penyebab senggugut sekunder ini juga boleh menjejaskan tahap kesuburan wanita

Setelah pemeriksaan doktor dilakukan, kesakitan senggugut sekunder ini mempunyai patologi yang jelas di pelvis dan rahim.

Ciri-ciri klinikal

1. Lingkungan umur:

Kebiasaannya berlaku selepas usia 25 tahun ke atas (selama dari usia belasan tahun tidak pernah mengalami senggugut).



2. Perihal kesuburan: 

Kebanyakannya dalam kalangan wanita yang masih subur

3. Sejarah keluarga:

Potensi wanita untuk mendapat senggugut sekunder ini adalah tinggi apabila mempunyai sejarah keluarga (ibu dan kakak) yang turut mempunyai senggugut sekunder

4. Perihal kesakitan:

Sakit bermula beberapa hari (3-5 hari) sebelum darah haid mula keluar, ia meningkat secara beransur-ansur dan boleh berlangsung sehingga tiga hari. Dalam beberapa kes, rasa sakit itu dirasakan sepanjang tempoh haid. Kesakitan yang dirasakan adalah seperti sengal-sengal badan yang berterusan, dirasai pada bahagian bawah perut, serta belakang badan. Ia bergantung kepada faktor yang menyebabkan kesakitan itu

Gejala yang berkaitan:

  • Pendarahan darah haid yang berlebihan, melebihi 80ml  (menorrhagia)
  • Haid yang kerap. Kitaran haid 21 hari atau kurang dari 21 hari. (polymenorrhoea)
  • Peningkatan rembesan cecair faraj yang normal (leucorrhoea)

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca

Apa sahaja yang menyebabkan senggugut sekunder ini boleh menjejaskan kesuburan wanita. Punca-punca kepada senggugut sekunder ini banyak, antaranya boleh di klasifikasikan kepada 2 kategori umum:



Punca dari rahim (uterine causes)

  • Adenomyosis iaitu keadaan di mana tisu yang melapisi dinding dalam rahim, mula tumbuh pada dinding berotot rahim (muscular wall). Individu mungkin mengalami kesakitan dan pendarahan teruk malah lebih berisiko jika telah mempunyai anak
  • Pelvic Inflammatory Disease (PID), penyakit keradangan pelvis iaitu jangkitan pada alat sulit wanita yang berlaku hasil dari bakteria yang disebarkan menerusi hubungan kelamin. Ini disebabkan oleh jangkitan yang telah berlaku dalam pelvis untuk satu tempoh yang panjang, contohnya bakteria chlamydia. Individu mungkin mengalami simptom-simptom lain seperti kesakitan apabila bersama suami dan rembesan cecair faraj yang tidak normal
  • Cervical stenosis iaitu keadaan di mana bukaan pada pangkal rahim (servik) adalah kecil dan mengganggu pengaliran darah haid, maka ia meningkatkan tekanan sakit di dalam rahim
  • Fibroid iaitu ketumbuhan bukan kanser yang berlaku di dalam, di atas, atau menonjol keluar daripada dinding uterus. Ia biasanya menyebabkan kesakitan dan pendarahan yang teruk
  • Contraceptive device. Penggunaan alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD) juga boleh menyebabkan sakit senggugut yang teruk

Punca di luar rahim (extrauterine causes)

  • Endometriosis iaitu keadaan di mana tisu yang melapisi dalam rahim, berada di luar rahim seperti di tiub fallopio, di ovari atau di kawasan dinding pelvis. Maka setiap kali datang senggugut, tisu ini pun turut hasilkan rasa sakit tersebut. Ini berlaku apabila tisu yang serupa dengan lapisan uterus telah tumbuh di luar uterus dan berdarah setiap bulan. Individu berkemungkinan mengalami kesakitan yang berterusan atau dalam bentuk kitaran yang terasa lebih sakit sebelum haid bermula malah akan berasa kesakitan yang dalam apabila bersama pasangan. Penyakit ini dihidapi oleh 5-15% wanita yang masih subur
  • Ovarian cyst iaitu cyst pada ovary
  • Ketumbuhan (sama ada kanser atau tidak) yang terdapat pada usus besar, pundi kencing dan ovary
  • Radang dan parut pada tissue abdomen, pelvis (scarring and inflammation) iaitu Adhesion. Contohnya parut pembedahan
  • Penyakit selain bahagian genital seperti apendik yang kronik

BILA PERLU BERJUMPA DOKTOR?

Sukar untuk menyatakan bahawa apakah senggugut yang dianggap normal, kerana senggugut boleh melibatkan pelbagai jenis simptom. Walau bagaimanapun, jika nampak sebarang perubahan mendadak pada diri sendiri, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi doktor sakit puan dengan segera (obstetric and gynaecology) contohnya kesakitan dalam dubur, terdapat pendarahan di antara dua kitaran haid, atau senggugut teruk yang tidak reda setelah rawatan anti-radang dan ubat tahan sakit diberikan

Rawatan Senggugut

Rawatan yang paling berkesan adalah mencari dan merawat punca utama yang menyebabkan senggugut sekunder ini

  1. Merawat penyebab asalnya
  2. Analgesik
  3. Beberapa terapi untuk melegakan rasa sakit

Terapi yang terbukti membantu mengurangkan rasa sakit semasa haid

Berdasarkan daripada keputusan kajian-kajian perubatan, bahkan ianya bukan dari testimoni mahupun rekaan.

  1. Bersenam dengan kerap, iaitu regular exercise, sebab ini terbukti mengurangkan ketidakseimbangan hormon di mana ada terlalu banyak hormon oestrogen
  2. Berhenti merokok dan elakkan pendedahan kepada asap rokok. Kajian menunjukkan semakin banyak pendedahan kepada asap rokok, semakin tinggi risiko mendapat sakit semasa haid
  3. Tuam bahagian antara pusat dan tulang pelvis dengan pek gel yang suam-panas, atau botol air yang di panaskan (warm water bottle), ia dapat mengurangkan cramp yang disebabkan oleh otot yang kejang atau muscle spasm
  4. Tambahkan halia dalam hidangan anda juga boleh membantu
  5. Aromatherapy dengan apa-apa bauan yang menenangkan (inhalation aromatherapy) atau mengurut (aromatherapy massage). Ini telah terbukti membantu mengurangkan rasa sakit semasa haid, tetapi TIADA BUKTI yang essential oil menyembuhkan atau merawat fibroid, cyst, kesuburan, endometriosis atau PCOS.
  6. Mesin TENS (High-frequency transcutaneous electrical nerve stimulation). Boleh dibeli sendiri atau didapati dari ahli fisio (physiotherapist)
  7. Akupuntur, oleh pakar yang berkemahiran memberi perkhidmatan ini.
  8. Ubat tahan sakit seperti panadol, NSAIDS, ibuprofen, mefenamic acid seperti ponstan. Untuk individu yang tiada masalah gastrik atau asthma yang teruk.
  9. Untuk yang mahu merancang keluarga, kaedah merancang keluarga ini boleh membantu mengurangkan masalah sakit haid: Pil perancang keluarga COC (combined oral contraception), suntikan depo provera, alat dalam rahim yang berhormon seperti Mirena dan susuk implant berhormon.
  10. Jumpa doktor sakit puan untuk sakit haid yang teruk (senggugut teruk) yang tidak berjaya dikurangkan melalui kaedah-kaedah di atas.

Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat untuk anda semua.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:



  1. Dr. Imelda Balchin. Pakar Perunding Obstetrics & Gynaecology
  2. Farouk Haseeb, Basic Gynaecology 6th Edition, Faculty of medicine, Al-Azhar University
  3. Klein JR & Litt IF (1981) Epidemiology of adolescent dysmenorhea. Pediatrics 68, 661-4
  4. Harlow SD, Park M.A longitudinal study of risk factors for the occurrence, duration and severity of menstrual cramps in a cohort of college women.Br J Obstet Gynaecol.Nov1996;103(11):1134-42.
  5. Dewhurst’s textbook of Obstetrics and Gynaecology, 7th edition 2007
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + nineteen =