Skip to content

Bahan di dalam Suplemen kesihatan boleh menyebabkan keguguran, amaran FDA

Ramai daripada kita mempercayai bahawa suplemen kesihatan terutamanya daripada bahan semulajadi tidak akan menyebabkan kesan sampingan kepada kesihatan seseorang. Malah mereka mempercayai semuanya akan memberikan kebaikan kepada kesihatan.

Sebab itu salah satu cara promosi untuk produk kesihatan adalah dengan mengatakan produknya adalah daripada bahan semula jadi. Bukan daripada bahan kimia dan sebagainya.

Tetapi para pembaca semua kena tahu untuk sesuatu bahan itu memberi kesan kepada badan kita seperti daripada bahan semulajadi, ia wajib mempunyai bahan kimia juga di dalam suplemen tersebut. Kalau tak, ia sudah tentu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada diri kita.



Dan perlu diketahui juga suplemen kesihatan ini selalunya tidak diuji malah kebanyakannnya tidak dipantau kesan sampingannya apabila digunakan di dalam masyarakat.

Terbaru suplemen yang dikatakan boleh meningkatkan kemampuan kognitif(Boleh sedikit sebanyak membuatkan dia lebih mampu membuat perkiraan dan juga membuat keputusan dengan lebih baik), mengurangkan berat badan dan meningkatkan tenaga didapati boleh menyebabkan keguguran dan juga kesan sampingan yang lain kepada bayi dalam kandungan. Perkara ini baru sahaja dilaporkan oleh FDA pada minggu lepas.

Satu laporan telah dikeluarkan oleh Institut Toksikologi Kesihatan Kebangsaan mendapati pengambilan kompaun Vinpocetine telah dikaitkan dengan kesan sampingan pada bayi dalam kandungan. Produk ini selalunya dikeluarkan dengan nama “Vinca minor extract“, lesser periwinkle extract atau “common periwinkle extract“. Kena ingat nama ini baik-baik bila beli suplemen.

FDA di dalam kenyataannya menyatakan “Penemuan ini adalah khusus berkaitan produk yang mengandungi vinpocetine yang mudah didapati bagi wanita yang hamil. Sebab itulah kami menasihatkan perempuan yang sedang hamil ataupun perempuan yang akan hamil untuk tidak mengambil produk yang mengandungi vinpocetine,”. “Kami juga menasihatkan agar syarikat yang mengedarkan produk ini untuk melabelkan amaran pada produk tersebut agar tidak digunakan pada mereka yang sedang hamil ataupun merancang untuk hamil.

Kajian yang telah dilakukan

Kajian ini dilakukan pada tikus yang sedang hamil dan juga pada arnab. Mereka mendapati berat anak haiwan tersebut akan berkurangan dan juga risiko untuk keguguran adalah sangat tinggi. Tambahan pula, tahap vinpocetine di dalam darah manusia dan juga dalam darah haiwan yang mengalami kesan negatif itu berada pada dalam tahap yang sama. Ini menunjukkan dos pengambilan suplemen yang biasa ini mungkin boleh menyebabkan keguguran sama seperti di dalam model haiwan tersebut.



Beberapa analisis produk di dalam pasaran pula menunjukkan ada suplemen yang mengandungi jumlah kompaun vinpocetine yang berbeza daripada label produk tersebut. Ini boleh menyebabkan dos pengambilan yang berlebihan daripada produk tersebut.

Seperti mana yang kita tahu, masyarakat Malaysia merupakan salah satu pengguna yang selalu menggunakan suplemen kesihatan terutamanya yang dikatakan daripada bahan semula jadi.

Tetapi perlu diketahui bahawa kebanyakan suplemen ini tidak dipantau oleh pihak syarikat produk itu sendiri jika ada kesan sampingan. Malah ada juga jenis stokis yang mengatakan itu adalah kesan sampingan nak membuang toksik jika pesakit mengalami kesan sampingan setelah pengambilan produk mereka. Sehinggalah kesan sampingan tersebut menyebabkan pelbagai komplikasi terhadap pesakit termasuk keguguran

Ingat, jika anda mengalami apa-apa kesan sampingan daripada penggunaan produk, sila hentikan penggunaan produk tersebut dan dapatkan nasihat daripada doktor.

Jangan percaya 100% penjual suplemen kerana mereka menjual untuk keuntungan. Kesihatan anda pula adalah tanggungjawab anda.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =