Skip to content

Ubat Augmentin: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat augmentin? Artikel ini akan membincangkan dos, kegunaan dan kesan sampingan ketika mengambil ubat augmentin ini.

Pengenalan

Augmentin merupakan sejenis antibiotik yang berfungsi untuk membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan sebagai contoh jangkitan saluran pernafasan, jangkitan saluran kencing, jangkitan pada telinga tengah, jangkitan tulang dan sendi serta boleh juga digunakan bagi merawat jangkitan kulit dan tisu lembut. Antibiotik tidak boleh digunakan bagi merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus.

Augmentin juga merupakan gabungan dua jenis antibiotik daripada kumpulan penicillin iaitu amoxicillin dan antibiotik kumpulan penghalang beta-lactamase iaitu clavulanic acid. Sebagai contoh, 1g tablet antibiotik Augmentin mengandungi 875mg amoxicillin dan 123mg clavulanic acid.

Cara penggunaan



Dos yang disyorkan bagi penggunaan Augmentin bagi individu dewasa dan kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke atas adalah satu tablet Augmentin 625mg dua kali sehari bagi jangkitan ringan dan sederhana manakala bagi jangkitan teruk dos nya adalah satu tablet Augmentin 1g dua kali sehari.

Namun, ianya bergantung kepada yang telah diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi anda. Sekiranya anda mengalami masalah hati atau masalah buah pinggang, anda hendaklah memberitahu kepada doktor tentang sejarah penyakit anda kerana anda mungkin memerlukan dos yang berbeza daripada dos yang disyorkan tersebut.

Pengambilan Augmentin boleh diambil pada permulaan waktu makan atau sejurus sebelum makan dan tempoh selangan dos yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya 4jam tempoh antara satu sama lain. Anda juga perlulah menghabiskan dos Augmentin yang telah ditetapkan oleh doktor bagi mengelakkan masalah rintangan antibiotik walaupun anda merasakan diri anda sudah beransur pulih.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Anda dinasihatkan untuk menyimpan tablet Augmentin di dalam pek asal bagi mencegah kelembapan serta supaya masih tertera nama ubat, dos dan tarikh luput tablet tersebut. Elakkan mengambil ubat yang telah luput tarikhnya. Ia juga haruslah disimpan ditempat yang selamat iaitu jauh dari capaian dan penglihatan kanak-kanak serta di tempat bersuhu 25’C ke bawah.

Selain itu, ubat yang telah tidak digunakan hendak tidak dibuang ke dalam sumber air seperti sinki atau tandas kerana hal ini boleh mencemarkan alam sekitar. Sebaliknya, anda dinasihatkan untuk memulangkan semula ubat-ubatan tersebut ke hospital atau klinik kesihatan yang terdekat.

Cara Ubat Berfungsi



Seperti yang dikatakan diatas, augmentin merupakan gabungan dua ubat iaitu amoxicillin dan juga clavulanic acid.

Amoxicillin bertindak dengan membunuh bakteria atau dikenali sebagai bactericidal dengan memusnahkan dinding sel bakteria. Namun, masalah rintangan antibiotik yang disebabkan oleh enzim yang dikeluarkan oleh bakteria memusnahkan antibiotik sebelum antibiotik tersebut mampu berfungsi. Hal ini menyebabkan fungsi amoxicillin dihalang dan seterusnya mengurangkan keberkesanan amoxicillin.

Fungsi clavulanic acid sebagai gabungan bagi amoxicillin menjadi Augmentin adalah bagi mencegah masalah ini dari berlaku. Clavulanic acid berfungsi menghalang enzim beta lactamase yang dihasilkan oleh bakteria.

Kesan Sampingan

Antara kesan sampingan yang sering berlaku apabila mengambil Augmentin adalah seperti:

  • Cirit-birit dikalangan individu dewasa dan kanak-kanak
  • Rasa loya
  • Muntah
  • Jangkitan yis pada mulut, faraj atau bahagian lipatan kulit.

Kesan sampingan lain adalah termasuk ruam pada kulit, pening dan sakit kepala.

Sekiranya terdapat kesan sampingan yang serius seperti ruam kulit yang teruk, tompok-tompok merah atau ungu pada kulit iaitu keradangan pada salur darah atau bengkak pada muka atau mulut dan menyebabkan sukar untuk bernafas, anda hendaklah berhenti mengambil Augmentin dan segera mendapatkan bantuan doktor perubatan dengan segera.

Peringatan (Precaution)

Anda haruslah tidak mengambil Augmentin atau merujuk kembali pada doktor perubatan atau ahli farmasi anda sekiranya mempunyai masalah seperti berikut :



  • Mempunyai alahan atau sejarah alahan pada amoxicillin, clavulanic acid, penicillin atau bahan lain yang terkandung dalam Augmentin
  • Pernah mempunyai masalah hati atau jaundis semasa mengambil antibiotik
  • Sedang mendapat rawatan untuk masalah hati atau buah pinggang
  • Hamil atau sedang menyusukan anak

Interaksi Antara Ubat

Anda hendaklah memaklumkan doktor atau ahli farmasi sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan berikut. Antaranya termasuk :

  • Ubat gout seperti Allopurinol kerana boleh menambah risiko mendapat ruam apabila Allopurinol diambil bersama Amoxicillin. Selain itu, ubat gout Probenecid boleh menyebabkan kepekatan amoxicillin kekal lebih lama dalam darah.
  • Ubat yang menghalang pembekuan darah seperti Warfarin kerana boleh memanjangkan lagi tempoh pembekuan darah.
  • Pil perancang kerana boleh mengurangkan keberkesanan pil perancang tersebut apabila diambil bersama Augmentin

Kesan Terlebih Dos

Sekiranya anda mengambil Augmentin pada dos yang berlebihan, anda hendaklah berhenti mengambil Augmentin dan mendapatkan bantuan perubatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti sakit perut atau cirit-birit atau sawan.

Selain itu, sekiranya anda terlupa untuk mengambil dos yang telah ditetapkan, anda tidak perlu mengambil dos secara dua kali ganda. Anda hanya perlu ambil dos apabila teringat dan ambil dos seterusnya mengikut selangan tempoh waktu yang disyorkan seperti biasa.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 − eight =