Skip to content

Ubat Duphaston: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat duphaston dan kesan sampingannya? Artikel ini akan membincangkan penggunaan ubat ini, cara ubat ini berfungsi dan kesan sampingan yang mungkin berlaku ketika pengambilannya.

Pengenalan

Dydrogesterone ialah ubat yang berfungsi sebagai hormon terapi yang digunakan secara meluas untuk merawat kitaran haid yang tidak teratur, ketidak hadiran haid pada waktunya iaitu amenorrhea sekunder, pendarahan haid yang banyak, sindrom premenstruasi (Premenstrual syndrome), kemandulan, senggugut, endometriosis dan kawalan hormon kehamilan (hormonal birth control).  Jenama ubat yang yang lazim untuk ubat ini ialah Duphaston. Pil atau ubat Duphaston mengandungi dydrogesterone berkuantiti 10mg untuk satu tablet. Untuk mengelakkan individu terlupa dos atau terlepas  waktu mengambil ubat, gunakan kalendar atau buku nota di applikasi telefon pintar masing-masing yang telah di set sebagai langkah peringatan yang paling efektif pada era digitalisasi kini.

Cara Ubat Berfungsi

Tablet ini mengandungi bahan aktif utama yang mengandungi progestogen sintetik. Progestogen ini akan menghasilkan kesan yang serupa dengan hormon wanita iaitu progesterone semula jadi di dalam badan. Ubat ini bertindak dengan menghasilkan pengeluaran endometrium yang lengkap pada Rahim yang dibantu oleh estrogen, memberi perlindungan terhadap peningkatan risiko penebalan dinding rahim (hiperplasia endometrium) atau pembentukan sel kanser (carsinogenesis).

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penggunaan



Adalah sangat penting untuk setiap individu menyimpan jejak kitaran haid sebelum memulakan rawatan. Ubat boleh dimakan dengan makanan atau sebelum makan. Telan keseluruhan tablet tanpa dikunyah.

  1. Kitaran haid yang tidak teratur: Ambil 10mg atau 20mg sehari bermula pada separuh ke-2 kitaran yang dijangka sehingga hari pertama kitaran seterusnya. Lazimnya, rawatan permulaan dan tempoh rawatan akan bergantung pada kepanjangan waktu kitaran.
  2. Amenorrhea sekunder: Ambil 10 @ 20mg sehari untuk 14 hari semasa separuh ke-2 kitaran yang dijangka.
  3. Pendarahan haid yang banyak: Selepas pendarahan, makan tablet 20mg atau 30mg setiap hari sehingga 10 hari. Rawatan berterusan selepas 10 hari: Ambil 10mg atau 20mg setiap hari pada separuh kedua kitaran haid, rawatan permulaan dan tempoh rawatan akan bergantung pada kepanjangan waktu kitaran.
  4. Sindrom premenstruasi: Ambil sebiji tablet 10mg dua kali sehari pada separuh kedua kitaran haid sehingga hari pertama kitaran seterusnya. Lazimnya, rawatan permulaan dan tempoh rawatan akan bergantung pada kepanjangan waktu kitaran.
  5. Kemandulan akibat kekurangan luteal: Ambil 10mg atau 20mg separuh kedua kitaran haid sehingga hari pertama kitaran seterusnya. Kekalkan rawatan sekurang-kurangnya sehingga 3 kali kitaran haid.
  6. Untuk terapi penggantian hormon atau dalam bahasa inggerisnya hormonal replacement therapy: Dengan kombinasi terapi estrogen berterusan, ambil sebiji tablet setiap hari selama 14 hari berturut-turut dalam kitaran 28 hari. Jika diambil dengan kombinasi terapi estrogen kitaran, ambil sebiji tablet setiap hari semasa hari akhir ke-12 hingga ke-14 terapi.

Kesan sampingan

Ubat ini berkemungkinan akan mengakibatkan kesan mengantuk dan juga pening pada sesetengah individu. Oleh itu, jangan memandu atau menggunakan sebarang peralatan mesin yang boleh mengakibatkan kemalangan. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan, perubahan emosi, kegatalan pada kulit. Kesan sampingan yang jarang berlaku seperti, pendarahan seiring dengan peningkatan dos, sakit di bahagian abdomen, bengkak air, alahan, mata kuning dan gangguan pada fungsi hati.

Peringatan (Precaution)

Beritahu atau bincang dengan doktor sebelum memulakan menggunakan ubat ini. Jika individu tersebut mempunyai penyakit hati seperti porphyria, penyakit autoimun seperti herpes gestationis, penyakit otosclerosis iaitu; pertumbuhan tulang di tengah telinga yang tidak normal, penyakit kulit yang serius seperti pruritus, pesakit yang pernah mengalami kemurungan, wanita hamil dan menyusukan anak hendaklah mengelak daripda menerima rawatan menggunakan terapi ini.

Interaksi antara ubat

Ubat ini akan berinteraksi dengan mengakibatkan peningkatan metabolisma sekiranya dimakan serentak dengan ubat-ubatan seperti; carbamazepine, phenobarbital, rifampicin, dan efavirenz. Ini menyebabkan keberkesanan ubat tersebut akan berkurangan

Interaksi dengan rawatan herba atau makanan

Metabolisma ubat ini juga akan meningkat jika diambil dengan bahan-bahan seperti dibawah menyebabkan kesan terapeutiknya berkurangan. Bahan-bahan tersebut adalah:

  • St. John’s Wort (biasanya digunakan sebagai rawatan herba untuk merawat depresi yang ringan sehingga sederhana)
  • Ginkgo biloba (biasanya digunakan sebagai rawatan alternatif sebagai supplemen bagi membantu pelancaran peredaran darah dan meningkatkan memori)
  • Daun sage (biasanya digunakan sebagai rawatan alternatif sebagai supplemen bagi membantu menurunkan kadar gula dan kolesterol dalam darah)

Penyimpanan



Produk ini tidak memerlukan keadaan penyimpanan yang khas. Seperti ubat-ubatan tablet yang lain, jangan simpan ubat di tempat yang suhunya melebihi daripada suhu bilik. Pastikan ubat sentiasa berada dalam keadaan yang kedap untuk melindunginya daripada kerosakan akibat lembapan. Jangka hayat simpanan ialah 5 tahun.

Kesan terlebih dos

Menurut sumber daripada MIMS, data mengenai overdos ubat ini sangat terhad. Dydrogesterone boleh digunakan dengan berkesan selepas dos oral.

Rujukan:

  1. MIMS
  2. Portal MyHealth Malaysia
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 1 =