Skip to content

10 Khasiat Minyak Kelapa Dara yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat minyak kelapa dara kepada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan berkenaan khasiat minyak kelapa dara, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalam minyak ini.

Pengenalan

Tahukah anda bahawa pokok kelapa dikategorikan sebagai keluarga kepada pokok sawit (Arecaceae)? Buah kelapa adalah sejenis buah yang mengandungi satu sahaja biji di bahagian dalam dan isinya di bahagian luar. Selain daripada buah kelapa, buah pic, buah ceri dan buah plum juga dikelaskan dalam jenis yang sama.

Minyak kelapa adalah minyak yang terhasil daripada isi buah kelapa yang matang dan minyak ini boleh dimakan kerana dikatakan memberikan khasiat kepada tubuh badan. Pelbagai kajian telah dijalankan terhadap minyak kelapa sehingga minyak kelapa dilabel sebagai ‘superfood’ iaitu makanan yang terbaik untuk kesihatan. Minyak kelapa mengandungi dua jenis iaitu minyak kelapa dara dan minyak yang telah ditapis.



Minyak kelapa dara adalah minyak yang diekstrak daripada isi kelapa yang segar. Beberapa teknik digunakan untuk menghasilkan minyak kelapa. Pertama, isi kelapa yang diparut dikeringkan pada suhu yang rendah iaitu tidak lebih dari 60 darjah celcius dan melalui proses tekanan untuk ekstrak minyak tersebut.

Kedua, santan kelapa daripada isi kelapa yang diparut diekstrak kemudian, ditambah dengan enzim atau dibiarkan untuk beberapa jam atau melalui proses mekanikal dengan menggunakan proses emparan yang berterusan.

Minyak kelapa dara adalah seratus peratus semulajadi dan tidak melalui proses pemanasan seperti minyak kelapa yang lain. Minyak kelapa dara terkenal kerana mengandungi aroma yang menyenangkan, rasa yang sedap, tinggi dengan antioksidan dan asid lemak lemak yang baik serta vitamin dan mineral. Minyak kelapa dara juga popular kerana memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan. Oleh itu, apakah kandungan nutrisi dan kandungan berkhasiat dalam minyak kelapa dara?

Kandungan Nutrisi

Berdasarkan analisis makronutrient, minyak kelapa dara mengandungi 60% air, 30% lemak dan kandungan karbohidrat, protein dan abu yang sedikit. Untuk menghasilkan minyak kelapa dara, sekurang-kurangnya 30% lemak dalam santan kelapa diperlukan. Protein yang bertindak sebagai bahan tambahan semulajadi yang menstabilkan struktur lemak dalam minyak kelapa dara.

Untuk kandungan asid lemak pula, minyak kelapa dara mengandungi asid lemak rantain medium dan asid laurik. Kajian lain menunjukkan bahawa satu sajian iaitu satu sudu besar minyak kelapa dara (15 ml atau 14.5 g) membekalkan 67% asid lemak tepu daripada jumlah yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Pertubuhan Kesihatan Dunia menyarankan kurang daripada 20g sehari pengambilan asid lemak tepu. Ini kerana pengawalan dalam pengambilan asid lemak tepu dalam mengurangkan risiko penyakit berkaitan dengan jantung.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat dalam Minyak Kelapa Dara



Sebagai produk yang berasaskan tumbuhan, minyak kelapa dara mengandungi bahan aktif secara biologikal yang memberikan manfaat kepada kesihatan. Antaranya ialah tokoferol, tokotrienol, fitosterol, fitostanol, flavonoid serta polifenol, fosfolipid dan juga rantaian medium trigliserida. Tokoferol adalah sebatian kimia organik yang mengandungi aktiviti vitamin E dan merupakan sejenis antioksidan. Tokotrienol sama seperti tokoferol namun, yang membezakannya adalah jenis rantaian sisi. Tokoferol mengandungi rantaian sisi tepu (dua rantaian) tetapi tokotrienol mempunyai rantaian sisi tidak tepu (satu rantaian). Tokoferol sering ditemui pada biji dan bahagian yang hijau pada tumbuhan manakala tokotrienol dijumpai pada bahagian tunas.

Sterol tumbuhan adalah sebatian tumbuhan dimana struktur kimia sama seperti kolesterol. Kajian menunjukkan bahawa ekstrak fitosterol memberikan kelegaan kepada pembengkakan prostat yang bukan kanser. Penyakit ini menyebabkan kelenjar prostat mebengkak, selalunya dihadapi oleh kaum lelaki yang berumur lebih 50 tahun. Fitosterol mengurangkan paras kolesterol, mengurangkan simptom pembengkakan prostat, mengawal paras gula dalam darah bagi pesakit kencing manis, mengurangkan keradangan dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit autoimmun seperti Rheumatoid Arthritis (RA) dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Fitostanol pula adalah sterol tumbuhan yang mempunyai rantaian tepu iaitu dua rantaian dan berupaya untuk mengurangkan aktiviti kolesterol. Fitostanol menghalang penyerapan kolesterol dari makanan dan penyerapan semula kolesterol endogenus. Ini kerana fitostanol menggantikan kolesterol pada dinding hempedu. Selain itu, fitostanol mengurangkan aktiviti kolesterol dengan menghalang penyerapan kolesterol dari makanan dan penyerapan semula kolesterol endogenus daripada sistem penghadaman melalui laluan enterohepatik. Kolesterol akan dirembes keluar melalui proses penyahtinjaan. Ini akan mengurangkan paras kolesterol dan merendahkan risiko sakit jantung.

Sebatian fenolik yang merangkumi fenol ringkas, asid fenolik, asid hydrosisinnamik serta flavonoid. Sebatian fenolik berupaya menghalang karsinogen dan radikal bebas. Sebatian fenolik akan menghalang penghasilan spesis oksigen reaktif dan mengurangkan pembahagian sel. Flavonoid adalah sebatian polifenolik yang mempunyai 15 atom karbon. Flavonoid bertindak dalam melawan virus, mengurangkan allergik, antiplatelet, anti keradangan, melawan kanser dan kesan antioksidan.

 Fosfolipid adalah sejenis lemak kedua terbesar yang penting kerana fosfolipid membentuk sel dalam badan. Fosfolipid membantu untuk proses pencernaan yang baik dan proses penyerapan nutrisi ke dalam tubuh badan. Seterusnya, rantaian medium trigliserida sering digunakan dalam produk makanan tambahan. Rantaian medium trigliserida merupakan cecair pada suhu bilik dan tidak mempunyai sebarang rasa atau bau. Rantaian medium trigliserida sangat larut dalam cecair yang ada dalam badan. Ini menjadikan rantaian medium trigliserida tidak melalui proses metabolisme oleh dinding usus tetapi oleh organ hati. Rantaian medium trigliserida tidak disimpan dalam bentuk lemak tetapi dicernakan untuk ditukarkan kepada tenaga.

10 Khasiat Minyak Kelapa Dara Pada Kesihatan

1. Kesan Antimikroorganisma

Minyak kelapa dara mengandungi asid laurik iaitu sebanyak 50% daripada komposisi asid laurik dan memberikan kesan antivirus, antibakteria dan antikulat. Selain daripada itu, monolaurin juga memberikan kesan antivirus, antibakteria dan antiprotozoa dalam kajian in vitro dan juga in vivo. Monolaurin adalah ester trigliserol dan boleh membunuh virus yang diselaputi dengan lemak termasuklah virus influenza.

Pengambilan minyak kelapa dara akan menukarkan asid laurik kepada monolaurin. Khasiat minyak kelapa dara sama seperti khasiat susu ibu kerana susu ibu juga mengandungi asid laurik dan monolaurin akan dihasilkan dalam tubuh badan bayi kerana asid laurik ditukarkan kepada monolaurin.



2. Kesan Antioksidan

Berdasarkan kajian, minyak kelapa dara memberikan kesan antioksidan terhadap tubuh badan. Antioksidan adalah sebatian kimia yang mampu menghalang proses pengoksidaan serta penghasilan radikal bebas oksigen. Tubuh badan boleh menghasilkan molekul antioksidan yang dipanggil sebagai antioksidan endogenenus manakala antioksidan yang diperoleh dari sumber tumbuhan dipanggil sebagai antioksidan eksogenus.

Kedua-dua jenis antioksidan ini berupaya untuk meneutralkan radikal bebas serta melindungi badan daripada penyakit yang berlaku akibat kerosakan tisu. Minyak kelapa dara mengandungi antioksidan yang tinggi seperti polifenol berbanding minyak kelapa biasa.

Ini dapat dibuktikan dengan satu kajian yang menunjukkan bahawa minyak kelapa dara mampu menghalang penghasilan lipid peroksida, meningkatkan aktiviti antioksidan superoksida dismutase (SOD) dan glutation peroksidase (GPX) yang bertindak menghalang aktiviti radikal bebas dalam badan.

3. Kesan Anti Keradangan

Keradangan adalah kesan respon oleh sistem imunisasi yang bertujuan untuk melindungi badan daripada patogen. Namun demikian, sekiranya keradangan tidak dikawal, ianya akan menyebabkan pelbagai penyakit. Kajian terkini menunjukkan bahawa keradangan bukan sahaja menyebabkan berlakunya penyakit berpunca dari sistem imunisasi namun, boleh menyebabkan berlakunya penyakit seperti kanser, atherosklerosis, penyakit jantung dan penyakit neurodegeneratif.

Minyak kelapa dara berupaya untuk dijadikan sebagai terapi anti keradangan. Ini kerana minyak kelapa dara mempunyai kandungan fenolik yang tinggi yang terdiri daripada asid kaffeik, asid p-kumarik dan asid feulik. Polifenol mengawal dan mengurangkan keradangan melalui beberapa laluan lantas menghalang daripada berlakunya penyakit berpunca dari keradangan.

4. Kesan Analgesik



Kajian menunjukkan bahawa minyak kelapa dara memberikan kesan analgesik dalam merawat masalah tergeliat yang disebabkan oleh asid asetik. Pengambilan minyak kelapa dara yang tinggi akan mengurangkan masalah tergeliat yang disebabkan oleh asid asetik (1000-4000 mg/kg).

Kesan yang dihasilkan oleh minyak kelapa dara sama seperti ubat anti radang bukan steroid iaitu Indomethacin. Indomethacin diperlukan sebanyak 10mg/kg dos untuk mengurangkan kesan tergeliat. Mekanisme asid asetik yang menyebabkan kesan tergeliat adalah disebabkan rembesan bahan endogenus.

Minyak kelapa dara memberikan kesan analgesik kerana kebolehan dalam menyekat rembesan bahan endogenus yang menyebabkan kesakitan.

5. Menghalang Osteoporosis (Kerapuhan Tulang)

Beberapa kajian telah membuktikan bahawa polifenol daripada tumbuhan berpotensi untuk memelihara kesihatan tulang. Satu kajian menunjukkan bahawa minyak kelapa dara mampu menghalang kerapuhan tulang. Dalam kajian tersebut, tulang tikus yang mengalami osteoporosis diberikan rawatan dengan menggunakan minyak kelapa dara.

Daripada kajian tersebut, minyak kelapa dara meningkatkan ekspresi gen antioksidan superoksida dismutase (SOD) dan glutation peroksidase (GPX) yang bertindak mengawal aktiviti radikal bebas yang menyebabkan kerapuhan tulang. Selain itu, ekpresi gen osteokalsin turut meningkat dan ini menunjukkan bahawa minyak kelapa dara membantu dalam membina tulang.

Artikel Berkaitan: Punca Osteoporosis dan Rawatan

6. Menghalang Penyakit Sakit Jantung



Walaupun minyak kelapa dara mengandungi asid lemak tepu tetapi jenis asid lemak tepu yang terdapat dapat minyak kelapa dara adalah dari jenis trigliserida rantain medium. Sebagai contoh asid butirik, asid kaprilik, asid laurik dan asid palmitik.

Satu kajian haiwan dijalankan menunjukkan bahawa peratus karbon dioksida yang dihasilkan berkurang. Ini menunjukkan bahawa rantaian asid lemak yang pendek akan teroksida dengan lebih mudah dan tidak berkumpul sebagai lemak jika dibandingkan dengan asid lemak rantaian panjang.

Kajian yang lain menunjukkan bahawa asid lemak dalam minyak kelapa dara dapat melindungi daripada penyakit berkaitan dengan jantung. Ini kerana komposisi minyak kelapa dara tinggi dengan bahan fenolik yang mengurangkan risiko penyakit jantung. Terdapat kajian yang dijalankan dalam kalangan penduduk di Thailand menunjukkan bahawa peratus sakit jantung dan strok adalah rendah walaupun mereka mengambil minyak kelapa dara setiap hari.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda sakit Jantung dan Rawatan

7. Menghalang Penyakit Alzheimer

Penyakit Alzheimer adalah penyakit yang biasa berlaku di seluruh dunia dan diklasifikasikan sebagai penyakit dementia. Penyakit ini disebabkan oleh penurunan metabolisme glukos dalam otak. Ini kerana penyerapan glukos oleh mitokondria berkurangan dan menyebabkan metabolisme glukos dalam otak berkurangan.

Penyakit Alzheimer menyebabkan kecelaruan minda yang mengakibatkan kehilangan kemahiran intelektual dan sosial. Sel-sel otak tidak berkembang dan mati, menyebabkan kemerosotan ingatan dan fungsi mental. Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa trigliserida rantaian medium akan terus kepada organ hati dan keton akan dihasilkan disebabkan oleh proses pencernaan trigliserida rantain medium.

Keton akan disalurkan kepada otak melalui saluran darah. Apabila metabolisme glukos tidak berjaya, keton akan bertindak sebagai sumber tanaga. Keton akan mengekalkan dan menghasilkan neuron baru dalam otak. Trigliserida rantain medium akan menghalang penyakit Alzheimer daripada semakin teruk kerana minyak kelapa dara mampu meningkatkan fungsi kognitif dalam kalangan orang yang mempunyai masalah ingatan.



Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Penyakit Alzheimer dan Rawatan

8. Melawan Kanser

Minyak kelapa dara mengandungi vitamin E iaitu tokoferol dan tokotrienol. Satu kajian telah dilakukan membuktikan bahawa minyak kelapa dara berupaya untuk menghalang pembahagian sel kanser kerana kehadiran tokoferol dan tokotrienol. Tokoferol dan tokotrienol bertindak sebagai antioksidan yang melawan radikal bebas.

Selain itu, mineral zink juga meningkatkan sel penolong (helper Tcd4 cells) dan sel sitotoksik (cytotoxic Tc cells). Sel penolong (helper Tcd4 cells) membantu sel imunisasi manakala sel sitotoksik (cytotoxic Tc cells) melawan sel yang telah terjangkiti dan membunuh sel kanser.

9. Melindungi Organ Hati

Minyak kelapa dara mengurangkan peroksidasi lipid iaitu dimana radikal bebas menarik elektron dari lipid yang terdapat pada sel membran. Ini menyebabkan kerosakan sel. Minyak kelapa dara juga berupaya untuk mengawal paras enzim yang menyebabkan tekanan oksidatif.

Minyak kelapa dara berupaya untuk melindungi fungsi organ hati kerana minyak kelapa dara mampu mengurangkan kerosakan oksidatif pada organ dalam tubuh badan. Minyak kelapa dara melindungi fungsi organ hati, mengurangkan kerosakan organ hati yang disebabkan oleh peroksidasi lipid dan meningkatkan enzim yang melindungi organ hati dan paras asid lemak.

10. Mengawal Kencing Manis



Penyakit kencing manis adalah pembunuh secara senyap dan telah menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit kronik yang lain. Minyak kelapa dara membantu dalam mengawal penyakit kencing manis. Kandungan asid laurik dalam minyak kelapa sawit memberikan kesan antioksidan kerana tinggi dengan polifenol

. Asid lemak rantaian medium, trigliserida dan asid lemak akan dipecahkan dengan cepat dan ini membantu untuk mengelakkan berlakunya obesiti. Selain itu, proses ini akan menggalakkan penurunan berat badan dalam kalangan pesakit kencing manis yang berlebihan berat badan.

Antioksidan meningkatkan sensitiviti terhadap insulin dan mengurangkan kerintangan terhadap insulin. Ini akan mengurangkan kerosakan yang berlaku terhadap sel beta pankreas dengan melawan spesis oksigen reaktif dalam kalangan pesakit kencing manis. Asid laurik juga mempunyai sifat insulinotropik yang memberikan kesan sinergis dalam menurunkan paras gula.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda kencing manis dan Rawatan

Kesimpulan

Penulisan artikel ini diharapkan dapat memberikan kefahaman yang lebih mendalam terhadap minyak kelapa dara dari segi kandungan nutrisi, kandungan berkhasiat dan kebaikan terhadap kesihatan tubuh badan. Disebabkan oleh pelbagai kajian telah membuktikan kesan positif pengambilan minyak kelapa dara dalam diet seharian, terdapat banyak produk makanan tambahan berasaskan minyak kelapa dara. Namun demikian, pengambilan minyak kelapa dara sebagai produk makanan tambahan perlulah mengikut dos yang dibenarkan. Bagi pesakit yang menghidap sebarang penyakit terutamanya penyakit kronik pula amat disarankan untuk mendapat pandangan dari doktor terlebih dahulu.

Diharapkan artikel khasiat minyak kelapa dara ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan dengan khasiat dan kebaikan minyak kelapa dara ini kepada para pembaca.

Khasiat Makanan yang Lain



Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan:

  1. Carandang, E.V. (2008). Health benefits of virgin coconut oil. Indian Coconut Journal, 10(2), 1-12. Retrieved from Coconut Board.
  2. Dumancas, G., D Maples, R., Viswanath, L.C.K., & Koralege, R.H. (2016). Health benefits of virgin coconut oil. Nova Science Publishers. ISBN 978-1-63485219-7
  3. Seneviratne, K., & Jayathilaka, N. (2020). Coconut oil: chemistry and nutrition. Lakva Publishers Battaramulla. ISBN 978-955-1605-36-0.
  4. Shidqiyyah, A.H., Norliza, M., & Isa Naina, M. (2016). Tindakan minyak kelapa dara terhadap tulang osteoporosis pascamenopaus: analisis gen osteoblastogenesis dan antioksidan. Sains Malaysiana, 45(12), 1815-1822.
  5. Siddalingaswamy, M., Rayaorth, A., & Khanum, F. (2011). Anti-diabetik effects of cold and hot extracted virgin coconut oil. Journal of Diabetes Mellitus, 1(4), 118-123.
  6. Suryani, S., Sariani, S., Eanestly, F., Marganof, M., Rahmawati, R., Sevindrajuta, S., Teuku Meurah, I.M., & Ahmad Fudholi. A comparative study of virgin coconut oil, coconut oil and palm oil in terms of their active ingredients.     Processes, 8, 402.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 3 =