Skip to content

Ubat Meloxicam: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat meloxicam? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, dos dan kesan sampingan berkenaan dengan ubat ini.

Perbincangan mengenai ubat tahan sakit lebih-lebih lagi dalam kalangan pesakit artritis telah diutarakan serba sedikit dengan pengenalan kepada ubat celecoxib dan etoricoxib dalam edisi lalu. Tetapi adakalanya penggunaan kumpulan coxib (ubat NSAID – ubat antiinflamatori bukan steroid spesifik merintang enzim siklooksigenase-2: COX-2) tidak semestinya dimulakan terus dalam kalangan pesakit ini. Dalam edisi kali ini perbincangan kita menjurus pada satu lagi jenis ubat NSAID yang boleh tahan kuat juga: meloxicam.

Kegunaan

Meloxicam adalah ubat yang dilesenkan penggunaannya menurut FDA dan Formulari Kebangsaan UK. Ia digunakan sebagai:

  • Ubat tahan sakit sama ada digunakan bersendirian atau campuran bersama ubat tahan NSAID lain
  • Rheumatoid arthritis
  • Osteoartritis – untuk jangka masa pendek
  • Ankylosing spondilytis (satu jenis artritis reumatoid melibatkan saraf tunjang) jangka masa lama.


Kebiasaannya meloxicam hanya dapat dipreskrib oleh doktor pakar sahaja. Pembelian ubat ini amat memerlukan preskripsi doktor.

Cara pengambilan

  • Ambil sebelum atau selepas makan. Jika gastrik berlaku, pesakit perlu mengambilnya selepas makan.
  • Ditelan sepenuhnya dengan air kosong dan minuman lain semasa makan.
  • Jika terlupa, ambil segera dos yang tertinggal sementara masih teringat. Jika masa pengambilan dos seterusnya sudah pun dekat, ambil dos baru sahaja dan abaikan dos yang lupa diambil tersebut. Jangan gandakan dos.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Ubat tablet perlu disimpan di bawah 25°C (suhu bilik lebih diutamakan). Jauhkan daripada cahaya terang, kelembapan dan kanak-kanak. Jangan gunakan melepasi tarikh luput.

Dos

Terdapat beberapa jenis dos bergantung kepada penyakit yang dihadapi oleh seseorang

  • Artritis reumatoid
    • Kanak-kanak:
      • Pesakit 12 – 17 tahun berat ≥ 60kg atau ≥ 50kg (menurut Formulari UK): 0.125 mg/kg setiap hari (selang 24 jam), maksimum 15 mg/hari.
      • Pesakit 12 – 17 tahun berat kurang 50kg (menurut Formulari UK): mengikut berat seperti di atas, maksimum 7.5 mg/hari.
    • Dewasa – 7.5 mg – 15 mg/hari. Makan sekali sehari sahaja. Maksimum 15 mg/hari.
  • Osteoartritis (jangka masa pendek) dan ankylosing spondilytis
    • Dewasa: 15 mg sekali makan sekali sehari, kemudian kurangkan dos ke 7.5 mg/ hari jika perlu
    • Orang tua: 7.5 mg sekali sehari.
    • Kanak-kanak: Pesakit 16-17 tahun: ikut dewasa
  • Ubat tahan sakit sederhana dan serius sama ada digunakan bersendirian atau campuran bersama ubat tahan NSAID kuat lain
    • Pastikan pesakit tidak mengalami dehidrasi (untuk elakkan kerosakan buah pinggang)
    • Jika perlu tambahan ubat untuk mengawal sakit, penambahan ubat bukan jenis NSAID (ubat opioid dsb) dengan kelegaan cepat boleh diambil jika masih sakit dalam tempoh 24 jam pengambilan meloxicam.
  • Populasi istimewa
    • Orang tua dan pesakit perut sensitif (gastrik): Dos terendah (7.5 mg sekali sehari).
    • Pesakit buah pinggang: Pengawalan prestasi buah pinggang semasa rawatan penting.
      • <15 ml/min: Tidak digalakkan
      • ≥15 ml/min: 7.5 mg sekali sehari.
      • Hemodialisis: Maksimum 7.5 mg/hari.
    • Pesakit kegagalan hati: Jenis ringan dan sederhana tidak memerlukan penyelarasan dos. Jenis serius: pembekal tidak menggalakkan penggunaannya.
    • Pesakit kegagalan buah pinggang: Jenis ringan dan sederhana tidak memerlukan penyelarasan dos. Pesakit dengan pengeluaran kreatinine 15 ml/min ke bawah (atau 25 ml/min ke bawah menurut Formulari UK) tidak digalakkan mengambil ubat ini.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Fasiliti kesihatan ada menyimpan ubat meloxicam berkekuatan 7.5 mg. Manakala dapatan di NPRA mendapati meloxicam dijual dalam pelbagai kekuatan:

  • Tablet 7.5 mg: Melocam (YSP), Dyna Meloxicam (Dyna), Mobic (Boehringer Engelheim), Melox (Komedic), Pharmaniaga Meloxicam (Pharmaniaga), Melonex (Jetpharma), Arrox (Xepa sp), Meloxim (Steriline), Melartin (Ranbaxy), Aroxicam (Unimed), Avegesic (Apex Pharmacy), Apo-Meloxicam (Pharmaforte)
  • Tablet 15 mg: Melocam (YSP), Melox (Komedic), Melonex (Jetpharma), Mel-Od 15 (The Zyfas), Meloxim (Steriline), Melartin (Ranbaxy), Aroxicam (Unimed), Avegesic (Apex Pharmacy)

Cara ubat berfungsi

Ubat ini adalah satu lagi jenis ubat inflamatori bukan berasaskan steroid (nonsteroidal anti-inflammatory drug, NSAID) dari keluarga oxicam. Ubat ini berfungsi mengaruh enzim siklooksigenase dalam badan yang digunakan dalam penghasilan perantara kesakitan prostaglandin yang mengakibatkan respons sakit dalam kalangan pesakit.

Kesan sampingan



Kesan sampingan biasa:

  • Bengkak bahagian badan atau kaki (bengkak air)
  • Kemunduran fungsi buah pinggang, boleh menyebabkan kegagalan akut buah pinggang, sindrom nefrotik
  • Kemusnahan struktur sel papilari buah pinggang (dalam jangka masa panjang)
  • Kurang garam natrium dan lebihan garam kalium
  • Anemia (jarang-jarang hingga ke tahap kekurangan sel darah lain, seperti agranulositosis, trombositopenia, leukopenia)
  • Kabur penglihatan
  • Menjejaskan fungsi jantung
  • Palpitasi (berdebar-debar, jarang berlaku)
  • Loya dan muntah
  • Kembung perut
  • Muntah darah
  • Tinja penuh darah
  • Cirit-birit
  • Angioedema (bengkak-bengkak bahagian kulit termasuklah badan, tekak, mulut dsb) hasil alergik; termasuklah bintik-bintik merah, gatal-gatal, gangguan deria penglihatan (kesan dapat diterbalikkan selepas rawtaan dihentikan)
  • Mungkin menaikkan bacaan bilirubin, serum enzim transaminase, serum kreatinin dan blood urea nitrogen (BUN)
  • Pengurangan/ pelebihan berat badan
  • Pening kepala
  • Kebimbangan
  • Sukar tidur malam
  • Kekeliruan
  • Kegelisahan
  • Kemurungan
  • Rasa sensasi kebakaran dan kesakitan dalam mana-mana bahagian badan seperti dicucuk-cucuk, kejang dsb
  • Tekanan darah tidak menentu
  • Mengancam kesuburan dalam wanita (boleh sembuh selepas ubat dihentikan)
  • Mempengaruhi kawalan gula

Kesan sampingan serius:

  • Masalah darah beku dalam jantung termasuklah serangan jantung dan strok
  • Pendarahan dalam perut, pembentukan ulser dan lubang dalam struktur perut
  • Kulit mengelupas (exfoliative dermatitis)
  • Sindrom Steven-Johnson
  • Nekrolisis toksik epidermal kulit
  • Jangkitan hati (hepatitis) secara tiba-tiba
  • Kemusnahan sel hati
  • Kegagalan hati
  • Sesak nafas (bronchospasm)

Larangan Kepada

Ubat ini tidak digalakkan untuk populasi berikut:

  • Ibu mengandung: tidak digalakkan. (Kategori C FDA jika kandungan <20 minggu, D jika kandungan sudah berusia 30 minggu dan seterusnya kerana boleh menyebabkan penutupan pramatang duktus arteriosus janin dan kegagalan fungsi buah pinggang janin).
  • Ibu menyusu: ubat boleh muncul dalam susu ibu (dalam kajian haiwan).
  • Kegagalan hati tahap serius: pembekal tidak menggalakkan penggunaannya.
  • Kegagalan buah pinggang bawah 15 ml/min (dalam Formulari UK bawah dari 25 ml/min)
  • Kanak-kanak bawah 12 tahun
  • Ada sejarah kegatalan (urticaria) dan reaksi jenis alergik selepas pengambilan ubat sejenis NSAID (aspirin, diclofenac, ibuprofen dsb). Kes anafilaktik serius pernah berlaku dan dilaporkan berkenaan pengambilan ubat. Pesakit yang mengalami reaksi hipersensitif dengan meloxicam juga termasuk sekali.
  • Dalam pembedahan pintasan jantung (coronary artry bypass graft – CABG)
  • Pesakit baru mengalami serangan jantung dan kegagalan jantung serta komplikasi jantung lain
  • Pendarahan dan kemusnahan ruang esofagus, usus, perut berkaitan pengambilan NSAID serius
  • Penyakit inflamatori perut (penyakit Crohn dan kolitis ulseratif)

Peringatan (precaution)

Ubat ini masih boleh menyebabkan gangguan penglihatan pesakit, dan insiden vertigo (pusing) dan mengantung sudah dilaporkan. Pesakit yang mengalami kesan terbabit tidak dibenarkan memandu dan mengawal jentera berat. Penggunaan piroxicam masih boleh digunakan sekiranya ada antara pesakit mengalami perkara berikut:

  • Pesakit berisiko tinggi komplikasi jantung: untuk langkah berjaga-jaga pemberian dos yang efektif dan terendah serta dalam kawalan doktor boleh diberikan
  • Ibu mengandung (dalam trimester pertama dan kedua): jika rawatan melibatkan prioxicam lebih mendatangkan kebaikan dari keburukan, ubat boleh dimulakan tetapi dengan kawalan doktor. Jika terdapat sebarang perubahan pada janin bayi, rawatan terus dihentikan.
  • Pendarahan dan kemusnahan ruang esofagus, usus, perut berkaitan pengambilan NSAID – masih perlu kawalan doktor
  • Pesakit asma
  • Pesakit dengan sejarah pendarahan dalam perut atau ulser gastrik
  • Pesakit baru mengalami serangan jantung; kegagalan fungsi jantung, penyakit jantung iskemia serta komplikasi jantung lain
  • Pesakit dengan komplikasi risiko lain (diabetis, tinggi kolesterol, merokok dsb)
  • Pesakit bengkak air dan kurang air
  • Pesakit dengan permasalahan berkaitan darah (darah beku dan cair) akibat pelbagai jenis penyakit
  • Pesakit kegagalan hati dan buah pinggang
  • Pesakit yang lemah dan kurang minum air

Interaksi antara ubat

Berhubung dulu dengan para doktor sekiranya ada mengambil meloxicam bersama ubat-ubatan lain. Berikut antara interaksi meloxicam biasa dengan ubat-ubatan:

  • Meningkatkan kesan pendarahan gastrik :
    • ubat-ubatan NSAID lain (aspirin, diclofenac, mefenamic acid, indomethacin, celecoxib [menaikkan lagi insiden kardiovaskular dan sistem otak], dsb),
    • ubat cair darah (clopidogrel, heparin, enoxaparin, warfarin, dabigatran, fondaparinux dsb),
    • ubat kemurungan jenis penebat pengambilan semula serotonin dan noradrenalin (SNRI) – duloxetinne, venlafaxine dsb;
    • ubat kemurungan jenis penebat pengambilan semula serotonin (SSRI) – escitalopram, fluvoxamine dsb;
    • ubat penguat tulang bisphosphonate (alendronate),
    • ubat kortikosteroid (beclomethasone, prednisolone, dexamethasone dsb),
    • ubat melancarkan peredaran darah pentoxifylline,
    • ubat singkirkan zat besi deferasirox,
    • herba seperti dong quai dan ginkgo
  • Meningkatkan kesan kerosakan buah pinggang:
    • ubat NSAID,
    • ubat psikoterapi lithium,
    • ubat kanser dan imunosupresan methotrexate,
    • ubat imunosupresan tacrolimus dan cyclosporin,
    • ubat AIDS/HIV (tenofovir – menyebabkan kegagalan buah pinggang akut),
    • ubat antibiotik jenis aminoglycosides (amikacin, gentamicin, neomycin), ubat diuretik jenis thiazide (hydrochlorothiazide),
    • diuretik cangkuk (furosemide),
    • ubat kencing amiloride,
    • ubat penebat ACE (juga boleh menaikkan garam kalium – perindopril, enalapril dsb) dan
    • ARB (losartan, candesartan dsb);
  • Meningkatkan kesan pada jantung (kardiotoksisiti): digoxin (ubat jantung)
  • Mengurangkan kesan terapeutik ubat darah tinggi –
    • ubat diuretik jenis thiazide (hydrochlorothiazide),
    • diuretik cangkuk (furosemide),
    • penebat beta (bisoprolol, atenolol  dsb),
    • penebat alfa (prazosin, alfuzosin dsb),
    • ejen pengendur pembuluh darah (hydralazine dsb),
    • penebat ACE dan ARB
  • Mengurangkan serum meloxicam dalam badan: penanggam asid hempedu (cholestyramine dsb), ubat sawan (carbamazepine, phenobarbitone, valproate), antibiotik rifampin
  • Menaikkan stimulasi saraf pusat, menjadikan sensitif pada sawan: ubat antibiotik keluarga fluoroquinolones (ciprofloxacin, levofloxacin dsb)
  • Ubat analog vasopressin (desmopressin) untuk menaikkan tekanan darah: menaikkan insiden hiponatremia berkaitan sawan dan koma
  • Meningkatkan kesan hipoglisemia (kurang gula dalam darah): ubat sulfonilurea (gliclazide, glibenclamide), insulin
  • Meningkatkan kesan cirit-birit dan sakit abdomen badan: misoprostol (analog prostaglandin untuk gastrik)
  • Meningkatkan kepekatan meloxicam: Ubat antikulat (ketoconazole, fluconazole dsb), ubat AIDS/HIV (efavirenz), antibiotik metronidazole, ubat asma zafirlukast
  • Meningkatkan garam kalium: suplemen kalium (potassium chloride), ubat epinephrine, ubat pengendur otot succinylcholine

Kesan terlebih dos

Toksisiti dari lebihan mengambil meloxicam jarang berlaku, tapi boleh mucul dengan:

Kesan ringan dan sederhana:

  • Lemah longlai seluruh badan
  • Mengantuk
  • Loya
  • Muntah
  • Sakit bahagian dada (epigastrik) – biasanya disembuhkan selepas rawatan sokongan diberikan

Kesan serius:



  • Pendarahan daam perut
  • Tekanan darah naik
  • Kegagalan buah pinggang akut
  • Kesukaran bernafas
  • Koma

Rawatan sokongan biasanya diberikan dalam kes toksisiti seperti ini. Antara perkara lain yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Pemberian arang ubatan/ ubat muntah dalam pesakit simptomatik yang dalam masa 4 jam selepas pengambilan meloxicam atau pesakit ada mengambil jumlah dos 5-10 kali ganda lagi banyak dari dos disyorkan
  • Sawan: IV propofol dan drug kumpulan benzodiazepine, barbiturat
  • Tekanan darah rendah: IV 0.9% sodium klorida 10 – 20 ml/kg, jika tidak cukup pertimbangkan dopamin atau noradrenalin.
  • Tekanan darah tinggi: Nitroprusside (sangat digalakkan), labetalol, GTN
  • Reaksi akut alergik: Ubat melonggarkan rongga pernafasan (bronkodilator), ubat antihistamin, epinephrine, kortikosteroid (untuk radang) sekadar contoh.

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Mobic®: Boehringer Engelheim
  7. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan
  8. Pharmaniaga meloxicam tablet: Meloxicam (7.5 mg)
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fifteen + six =