Skip to content

Ubat Tramadol (Ultracet): Kegunaan & Kesan Sampingan

Terdahulu kita ada membincangkan serba sedikit berkenaan ubat tahan sakit diclofenac, iaitu antara ubat tahan sakit paling biasa mudah didapati di mana-mana. Popularitinya kerap ditagih, lagi-lagi apabila kesakitan harian muncul; dari salah urat hinggalah kepada artritis. Namun begitu, tahukah anda diclofenac tidak melindungi anda daripada sakit “biasa” yang berterusan? Dalam siri ini, kita akan cuba menggodek satu lagi ubat tahan sakit digunakan di hospital yang menjadi alternatif penahan sakit teruk, ubat tramadol.

Penggunaan

Ubat Tramadol (nama dagangan inovator Ultracet, muncul dengan pelbagai jenama lain di Malaysia) adalah ubat tahan sakit bertaraf A/KK (hanya Pakar di hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan sahaja boleh preskrib ubat ini), dan memerlukan preskripsi ubat untuk dibeli di luar. Keekslusifan ubat ini sehinggakan hanya boleh dipreskrib oleh pakar kerap kali diberi untuk indikasi ini sahaja:

  • Pesakit yang perlukan ubat tahan sakit lebih kuat selepas rawatan ubat NSAID (ubat anti-inflamatori bukan steroid) dan paracetamol tidak berkesan
  • Pesakit yang perlukan terapi tahan sakit harian dalam jangka masa panjang
  • Sakit- sakit sederhana teruk hingga ke teruk (contohnya selepas pembedahan)
  • Rawatan adjung anestesia untuk kurangkan kesakitan ketika pembedahan (tidak didaftar dalam FDA)
  • Tahan sakit disebabkan kanser (tidak didaftar dalam FDA)

Cara penggunaan ubat ini dinasihatkan untuk mulakan dos kecil dahulu sebelum dinaikkan sedikit demi sedikit.:

  • Dewasa dan kanak-kanak >12 tahun (>14 tahun dalam sesetengah jenama ubat): Boleh digunakan sehingga 4-6 jam untuk kes kronik, dan maksimum mesti 400 mg/hari (untuk ubatan serapan cepat dan suntikan) dan 300 mg/hari (untuk serapan lambat), sesetengah kes digunakan bila perlu sahaja.
  • Kanak-kanak >1 tahun ke 12 tahun: Tidak digalakkan penggunaannya (akan dibincangkan kemudian), tetapi ada digunakan dalam satu dos 1-2 mg/kg berat badan sehingga 6 jam sekali (maksimum 2 mg/kg/dos, 100 mg/hari).
  • Pesakit buah pinggang: Kontraindikasi pada pesakit mempunyai pembebasan kreatinin (creatinine clearance, CrCL) bawah 10 ml/min/1.73m2, atas dari itu, boleh diambil sehingga 2 kali sehari (untuk ubat serapan cepat dan suntikan, tidak boleh digunakan untuk ubat serapan lambat).
  • Pesakit hati: Boleh diambil sehingga 2 kali sehari (suntikan dan kapsul serapan cepat, bukan ubat serapan lambat).


Ubat ini biasa didapati dalam bentuk kapsul serap cepat (immediate-release capsule) 50 mg dan juga kapsul serapan lambat (prolong-release capsule) 100 mg, serta suntikan 50 mg/ml. Sebaiknya berhubung terus dengan doktor jika pesakit hendak menggunakan ubat-ubatan ini terlebih dahulu kerana tramadol tidak boleh sengaja dimulakan dan boleh membawa kesan sampingan yang melibatkan nyawa (akan diterangkan seterusnya).

Penyimpanan

Ubat suntikan, kapsul dan biji tramadol perlu disimpan di tempat sejuk dan kering (suhu bilik amat digalakkan) dan dielakkan letak di kawasan lembap dan suhu tinggi. Jauhkan ubat tersebut dari kanak-kanak.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Ubat Berfungsi

Tramadol adalah ubat tahan sakit berasaskan opioid (bahan yang mimik struktur kimia sebatian dari getah opium seperti morfin) yang berkesan sebagai ubat tahan sakit melalui 2 mekanisme:

  1. Sebagai reseptor agonis tidak selektif pada subreseptor mu (majoriti), delta dan kappa untuk opioid,
  2. Secara lemah mengurangkan pengambilan perantara kimia serotonin dan adrenalin serta noradrenalin untuk digunakan semula dalam sistem saraf otak.

Kesan terapeutik tramadol juga tidak menyebabkan depresi pernafasan seperti mana ubat opioid lain, di samping kesan terhadap sistem penghadaman dan kardiovaskular yang rendah. Tramadol juga turut dikesan mengurangkan batuk, tetapi tidaklah berapa digunakan secara konvensional kerana ada alternatif lebih selamat seperti dextromethorphan.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan direkodkan (ini adalah sebahagian darinya, boleh berjumpa dengan doktor untuk maklumat lebih lanjut):



Kesan sampingan yang membahayakan nyawa termasuklah:

  • Reaksi anafilaksis, sindrom Steven-Johnson dan nekrolisis epidermal toksik (segeralah bawa berjumpa doktor secepat mungkin)
  • Sindrom serotonin (tekanan darah dan nadi jantung menaik, refleks badan meningkat, demam, cirit-birit, loya, muntah, gegaran, halusinasi dan koma – jika serius)
  • Sawan (kurang 1%)
  • Serangan jantung (myocardial infarction) dalam sesetengah kes, tekanan darah dan nadi tidak stabil
  • Hipoglisemia (agak jarang)
  • Kesukaran dan susah bernafas (kurang dari 5% kes), boleh berisiko menjadi depresi pernafasan
  • Jika digunakan untuk masa lama boleh mempengaruhi sistem persenyawaan dan gangguan pengeluaran hormon adrenal yang boleh membawa kesan seperti amenorrhea (darah haid tidak keluar), senggugut, pengurangan nafsu syahwat (libido), mati pucuk dan kemandulan.

Pesakit yang mengambil tramadol boleh menjadi ketagih dan boleh disalahgunakan jika diambil untuk masa yang lama. Jika rawatan dihentikan secara tiba-tiba pesakit mungkin mengalami sindrom pemberhentian (withdrawal symptom) seperti:

  • Naik tekanan darah dan nadi jantung
  • Disforia (rasa murung tiba-tiba)
  • Mudah marah, tidak selesa dan gelisah
  • Sukar tidur
  • Mengantuk
  • Mata berair
  • Hidung berhingus
  • Kejang otot perut dan cirit-birit
  • Berpeluh
  • Rasa menggigil dan seram sejuk
  • Sakit otot, belakang dan sendi-sendi

Kontraindikasi ubat ini perlu diambil perhatian:

  • Kanak-kanak bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun yang menjalani pembedahan buang tonsil dan kelenjar adenoid – depresi pernafasan serius
  • Pesakit yang terbukti memiliki polimorfisme enzim sitokroma CYP2D6 setelah disahkan melalui ujian makmal terutamanya jika pesakit demikian mampu memetabolisme tramadol sangat cepat (ultra-rapid metabolised CYP2D6 polymorphism) – risiko depresi pernafasan serius
  • Asma (sindrom akut ataupun serius)
  • Bukan sama sekali digunakan dalam rawatan kurangkan ketagihan dadah
  • Disyaki atau diketahui mengalami gangguan sistem penghadaman yang serius (usus lumpuh dan sebagainya)
  • Hipersensitif terhadap tramadol dan bahan lain terkandung dalam sediaan ubat tramadol ataupun terhadap ubat-ubatan opioid lain
  • Pesakit ada menggunakan ubat perencat enzim monoamine oxidase (monoamine oxidase inhibitor, MAOI), sesetengah ubat psikotik lain dan peminum alkohol tegar.
  • Keracunan bahan narkotik terutamanya ubat tidur, barbiturat, ubat kemurungan dan opioid lain.
  • Pesakit mengalami depresi pernafasan dan hiperkapnia (lebihan karbon dioksida dalam badan) dalam ketiadaan bantuan alat pernafasan lengkap atau dalam keadaan tidak dikawal.
  • Pesakit kegagalan buah pinggang dan hati.
  • Pesakit menyusu: walaupun ubat ini muncul dam kuantiti kecil dalam susu ibu, sesetengah pengeluar ubat mengesyorkan untuk tidak mengambil ubat ini.
  • Pesakit mengandung: penggunaan tramadol jangka masa lama mungkin menyumbang kepada simptom penarikan yang membahayakan bayi baru lahir. Diletakkan dalam Kategori Mengandung C dalam FDA.

Peringatan (precaution)

  • Tidak berapa digalakkan penggunaannya dalam warga tua, kanak-kanak bawah 12 tahun, wanita mengandung dan menyusukan anak melainkan dengan pengawasan doktor.
  • Ambil ubat selepas makan. Jika terlupa, segera ambil dos yang diperlukan itu, dan jangan gandakan dos. Sediaan ubat serapan cepat dan lambat biasanya pesakit disuruh mengambilnya dalam tablet/kapsul penuh, tak perlu dikunyah dan dihisap, ditelan ubat sepenuhnya dengan air yang banyak.
  • Ikut nasihat doktor sepenuhnya berkaitan durasi penggunaan tramadol. Doktor perlu menerangkan tentang simptom penarikan ubat-ubat berkaitan opioid kepada pesakit (jika pesakit mengambil ubat jangka masa panjang) dan menasihatkan pesakit untuk tidak sama sekali memberhentikan secara sengaja rawatan tramadol tersebut tanpa kebenaran doktor. Jika diambil untuk jangka masa pendek, minta pesakit untuk mengambil ubat ini bila perlu sahaja untuk mengelakkan kesan ketagihan dan salahguna ubat serta mengelakkan simptom penarikan.
  • Pengguna dinasihatkan untuk tidak melakukan kerja berat dan memandu, kerana ubat ini boleh menyebabkan pening kepala dan mengantuk.
  • Arahkan pesakit untuk laporkan apa-apa sahaja insiden kemurungan, perubahan sikap dan juga idea untuk membunuh diri.
  • Maklumkan hipersensitiviti serta simptom melibatkan depresi pernafasan terhadap tramadol.
  • Laporkan juga sekiranya pesakit mengalami masalah lawas berak yang agak serius, pitam dan pengsan serta tekanan darah jatuh.
  • Perhatian perlu diberikan pada pesakit yang dalam terapi psikotik termasuklah kemurungan, kebimbangan, sawan dan dalam ubat analgesik bertumpu pada saraf otak. Selain itu, pesakit yang mempunyai atau pernah mengalami kecederaan kepala, dan disyaki dan disahkan metabolisme tramadol sangat lambat dan sederhana perlu diambil kira juga.

Interaksi antara ubat

Ini adalah antara kesan biasa yang dilaporkan terhadap tramadol. Lebih baik sekiranya berhubung terus dengan doktor berkenaan ubat yang diambil bersama dengan tramadol untuk maklumat lebih lanjut.

  • Meningkatkan insiden sawan dengan ubat MAOI (tranylcypromine, moclobemide, selegiline) – sangat serius dan mengancam nyawa, tidak boleh digabungkan.
  • Pengambilan alkohol, benzodiazepine, barbiturat – menaikkan insiden depresi pernafasan
  • Ubat penebat pengambilan semula serotonin (SSRI) [sertraline, citalopram, escitalopram, fluoxetine, fluvoxamine, paroxetine], ubat penebat pengambilan semula noradrenalin (SNRI)  [duloxetine, venlafaxine, desvenlafaxine], antibiotik linezolid, ubat bipolar (garam lithium), ubat reseptor agonis serotonin (sumatriptan), herba (St John’s wort) dan pengambilan bersama ubat-ubatan opioid lain (morfin, fentanyl dan sebagainya) – sindrom serotonin; sentiasa digunakan secara berhati-hati.
  • Ubat antikemurungan – trisiklik antikemurungan (amitryptyline, dothiepin, imipramine): menaikkan insiden sawan dan sindrom serotonin
  • Merendahkan kesan terapeutik tramadol – ubat SSRI (paroxetine dan fluoxetine), rifampicin (antibiotik), carbamazepine (sawan)
  • Menaikkan kesan toksisiti tramadol – eryhtromycin (antibiotik)
  • Menaikkan kesan cair darah warfarin (ubat cair darah untuk komplikasi jantung)
  • Menaikkan kesan toksisiti digoxin (ubat jantung)

Kesan terlebih dos

Seperti yang dinyatakan tadi, tramadol seperti ubat-ubatan opioid lain mudah menghasilkan ketagihan dan disalahgunakan. Simptom biasa dijumpai pada kes toksisiti pesakit ketagihan adalah lanjutan kesan terapeutik biasa:

  • Euforia
  • Kesan tenang
  • Mengantuk
  • Loya
  • Depresi pernafasan (dalam kes serius- boleh disertai kesukaran bernafas, hipoksia (kurang oksigen dalam darah), hipotensi dan rendah kadar nadi, sindrom serotonin, kekejangan otot badan)

Rawatan keracunan biasa diberikan mengikut respons dan simptom pesakit yang ada. Ini termasuklah:

  • Kawalan parameter penting seperti tekanan darah dan nadi, serta kepekatan oksigen dan karbon dioksida dalam darah
  • Pemberian naloxone (ubat antagonis pada reseptor opioid) sebagai antidot untuk mengelakkan depresi pernafasan lebih ketara dalam kes serius.
  • Benzodiazepine, barbiturat dan ubat sedatif lain untuk kes sawan
  • Prosedur gastric lavage atau arang ubatan jika kes toksisiti diketahui lebih awal
  • Sokongan pernafasan, intubasi dan defibrilator untuk kes serius
  • Sindrom serotonin: selain rawatan segera dengan benzodiazepine, pengambilan cyproheptadine mungkin difikirkan sesuai untuk kes sederhana/serius.

Rujukan

  1. Tramadol. Dalam: MIMS Gateway. Diambil dari: MIMS
  2. University of Illinois (2019, Januari 16). Tramadol, oral tablet. Dalam: Healthline
  3. Hassamal, S., Miotto, K., Dale, W. & Danovitch, I. (2018). Tramadol: Understanding the risk of serotonin syndrome and seizures. The American Journal of Medicine, 131(11), 1382.e1 – 1382.e6. doi:10.1016/j.amjmed.2018.04.025
  4. BNF 66
  5. Buku Biru Formulari Ubat, Program Perkhidmatan Farmasi, Kemenerian Kesihatan Malaysia (KKM)
  6. Medscape
  7. Micromedex
  8. Risalah Maklumat Ubat Untuk Pengguna (RiMUP). Acugesic Tablet/ Capsule: Tramadol hydrochloride 50 mg. Diambil dari: NPRA
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 + eight =