Skip to content

Ujian yang WAJIB pesakit kencing manis ambil

Selalunya di klinik kerajaan, mereka sudah ada standard ujian yang perlu dijalankan kepada pesakit kencing manis yang mempunyai temujanji dengan mereka.

Bahkan standard rawatan ini akan sentiasa diaudit oleh pegawai daripada peringkat pusat bahagian Kementerian Kesihatan Malaysia. Klinik yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan akan di soal siasat kenapa standard tersebut tidak diikuti.

Bagi klinik swasta pula, tiada standard yang sama ditetapkan bagi setiap klinik. Mereka akan merawat ikut standard yang ditetapkan oleh mereka sendiri. Ada yang buat ujian-ujian yang sepatutnya, ada pula yang rawat seperti biasa.



Oleh itu, artikel ini dibuat khas untuk pesakit kencing manis yang mempunyai temujanji di klinik swasta ataupun hospital swasta supaya mereka menjalani ujian ini

Ujian-ujian yang sepatutnya diambil oleh pesakit kencing manis

1. Hba1c

Ujian Hba1c sepatutnya diambil 2 kali dalam setahun.Ujian ini penting untuk mengetahui kadar kawalan gula dalam 3 bulan yang lepas. Ia juga akan membantu doktor untuk menentukan sama ada ubat kencing manis pesakit perlu ditambah ataupun tidak.

Jika bacaannya melebihi 6.4%, maka doktor sepatutnya menambah dos ubat ataupun menambah jenis ubat kencing manis yang lain.

Maaf nak tegur sedikit. Ada sesetengah klinik yang hanya berterusan memberi ubat kencing manis dengan dos yang sama tanpa melihat ataupun mengambil bacaan Hba1c ini.

Oleh itu, kawalan gula tidak diketahui dengan tepat sehinggalah pesakit mengalami komplikasi seperti kerosakan buah pinggang dan sebagainya.

2. Ujian Kolesterol(Fasting Serum Lipid)



Ujian ini selalunya diambil setahun sekali. Penting untuk tahu bacaan kolesterol ini sebab mereka yang ada kencing manis dan kolesterolnya tinggi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat serangan sakit jantung dan juga angin ahmar.

Mereka yang mengalami masalah kolesterol yang tinggi perlulah memulakan pengambilan ubat kolesterol untuk menurunkan bacaan kolesterol tersebut.

3. Ujian fungsi buah pinggang(renal profile)

Ujian ini juga selalunya dilakukan setahun sekali jika buah pinggang tidak bermasalah. Ia akan diulang dengan lebih kerap jika terdapat masalah pada bacaan buah pinggang.

Penting untuk tahu bacaan buah pinggang ini untuk melihat sama ada kencing manis itu sudah memberi kesan sampingan pada buah pinggang ataupun tidak.

Bacaan buah pinggang yang tidak elok akan mengingatkan pesakit supaya mengawal pengambilan gula dengan lebih cermat jika tidak ia akan berterusan rosak hinggalah ia tidak boleh berfungsi seperti selalunya.

Akhirnya, pesakit perlu menjalani prosedur dialisis seumur hidupnya.

4. Ujian Fungsi Hati(Liver function test)

Ujian ini bertujuan untuk melihat fungsi hati bagi melihat kesan sampingan kencing manis yang tinggi.

Perlu diketahui bahawa majoriti daripada penghidap kencing manis ini adalah mereka yang selalu mengambil makanan manis.



Makanan manis ini pula majoritnya mempunyai gula fruktosa yang hanya boleh diuraikan di dalam hati.

Apabila ia diuraikan di dalam hati dan tidak digunakan, maka lemak akan terbentuk di dalam hati ini. Lemak ini pula akan mengganggu fungsi hati dan menyebabkan bacaan fungsi hati tidak normal.

Sebab itulah ada satu keadaan yang dipanggil sebagai non-alcoholic fatty liver iaitu lemak hati yang bukan disebabkan pengambilan alkohol kerana kebanyakan masalah lemak dalam hati ini adalah disebabkan pengambilan alkohol. Dan masalah ini selalunya berlaku pada mereka yang menghadapi kencing manis

5. Ujian air kencing

Ujian air kencing ini adalah penting untuk melihat sama ada air kencing pesakit kencing manis mempunyai protein ataupun tidak.

Jika air kencing tersebut mempunyai protein, maka dalam masa beberapa tahun yang akan datang, pesakit berkemungkinan besar akan mengalami masalah kerosakan buah pinggang.

Jika seseorang itu sudah mengalami masalah protein dalam air kencing ini, doktor selalunya akan memulakan satu ubat dinamakan ‘Angiotensin converting enyzme inhibitor’. Ubat ini sedikit sebanyak mampu menghalang buah pinggang daripada rosak disebabkan kencing manis tersebut. Perlu diketahui ubat ini juga digunakan untuk pesakit yang menghadapi masalah tekanan darah tinggi.

6. Electrocardiogram(ECG)

ECG merupakan ujian yang digunakan untuk melihat gelombang jantung. Daripada bacaan gelombang tersebut doktor boleh mengetahui samada jantung pesakit mengalami masalah ataupun tidak.

Jika dilihat mempunyai masalah, pesakit akan dirujuk ke pakar jantung untuk rawatan selanjutnya



Perlu diketahui bahawa salah satu komplikasi kencing manis adalah serangan sakit jantung. Oleh itu, dengan ujian ECG yang akan dilakukan setahun sekali ini, ia dapat mengelakkan pesakit daripada mengalami masalah sakit jantung tersebut.

7. Funduscopy

Ini pula merupakan pemeriksaan pada retina mata. Staff kesihatan akan menggunakan satu alat untuk melihat bahagian belakang mata iaitu retina.

Bagi pesakit kencing manis, retina mata mereka boleh menghadapi kerosakan daripada penyakit tersebut dan berakhir dengan buta.

Ujian yang dilakukan secara tahunan ini dapat mengelakkan pesakit daripada terus mengalami komplikasi buta yang berpunca daripada penyakit kencing manis yang mereka hadapi.

Jika gambar retina mereka tidak normal, maka mereka akan dirujuk ke bahagian pakar mata di hospital

Kesimpulan

Jadi ingat, jika anda mengalami kencing manis dan mahu follow up di klinik swasta, anda perlu melakukan ujian yang dinyatakan tadi iaitu.

  1. Hba1c- setiap 6 bulan
  2. Ujian kolesterol- setahun sekali
  3. Ujian fungsi buah pinggang- setahun sekali
  4. Ujian fungsi hati- setahun sekali
  5. Ujian air kencing- setahun sekali
  6. Electrocardiogram – setahun sekali
  7. Funduscopy – setahun sekali

Jika bacaan ataupun penemuan daripada ujian tersebut adalah tidak normal, ujian tersebut mungkin perlu dilakukan dengan lebih kerap lagi.

Kalau klinik yang anda follow kencing manis anda tidak menyediakan ujian ini, anda boleh melakukan ujian ini di makmal swasta berdekatan tempat tinggal anda.



Makmal swasta sebagai contoh BP Lab, Gribbles dan sebagainya.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =