Skip to content

Saintis telah menjumpai Vaksin untuk mengelakkan anda daripada alahan kepada kucing.

Alahan kepada kucing adalah sesuatu yang selalu berlaku kepada manusia. Simptom alahan tersebut selalunya tidak serius seperti selalu bersin dan mata merah dan ia juga boleh menjadi terlalu teruk hingga menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam hospital.

Mereka yang mempunyai alahan kepada kucing ini selalunya akan mengelakkan diri daripada kucing dan mempunyai ubat anti-histamin dalam simpanan mereka.

Saya teringat waktu saya belajar dahulu. Kawan saya sangat suka kucing walaupun dia seorang yang alah kepada kucing. Setiap kali dia datang ke bilik saya dengan mata yang merah dan selesema yang teruk, saya dah dapat agak, dia mesti baru sahaja bermain dengan kucing.



Kadang-kadang kawan saya hanya membelai sekejap sahaja, itu pun mampu mendatangkan simptom alahan yang teruk.Tetapi kajian terbaru ini mungkin akan membantu kawan saya ini ataupun mereka yang memerlukannya.

Vaksin yang terbaru ini mungkin akan membantu mereka yang mengalami masalah alahan kepada kucing. Oleh itu, mereka pun boleh menjadi pencinta kucing seperti orang lain.

Vaksin untuk kucing bukan untuk manusia

Sebenarnya terdapat lebih kurang 5 bahan yang menyebabkan alahan dari kucing. Salah satu bahan tersebut adalah protein Fel d 1 yang merupakan salah satu bahan paling banyak dihasilkan oleh kucing.

Protein ini banyak dihasilkan daripada air liur dan juga kalenjar sebum kucing. Sebanyak 10% daripada masyarakat adalah alah kepada protein ini.

Vaksin baru ini digunakan untuk meneutralkan protein Fel d 1 ini supaya ia tidak menyebabkan alahan kepada manusia.



Seperti yang dilaporkan dalam The Journal of Allergy and Clinical Immunology, pengkaji daripada syarikat HypoPet telah berjaya menguji vaksin ini pada 54 ekor kucing yang berbeza. Pengkaji tersebut menyatakan bahawa vaksin ini berkesan untuk mengurangkan protein Fel d 1 pada kucing yang menerima suntikan tersebut.

Bahkan ia tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan pada kucing yang diuji.

Manusia akan mendapat faedah daripada rawatan ini kerana ia boleh mengelakkan pemilik kucing daripada mengalami penyakit kronik seperti asma dan lebih imun kepada kucing tersebut.

Bagaimana vaksin ini dihasilkan

Kumpulan pengkaji tersebut menggunakan Virus ‘Cucumber mosaic’ bersama dengan protein Fel d 1 untuk merangsangkan penghasilan antibodi kepada protein tersebut. Selepas vaksin itu diberikan kepada kucing, sistem imun kucing itu akan menghapuskan protein Fel D 1 itu dengan sendirinya. Kucing yang divaksin itu juga didapati kurang menyebabkan alahan kepada manusia.

Dengan adanya vaksin ini, anda tidak rasa serba salah lagi jika orang yang alah kepada kucing datang ke rumah anda. Bagi mereka yang alah kepada kucing sebelum ini juga mungkin boleh membela kucing selepas ini.

Vaksin ini dihasilkan oleh syarikat Hypopet di US dan masih lagi dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan supaya ia boleh diluluskan dan masuk ke dalam pasaran.

Rujukan:

  1. Immunization of cats to induce neutralizing antibodies against Fel d 1, the major feline allergen in human subjects. Thoms, Franziska et al. Journal of Allergy and Clinical Immunology, Volume 144, Issue 1, 193 – 203. DOI: https://doi.org/10.1016/j.jaci.2019.01.050
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − 5 =