Skip to content

Vaksin untuk Penyakit Kayap

Beberapa tahun yang lepas, vaksin untuk mengelakkan penyakit chicken pox telah dihasilkan dan rata-rata negara yang menggunakan vaksin ini mendapati kes chicken pox di negara mereka telah menurun dengan drastik.

Apa yang menariknya, kajian yang terbaru pula telah mendapati bukan sahaja kes chicken pox menurun, malah kes kayap juga menurun dikalangan kanak-kanak ataupun mereka yang divaksin menggunakan vaksin Chicken pox Ini.

Bagaimana vaksin ini mengelakkan kayap?

Kayap bukanlah sesuatu yang selalu dialami oleh kanak-kanak. Tetapi jika mereka terkena penyakit tersebut, sudah tentu ia akan mengganggu kehidupan seharian kerana rasa sakit di kawasan kayap tersebut.



Perlu diketahui bahawa punca kayap adalah disebabkan virus yang sama menyebabkan penyakit chicken pox. Ketika seseorang itu sudah sembuh daripada penyakit chicken pox, akan ada sebahagian kecil virus yang menjadi tidak aktif dan tinggal di bahagian saraf berdekatan dengan tulang belakang.

Virus ini akan menjadi aktif semula apabila sistem imun badan seseorang itu menjadi lemah dan penyakit kayap pun berlaku. Kayap ini hanya akan berlaku dikawasan saraf yang terlibat dengan jangkitan tersebut sahaja. Sebab itu, kayap ini selalunya tidak merebak, dia akan bermula daripada bahagian tulang belakang membawa ke bahagian hadapan badan sahaja.

Tetapi apabila seseorang kanak-kanak itu diberikan vaksin, maka sistem imun badan kanak-kanak tersebut sudah menjadi kebal dengan penyakit chicken pox itu sendiri. Oleh itu, ia akan mengelakkan virus itu sendiri daripada sempat untuk pergi ke bahagian saraf di tulang belakang pesakit. Hasilnya, kes kayap semakin turun dikalangan mereka yang di vaksin.

Berkenaan dengan kajian ini

Kajian ini telah diterbitkan pada 10 Jun 2019 di dalam Jurnal Paediatrics.

Kajian tersebut mendapati mereka yang diberikan vaksin Chicken pox mempunyai risiko yang sangat rendah iaitu sebanyak 78% kurang berisiko untuk mendapat kayap.



Bahkan ia juga memberikan kelebihan imuniti berkelompok kepada populasi tersebut. Dimana mereka yang tidak divaksin juga akan mempunyai risiko yang rendah untuk menghadapi kayap iaitu sebanyak 72% dan kajian ini telah dilakukan daripada 2003 dan 2014.

Pengkaji tersebut menyatakan imuniti berkelompok terhadap kayap ini mungkin berlaku disebabkan semakin kurangnya virus yang berada di dalam populasi tersebut.

Dalam kajian ini, ia melibatkan lebih kurang 6.4 juta kanak-kanak yang berumur 1 hingga 17 tahun dan kajian ini mengambil masa 12 tahun. Para pengkaji menyatakan bahawa peratusan penggunaan vaksin chicken pox ini semakin meningkat saban tahun dan saban tahun juga peratusan kayap semakin berkurang. Ini menunjukkan vaksin ini boleh mengurangkan insiden penyakit kayap di dalam komuniti.

Bahkan terdapat doktor yang memberatkan pengambilan vaksin ini kepada anak-anak kerana ia boleh memberikan perlindungan kepada dua jenis penyakit iaitu penyakit chicken pox dan juga kayap.

Dr Anne Gershon daripada Universiti Columbia mengatakan “Vaksin ini bukan sahaja berkesan untuk melindungi daripada penyakit chicken pox, tetapi ia juga memberi perlindungan kepada penyakit kayap juga”.

Di Malaysia pula, Vaksin chicken pox masih lagi tidak dimasukkan dalam jadual imunisasi kebangsaan. Jika anak anda ingin mendapatkan vaksin ini, anda boleh cuba dapatkan di klinik swasta yang berdekatan.

Rujukan:

  1. Sheila Weinmann, Allison L. Naleway, Padma Koppolu, Roger Baxter, Edward A. Belongia, Simon J. Hambidge, Stephanie A. Irving, Michael L. Jackson, Nicola P. Klein, Bruno Lewin, Elizabeth Liles, Mona Marin, Ning Smith, Eric Weintraub, Colleen Chun. Incidence of Herpes Zoster Among Children: 2003–2014. Pediatrics, 2019; e20182917 DOI: 10.1542/peds.2018-2917
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 1 =