Jika anda mempunyai rasa takut untuk makan kerana bimbang berat badan meningkat, menyebabkan berat badan anda berkurang dari normal. Anda mungkin mempunyai penyakit Anorexia Nervosa. Artikel ini akan membincangkan secara ringkas mengenai Anorexia Nervosa dan tanda-tandanya.
Isi Kandungan |
Definisi Anorexia Nervosa
Anorexia nervosa adalah gangguan pemakanan di mana seseorang itu mempunyai rasa takut yang melampau untuk makan kerana takut berat badan meningkat. Mereka yang mempunyai gangguan pemakanan ini akan makan makanan yang mempunyai kalori yang sangat rendah dan sanggup untuk bersenam secara berlebihan kerana tidak mahu berat badan meningkat.
Mereka sangat berjaga-jaga dalam pengambilan makanan dan sangat mengawal berat badan dan bentuk badan mereka.
Anorexia ini bukan disebabkan oleh faktor makanan, tetapi ia berlaku disebabkan oleh gangguan emosi dan psikologi. Mereka yang mengalami gangguan pemakanan seperti anorexia nervosa ini boleh membahayakan kesihatan. Anorexia ini boleh berlaku di semua peringkat umur, jantina dan kaum. Kesan daripada gangguan pemakanan ini akan menyebabkan badan mereka kehilangan berat badan yang melampau.
Secara kesimpulan, anorexia ini adalah:
- Kehilangan berat badan dan sukar untuk mengekalkan berat badan yang yang optimum.
- Melakukan senaman yang berlebihan kerana takut berat badan naik walaupun sudah diketahui berat badan mereka di bawah paras normal (underweight).
- Penafian mempunyai bentuk badan yang ideal dan susah untuk menerima berat badan di bawah paras normal.
- Makan dalam kuantiti yang sedikit dan mengambil makanan yang mempunyai kalori yang sangat rendah.
Punca Aneroxia Nervosa
Punca kepada penyakit ini masih belum dapat diketahui. Seperti kebanyakan penyakit yang lain, anorexia ini mungkin berlaku disebabkan oleh faktor biologi, psikologi, emosi dan persekitaran.
- Biologi: Anorexia ini mungkin berlaku disebabkan oleh perubahan genetik yang menyebabkan seseorang itu mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi penyakit ini. Jika seseorang itu mempunyai ahli keluarga terdekat yang mengalami anorexia, ia juga akan meningkatkan risiko kepada seseorang itu untuk menghidapi penyakit anorexia ini.
- Psikologi: Sesetengah orang yang mengalami Anorexia ini mempunyai masalah gangguan was-was yang tinggi atau Obsessive Compulsive Disorder (OCD). Ini akan menyebabkan ia rasa takut untuk mengambil makanan dan menambah berat badan. Ini juga akan menyebabkan seseorang itu mempunyai rasa gelisah kerana takut berat badan akan meningkat.
- Persekitaran: Faktor persekitaran seperti gangguan emosi, masalah keluarga, ketakutan di fasa peperiksaan dan ketakutan dengan kegagalan, tekanan yang tinggi juga penyebab kepada anorexia dan kehilangan berat badan.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom dan Tanda Aneroxia Nervosa
Terdapat beberapa simptom dan petanda seseorang itu mengalami masalah ini, antaranya ialah:
1. Emosi Dan Perubahan Sikap:
- Rasa takut yang melampau dengan berat badan yang meningkat.
- Menolak untuk mengambil makanan dengan sentiasa berdiet dan berpuasa.
- Menafikan perasaan rasa lapar.
- Bersenam secara berlebihan.
- Hanya mengambil makanan yang mempunyai kalori yang rendah.
- Tidak mahu bersosial bersama masyarakat.
- Susah untuk tidur (Insomnia).
- Tidak tertarik untuk melakukan hubungan kelamin.
2. Masalah Gangguan Fizikal:
- Kehilangan berat badan yang berlebihan.
- Kelihatan kurus.
- Mudah letih.
- Kepeningan.
- Kebiruan di bahagian hujung jari tangan.
- Kulit kering dan kekuningan.
- Tekanan darah rendah.
- Tangan dan kaki yang bengkak.
- Keguguran rambut.
- Masalah kesuburan.
- Masalah sembelit dan perut kembung.
Ujian Pemeriksaan
Untuk menentukan seseorang itu mengalami Anorexia Nervosa, doktor akan meletakkan beberapa kriteria untuk melakukan rawatan yang seterusnya.
- Kurang pengambilan makanan dan tenaga yang menyebabkan berat badan turun.
- Rasa takut yang melampau untuk menambah berat badan kerana takut gemuk, walaupun berat badannya di bawah paras normal (underweight).
- Pesakit menafikan mereka telah mempunyai berat badan yang rendah.
Selain itu, doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk mengetahui tekanan darah dan kadar degupan jantung. Pemeriksaan kesihatan mental juga akan dilakukan untuk memastikan mengenai amalan pemakanan dan keadaan perasaan. Antara kriteria yang akan ditekankan ialah:
- Pesakit menolak untuk mengambil makanan.
- Pesakit mempunyai rasa takut melampau berat bada meningkat.
- Pesakit mempunyai masalah pada bentuk badan.
Komplikasi
Anorexia ini boleh mendatangkan pelbagai komplikasi yang akan berlaku. Jika keadaan semakin buruk ia boleh membawa ancaman kepada nyawa dan kematian. Kematian ini berlaku bukan kerana disebabkan oleh pesakit mempunyai berat badan yang rendah, tetapi kerana menghadapi masalah jantung seperti arrhythmia dan ketidakseimbangan elektrolit.
Antara komplikasi yang akan berlaku ialah:
- Sel darah merah yang rendah (Anemia)
- Masalah jantung seperti arrhythmia, jantung lemah dan jantung tidak berfungsi.
- Osteoporosis.
- Otot yang lemah.
- Masalah salur pencernaan seperti sembelit, kembung dan loya.
- Masalah buah pinggang.
Rawatan Anorexia Nervosa
Rawatan yang akan diberikan adalah ubat-ubatan, psikoterapi dan kaunseling. Tujuan rawatan diberikan kepada pesakit Anorexia ini adalah untuk:
- Mengembalikan semula berat badan ke paras yang normal.
- Merawat masalah emosi dan kesihatan mental.
- Membantu pesakit mengembalikan semula keyakinan dan perubahan sikap.
Pesakit Anorexia ini sangat susah untuk menerima kenyataan bahawa diri mereka mempunyai Anorexia dan ini menyebabkan sangat susah rawatan untuk diberikan kepada mereka kerana mereka akan menafikan mereka tidak sakit dan mempunyai penyakit Anorexia.
Antara rawatan yang akan diberikan adalah:
- Psikoterapi: Rawatan psikoterapi akan diberikan untuk membantu pesakit mengubah cara fikir dan tindakan yang dilakukan. Khidmat kaunseling sangat penting untuk mengembalikan semula selera makan pesakit dan kepentingan untuk menyeimbangkan diet dalam pemakanan.
- Ubat-ubatan: Tiada rawatan ubat-ubatan yang khusus, tetapi nutrisi tambahan mungkin diperlukan. Namun ubat untuk mengawal rasa gelisah dan rasa was-was, depresi juga membantu dalam merawat Anorexia.
- Tahanan di Hospital: Jika keadaan semakin buruk, mungkin pesakit akan dimasukkan ke hospital untuk rawatan yang selanjutnya.
Secara kesimpulannya, penyakit Anorexia Nervosa ini adalah satu keadaan di mana seseorang itu merasa takut untuk makan kerana bimbang berat badan mereka akan meningkat. Akhirnya, apabila diperiksa berat badan mereka berada di tahap yang rendah dan dibawah paras normal. Ini dibimbangi akan memberikan kesan yang buruk kepada badan seseorang dengan komplikasi pesakit yang lain.
Jika anda dan orang sekeliling mempunyai simptom-simptom penyakit Anorexia ini, segera mendapatkan rawatan untuk pemeriksaan selanjutnya.
Rujukan
- Mayo Clinic – Anorexia Nervosa
- National Eating Disorder Organization – Anorexia
- Medical News Today – Anorexia
- Web Md – Anorexia Nervosa
- Healthline – Anorexia Nervosa
- My Health – Eating Disorder