Skip to content

Darah haid banyak: Punca, Simptom dan Rawatan

Darah haid banyak merupakan salah satu masalah yang sering berlaku pada seseorang wanita. Dalam istilah perubatan ia dipanggil sebagai menorrhagia.

Ia telah memberikan kesan pada lebih 10 juta wanita diseluruh dunia pada setiap tahun.

Maksud menorrhagia

Purata darah haid yang biasa adalah pada 30-40 mililiter atau sebanyak 2 atau 3 sudu. Menorrhagia atau darah haid yang banyak ini pula bermaksud kehilangan darah lebih dari 80 mililiter dalam satu kitaran atau 2 kali ganda dari jumlah yang biasa.



Definisi alternatif bagi masalah ini adalah apabila seseorang wanita itu merasakan pendarahan haidnya lebih banyak dari biasa dan mengganggu hidupnya.

Pendarahan seperti ini selalunya melebihi 7 hari dan memerlukan seseorang wanita itu menukar padnya setiap 2 jam.

Darah haid banyak juga mungkin menghasilkan darah beku yang besar dan pesakit mungkin mengalami simptom kekurangan darah merah.

Punca darah haid banyak

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah darah haid banyak ini. Punca-punca tersebut adalah:

1. Ketidakseimbangan hormon



Jika terdapat ketidakseimbangan pada hormon progesteron dan juga estrogen dalam badan, ia boleh menyebabkan dinding dalam rahim menjadi terlalu tebal.

Ketika haid datang, dinding ini akan runtuh dan menghasilkan darah haid yang lebih banyak daripada biasa

2. Masalah ovari

Ovarian dysfuntion ataupun ovari yang tidak berfungsi secara normal boleh menyebabkan telur(Ovum) tidak dapat dihasilkan daripada ovari.

Ini menyebabkan ketidakseimbangan hormon berlaku.

3. Fibroid

Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser pada bahagian rahim. Jika ia berlaku di dalam dinding rahim, maka akan lebih banyak penghasilan darah yang berlaku ketika waktu haid

4. Polip pada rahim



Ini juga merupakan ketumbuhan bukan rahim tetapi strukturnya berbentuk unjuran yang keluar dari dinding rahim.

Ia juga akan menghasilkan pendarahan yang lebih banyak ketika haid berlaku

5. Adenomyosis

Sel yang menghasilkan darah haid iaitu endometrium berada pada lokasi yang salah iaitu berada dalam otot dinding rahim.

Ini menyebabkan rahim lebih besar daripada biasa

6. Intrauterine device

Ini adalah salah satu alat perancang keluarga yang dimasukkan ke dalam rahim. Ia boleh menyebabkan masalah menorrhagia ini berlaku

7. Penyakit keradangan pelvis



Pelvic inflammatory Disease(PID) atau penyakit keradangan pelvis adalah penyakit yang melibatkan organ reproduktif dibahagian pelvis.

Ia selalunya disebabkan jangkitan kuman dan perkara ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon berlaku

8. Kanser

Kanser rahim, kanser pangkal rahim atau kanser ovari boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah ini

9. Demam denggi

Demam denggi boleh menyebabkan platlet untuk pembekuan darah berkurangan dalam badan. Ini menyebabkan seseorang yang sedang mengalami haid itu mempunyai darah haid banyak daripada biasa.

Jika pendarahan tersebut lebih banyak, pesakit perlulah berjumpa dengan doktor kerana ia boleh menjadi salah satu simptom berbahaya denggi.

10. Ubat cair darah



Ubat cair darah boleh menyebabkan pendarahan itu lambat berhenti. Ini menyebabkan jumlah darah haid itu semakin banyak.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom

Terdapat beberapa simptom-simptom darah haid yang banyak. Simptom tersebut adalah:

  • Pendarahan haid yang banyak. Seseorang itu perlu menukar pad setiap jam
  • Memerlukan penggunaan pada 2 kali ganda dari sebelum ini
  • Perlu menukar pad pada waktu malam
  • Tidak boleh membuat aktiviti seperti biasa disebabkan pendarahan tersebut
  • Simptom kekurangan darah merah seperti sesak nafas, dada berdebar, badan lemah dan sebagainya.

Jika pendarahan tersebut mengganggu hidup dan aktiviti seharian anda, anda perlu berjumpa dengan doktor.

Ujian Pemeriksaan

Terdapat beberapa ujian yang boleh dijalankan untuk mengesan punca kepada masalah ini:

1. Ultrasound scan

Scan ini dapat melihat bahagian rahim dan mengesan masalah fibroid, adenomyosis dan juga masalah pada ovari

2. Ujian darah



Ujian darah boleh mengesan masalah tiroid, masalah pembekuan darah dan juga masalah hormon

3. Biopsi dinding rahim

Biopsi pada dinding rahim boleh menentukan sama ada terdapat kanser pada rahim ataupun tidak

4. Hysteroscopy

Adalah prosedur memasukan kamera di dalam rahim untuk melihat keadaan dinding rahim.

Rawatan darah haid banyak

Rawatan untuk masalah ini adalah bergantung kepada punca-puncanya.

1. Ubat

Beberapa rawatan yang menggunakan ubat boleh digunakan. Ia adalah:



  • Tranxenamic acid: Ia digunakan untuk membantu dalam pembekuan darah
  • Pil perancang: Pil perangcang digunakan untuk menstabilkan hormon
  • Ubat tambah darah: Jika pendarahan itu menyebabkan kekurangan darah merah, ia boleh ditambah dengan mengambil ubat ini

2. Pembedahan

  • Hysteroscopy: kamera dimasukkan ke dalam rahim untuk melihat fibroid dan polip. Kemudian ketumbuhan itu dibuang
  • Myomectomy: Pembedahan untuk membuang fibroid
  • Hysterectomy: Pembedahan untuk membuang rahim.

Jenis rawatan adalah bergantung kepada punca, keadaan pesakit dan juga umur.

Artikel berkaitan: Darah haid dari sudut Islam.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Apgar, B., Kaufman, A.H., George-Nwogu, U., & Kittendorf, A. (2007, June 15). Treatment of menorrhagia.
  2. Heavy menstrual bleeding. (2016, November 9) – CDC
  3. Menorrhagia. (n.d.) – Hopkinsmedicine
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × three =