Skip to content

Haid Tidak Teratur: Punca, Simptom dan Rawatan

Pernahkah anda mengalami haid yang tidak menentu? Ataupun tempoh haid anda yang terlalu singkat atau terlalu lama? Atau mungkin anda pernah mengalami pendarahan setelah tamat tempoh haid? Jika jawapan anda adalah ‘ya’, anda mungkin mempunyai kitaran haid yang tidak teratur.

Artikel ini akan membawa anda untuk menerokai masalah-masalah berkaitan dengan haid yang sering kali dialami oleh setiap wanita tidak mengira peringkat usia dan cara-cara untuk mengatasinya.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca
  3. Ujian Pengesanan Punca
  4. Rawatan
  5. Bilakah perlu mendapatkan rawatan Doktor?

Pengenalan


Bagi kebanyakan wanita, tempoh normal haid adalah sekitar 21-35 hari. Namun, pendarahan haid yang tidak normal merupakan masalah yang paling kerap dialami oleh para wanita tanpa mengenal faktor usia. Kajian yang dilakukan juga menunjukkan sebanyak 14-25% wanita seluruh dunia mengalami haid yang tidak teratur. Dari segi Islam pula, pendarahan yang tidak menentu ini seringkali memberi gangguan kepada wanita untuk menunaikan ibadah seperti sembahyang dan berpuasa.



Sebelum mendalami dengan lebih terperinci, mari kita lihat jenis-jenis pendarahan haid yang tidak normal serta istilah yang diguna pakai dalam perubatan moden:

  • Oligomenorea: Pendarahan haid yang jarang berlaku atau lebih daripada 35hari
  • Polimenorea : Pendarahan haid yang kerap berlaku iaitu kurang daripada 21hari
  • Menoragia: Pendarahan haid yang normal tetapi kuantiti pendarahan yang banyak iaitu melebihi 7 hari
  • Amenorea: Tidak datang haid sekurang-kurangnya 3-6 bulan
  • Intermenstrual Bleeding: Pendarahan yang berlaku antara satu haid dengan haid yang seterusnya
  • Pendarahan Poskoital: Pendarahan faraj selepas hubungan seksual
  • Pendarahan menopaus: Pendarahan yang berlaku selepas disahkan mengalami menopaus

Punca Haid Tidak Teratur


Terdapat beberapa punca yang menyebabkan pendarahan haid menjadi tidak teratur. Untuk memudahkan pemahaman pembaca, penulis akan membahagikan punca pendarahan haid tidak normal kepada 3 golongan wanita iaitu:

  • Gadis remaja (belasan tahun)
  • Wanita berusia 20-40 tahun
  • Wanita berusia melebihi 40 tahun

Masalah haid tidak teratur dalam kalangan gadis remaja (belasan tahun)

Dua masalah utama pada peringkat umur ini ialah :

  1. Pendarahan haid yang jarang berlaku atau lebih daripada 35 hari (oligomenorea)
  2. Pendarahan haid yang kerap berlaku iaitu kurang daripada 21 hari (polimenorea)

Sebab utama pendarahan haid tidak teratur dikalangan gadis pada peringkat umur ini adalah disebabkan oleh ovari yang belum matang yang menyebabkan pengeluaran hormon secara tidak teratur. Disebabkan ini, maka berlakunya ketidakseimbangan hormon yang membawa kesan kepada pendarahan haid yang tidak menentu.



Pesakit selalunya tidak memerlukan apa-apa rawatan dan akan baik dengan sendirinya.

Masalah haid tidak teratur dalam kalangan wanita berumur 20-40 tahun

Pada peringkat ini, pendarahan haid yang tidak teratur lebih dikenali sebagai Pendarahan rahim disfungsi (Dysfunctional Uterine Bleeding). Antara sebab-sebab berlakunya DUB ialah:

  1. Penyakit organ reproduktif yang boleh dibahagi mengikut anatomi organ reproduktif iaitu rahim, ovari, salur falopian dan faraj. Contohnya ialah polip, fibroid, adenomiosis, endometriosis, kanser rahim, PCOS atau pangkal rahim (serviks), dan kanser ovari.
  2. Tekanan emosi (stress)
  3. Pengambilan ubat-ubatan dari jualan langsung (direct selling), herba mahupun ginseng.
  4. Penyakit sistemik seperti penyakit tiroid, kegagalan fungsi hati, kerosakan buah pinggang dan penyakit-penyakit berkaitan gangguan pembekuan darah seperti Leukemia, dan coagulopathy.
  5. Jangkitan kuman di bahagian rahim ataupun faraj.

Masalah haid tidak teratur dalam kalangan wanita berumur melebihi 40tahun

  1. Kurang hormon estrogen ke atas faraj dan dinding rahim sehingga menyebabkan pendarahan berlaku secara spontan.
  2. Pengambilan ubat hormon, ubat gantian hormon, ubatan herba yang mungkin mengandungi hormon atau ubat pencair darah
  3. Polip
  4. Kanser
  5. Jangkitan kuman

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ujian Pengesanan Punca


Ujian-ujian yang dilakukan adalah bergantung kepada penyakit yang disyaki oleh doktor. Secara umum, ujian-ujian yang dilakukan ke atas wanita yang mengalami masalah pendarahan haid tidak teratur ialah:

1. Ujian Ultrasound

Prosedur ini dilakukan untuk melihat keadaan organ reproduktif pesakit tersebut. Ia penting untuk melihat sama ada pesakit mengalami penyakit fibroid, PCOS dan sebagainya.

2. Ujian darah Full Blood Count



Ujian diperlukan jika pesakit asyik kerap mengalami haid yang berpanjangan dan pendarahan yang banyak. Ia akan melihat bilangan sel darah terutamanya hemoglobin. Jika pendarahan terlalu banyak, pesakit akan mengalami anemia iaitu kurang sel darah merah

3. Ujian Hormon

Jarang untuk ujian hormon dilakukan jika pesakit hanya mengalami masalah haid tidak teratur. Selalunya ujian ini hanya dilakukan jika pesakit mengalami masalah haid tidak teratur berserta masalah kesuburan. Ini penting bagi mengetahui pesakit mempunyai masalah hormon sehingga mengganggu pesakit untuk hamil.

Disamping itu, jika pesakit mengalami simptom-simptom lain seperti simptom hipertiroid atau hipotiroid, maka pesakit akan boleh menjalani ujian hormon tiroid.

Rawatan Haid Tidak Teratur


Rawatan-rawatan yang diberikan adalah bergantung kepada punca penyakit tersebut.

1. Pemantauan

Pesakit remaja yang mengalami masalah ini selalunya dipantau beberapa bulan terlebih dahulu. Pesakit akan diminta untuk mencatit bila waktu datang haid di dalam kelendar dan membawanya berjumpa doktor pada temujanji yang seterusnya.

Jika doktor nampak ia semakin normal, selalunya pesakit tidak memerlukan apa-apa rawatan.



2. Ubat Hormon

Bagi kes-kes ketidakseimbangan hormon, doktor akan memberikan hormon dalam bentuk pil atau suntikan untuk beberapa tempoh yang tertentu. Hormon ini akan menyeimbangkan hormon di dalam badan dan menyebabkan kedatangan haid menjadi normal semual.

3. Pembedahan

Bagi pendarahan akibat ketumbuhan seperti polip, fibroid, cyst, kanser rahim mahupun Kanser ovari, lazimnya pembedahan akan dilakukan. Untuk kes kanser, anda akan perlu menjalani rawatan kimoterapi selepas pembedahan dilakukan. Tempoh rawatan ini juga bergantung kepada tahap (stage) kanser tersebut.

Secara kesimpulan, setiap wanita yang mempunyai gejala haid tidak teratur disarankan untuk berjumpa doktor dengan kadar segera bagi memastikan punca penyebab berlakunya masalah tersebut. Para wanita juga dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang memuaskan.

Bilakah Perlu Mendapatkan Rawatan Doktor?


Kebanyakan punca pendarahan haid yang tidak teratur yang dialami oleh wanita bawah 40 tahun adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon. Lazimnya pada peringkat ini, rawatan adalah secara menggunakan hormon untuk mengimbangi ketidakstabilan hormon yang berlaku.

Tetapi jika anda berada dalam lingkungan usia 40 tahun ke atas, pendekatan yang akan diambil adalah sedikit berbeza daripada usia sebelumnya kerana pada usia ini, kadar kekerapan wanita untuk mendapat penyakit organ reproduktif serta penyakit sistemik adalah lebih tinggi. Penyakit prakanser dan kanser organ reproduktif juga sering terjadi kepada mereka. Rawatan selalunya diberikan mengikut diagnosa penyakit.

Periksa Simptom anda Di Sini



Rujukan:

  1. Noor, Mohd Rushdan Md. Masalah Haid Dan Pendarahan Wanita. Golden Books Centre, 2008.
  2. Whitaker, L., & Critchley, H. O. D. (2016). Abnormal uterine bleeding. Best Practice & Research Clinical Obstetrics & Gynaecology, 34, 54–65. Retrieved June 22, 2020, from
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − 15 =