Apakah khasiat belut kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat belut, kandungan nutrisi dan juga kompaun sihat di dalam makanan ini.
Pengenalan
Sebut sahaja belut pasti semua orang akan dapat mengenali hidupan ini. Belut atau nama saintifiknya, Monopterus albus adalah merupakan daripada kelas ikan yang mempunyai bentuk badan anguilliform, tidak mempunyai sisik, tidak mempunyai otot dada dan juga sirip.
Badan belut yang bersinar dan sentiasa lembap adalah disebabkan oleh mukosa (lendir) yang dihasilkan olehnya. Ini akan menyebabkan belut mampu bertahan lebih lama di atas daratan. Secara umumnya, terdapat pelbagai jenis spesis belut yang hidup di habitat yang berbeza seperti di kawasan perairan air masin (laut) dan juga air tawar.
Kebiasaannya di Malaysia, belut yang hidup di kawasan lembap dan sejuk seperti sawah padi menjadi sumber makanan kepada sesetengah masyarakat [1].
Kandungan Nutrisi
NUTRIENS | 100g Belut | |
Karbohidrat | g | 0 |
Protein | g | 18.44g |
Lemak | g | 11.66g |
Kalsium | mg | 20mg |
Zat besi | mg | 0.5mg |
Kalium | mg | 272mg |
Fosforus | mg | 216mg |
Natrium | mg | 51mg |
Magnesium | mg | 20mg |
Vitamin B1 | mg | 0.15mg |
Vitamin B2 | mg | 0.04mg |
Vitamin B3 | mg | 3.5mg |
Sumber : USDA Food Database
Jika dilihat, belut adalah merupakan salah satu sumber protein yang boleh diambil oleh individu di dalam diet harian. Walaubagaimanapun, disebabkan ciri-ciri fizikal yang dimiliki olehnya, belut adalah bukan pilihan yang utama sebagai sumber protein yang biasanya dihidangkan.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Komponen Berkhasiat di dalam Belut
Kaya Sumber Omega-3
Berdasarkan kepada USDA Food Database, belut mempunyai pecahan sumber lemak omega-3 EPA 0.084g serta DHA sebanyak 0.063g. Omega-3 adalah sumber lemak yang terdiri daripada kumpulan lemak poli-tak tepu (PUFA) yang diperlukan oleh tubuh badan.
Lazimnya, sumber EPA dan DHA datang daripada ikan-ikan laut dalam seperti salmon, kod, tuna dan ikan kembung. Walaubagaimanapun, kajian mendapati bahawa kandungan omega-3 EPA dan DHA di dalam belut adalah lebih tinggi di dalam belut daripada habitat laut berbanding dengan habitat air tawar [2].
Sumber omega-3 adalah penting dalam menurunkan risiko sindrom metabolik. Di samping itu juga, omega-3 juga penting bagi ibu-ibu mengandung untuk menggalakkan pertumbuhan janin (fetus) yang lebih optimum terutama sekali aspek intelektual [3].
10 Khasiat Belut Berdasarkan Kajian
1. Membekalkan Sumber Protein
Belut adalah spesis yang datang daripada keluarga ikan. Oleh yang demikian, ianya merupakan salah satu sumber protein yang baik untuk diambil oleh individu. Seperti yang kita tahu, protein adalah merupakan salah satu komponen makronutrien yang yang diperlukan oleh tubuh badan manusia.
Secara umumnya, ia merupakan komponen utama yang diperlukan bagi proses membina dan membaik pulih sel dan tisu yang rosak. Tambahan juga, ianya diperlukan bagi proses pembentukkan antibodi yang penting untuk sistem imunisasi tubuh.
2. Kaya dengan Sumber Vitamin A
Retinol adalah merupakan salah satu terbitan (derivatives) vitamin A yang datang daripada sumber haiwan. Vitamin A adalah merupakan salah satu sumber mikronutrien yang penting dalam mengekalkan tahap kesihatan mata, menyokong sistem imunisasi, mengawal proses pertumbuhan sel terutama sekali pada peringkat janin (fetus) dan juga membantu mengekalkan tahap kesihatan koginitif yang optimum bagi kalangan warga emas [4].
Artikel Berkaitan: Punca Kekurangan Vitamin A dan Rawatan
3. Mengekalkan Tahap kesihatan Tulang
Individu yang semakin meningkat usia akan mempunyai risiko untuk menghadapi masalah tulang rapuh (osteoporosis). Antara salah satu komponen gaya hidup yang sihat bagi mengurangkan risiko tulang rapuh adalah melalui pengambilan diet yang seimbang.
Vitamin D adalah salah satu kunci nutrisi dalam membantu mengoptimumkan tahap kesihatan tulang dengan menggalakkan kadar penyerapan kalsium yang berlaku di usus. Selain daripada itu, ianya juga dapat merangsang kelenjar paratiroid untuk mengekalkan homeostasis kalsium di dalam tubuh manusia.
Artikel Berkaitan: Punca Osteoporosis dan Rawatan
4. Mengawal Sistem Peredaran Darah
Kalium adalah antara sumber mineral yang penting dalam mengawal kadar pengecutan otot dan degupan jantung. Tambahan juga, ia turut memainkan peranan penting di dalam keseimbangan cecair dan elektrolit di dalam atau luar sel [5].
5. Meningkatkan Haemoglobin
Haemoglobin sangat penting yang diperlukan oleh tubuh manusia untuk memindahkan oksigen daripada sel darah merah. Lazimnya, haemoglobin ini datangnya daripada zat besi jenis heme iron yang datangnya daripada sumber haiwan.
6. Fungsi Rejuvenasi (Peremajaan Kulit)
Vitamin A (retinol) yang diperolehi daripada sumber makanan adalah sangat penting dalam membantu pertumbuhan dan mengekalkan tahap kesihatan tisu kulit [6].
7. Kaya dengan Sumber Magnesium
Magnesium adalah merupakan salah satu unsur yang penting di dalam sistem fisiologi manusia kerana ia terlibat sebagai co-factor bagi hampir 300 jenis aktiviti enzim. Berdasarkan kepada fungsi ini, magnesium diperlukan bagi proses metabolisma tenaga, sintesis protein, sintesis RNA dan DNA serta mengekalkan fungsi sistem saraf.
8. Menyokong Perkembangan Fungsi Kognitif
Zink adalah merupakan trace element yang penting terhadap fungsi kognitif. Lazimnya, kandungan zink di dalam tubuh manusia adalah paling tinggi disimpan di dalam otak. Bagi perkembangan fungsi kognitif, zink memainkan peranan dalam proses neurogenesis, neuronal migration dan juga synaptogenesis [7].
Zink adalah unsur yang sangat diperlukan seawal proses pertumbuhan iaitu semasa mengandung (fetus) dan juga dua tahun pertama setelah dilahirkan.
Kajian mendapati bahawa, kekurangan zink di dalam kanak-kanak akan menyebabkan kemajuan koginitf menurun, mengurangkan daya ingatan dan juga keupayaan untuk belajar. Walaubagaimanapun, dapatan kajian terhadap manusia adalah sangat terhad [8].
9. Mengandungi Sumber Kalsium
Kebiasaannya, sumber utama bagi kalsium adalah daripada susu dan juga produk tenusu. Berdasarkan kepada Recommended Nutrition Intake for Malaysia 2017, sumber kalsium juga boleh didapati daripada ikan-ikan yang boleh dimakan tulangnya seperti ikan sardin dan juga ikan bilis.
Tidak terkecuali juga bagi belut di mana untuk setiap 100g mengandungi sebanyak 20mg kalsium. Meskipun jumlahnya agak sedikit berbanding dengan produk tenusu dan juga sumber ikan yang lain, namun ianya tetap boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan di dalam hidangan harian sebagai penambah kepada sumber kalsium yang lain.
Umum mengetahui bahawa, kalsium sangat penting terhadap pertumbuhan tulang terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang meningkat remaja. Tambahan juga, ianya memainkan peranan penting dalam menyokong kekuatan tulang kepada individu dewasa.
10. Membantu dalam Proses Sintesis DNA
Vitamin B12 (cobalamine) amat penting di dalam proses sintesis DNA. Disamping itu, ianya juga amat diperlukan untuk melindungi dan mengekalkan kestabilan genome manusia.
Kesimpulan
Konklusinya, belut adalah salah satu sumber makanan yang mengandungi sumber protein dan lemak yang diperlukan oleh individu termasuk dengan sumber nutriens yang lain. Walaubagaimanapun, kajian yang lebih mendalam terhadap kebaikan pengambilan belut perlu dijalankan dengan lebih banyak dan terperinci. Oleh yang demikian, individu yang prihatin terhadap pengambilan diet harian termasuk dengan pesakit-pesakit kronik adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan.
Diharapkan artikel khasiat belut ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada para pembaca berkenaan khasiat belut kepada kesihatan badan.
Khasiat Makanan yang Lain
Rujukan
- “What is an Asian Swamp Eel and What Does It Looks Like?” 2021, [Online]. Retrieved from United States Geological Survey
- “RESEARCH ARTICLE COMPARING STUDY THE CONTENT OF OMEGA-3 AND OMEGA-6 6 FATTY ACIDS MEAT OF EELS ( ANGUILLA MARMORATA ( Q .) GAIMARD ) GLASS EEL , YELLOW EEL , AND SILVER EEL PHASE FROM PALU RIVER AND POSO LAKE Rahmawati Nur , Yonelian Yuyun and Agustinus W,” vol. 3, pp. 6–10, 2018.
- B. M. Yashodhara, S. Umakanth, J. M. Pappachan, S. K. Bhat, R. Kamath, and B. H. Choo, “Omega-3 fatty acids: a comprehensive review of their role in health and disease,” Postgrad. Med. J., vol. 85, no. 1000, pp. 84 LP – 90, Feb. 2009
- Z. Arsad, N. Baine, and M. Johor, Recommended Nutrient Intakes for Malaysia. 2010.
- P. R. Kowey, “The Role of Potassium,” in Women’s Health and Menopause: New Strategies — Improved Quality of Life, R. A. Lobo, P. G. Crosignani, R. Paoletti, and F. Bruschi, Eds. Boston, MA: Springer US, 2002, pp. 151–157.
- S. K. Schagen, V. A. Zampeli, E. Makrantonaki, and C. C. Zouboulis, “Discovering the link between nutrition and skin aging,” Dermatoendocrinol., vol. 4, no. 3, pp. 298–307, Jul. 2012
- S. Bhatnagar and S. Taneja, “Zinc and cognitive development.,” Br. J. Nutr., vol. 85 Suppl 2, pp. S139-45, May 2001,
- E. Khodashenas, A. Mohammadzadeh, M. Sohrabi, and A. Izanloo, “The Effect of Zinc Supplementation on Saliva and,” Int. J. Pediatr., vol. 3, no. 23, pp. 1033–1038, 2015.