Plak adalah filem bakteria yang melekit, tidak berwarna atau berwarna kekuningan yang sering muncul pada gigi. Plak gigi adalah penyebab utama karies gigi dan penyakit gusi, dan boleh menjadi keras iaitu karang gigi jika tidak dibersihkan setiap hari. Plak selalu disalah anggap sebagai sisa makanan.
Jika plak dibiarkan dalam jangka masa yang lama, karang gigi boleh membentuk. Karang gigi atau kalkulus adalah plak yang mengeras. Ia berwarna putih atau kekuningan. Apabila karang telah dibentuk, ia akan menyukarkan anda untuk memberus gigi dan flos secara efektif. Karang sukar dibuang dengan hanya memberus gigi. Permukaan kasar karang menyebabkan lebih banyak plak untuk membentuk dan berkumpul di kawasan itu.
Bagaimana plak terjadi?
Setiap individu menghasilkan plak kerana bakteria sentiasa membentuk di dalam mulut kita. Bakteria ini menggunakan bahan yang dijumpai di dalam diet dan air liur anda untuk berkembang. Apabila anda makan makanan berunsurkan karbohidrat dan makanan atau minuman bergula ( seperti susu, minuman ringan, kek dan gula-gula), bakteria akan menghadam gula, menghasilkan asid di dalam proses ini. Dalam beberapa jangka masa, asid ini boleh melemahkan enamel dan menyebabkan pelbagai kesan seperti karies, penyakit gusi dan lain-lain.
Kesan jika plak tidak dibersihkan
Terdapat beberapa kesan dan komplikasi jika plak tidak dibersihkan daripada gigi. Ia adalah:
1. Karies gigi
Ia adalah kerosakan kepada struktur gigi yang disebabkan asid. Apabila bakteria melalui proses metabolisme dengan gula daripada makanan, asid akan dihasilkan. Dengan serangan asid yang berulang, enamel gigi boleh menjadi lemah dan kaviti boleh membentuk. Karies gigi adalah jangkitan bakteria yang boleh menjejaskan gigi dan juga kesihatan anda.
2. Penyakit periodontal/ gusi
Pengumpulan plak menyebabkan inflamasi gusi dan jangkitan. Pada peringkat awal penyakit gusi iaitu gingivitis, terdapat simptom seperti gusi berdarah, bengkak dan kemerahan di mana ia tidak mengakibatkan rasa sakit. Namun begitu, apabila tidak dirawat, gingivitis boleh bertukar menjadi keadaan yang lebih serius seperti penyakit periodontitis. Periodontitis menjejaskan bukan sahaja gusi tetapi ligamen dan tulang yang mengelilingi dan menyokong gigi seterusnya mengakibatkan kehilangan gigi.
3. Nafas berbau
Apabila plak wujud di gigi, lidah dan permukaan lain di dalam mulut, ia boleh menghasilkan bahan toksik yang mengeluarkan bau yang busuk, terutama sekali apabila terdapatnya sisa makanan yang tersekat di antara gigi atau di dalam kaviti.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Pemeriksaan plak gigi
Dalam kebanyakan waktu, plak tidak berwarna atau berwarna kekuningan pucat. Doktor gigi akan melakukan pemeriksaan secara am untuk gigi anda. Bagi mengenal pasti plak, doktor gigi akan menggunakan plaque disclosing agent iaitu cecair atau tablet yang berwarna ungu yang diletakkan di gigi anda. Doktor gigi akan membuat catatan terhadap permukaan gigi yang mempunyai warna ungu dan menjadi indikasi terdapatnya plak ini. Kemudian doktor akan membersihkan semula gigi anda termasuklah plak dan kesan tersebut seterusnya menasihati anda mengenai langkah penjagaan kebersihan gigi.
Rawatan mencegah plak gigi
Plak ini terbentuk pada setiap masa. Secara amnya, plak senang dibuang dengan penjagaan kebersihan oral di rumah. Antaranya adalah seperti:
- Memberus gigi 2 kali sehari.
- Menggunakan berus gigi yang lembut dan teknik yang betul.
- Flos gigi sekali sehari.
- Menggunakan teknik lain yang disyorkan oleh doktor gigi anda seperti interdental brush dan ubat kumur mulut.
- Berjumpa dengan doktor gigi setiap 6 bulan untuk pemeriksaan dan pembersihan gigi.
- Mengamalkan diet seimbang dan mengurangkan snek di antara waktu makan.
- Mengurangkan makanan atau minuman bergula.
Apabila plak dibiarkan dalam jangka masa yang lama dan tidak dibersihkan, ia akan berubah bentuk menjadi karang gigi. Karang gigi adalah struktur plak yang mengeras dan berwarna putih atau kekuningan. Apabila terjadinya karang gigi, cara untuk membersihkannya adalah dengan membuat rawatan scaling dan root planing. Oleh sebab itu, adalah dinasihatkan untuk anda menjaga kebersihan gigi dan selalu berjumpa dengan doktor gigi untuk membuat janji temu untuk mengelakkan dari masalah ini menjadi lebih teruk.
Masalah Gigi dan Gusi yang lain:
Rujukan
- What is Plaque?. Colgate.
- Dental Plaque. Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Plaque and Your Teeth. WebMD.
- What Is Dental Plaque?. Healthline.
- Plaque. Mouth Healthy by American Dental Association.