Skip to content

Sakit Perut Berpanjangan: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca masalah sakit perut berpanjangan? Artikel ini akan membincangkan punca dan rawatan kepada masalah sakit perut berpanjangan ini.

Isi Kandungan
  1. Isu Pengistilahan
  2. Pengenalan
  3. Punca
  4. Faktor Risiko
  5. Simptom
  6. Pemeriksaan dan Ujian
  7. Cara Rawatan
  8. Bilakah perlu berjumpa dengan doktor?

Isu Pengistilahan

Sebelum topik ini diteroka dengan lebih lanjut, penting untuk kekeliruan istilah “sakit perut” diluruskan terlebih dahulu. Perut boleh diterjemahkan sama ada sebagai abdomen atau stomach dalam bidang biologi manakala dalam kalangan masyarakat awam, perut merujuk kepada stomach dan abdomen kedua-duanya. Stomach ialah satu bahagian kecil daripada abdomen yang lebih luas tetapi kedua-duanya difahami oleh masyarakat awam sebagai perut.

Perut (stomach) sebagai istilah spesifik dalam biologi memiliki skop makna yang lebih kecil iaitu kantung berasid yang menghubungkan saluran efosagus dengan usus. Perut (abdomen) sebagai istilah umum yang difahami oleh masyarakat umum pula mempunyai makna yang lebih luas, iaitu apa-apa sahaja bahagian yang terletak di bawah dada, keliling pusat dan di atas paras kemaluan di hadapan badan beserta kandungannya. Doktor perubatan menggunakan istilah abdomen untuk merujuk kepada makna perut yang lebih luas itu.



Namun begitu, bagi mengelakkan kekeliruan, artikel ini kekal menggunakan istilah perut dalam erti kata makna umumnya seperti yang difahami oleh masyarakat awam iaitu bahagian hadapan  badan yang bermula dari bawah dada ke ke bawah pusat di atas bahagian kemaluan. Perut (stomach) sebagai istilah biologi yang spesifik akan dirujuk sebagai “kantung perut” dalam artikel ini untuk membezakannya dengan perut (abdomen) yang lebih luas.

Pengenalan

Sakit perut berpanjangan merujuk kepada sakit di mana-mana bahagian perut, sama ada secara berterusan mahupun sekejap-sekejap yang berlarutan lebih daripada 3 bulan. Sakit perut berpanjangan bahkan boleh melarat lebih daripada 6 bulan.

Struktur dan organ dalam perut

Seperti yang sudah dijelaskan dalam bahagian pengistilahan di atas, perut merangkumi satu bahagian yang sangat luas dan disebaliknya terdapat organ dan struktur yang sangat pelbagai. Untuk kefahaman mudah secara umum, struktur dan organ di perut boleh dikelaskan dalam tiga sistem utama seperti berikut:

1. Gastrousus (gastrointestinal): sistem ini merangkumi esofagus yang merupakan saluran pertama yang dilalui makanan sebaik sahaja melepasi rongga tekak dari mulut, kantung perut yang merembes asid, usus kecil, dan usus besar.



2. Hepatobiliari (hepatobiliary): sistem ini merangkumi hati, pundi hempedu, saluran hempedu, dan pankreas.

3. Genitourinari (genitourinary): sistem ini merangkumi buah pinggang, saluran kencing, pundi kencing, uretra dan organ pembiakan. Organ pembiakan lelaki merangkumi prostat dan testis manakala organ pembiakan wanita merangkumi rahim dan ovari.

Sakit pada mana-mana organ dan struktur yang telah disebutkan boleh menatijahkan simptom sakit perut. Malah dalam sesetengah keadaan, organ yang bukan sebahagian daripada perut seperti jantung turut boleh menyebabkan simptom sakit perut apabila bermasalah. Pemeriksaan lanjut yang teliti bakal diperlukan untuk mengenalpasti bahagian manakah dalam kawasan perut yang luas itu yang berpenyakit, terutamanya jika sakit perut itu berpanjangan kerana punca-puncanya sangat banyak dan pelbagai.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca

Sistem Gastrousus

I- Gastroesophageal reflux disease (GERD)

GERD berlaku apabila asid dari kantung perut terembes ke saluran esofagus yang menghubungkannya dengan rongga tekak dan mulut. Sel di kantung perut telah dibina untuk menahan impak asid yang kuat namun sel tekak dan esofagus akan cenderung untuk cedera apabila terkena asid kuat. Masalah ini kerap berlaku dalam kalangan orang berat badan berlebihan dan menyebabkan simptom seperti pedih ulu hati, sakit dada, loya, muntah, dan rasa masam di tekak. Pesakit juga boleh mendapat batuk berpanjangan bersama-sama dengan simptom-simptom tersebut.

II- Functional dyspepsia (FD)

FD ialah masalah ketidakhadaman yang telah bermula sejak 6 bulan sebelum pesakit diberi diagnosis ini secara rasmi dan sudah diganggu oleh sakit itu selama 3 bulan. Simptom FD ialah perut terasa kembung selepas makan, cepat rasa kenyang, sakit perut pada bahagian atas dan sakit itu terasa seperti terbakar. Simptom FD sangat mirip dengan GERD



III- Peptic ulcer disease (PUD)

PUD berlaku apabila tisu kantung perut dan bahagian awal usus kecil yang dikenali sebagai duodenum terluka dan terhakis kerana ketahanannya terhadap asid kantung perut melemah. Biasanya penyakit ini berlaku akibat jangkitan kuman H Pylori atau penggunaan ubat tahan sakit NSAID dan aspirin yang terlalu lama. Simptom yang dialami pesakit termasuk sakit perut yang boleh jadi lebih teruk sama ada ketika perut kosong sebelum makan atau selepas makan, pedih ulu hati, perut terasa kembung, loya dan muntah. Pesakit berpotensi mendapat simptom yang lebih serius dan mengancam nyawa seperti muntah darah, najis berwarna hitam dan darah berkurang dalam badan (anemia)

IV – Chronic gastritis

Chronic gastritis ialah masalah radang kantung perut yang juga berlaku disebabkan ketahanan terhadap asid kantung perut melemah. Risikony a sama seperti PUD, iaitu jangkitan H Pylori yang tidak dirawat dan penggunaan NSAID atau aspirin yang terlalu lama. Simptomnya juga lebih kurang seperti PUD, iaitu sakit perut, perut terasa kembung, loya dan muntah.

V- Irritable bowel syndrome (IBS)

IBS ialah masalah pencernaan yang menyebabkan sakit perut berpanjangan selama 3-6 bulan dan berlaku seiring dengan perubahan bentuk dan tekstur najis. Sakit biasanya berkurang selepas membuang air besar dan simptom-simptom lain termasuk perut terasa kembung, sembelit dan juga cirit-birit.

VI- Inflammatory bowel disease (IBD)

IBD merujuk kepada dua jenis radang usus yang berpanjangan iaitu penyakit Crohn dan ulcerative gastritis yang berlaku akibat sistem imun badan yang bermasalah. Pesakit biasanya, tetapi semestinya, dalam lingkungan umur 15-25 tahun ketika kali pertama mengalami simptom penyakit ini. Antara simptom yang dialami ialah sakit perut, berak berdarah, rasa penat dan hilang berat badan.



VII- Celiac disease (CD)

CD berlaku apabila sistem imun badan bertindak menyerang usus kecil sendiri dan merencatkan penyerapan nutrisi apabila pesakit yang ada risiko genetik mengambil produk gluten. CD boleh berlaku sejak usia kanak-kanak lagi dan menyebabkan tumbesaran terbantut. Simptom penyakit ini termasuk sakit perut, perut terasa kembung, susut berat badan dan kurang darah dalam badan (anemia).

VIII- Diverticular disease

Diverticular disease berlaku apabila dinding usus melemah dan membentuk kantung-kantung di dinding-dinding usus tersebut. Biasanya penyakit ini berlaku dalam kalangan orang yang berusia dan kurang mengambil serat. Simptom boleh jadi tidak ada langsung, namun jika keradangan (diverticulitis) berlaku pesakit boleh mendapat sakit perut, cirit-birit, sembelit dan berak berdarah.

IX- Kanser

Golongan berusia berisiko mendapat kanser kantung perut dan kanser usus. Kedua-duanya boleh menyebabkan sakit perut, susut berat badan secara mendadak dan hilang selera makan. Kanser kantung secara spesifik boleh menyebabkan rasa cepat kenyang, muntah darah dan najis berwarna hitam manakala kanser usus pula menyebabkan berak berdarah, cirit-birit dan sembelit.

Sistem Hepatobiliari

I- Chronic pancreatitis



Jika pesakit sebelum ini pernah ada masalah pankreas atau suka minum minuman keras, pesakit berpotensi mendapat masalah keradangan pankreas yang kronik. Antara simptom chronic pancreatitis ialah sakit di bahagian tengah perut yang merebak ke belakang, cirit birit dan susut berat badan

II- Kanser

Golongan berusia berisiko mendapat kanser hati dan pankreas. Antara simptomnya ialah rasa sakit perut pada bahagian atas, kuning pada badan, susut berat badan secara mendadak dan hilang selera makan.

Sistem Genitourinari

I- Interstitial Cystitis (IC)/Painful bladder syndrome (PBS)

IC atau PBS ialah keradangan pundi kencing yang menyebabkan pesakit berasa sakit berpanjangan pada bahagian pinggul dan kerap kencing. Pesakit juga boleh mengalami rasa sakit ketika melakukan hubungan kelamin.

II- Endometriosis

Endometriosis berlaku apabila tisu pada bahagian dalam rahim tumbuh pada struktur dan organ di luar rahim. Pesakit akan mengalami sakit pada bahagian pinggul terutamanya beberapa hari sebelum datang bulan atau ketika datang bulan. Pesakit juga boleh mengalami rasa sakit apabila hendak buang air kecil, air besar dan ketika melakukan hubungan kelamin.



III- Pelvic inflammatory disease (PID)

Pesakit wanita yang ada sejarah melakukan hubungan seks bebas dengan ramai pasangan berpotensi mendapat jangkitan kuman dan keradangan pada rahim atau struktur sekelilingnya.

IV- Fibroid

Fibroid ialah ketumbuhan bukan kanser pada rahim yang berlaku dalam kalangan wanita pada umur reproduktif. Biasanya pesakit tidak bergejala namun bergantung kepada keadaan, pesakit boleh mengalami simptom seperti pendarahan tidak normal dari faraj, sakit di pinggul, kencing tidak lawas dan sembelit.

V- Ovarian cyst

Cyst ovari ialah kantung cecair tidak normal yang terdapat di dalam ovari, iaitu pusat penghasilan sel repdroduktif wanita (ovum). Gejala mungkin tidak ada namun pesakit boleh mengalami sakit di pinggul, perut kembung, cepat rasa kenyang dan gangguan kitaran haid.

VI- Kanser

Pesakit yang berusia berisiko mendapat kanser seperti kanser buah pinggang dan kanser pundi kencing. Wanita berusia pula berisiko mendapat kanser ovari, kanser rahim dan kanser pangkal rahim. Kesemua kanser ini boleh menyebabkan sakit perut dan seperti mana-mana kanser yang lain, pesakit juga biasanya mengalami susut berat badan dan hilang selera makan. 



Lain-Lain

  • Chronic abdominal wall pain: sakit perut selalu dikaitkan dengan organ-organ di dalam perut namun sakit pada dinding perut juga boleh menyebabkan sakit perut berpanjangan akibat masalah pada saraf.
  • Chronic mesenteric ischemia: apabila salur darah yang membawa oksigen ke usus tersumbat, aliran darah dan oksigen berkurang dan boleh menyebabkan sakit perut terutamanya selepas mengambil makanan. Namun penyakit ini jarang berlaku dan akan dipertimbangkan hanya selepas punca-punca lain telah disiasat.

Risiko

Antara risiko mendapat masalah sakit perut berpanjangan

  • Berat badan berlebihan
  • Kurang mengambil serat
  • Pengambilan ubat NSAID atau aspirin
  • Ada sejarah keluarga masalah yang sama
  • Merokok, mengambil minuman keras

Simptom

Sakit perut berpanjangan juga boleh datang bersama dengan mana-mana simptom berikut bergantung kepada punca

  • Pedih ulu hati, rasa masam di mulut
  • Perut terasa kembung
  • Cepat kenyang
  • Loya, muntah
  • Cirit atau sembelit
  • Ketulan di perut
  • Berak berdarah atau najis berwarna hitam
  • Muntah berdarah
  • Kencing berdarah
  • Kerap kencing atau sakit ketika kencing
  • Sakit beberapa hari sebelum dan ketika datang bulan
  • Pendarahan tidak normal dari faraj untuk perempuan
  • Susut berat badan dan hilang selera makan
  • Kuning pada badan

 Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan membuat pemeriksan umum untuk melihat tanda tanda kurang darah (anemia) pada mata, kekuningan, penyusutan otot dan bengkak pada nodus limfa.

Doktor akan melihat perut dan mengenalpasti jika ada kembung atau bengkak pada perut. Setiap bahagian perut akan diperiksa untuk mencari lokasi asal sakit dan menilai tahap sakit. Doktor juga akan mengenalpasti jika ada ketulan atau bendalir tidak normal (ascitis) di perut. Pemeriksaan dubur akan dibuat untuk melihat jika ada ada darah pada najis pesakit.

Untuk perempuan dengan simptom sakit perut yang berlaku sekali dengan pendarahan tidak normal dari faraj, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan bimanual dalam, iaitu pemeriksaan organ reproduktif pesakit melalui jari yang dimasukkan ke dalam faraj.

Pesakit mungkin tidak memerlukan sebarang ujian makmal, namun bergantung kepada keadaan ujian-ujian di bawah mungkin akan dibuat:

  1. Analisis sel darah (full blood count): untuk mengenalpasti jika pesakit mengalami kurang darah (anemia)
  2. Ujian hati (liver function test): untuk mengenalpasti masalah hepatobiliari
  3. Analisis air kencing (urinalysis): untuk melihat jika ada darah pada air kencing
  4. Endoskopi: dibuat sama ada dari dubur untuk melihat masalah usus atau dari mulut untuk melihat masalah esofagus dan kantung perut.
  5. Ultrasound: jika pesakit perempuan hadir dengan simptom sakit perut berpanjangan dan ada pendarahan dari vagina yang tidak normal
  6. ECG: pesakit yang ada masalah pedih ulu hati dan sakit perut pada bahagian tengah atas perlu dipastikan bahawa sakit itu bukan simptom masalah jantung

Ujian makmal dan pengimejan tambahan bergantung kepada konteks setiap pesakit dan punca yang disyaki.



Cara Rawatan

Pencegahan dan Rawatan Kendiri di Rumah

  • Rehat secukupnya
  • Ambil antacid yang boleh dibeli di farmasi untuk kurangkan asid perut
  • Elakkan mengambil ubat tahan sakit NSAID atau hentikannya serta merta jika pesakit telah mengambilnya. Boleh bincangkan dengan doktor untuk nasihat penukaran ubat
  • Elakkan tidur sebaik sahaja selepas makan
  • Elakkan makanan pedas dan masam
  • Elakkan makanan berlemak dan jangan makan berlebihan
  • Makan secara kerap dalam kuantiti kecil setiap kali makan
  • Jaga berat badan melalui senaman dan diet seimbang
  • Ambil buah-buahan, sayur dan serat untuk mengelak sembelit
  • Berhenti merokok dan mengambil alkohol

Rawatan oleh Doktor

1. Ubat-ubatan berikut mungkin dipertimbangkan bergantung kepada keadaan dan punca sakit

  • Ubat seperti perencat pam proton (proton pump inhibitor) dan H2 blocker untuk mengurangkan asid perut
  • Antibiotik untuk melawan kuman seperti H pylori (punca masalah ulser peptik dan gastritis) atau melawan kuman-kuman yang menjangkiti rahim (punca pelvic inflammatory disease)
  • Ubat menghentikan haid
  • Ubat tahan sakit

2. Pembedahan: jika ada ketumbuhan, kanser atau kerosakan teruk pada organ-organ perut yang tertentu. Namun perbincangan lanjut akan dibuat dengan pesakit terlebih dahulu jika doktor merasakan bahawa pembedahan adalah perlu.

Bilakah perlu berjumpa dengan doktor?

Pesakit perlu bertemu dengan doktor jika

  • Pesakit dalam kategori golongan yang berumur
  • Sakit bertambah teruk daripada biasa
  • Terdapat bengkak dan ketulan pada perut
  • Ada demam berpanjangan yang seiring dengan sakit perut berpanjangan
  • Muntah dan cirit secara berterusan
  • Tidak boleh kentut dan membuang air besar
  • Muntah darah
  • Najis berwarna hitam atau berak berdarah
  • Rasa sesak nafas dan hendak pitam
  • Ada kekuningan pada mata dan badan
  • Susut berat badan dan hilang selera makan
  • Pendarahan tidak normal dari faraj

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Rujukan

  1. Chronic Pain Management Training Module For Primary Care Ministry Of Health Malaysia: Management Of Chronic Abdominal Pain
  2. Sabo C, M, Grad S, Dumitrascu D, L: Chronic Abdominal Pain in General Practice. Dig Dis 2021;39:606-614
  3. Dispepsia Berfungsi dan Sindrom Rengsa Usus – Health Insure Savvy
  4. 4. Malik, T. F., Gnanapandithan, K., & Singh, K. (2018). Peptic ulcer disease.
  5. Chronic Gastritis: Causes, Symptoms & Diagnosis. – Healthline
  6. What is inflammatory bowel disease (IBD)? – CDC
  7. Nallapeta, N. S., Farooq, U., & Patel, K. (2017). Diverticulosis.
  8. Chronic Pancreatitis: Practice Essentials, Background, Pathophysiology – Medscape
  9. Lim, Y., & O’Rourke, S. (2021). Interstitial Cystitis.
  10. Endometriosis – NHS.
  11. Uterine Fibroid – PORTAL MyHEALTH
  12. Ovarian cyst – NHS
  13. Rehman, Z., Alvi, A. R., & Sophie, Z. (2011). Abdominal angina: A rare cause of chronic abdominal pain.
  14. Abdominal pain When to see a doctor – Mayo Clinic
  15. Sakit Abdomen – PORTAL MyHEALTH
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 + 14 =