Telinga dan kesihatan pendengaran seringkali dipandang enteng oleh kebanyakan manusia tidak kira di mana berada. Walaupun telinga adalah organ yang penting untuk deria pendengaran, kita selalunya tidak mengambil berat dalam memastikan telinga kita dijauhi daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kesihatan pendengaran. Hal ini kemungkinan kerana kita jarang terdedah kepada kisah-kisah orang yang susah untuk mendengar dan tidak selalu berjumpa dengan orang yang memakai alat bantu dengar dalam kehidupan seharian.
Kekurangan dari segi pendedahan dan juga pengetahuan berkaitan pendengaran ini boleh menyumbang kepada banyak kepercayaan yang tidak benar atau lebih dikenali sebagai mitos. Terdapat banyak mitos tentang penjagaan telinga dan kesihatan pendengaran yang semakin berleluasa pada masa kini sehingga yang benar dilihat salah dan yang tidak benar dianggap betul.
Mitos 1: Tahi telinga berfungsi sebagai pelindung sewaktu terdedah kepada bunyi bising.
Tahi telinga tidak dicipta sebagai pelindung telinga daripada bunyi bising. Sebaliknya, jika seseorang itu terdedah kepada bunyi bising seperti bunyi mesin yang sangat kuat di tapak pembinaan atau di tempat kerja, begitu juga dengan bunyi muzik yang sangat kuat ketika menonton konsert dalam jangka masa yang lama dan kerap, individu tersebut tetap berisiko tinggi untuk mendapat masalah pendengaran lebih-lebih lagi jika dia mempunyai tahi telinga yang banyak sehingga sudah menjadi keras.
Hal ini kerana pendedahan yang terlalu lama dan kerap kepada bunyi yang sangat kuat boleh menyebabkan sel pada koklea (struktur yang terdapat di telinga dalam) rosak sekaligus mengakibatkan masalah susah mendengar. Ianya boleh menjadi lebih teruk apabila adanya kombinasi dengan masalah tahi telinga yang telah menjadi keras dan tersumbat di gegendang telinga. Kedua-dua hal ini boleh menjadi penyebab kepada seseorang mengalami masalah pendengaran.
Mitos 2: Penggunaan putik kapas adalah alat yang bagus untuk mengeluarkan tahi telinga dari dalam telinga.
Antara fungsi tahi telinga tercipta adalah:
- Melembapkan dan menghalang kulit salur telinga daripada sebarang jangkitan yang boleh menyebabkan masalah pendengaran berlaku jika dibiarkan dan tidak dirawat.
- Melindungi telinga daripada dimasuki debu, kotoran atau benda-benda lain seperti serangga yang boleh mengakibatkan kesakitan pada telinga.
Oleh itu, tindakan mengorek telinga untuk mengeluarkan tahi telinga sangat tidak digalakkan terutama sekali apabila menggunakan benda-benda tajam seperti mancis mahupun benda-benda tidak tajam seperti putik kapas. Hal ini kerana penggunaan putik kapas boleh menolak tahi telinga masuk jauh lebih dalam sehingga berkumpul di gegendang telinga dan menghalang gelombang bunyi daripada sempai ke gegendang telinga. Begitu juga dengan penggunaan alat yang tajam. Selain daripada menyebabkan tahi telinga berkumpul di gegendang telinga, ia juga boleh mengakibatkan kulit salur telinga terluka lalu terdedah kepada risiko jangkitan yang boleh membawa kesan yang lebih bahaya.
Tahi telinga sebenarnya boleh keluar secara semulajadi ke kawasan luar telinga. Cara untuk membersihkannya adalah dengan membasahkan sedikit kain yang bersih lalu membersihkan kawasan luar telinga. Kita juga boleh melakukannya sejurus selepas mandi kerana pada waktu itu telinga kita sudah sedia basah, jadi ianya akan menjadi lebih mudah kerana kita boleh menggunakan tuala yang kita gunakan selepas mandi.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Mitos 3: Bunyi berdesing dari dalam telinga boleh dirawat dengan menggunakan ubat titis telinga.
Bunyi berdesing dari dalam telinga atau lebih dikenali dengan nama tinnitus adalah sejenis simptom kepada pelbagai jenis penyakit terutama sekali apabila seseorang mempunyai masalah pendengaran. Hal ini kerana masalah pendengaran boleh mengakibatkan individu tersebut mengalami kesusahan untuk mendengar bunyi dari persekitan luar. Disebabkan itu, mereka lebih fokus terhadap bunyi yang datang dari dalam telinga.
Hingga ke saat ini, rawatan yang sering diberikan kepada pesakit yang mendengar bunyi berdesing dari dalam telinga adalah dengan merawat puncanya. Sebagai contoh, seandainya pesakit mendengar bunyi berdesing disebabkan tahi telinga yang keras dan tersumbat, masalah ini perlu diatasi terlebih dahulu dengan mencairkan tahi telinga menggunakan ubat titis telinga. Ini menunjukkan tidak semua kes telinga berdesing boleh dirawat dengan menggunakan ubat titis telinga. Semuanya bergantung kepada punca bunyi tersebut didengari.
Mitos 4: Masalah pendengaran adalah perkara biasa dalam kalangan orang tua
Terdapat pelbagai faktor masalah pendengaran berlaku ke atas seseorang. Antaranya adalah disebabkan penuaan. Orang dewasa yang berusia lebih 60 tahun berisiko tinggi untuk mengalami masalah pendengaran kerana saraf pendengaran dan sel pada koklea mereka sudah semakin merosot dan tidak berfungsi dengan baik seperti sewaktu berusia muda. Namun begitu, ini tidak bermakna masalah pendengaran yang dianggap perkara biasa dalam kalangan orang tua ini tidak perlu dirawat. Mereka juga patut diberikan rawatan dan layak untuk mencuba alat bantu dengar bagi membantu mereka mendengar dengan lebih baik tanpa mengganggu kehidupan seharian.
Meskipun begitu, individu yang masih muda juga haruslah berwaspada daripada terdedah dengan benda-benda yang boleh menyebabkan masalah susah untuk mendengar berlaku. Hal ini kerana ia juga boleh berlaku ke atas semua peringkat tanpa mengira usia. Menurut Jamaludin (2019), kajian yang dibuat oleh Hear.com membuktikan hampir dua juta rakyat Malaysia merangkumi semua peringkat umur mengalami masalah susah untuk mendengar. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa kita semua perlu melawan stigma yang mengatakan hanya orang tua sahaja boleh mengalami masalah pendengaran.
Rujukan
- Ab Rahman, S., & Amri, N. A. (2016). Pendengaran Kita. Retrieved on September, 2020 from Portal Myhealth
- Jamaludin, S. H. (2019). Dua Juta Rakyat Malaysia Ada Masalah Pendengaran-Kajian. Retrieved on September, 2020 from astroawani
- Mohd. Kassim, A. B., Kassim, N., & Rashid, N. R. N. A. Telinga Anda. Retrievd on September, 2020 from Portal Myhealth
- Saad, L. (n.d.). Tinnitus (Telinga berdesing): Punca, Simptom dan Cara Rawatan. The Diagnosa. Retrieved on September, 2020 from Thediagnosa.com