Pernahkah anda mengalami sakit pada pergelangan tangan tanpa diketahui puncanya? Sakitnya sekejap ada sekejap tiada dan sering datang jika anda melakukan kerja yang banyak menggunakan tangan? Sakitnya tidak seberapa tetapi menganggu prestasi anda di tempat kerja dan kadang kadang menyebabkan anda sukar tidur?
Jika ya, artikel ini adalah khas untuk anda.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Secara amnya, sakit pada pergelangan tangan bukanlah sesuatu yang serius dan sering dipandang enteng oleh kebanyakan orang. Mereka sedar tangan mereka sakit namun mengambil keputusan untuk membiarkannya dengan harapan ia akan sembuh dengan sendiri. Tambahan pula, sakitnya tidaklah teruk, masih boleh menggunakan tangan seperti biasa. Ini adalah sebab utama kenapa kebanyakan orang mengambil masa yang lama bahkan bertahun tahun sebelum berjumpa doktor.
Punca Sakit Pergelangan Tangan
Sakit pergelangan tangan sering disebabkan oleh terseliuh ataupun tulang retak disebabkan kecederaan atau trauma. Ia juga boleh disebabkan oleh masalah jangka lama seperti stres yang berulang, arthritis atau radang pada sendi dan carpal tunnel syndrome.
Berikut merupakan keadaan yang mungkin dialami yang menyebabkan sakit pergelangan tangan:
1. Trauma
- Jatuh. Kecederaan pada pergelangan tangan sering terjadi apabila anda jatuh di atas tangan anda. Ini boleh menyebabkan terseliuh dan mungkin tulang patah. Tulang scaphoid iaitu tulang yang bersambung dengan ibu jari anda sering patah atau retak dalam mereka yang jatuh di atas tangan.
- Stres berulang. Stres berulang yang dimaksudkan di sini adalah pergerakan berulang pada kawasan pergelangan tangan yang boleh menyebabkan stress kepada tulang dan otot serta ligamen di kawasan tersebut. Antara aktitviti yang mungkin menyebabkannya ialah bermain tenis secara kerap dan memandu jarak jauh secara kerap. Penggunaan tangan yang kerap dalam kedua aktiviti di atas menyebabkan terjadinya radang pada tisu otot dam ligamen di kawasan pergelangan tangan. Ia juga boleh menyebkan tulang patah.
2. Arthritis
- Osteoarthritis. Ia kerap terjadi kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun dan juga mengakibatkan sakit pada kawasan lain terutamanya di lutut. Ini terjadi disebabkan permukaan cartilage yang menyelaputi hujung tulang dan berfungsi untuk mengurangkan geseran menjadi semakin nipis. Jika anda pernah mengalami kecederaan pada pergelangan tangan sebelum ini, anda mempunyai risiko untuk mengalami osteoarthritis pada pergelangan tangan.
- Rheumatoid arthritis. Ini adalah sejenis penyakit di mana sistem imunisasi badan kita melawan sel badan kita sendiri. Dalam rheumatoid arthritis, sistem imunisasi badan kita menyerang tisu di sekita pergelangan tangan. Kebiasaannya, kedua dua pergelangan tangan akan terlibat.
3. Carpal tunnel syndrome (Sindrom Terowong Carpal)
Ini terjadi kerana terdapat peningkatan tekanan di dalam kawasan pergelangan tangan yang dikenali sebagai carpal tunnel yang menghimpit saraf median yang melalui kawasan tersebut.
4. Ganglion cyst
Cyst merupakan satu benjolan yang terdiri daripada tisu di sekitar kawasan pergelangan tangan. Ia tidak serius dan boleh dibuang melalui pembedahan kecil. Ia sering menyebabkan kesakitan terutamanya selepas aktiviti.
5. Kienbock’s disease
Penyakit ini melibatkan mereka yang berusia awal 30an dan terjadi disebabkan fungsi saluran darah ke tulang di kawasan pergelangan tangan terjejas. Ini menyebabkan tulang tersebut semakin lama semakin reput.
Disebabkan puncanya yang pelbagai, mengenal pasti punca utama yang menyebabkannya mungkin mencabar bagi doktor dan juga pesakit. Namun, apabila sudah dikenal pasti, rawatan yang diberikan akan menjamin kehidupan yang selesa.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom Sakit Pergelangan Tangan
Antara tanda dan gejala yang dialami adalah sakit pada kawasan pergelangan tangan.
- Sakit boleh datang dalam pelbagai intensiti dan jenis seperti lenguh seperti dalam pesakit arthritis ataupun menyucuk dan seperti aliran elektrik dalam carpal tunnel syndrome. Ini semua bergantung kepada puncanya.
- Sakit juga boleh berubah ubah mengikut waktu dan keadaan seperti semakin sakit pada waktu malam ataupun apabila menggunakan tangan dengan kerap.
- Jika berlaku kecederaan atau trauma pada tangan anda, anda mungkin dapat melihat kesan bengkak ataupun merasa tulang yang tidak normal.
- Sakit juga boleh merebak ke seluruh bahagian tangan dari siku sehingga ke hujung jari dan turut disertai dengan rasa kebas ataupun tangan berketat ketar.
- Dalam sesetengah kes seperti arthritis, anda juga mungkin mempunyai rasa sakit di sendi lain seperti di lutut dan jari jari.
Golongan berisiko
Sakit pergelangan tangan ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja — samada anda menjalani kehidupan yang aktif ataupun tidak. Namun terdapat beberapa golongan yang lebih terdedah kepada keadaan ini:
- Aktiviti sukan. Kecederaan pada pergelangan tangan kerap terjadi kepada mereka yang menyertai sukan terutamanya mereka yang banyak menggunakan tangan sepeti golf, bowling, tennis dan ragbi.
- Penggunaan tangan yang banyak. Antara aktiviti seharian yang melibatkan banyak penggunaan tangan seperti mengait, mendandan rambut juga boleh menyebabkan kesakitan anda.
- Sesetengah golongan yang lebih berisiko untuk mendapat carpal tunner syndrome seperti wanita hamil, pesakit diabetes, mereka yang obes, dan pesakit gout.
Ujian Pengesanan Punca
Walaupun sakit pada pergelangan tangan anda tidak serius dan mengganggu aktiviti seharian, anda dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor sekiranya sakit anda semakin teruk dan terdapat bengkak pada kawasan pergelangan tangan.
Anda juga harus segera berjumpa doktor sekiranya sakit pergelangan tangan anda berpunca daripada anda jatuh. Anda mungkin memerlukan ujian yang lebih lanjut seperti ujian X ray ataupun ujian darah dalam kes kes yang lebih serius.
- Pemeriksaan spesifik bagi mengenal pasti carpal tunnel syndrome. Doktor akan memeriksa keadaan pergelangan tangan dan kemampuan anda untuk melakukan sesuatu pergerakan tertentu. Doktor juga akan menilai sekiranya terdapat sesetengah pergerakan tangan yang boleh mencetuskan kesakitan.
- Ujian X Ray. Ujian X Ray amat penting dan dikira sebagai gold standard dalam kes yang melibatkan kecederaan pada tulang seperti patah dan dislocation.
- Ujian nerve conduction bagi melihat fungsi saraf dan menilai sebarang kerosakan atau keadaan yang boleh menjejaslan struktur saraf di tangan.
- Ujian darah bagi mengenal pasti keadaan berkaitam seperti gout(kadar uric acid), rheumatoid arthritis( sel antibodi) dan sel darah putih jika terdapat sebarang jangkitan dan parameter keradangan seperti ESR dan CRP.
Rawatan
Terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh dilakukan oleh seseorang itu ketika menghadapi masalah sakit pergelangan tangan ini.
1. Rawatan di hospital/klinik
Rawatan yang diberikan akan bergantung kepada punca sakit anda.
- Pemakaian brace atau splint. Ini adalah sejenis alat yang digunakan untuk menyokong struktur pergelangan tangan dan membantu pergerakan. Ia juga dapat mengurangkan bengkak dan sakit.
- Ubat tahan sakit dan anti-radang (diclofenac,mefenamic acid). Ini bertujuan untuk mengawal keradangan yang terjadi di sekitar kawasan pergelangan tangan yang menyebabkan bengkak dan sakit.
- Pembedahan kecil dalam sesetengah kes seperti membuang ganglion cyst, membaiki saraf dalam kes carpal tunnel syndrome.
- Bagi pesakit gout, anda akan diberi ubat bagi mengawal kadar uric acid dalam darah dan ubat taham sakit serta anti radang.
- Fisioterapi bagi membantu pergerakan tangan yang betul dengan kadar kesakitan minima, menguatkan tulang dan otot di kawasan pergelangan tangan.
2. Rawatan di rumah
Bagi sakit yang tidak serius, anda boleh merawat dirumah dengan cara:
- Menuam kawasan pergelangan tangan secara berkala setiap hari dengan tuala basah, ini bertujuan untuk meredakan bengkak dan sakit.
- Merehatkan pergelangan tangan bagi mereka yang sering menggunakan tangan seperti mengait atau mendandan rambut.
- Mengambil ubat tahan sakit dari farmasi seperti paracetamol ataupun diclofenac.
- Bagi pesakit gout, banyakkan minum air bagi mengawal kandungan uric acid dalam darah. Elakkan makan makanan yang menghasilkan uric acid yang banyak seperti daging merah dan alkohol. Patuhi arahan doktor untuk memakan ubat.
Cara Mencegah Sakit Pergelangan Tangan
Anda juga boleh mengamalkan beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan terjadinya kecederaan pada pergelangan tangan:
1. Membina kekuatan tulang
Anda boleh mengambil kalsium yang secukupnya sebanyak purata 1000mg bagi dewasa dan ini boleh diambil melalui diet dan pemakanan anda sepeti meminum susu dan produk tenusu yang lain.
2. Menggunakan Alat Perlindungan Diri
Memakai alat pelindung diri sewaktu bersukan terutamanya mereka yang bermain ragbi iaitu memakai wrist guards.
3. Menjaga postur pergelangan tangan
Jika anda bekerja di pejabat yang memerlukan anda banyak menaip, ambil rehat setiap 15minit bagi memberi kelegaan kepada otot di kawasan pergelangan tangan. Anda juga boleh menggunakan pelapik pergelangan tangan bagi memberi keselesaan.
Penyakit lain yang berkaitan:
Sakit Tumit | Sakit Pergelangan Tangan |
Sakit Belakang | Sakit Leher |
Sakit Rusuk | Sakit Lutut |
Sakit Otot | Sakit Muka |
Sakit Sendi | Sakit Tapak Kaki |
Sakit Pinggang | Sakit Bahu |
Rujukan
- Wrist pain – Mayoclinic
- Wrist pain – Healthline