Skip to content

8 Makanan yang Menyebabkan Sakit Kepala

Sakit kepala bukanlah sesuatu yang asing atau jarang terjadi dalam kalangan masyarakat. Terdapat pelbagai jenis faktor yang menjadi punca kepada sakit kepala dan ianya berbeza mengikut individu dan salah satu puncanya adalah makanan.

Makanan yang diambil juga boleh menjadi punca sakit kepala. Mungkin tidak semua akan mengalami sakit kepala selepas mengambil makanan-makanan berikut, namun bagi sesetengah individu, mereka perlu lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada beberapa jenis makanan bagi mencegah keadaan ini.

Makanan yang boleh menyebabkan sakit kepala

1. Kafein



Selain kopi dan teh, kafein juga terkandung dalam beberapa minuman lain seperti air koko, minuman tenaga, serta minuman soda. Seperti yang diketahui umum, kafein berfungsi bagi mengurangkan keletihan serta meningkatkan prestasi ketahanan badan (terutamanya untuk atlet). Namun, pengambilan kafein secara berlebihan akan membawa risiko kesan sampingan yang lain seperti sakit kepala dan insomnia.

Pesakit migrain disarankan untuk mengehadkan pengambilan kafein kepada 200 milligram sehari (1 hingga 2 minuman) oleh American Migraine Foundation. Episod migrain yang berulang mungkin bukan disebabkan oleh kafein sahaja, tetapi langkah mengurangkan pengambilannya dapat membantu mengelakkan sakit kepala.

2. Dark Chocolate

Terdapat sejenis asid amino di dalam dark chocolate yang dikenali sebagai tyramine. Tyramine berfungsi untuk mempengaruhi tekanan darah melalui perubahan saiz salur sarah. Walaupun kajian terhadap dark chocolate sebagai punca sakit kepala masih dijalankan, ianya adalah salah satu makanan yang sering mengakibatkan migrain.

Antara makanan lain yang mempunyai kandungan tyramine dan boleh menyebabkan sakit kepala ke atas sesetengah individu yang sensitif terhadapnya ialah:

  • Arak (wine)
  • Hati ayam
  • Pisang
  • Tomato
  • Terung
  • Ikan di dalam tin
  • Makanan yang diawet atau disimpan untuk tempoh yang lama


3. Makanan yang ditambah Monosodium Glutamate (MSG)

MSG adalah bahan penambah perisa yang terkandung di dalam:

  • Makanan dalam tin seperti sardin, tuna, sup pekat
  • Makanan sejuk beku
  • Condiment (perasa) seperti sos dan kicap

Ia juga sedia ada terkandung dalam makanan seperti tomato, keju parmesan, dan cendawan. Dapatan daripada kajian mendapati tindak balas terhadap pengambilan MSG melalui makanan adalah tidak konsisten dan tidak jelas. Walau bagaimanapun, sesetengah individu memang akan mengalami simptom sakit kepala selepas mengambil makanan-makanan tersebut.

4. Makanan terproses

Makanan terproses mempunyai kandungan nitrit dan nitrat yang berfungsi untuk menjadikan makanan ini tahan lebih lama. Kandungan bahan ini akan menyebabkan salur darah meregang luas lalu mengakibatkan sakit kepala. Contoh makanan terproses ialah:

  • Daging yang diawet
  • Sosej
  • Daging di dalam tin
  • Ikan yang disalai
  • Daging jeruk

5. Keju ‘lama’ (aged cheese)

Seperti dark chocolate, keju ‘lama’ juga mengandungi tyramine. Aged cheese biasanya telah melalui proses pengawetan melebihi tempoh 6 bulan. Keju ialah satu sumber makanan daripada kumpulan protein. Sumber protein yang disimpan dalam tempoh yang panjang akan mempunyai kandungan tyramine yang lebih tinggi, sekaligus menjadikan keju ‘lama’ sebagai satu punca sakit kepala.

6. Minuman beralkohol



Selain turut mengandungi tyramine, minuman beralkohol juga mempunyai kandungan bahan pengawet seperti sulfit. Alkohol juga menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke bahagian kepala, di samping mengakibatkan dehidrasi. Hal-hal ini adalah antara faktor minuman beralkohol menyebabkan sakit kepala.

7. Buah-buahan sitrus

Contoh buah-buahan sitrus ialah buah oren, limau, lemon, dan nenas. Melalui kajian-kajian yang telah dijalankan, kaitan di antara buah-buahan sitrus dan sakit kepala masih belum dapat disimpulkan. Namun, terdapat beberapa penyelidik yang mendapati buah-buahan ini adalah salah satu penyebab sakit kepala.

8. Pemanis tiruan

Walaupun kajian terhadap hubungan antara pemanis tiruan dan sakit kepala masih sedikit, data sedia ada mendapati produk makanan atau minuman yang dimaniskan dengan aspartame menyebabkan sakit kepala dalam sebilangan kecil masyarakat.

Namun, hal ini hanya berlaku sekiranya pengambilan aspartame adalah dalam kadar yang sangat tinggi, sebagai contoh, 2 hingga 3 liter ‘minuman diet/diet soda’ dalam sehari.

Intoleransi Makanan

Sakit kepala juga boleh berlaku akibat intoleransi makanan. Ia adalah keadaan di mana badan kurang keupayaan untuk menghadam sesetengah jenis makanan (dalam bahasa mudah, badan lebih sensitif terhadap makanan tersebut). Intoleransi makanan lebih sering terjadi berbanding alahan makanan, dan ia berpunca daripada bahan kimia dan komponen biologi aktif dalam makanan tersebut.

1. Histamin



Histamin ialah bahan kimia yang dihasilkan di dalam badan dan terkandung dalam beberapa jenis makanan. Fungsi histamin adalah untuk mengekalkan sistem ketahanan, penghadaman, dan neurologi tubuh badan.

Setiap daripada kita mempunyai tahap penerimaan yang berbeza, di mana ada sesetengah orang lebih sensitif terhadap kandungan histamin dalam makanan berbanding orang lain. Ini terjadi kerana badan tidak dapat menguraikan histamin dengan cepat untuk mengekalkannya pada tahap yang boleh diterima.

Jika kandungan histamin di dalam badan melebihi tahap tersebut, seseorang itu berisiko untuk mengalami simptom-simptom seperti sakit kepala, keletihan, dan selsema. Antara makanan yang mempunyai kandungan histamin yang tinggi ialah:

  • Makanan yang telah diawet
  • Tomato
  • Strawberi
  • Keju lama (aged cheese)
  • Daging dan ikan terproses
  • Minuman beralkohol

2. Phenylethylamine

Selain histamin, antara kandungan kimia lain yang boleh mengakibatkan intoleransi makanan dan simptom sakit kepala ialah phenylethylamine. Contoh makanan adalah seperti:

  • Coklat (Menurut satu kajian yang dijalankan, 75% pesakit migrain mendapati coklat adalah pencetus kepada serangan sakit kepala)
  • Keju lama (aged cheese)
  • Arak merah (red wine)

Bagi sesiapa yang mengalami sakit kepala selepas mengambil makanan-makanan yang tersenarai di atas, elakkan makanan tersebut buat beberapa tempoh (contoh: 3 bulan). Kemudian, cuba ambil semula makanan tersebut untuk melihat jika sakit kepala kembali atau tidak. Selepas tempoh ini, ada kemungkinan badan anda boleh lebih ‘menerima’ makanan tersebut tanpa mengakibatkan sakit kepala.

Jika sakit kepala tidak berlaku, mungkin sakit kepala yang berlaku sebelum ini adalah dicetuskan oleh faktor lain seperti stress, kurang tidur, persekitaran, atau lain-lain. Elakkan daripada melangkau waktu makan kerana tahap gula dalam darah yang rendah juga boleh mengakibatkan sakit kepala.

Rujukan



  1. American Migraine Foundation. (2016). Migraine and Diet.
  2. Mahan, L. K., Raymond, J. L., & Krause, M. V. (2017). Krause’s Food & the Nutrition Care Process.
  3. Millichap JG, Yee MM. The diet factor in pediatric and adolescent migraine. Pediatr Neurol. 2003;28(1):9–15. [PubMed: 12657413]
  4. Rockett, F. C., de Oliveira, V. R., Castro, K., Chaves, M. L., Perla, A., & Perry, I. D. (2012). Dietary aspects of migraine trigger factors. Nutrition reviews, 70(6), 337–356.
  5. University of Wisconsin. (2007). Headache Elimination Diet.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty + fifteen =