Umumnya, kitaran haid kebiasaannya selama tiga ke tujuh hari. Kitaran haid yang berlarutan lebih dari tujuh hari dikira sebagai darah haid berpanjangan atau “menorrhagia”. Pendarahan haid berlebihan yang lebih dari 80ml setiap kitaran haid, terpaksa menukar tuala wanita dua kali dalam beberapa jam hingga kualiti kehidupan wanita itu terjejas juga diklasifikasikan sebagai “menorrhagia”.
Punca Darah Haid Berpanjangan
Haid berpanjangan boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang serius. Masalah yang melibatkan perubahan hormon, struktur uterus yang tidak normal, ubat-ubatan, jangkitan dan kanser boleh menyebabkan haid berpanjangan. Antara punca-puncanya ialah :
1. Perubahan hormon dan ovulasi
Perubahan hormon atau ovulasi boleh menyebabkan haid berpanjangan. Anda juga mungkin perasan tentang perubahan hormon ketika pertama kali mengalami period semasa akil baligh atau ketika sebelum putus haid. Ketidakseimbangan hormon juga boleh disebabkan oleh pelbagai masalah kesihatan lain seperti masalah tiroid atau sindrom ovari polisistik (PCOS).
Ketika hormon berada dalam paras tidak normal atau tiada proses ovulasi semasa kitaran haid, lapisan dinding Rahim akan menjadi sangat tebal menyebabkan penumpahan endometrium atau haid yang lebih lama dan panjang.
2. Ubat – ubatan
Anda mungkin mengalami haid panjang kesan dari pada ubat – ubatan yang anda ambil. Ini adalah termasuk :
- Pencegah kehamilan seperti IUCD dan pil perancang
- Ubat cair darah seperti Aspirin
- Ubat anti-radang
3. Mengandung
Pendarahan vagina diluar tempoh haid merupakan tanda kandungan dalam keadaan bahaya atau kandungan tidak mampu hidup seperti kehamilan luar Rahim (Ectopic Pregnancy) atau keguguran.
Anda juga boleh mendapat pendarahan yang berpanjangan semasa mengandung dalam situasi seperti uri di bawah (placenta previa).
Jika ujian kehamilan anda positif dan anda mengalami pendarahan vagina, anda perlu mendapatkan nasihat doktor.
4. Fibroid Uterus atau Polip
Fibroid uterus atau polip boleh menyebabkan pendarahan yang panjang dan banyak.
Fibroid adalah ketumbuhan yang terjadi di dinding uterus.
Polip juga merupakan ketumbuhan yang tidak normal di dinding uterus dan menyebabkan ketumbuhan tumor yang kecil. Namun, secara amnya, fibroid dan polip tidak bersifat kanser.
5. Adenomiosis
Adenomiosis adalah keadaan di mana sel – sel lapisan Rahim tumbuh ke dalam dinding otot Rahim. Kebiasannya terjadi seiiring masalah senggugut yang teruk. Keadaan ini boleh menyebabkan haid berpanjangan dan banyak.
6. Keadaan Tiroid
Haid berpanjangan juga boleh disebabkan oleh kekurangan rembesan hormone tiroid dari kelenjar tiroid yang dipanggil hypothyroidism.
7. Keadaan Pendarahan
Anda juga mungkin mempunyai keadaan dimana keupayaan penggumpalan darah badan anda terjejas menyebabkan haid berpanjangan. Antara contoh keadaan ini adalah hemophilia dan Von Willebrand’s disease.
8. Obesiti
Berat badan berlebihan boleh menyebabkan haid berpanjangan kerana tisu lemak yang berlebihan menjadikan badan menghasilkan hormon estrogen berlebihan dan seterusnya menyebabkan perubahan haid.
9. Penyakit Radang Pelvis (PID)
Penyakit radang pelvis merupakan jangkitan bakteria pada salur genital perempuan termasuk Rahim, tiub fallopian dan ovari. Simptom Penyakit Radang Pelvis yang lain adalah cecair vaginal yang tidak normal.
10. Kanser
Haid berpanjangan juga merupakan tanda kanser Rahim atau pangkal Rahim. Untuk sesetengah wanita, haid berpanjangan merupakan antara simptom paling awal bagi kanser tersebut.
Simptom
Haid berpanjangan akan menyebabkan ketidakselesaan semasa haid serta mengganggu rutin dan kualiti hidup. Antara simptom haid berpanjangan adalah :
- Haid berlebihan dari normal atau ketulan darah beku yang besar, tukar pad dua kali dalam beberapa jam
- Senggugut
- Simptom kekurangan darah merah atau anaemia seperti merasa penat dan lemah, pening dan pucat.
- Demam sekiranya terdapat jangkitan
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Ujian Pemeriksaan
Bagi mengesan sebab-sebab pendarahan haid berlebihan, doktor akan mendapatkan sejarah pesakit seperti pertanyaan tentang simptom-simptom seperti diatas dan simptom lain yang relevan.
Ujian pemeriksaan laboratori seperti ujian darah bagi mengesan anemia dan ujian pengimejan seperti abdominal ultrasound atau transvaginal ultrasound boleh mengesan fibroid, polip atau kanser. Ujian lain yang mungkin akan dilakukan adalah seperti pap smear, biopsy dan hysteroscopy juga boleh dilakukan mengikut keperluan.
Rawatan Darah Haid Berpanjangan
Rawatan bagi haid berpanjangan bertujuan untuk mengurangkan kuantiti pendarahan, mengurangkan ketidakselesaan dan sakit, serta merawat punca haid berpanjangan. Antara rawatannya adalah :
- Tranexamic acid bagi mengurangkan pendarahan haid
- Mefenamic acid merupakan ubat anti-radang yang boleh mengurangkan sakit senggugut
- Hormon kawal kelahiran seperti pil perancang, penggunaan IUCD (Intra-Uterine Contraceptive Device) dapat mengurangkan pendarahan haid serta menghindar mengandung
- Rawatan pembedahan termasuk pembedahan buang Rahim (hysterectomy) atau prosedur membuang selaput Rahim dipanggil ablasi atau reseksi endometrium.
Cara Pencegahan
Melengahkan diagnosis boleh membawa kepada keperluan prosedur dan rawatan yang lebih invasif. Kehilangan darah yang banyak juga menyebabkan simptom anemia serta membawa kepada komplikasi anemia seperti kegagalan jantung. Punca perubahan hormon yang disebabkan oleh obesiti dapat dikurangkan dengan menurunkan berat badan kepada BMI yang normal. Berjumpa doktor bagi mengenalpasti punca dan rawatan segera sekiranya anda mengalami haid berpanjangan adalah perlu bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Rujukan:
- Long Periods – Healthline
- Pendarahan haid yang berlebih – Myhealth.gov
- Approach to abnormal uterine bleeding in nonpregnant reproductive age women – Healthline