Skip to content

10 Khasiat Bayam Brazil pada Kesihatan

Bayam Brazil kini semakin terkenal di Malaysia. Selain rasanya yang enak, ia amat mudah ditanam dan dijaga. Tahukah anda tentang khasiat bayam ini? Artikel ini akan membincangkan 10 khasiat dan kebaikan bayam Brazil kepada kesihatan.

Pengenalan

Alternanthera sissoo atau lebih dikenali sebagai bayam Brazil adalah spesis tanaman berdaun hijau yang berasal daripada Brazil dan Amerika Selatan. Tumbuhan ini juga dikenali sebagai Brazillian spinach, Poor Man spinach, Sambu dan juga Sambu lettuce. Walaupun sayur ini hanya digunakan di Brazil asalnya, ia kini sudah ditanam di negara kita. Oleh kerana bayam Brazil adalah tumbuhan tropika yang tahan lasak, ia sangat sesuai ditanam di kawasan seperti iklim negara kita yang panas dan lembap.

Daun bayam Brazil yang tidak berlendir dan juga rangup boleh dimakan samada mentah atau dimasak. Di Brazil, rakyat Brazil gemar memakannya secara mentah sebagai salad bersama minyak, cuka, tomato dan bawang. Di Malaysia pula, cara popular masak bayam ini adalah dimasak sup, gulai lemak, masak tumis, goreng belacan dan juga sebagai ulaman segar.

Kandungan Nutrisi



Kandungan nutrisi bayam brazil adalah sama dengan bayam yang lain. Setiap 100 gram sayur bayam mengandungi (USDA):

  • Kalori : 23 kcal
  • Air : 91%
  • Protein : 2.86 g
  • Karbohidrat: 3.63 g
  • Serat : 2.2 g
  • Kalsium : 99 mg
  • Zat besi : 2.71 mg
  • Magnesium : 79 mg
  • Kalium : 558 mg
  • Vitamin C : 28.1 mg
  • Folat : 194 ug
  • Vitamin A : 469 ug

Bayam brazil adalah sayur yang rendah kalori dan lemak. Ia rendah dengan karbohidrat tetapi kaya dengan serat tidak larut yang baik untuk kesihatan sistem penghadaman. Selain itu, bayam brazil juga kaya dengan vitamin dan mineral seperti magnesium, zat besi, folat, kalsium, kalium, vitamin B dan vitamin E.

Walaupun bayam mempunyai kandungan nutrien yang tinggi, bayam juga mengandungi asid oxalik yang tinggi.  Asid ini mengganggu penyerapan beberapa nutrien penting seperti zat besi dan kalsium. Kajian menunjukkan memasak bayam mampu menurunkan kandungan asid oxalik sebanyak 30 – 85%. Gunakan kaedah memasak yang cepat seperti menumis atau mencelur untuk mendapat penyerapan nutrien yang lebih tinggi pada masa yang sama mengurangkan kehilangan nutrien yang lain akibat proses memasak yang lebih lama.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen berkhasiat dalam bayam Brazil

1. Fitokimia

Fitokimia adalah bahan kimia atau nutrien yang dihasilkan oleh tumbuhan. Sebilangan fitokimia dipercayai melindungi sel dari kerosakan dan mempunyai banyak kebaikan. Antara fitokimia dalam bayam Brazil adalah:

  • Beta carotene : Memelihara kesihatan mata
  • Lycopene : Melindungi dari penyakit jantung dan kanser
  • Lutein dan Zeaxanthin : Memelihara kasihatan mata
  • Carotenoid : Meningkatkan sistem imun badan


2. Kandungan fenolik

Fitokimia fenolik adalah kumpulan fitokimia terbesar dan paling banyak di dalam tumbuhan. Antara kandungan fenolik tertinggi dalam bayam adalah:

  • Luteolin : Meningkatkan sistem imun badan dan mencegah kanser
  • Quercetin : Antiradang, mengawal kadar gula dalam darah, mencegah kanser dan penyakit  jantung
  • Kaempferol : Mengurangkan risiko penyakit kronik termasuk kanser
  • Myricetin : Mencegah komplikasi diabetes

10 Khasiat bayam brazil

Secara umumnya khasiat bayam brazil hampir sama dengan bayam-bayam yang lain, ini disebabkan kandungan komponen berkhasiat yang sama.

1. Mencegah dan melawan kanser

Makanan yang tinggi dengan flavonoid dan asid fenol dikenali dengan ciri-ciri anti kanser. Ini terutamanya disebabkan oleh sifatnya sebagai antioksida dan antiradang. Kajian menunjukkan sayur bayam yang kaya dengan komponen-komponen ini boleh mencegah dan mengawal pembiakan kanser perut dan kanser payudara dengan mengaruh apoptosis (kematian sel secara terprogram untuk membunuh sel kanser).

Tambahan itu, satu kajian besar yang dijalankan ke atas lebih 490,000 orang juga menunjukkan pengambilan sayur bayam dikaitkan dengan penurunan risiko kanser esofagus yang signifikan.

2. Mengekalkan kesihatan mata

Pengambilan bayam baik untuk kesihatan mata jangka panjang. Dua komponen terbesar dalam sayur bayam iaitu lutein dan zeaxanthin boleh melindungi daripada penyakit mata seperti degenerasi macula yang menyebabkan gangguan penglihatan tengah (pusat) secara perlahan pada orang tua. Kajian menunjukkan komponen-komponen ini menapis cahaya biru berbahaya dan memelihara kesihatan macula. Selain itu, kajian menunjukkan pengambilan lutein daripada sayuran berdaun hijau seperti bayam dikaitkan dengan penurunan penyakit katarak (kekaburan kanta mata).



3. Memelihara kesihatan kognitif

Terdapat kajian yang dijalankan ke atas haiwan menunjukkan pengambilan bayam memberi kesan yang besar dalam memperlambat proses kemerosotan fungsi ingatan dan kognitif. Beberapa kajian mengiktiraf peranan kandungan antioksida dalam bayam untuk mengekalkan fungsi kognitif yang selalunya menjadi semakin lazim dengan peningkatan umur.

4. Melindungi otak selepas strok

Strok-iskemia ataupun kematian sel otak akibat kekurangan bekalan darah atau pendarahan menjadi faktor utama kerosakan otak dan kecatatan jangka masa panjang. Pemakanan yang sihat boleh membantu memelihara fungsi otak mangsa strok.

Kajian menunjukkan pengambilan sayur bayam boleh menurunkan kerosakan otak akibat strok-iskemia. Kandungan nutrisi sayur ini seperti vitamin K, folat, beta kerotena dan lutein membantu untuk menyokong fungsi otak yang sihat.

5. Mengawal tekanan darah

Sayur bayam merupakan salah satu makanan yang boleh membantu menurunkan tekanan darah disebabkan oleh kandungan nutrisi berkhasiat seperti kalium, folat dan magnesium yang baik untuk jantung. Pengambilan kalium yang mencukupi adalah faktor penting untuk mengekalkan tekanan darah yang baik.

Tambahan itu, kajian yang melihat kesan pengambilan sayur bayam selama 7 hari membuktikkan kandungan nitrate yang tinggi dalam sayur ini mampu mengurangkan kekejangan arteri dan menurunkan tekanan darah. Kajian ini juga mencadangkan pengambilan sayur bayam sebagai cara yang efektif dalam memastikan kesihatan kardivaskular.



6. Mendapat berat badan ideal

Sayuran seperti bayam Brazil yang tinggi dengan serat tidak larut sering dikaitkan dengan pengawalan berat badan yang baik. Pengambilan serat tidak larut akan menyumbang kepada rasa kenyang untuk jangka masa yang lama dan mengelakkan daripada pengambilan kalori yang berlebihan.

7. Membantu sistem penghadaman

Kandungan serat larut yang tinggi dalam sayuran ini juga baik untuk kesihatan penghadaman. Ia dapat membantu melancarkan pergerakan usus dan mengelakkan daripada sembelit.

8. Membantu mencegah kecacatan bayi dalam kandungan

Bayam merupakan salah satu makanan dengan kandungan folat yang tertinggi. Asid folik adalah nutrien yang sangat penting kepada ibu mengandung untuk membantu penghasilan sel darah merah dan mengelak sebarang kecacatan janin (spina Bifida). Banyak kajian telah membuktikan peranan asid folik dalam memastikan kehamilan yang sihat. Malah ibu disarankan untuk mengambil suplemen asid folik sebelum dan semasa mengandung bagi mendapat folat yang mencukupi.

9. Antioksida

Kajian telah menunjukkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi boleh melindungi daripada pelbagai penyakit kronik dan masalah penuaan. Ini disebabkan oleh kandungan fitokimia yang mempunyai sifat antioksida, antiradang, antikanser dan antibakteria.



Bayam mempunyai kandungan antioksida yang tinggi seperti vitamin C, karotenoid dan pelbagai fenol. Oleh kerana kandungan antioksida yang tinggi, diet yang kaya dengan bayam dapat melindungi daripada kerosakan sel dan menghalang pengoksidaan DNA yang menjadi punca kebanyakan penyakit kronik.

10. Meningkatkan sistem imun badan

Kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral, sayur bayam juga boleh melindungi dan menguatkan sistem imun badan. Kandungan vitamin A, vitamin C dan vitamin E yang tinggi dapat membantu melawan jangkitan dan menghasilkan sel-sel yang diperlukan bagi menyokong sistem ketahan badan.

Kesimpulan

Akhir sekali, jelaslah bahawa bayam Brazil adalah sayur berdaun hijau yang tinggi nutrisi. Pengambilan bayam Brazil memberi banyak kebaikan kepada kesihatan terutamanya dalam memelihara kesihatan mata, kognitif, sistem imun badan dan dapat mencegah daripada pelbagai penyakit.

Jika anda sudah mengalami sebarang penyakit seperti darah tinggi, kanser atau penyakit lain, bayam Brazil bukanlah menjadi alternatif kepada ubat anda. Anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan meminta nasihat doktor. Semoga artikel khasiat bayam brazil memberi manfaat kepada anda.

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan

  1. Bassingthwaighte, D. (n.d.). brazilian Spinach – Optimise Learning. Retrieved February 3, 2021
  2. Hedges, L., & Lister, C. (2007). Nutritional attributes of spinach, silver beet and eggplant.
  3. Jovanovski, E., Bosco, L., Khan, K., Au-Yeung, F., Ho, H., Zurbau, A., Jenkins, A. L., & Vuksan, V. (2015). Effect of Spinach, a High Dietary Nitrate Source, on Arterial Stiffness and Related Hemodynamic Measures: A Randomized, Controlled Trial in Healthy Adults. Clinical Nutrition Research, 4(3), 160.
  4. Kubo, A., Corley, D. A., Jensen, C. D., & Kaur, R. (2010). Dietary Factors and the Risks of Esophageal Adenocarcinoma and Barrett’s Esophagus. Nutrition Research Reviews, 23(2), 230–246.
  5. Lee, H.-N., Shin, S.-A., Choo, G.-S., Kim, H.-J., Park, Y.-S., Kim, S.-K., & Jung, J.-Y. (2016). Inhibitory Effects of Spinach, Cabbage, and Onion Extracts on Growth of Cancer Cells. Journal of the Korean Society of Food Science and Nutrition, 45(5), 671–679.
  6. Spinach 101: Nutrition Facts and Health Benefits. (2019, May 14). Healthline.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + 3 =