Skip to content

10 Khasiat Tomato Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat tomato kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat tomato, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam tomato.

Pengenalan

Jika dipotong dua, bahagian dalamnya akan kelihatan seolah-olah seperti rupa bentuk jantung. Ya, itulah tomato, yang sering kali diumpamakan rupa bentuknya dengan jantung manusia yang kini sangat digemari untuk dinikmati segenap lapisan masyarakat. Namun, tahukah anda bahawa tomato pernah dianggap tumbuhan yang beracun yang boleh membawa maut? Tergolong dalam keluarga “nightshades”, pada tahun 1500, orang Eropah menganggap tomato adalah tumbuhan yang beracun kerana kandungan asid dalam tomato menyebabkan pinggan mangkuk mereka yang diperbuat dari timah yang mengandungi plumbum, terhakis, seterusnya membawa kepada keracunan plumbum dan kematian.

Namun begitu, perkara ini tidak berlaku kepada golongan miskin zaman itu, yang menggunakan perkakas mereka yang diperbuat daripada kayu. Disebabkan itulah, pada zaman tersebut, tomato hanya dimakan oleh golongan miskin. Kemudian, pada tahun 1800, masyarakat Eropah mula mengasimilasi tomato dalam kegunaan harian, ini dipercayai kerana imigrasi besar-besaran warga Eropah ke Amerika dan faktor penting yang utama juga dalam penerimaan tomato adalah dalam pembuatan pizza oleh orang Itali, yang pastinya sangat memerlukan kehadiran tomato.

Kandungan Nutrisi



Tomato tergolong dalam kategori buah mengikut definisinya, namun penggunaannya dalam masakan seharian menyebabkan tomato digolongkan sebagai sayuran terutama bagi pakar nutrisi pemakanan. Kandungan utama dalam tomato adalah air yang mewakili 95%, manakala lagi 5% pula terdiri daripada karbohidrat dan serat, yang kebanyakannya adalah serat tidak larut. Kandungan-kandungan lain seperti protein, hanyalah 0.9 gram dan lemak 0.2 gram untuk setiap 100 gram tomato dan tenaga sebanyak 18 kalori. Gula yang terdapat dalam tomato terdiri daripada glukosa dan fruktosa yang mewakili 70% daripada keseluruhan karbohidrat dalam tomato.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat dalam Tomato

Terdapat beberapa komponen penting dalam tomato yang mempunyai khasiat yang baik kepada tubuh badan. Komponen-komponen seperti likopena, beta-karotena, naringenin dan asid klorogenik merupakan antara kompoun utama yang memainkan peranan penting untuk bertindak balas kepada kesihatan.

Kompoun-kompoun ini memiiliki dua ciri utama yang berkhasiat kepada tubuh badan iaitu berfungsi sebagai antioksida dan juga anti-keradangan yang sangat diperlukan bagi melawan penyakit dan memelihara kesihatan umum seseorang individu.

Selain itu, tomato juga mengandungi beberapa sumber vitamin dan mineral seperti vitamin C, vitamin K, vitamin B9 (folat) dan juga potassium. Ini menjadikan tomato mempunyai ciri-ciri terapeutik dan sangat sesuai untuk manfaat-manfaat kesihatan, antaranya;

10 Khasiat tomato kepada kesihatan

1. Kesihatan Jantung



Jantung berfungsi bagi mengepam darah keseluruh anggota badan seseorang individu sejak dari awal degupannya di dalam rahim sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Justeru kesihatan jantung adalah sangat penting bagi meneruskan aktiviti seharian. Kajian mendapati, paras likopena dan beta-karotena yang rendah dalam darah akan meningkatkan risiko serangan jantung dan juga strok.

Justeru, pengambilan tomato dalam pemakanan adalah sangat baik kerana kandungan utamanya iaitu likopena dan beta-karotena membantu mengurangkan risiko strok dan serangan jantung. Selain itu, sifat antioksida dalam tomato juga dilihat memberikan kesan perlindungan daripada radikal-radikal bebas bagi melindungi kesihatan jantung. Sifat anti-keradangan dalam tomato pula berfungsi memelihara salur darah seterusnya mengelakkan dari tersumbatnya pembuluh darah.

2. Mencegah Kanser

Kanser terjadi akibat tumbesaran sel yang tidak normal merebak dan merosakkan sel-sel badan yang lain. Banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kanser antaranya pemakanan yang tidak sihat, sering terdedah dengan radikal-radikal bebas dan juga memiliki sejarah keturunan berpenyakit kanser. Beberapa kajian yang dilakukan terhadap tomato melihatkan potensi yang ditunjukkan tumbuhan tersebut terhadap beberapa jenis kanser seperti kanser prostat, kanser perut dan juga kanser paru-paru.

Terdapat juga kajian lain yang dijalankan terhadap segolongan wanita, mendapati kandungan likopena dalam tomato dilihat juga berpotensi melindungi daripada kanser payudara. Kandungan likopena yang tinggi dalam tomato dilihat merupakan faktor penting yang menjadikan tomato berfungsi untuk mencegah kanser, namun kajian masih perlu dilakukan untuk mengenalpasti dengan lebih mendalam akan keberkesanannya dalam pengubatan kanser.

3. Kesihatan Kulit

Kulit merupakan organ yang paling terdedah kepada bahaya kerana kulit merupakan benteng pertama untuk pertahanan badan. Antara bahaya yang boleh merosakkan kulit adalah selaran matahari atau sunburn akibatterdedah kepada sinaran matahari yang terik bagi tempoh yang lama.

Selain dari memakai krim pelindung cahaya matahari, tomato dilihat berpotensi merawat kulit serta melindungi dari sunburn kerana kandungan likopena dan karotenanya yang tinggi memberi kesan perlindungan cahaya. Justeru, pemakanan yang kaya dengan karotena seperti tomato dilihat berpotensi menjadi solusi penjagaan kulit dari sinaran matahari untuk sepanjang hayat. 



4. Kesihatan Mata

Seiring dengan peningkatan usia, seseorang individu akan mengalami penurunan kesihatan dan kemampuan fizikal. Antara organ yang turut sama terkesan dengan kondisi ini adalah mata. Likopena, lutein dan beta-karotena yang sangat kaya dalam tomato dilihat sangat berkesan untuk melindungi mata daripada katarak, kerosakan mata akibat cahaya, dan juga kemerosotan makula akibat faktor usia (age-related macular degeneration) melalui fungsi antioksidanya.

5. Kesihatan Mulut

Mulut merupakan organ yang pertama dalam sistem pencernaan tubuh badan. Justeru penjagaan kesihatan mulut adalah sangat penting bagi memastikan zat-zat dan nutrien dalam makanan dapat diserap dengan baik. Kajian menunjukkan likopena yang terdapat di dalam tomato mampu mencegah penyakit gusi seperti periondotitis dan gingivitis dengan melawan radikal-radikal bebas sebagaimana ia juga berfungsi mencegah kanser.

Namun, memakan tomato yang mentah dengan kuantiti yang banyak mampu memberikan kerosakan kepada enamel gigi kerana kandungan asid yang tinggi dalam tomato. Justeru, pastikan tomato yang anda makan telah dimasak dengan sebaiknya atau makan tomato mentah hanya dalam jumlah yang sedikit. 

6. Berpotensi merawat sembelit

Sembelit merupakan suatu masalah kesihatan yang sangat menyiksakan. Sembelit berlaku apabila berkurangnya pergerakan najis dalam usus seterusnya menyebabkan najis sukar untuk dikeluarkan dari badan. Antara faktor berlakunya sembelit adalah kerana kurangnya serat dalam diet seharian.

Justeru, mengambil makanan yang tinggi kandungan air dan serat seperti tomato berpotensi untuk mengatasi masalah sembelit. Namun kajian masih perlu dilakukan untuk mengkaji keberkesanan pengambilan tomato untuk digunakan sebagai laksatif ataupun pelawas bagi mengatasi masalah sembelit.



7. Meningkatkan imunisasi badan

Imunisasi adalah kebolehan sistem badan untuk melawan bendasing seperti bakteria, bahan kimia dan lainnya dari merosakkan badan. Sistem imunisasi yang kuat dan sihat adalah penting bagi memelihara kesihatan dan mengelakkan penyakit. Likopena yang terdapat di dalam tomato berfungsi sebagai agen antioksida, bagi melawan radikal-radikal bebas yang boleh merosakkan sistem imunisasi badan. Justeru, pengambilan tomato dilihat mampu memberikan kesan positif kepada sistem imunisasi badan bagi memastikan ia kekal berfungsi dengan baik.

8. Kesihatan hati

Hati memainkan peranan yang sangat penting dalam kesihatan. Selain menghasilkan hempedu dan protein, hati juga penting bagi tujuan detoksifikasi. Detoksifikasi diperlukan bagi menyingkirkan toksik-toksik yang terdapat dalam badan, yang datang daripada pelbagai sumber antaranya adalah makanan.

Menurut kajian, tomato mengandungi klorin dan sulfur yang memainkan peranan penting dalam proses detoksifikasi. Klorin berfungsi bagi menyingkirkan dan menapis bahan kumuh badan, manakala sulfur berperanan memelihara daripada penyakit sirhosis hati. Justeru, pengambilan tomato dalam diet seharian dilihat sangat baik untuk kesihatan hati.

9. Mengelakkan Kencing Manis

Diabetes terjadi berikutan kadar gula yang tidak terkawal di dalam darah. Perkara ini boleh disebabkan insulin yang tidak berfungsi dengan baik ataupun penghasilan insulin yang tidak mencukupi bagi menyerap gula ke dalam badan. Jika berlarutan, perkara ini boleh mengakibatkan banyak kesan buruk kepada kesihatan seperti luka yang lambat untuk sembuh, jangkitan kepada kulit dan kerosakan penglihatan.

Menurut kajian, tomato mengandungi kromium, suatu kompoun yang penting bagi mengawal kadar gula dalam darah. Justeru, pengambilan tomato dilihat sangat berkhasiat untuk diambil oleh pesakit diabetes bagi mengawal kadar gula dalam darah.



10. Mengurangkan migrain

Migrain merupakan suatu keadaan yang melibatkan sistem saraf dalam badan. Migrain seringkali disifatkan sebagai rasa sakit yang amat sangat di bahagian kepala yang dialami oleh seseorang individu. Migrain boleh menyebabkan beberapa simptom seperti rasa mual, muntah, rasa kebas dan kesukaran untuk bertutur. Salah satu komponen penting untuk mengubati serangan migrain adalah riboflavin, yang terdapat didalam tomato. Justeru, pengambilan tomato dilihat mampu membantu mengatasi serangan migrain yang dialami. Namun kajian perlu dilakukan bagi menentukan dos dan jumlah yang perlu diambil serta kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Kesimplan

Sebagai penutup, tomato dengan kemampuan antioksida dan anti-keradangannya, dilihat memberikan banyak manfaat kepada kesihatan. Berikutan rasanya yang enak dan kaya dengan vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh badan, tomato juga digunakan dengan meluas dalam pelbagai variasi makanan lain seperti sos dan juga puri.

Justeru, memasukkan tomato dalam hidangan seharian adalah sangat baik untuk kesihatan di samping mengamalkan pemakanan yang seimbang dan juga gaya hidup yang sihat bagi mengurangkan risiko penyakit dan memelihara kesejahteraan tubuh badan.

Diharapkan artikel khasiat tomato ini dapar memberikan anda sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan kebaikan dan khasiat tomato pada kesihatan badan

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan

  1. Bhowmik D., Kumar S., Paswan S. & Srivastava S. (2012). Tomato-A Natural Medicine and Its Health Benefits. Journal of Pharmacognosy and Phytochemistry. Vol 1 No 1
  2. Bjarnadotir A. (2019). Tomato 101: Nutrition Facts and Benefits. Retrieved from Healthline
  3. Cleveland Clinic (2019). Constipation.
  4. Cleveland Clinic (2019). What’s the deal with nightshades vegetables?       
  5. MayoClinic (2020). Sunburn.
  6. Stahl W, Heinrich U, Aust O, Tronnier H, Sies H. Lycopene-rich products and dietary photoprotection. Photochem Photobiol Sci. 2006 Feb;5(2):238-42. doi: 10.1039/b505312a. Epub 2005 Aug 12.  PMID: 16465309.
  7. Tomato History. Retrieved from Tomatocages
  8. Ware M. (2017). Everything You Need To Know About Tomatoes. Retrieved from Medical News Today
  9. Weatherspoon D. (2017). Everything You Want To Know About Migraine. Retrieved from Healthline
  10. WebMD (2019). High Blood Sugar and Diabetes.
  11. WebMD (2019). The Health Benefits of Tomato.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × three =