Skip to content

10 Khasiat Air Lemon Pada Kesihatan Tubuh Badan

Apakah khasiat air lemon kepada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan khasiat air lemon, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam air ini.

Pengenalan

Buah lemon adalah salah satu tumbuhan penting dalam bidang perubatan. Buah lemon atau dikenali sebagai Citrus limon termasuk dalam kumpulan Rutaceae. Selalunya, ketinggian pokok buah lemon adalah kira-kira 10 hingga 20 kaki dan pokoknya dipenuhi dengan duri.

Daunnya berwarna hijau gelap manakala bunganya pula berwarna putih dan mempunyai 5 kelopak. Buah lemon adalah buah sitrus yang berbentuk bujur dan bersaiz kecil sahaja. Yang menariknya, buah lemon akan tumbuh berselang-seli pada dahan pokok tersebut. Terdapat pelbagai jenis buah lemon seperti Bush, Eureka, Lisbon, Ponderosa, Variegated Pink, Verna, Villafranca, Yen Ben dan Yuzu.



Buah lemon boleh dimakan begitu sahaja, dijadikan bahan dalam masakan tetapi acap kali digunakan dalam minuman seperti minuman berjus, minuman berkarbonat dan minuman beralkohol. Air lemon sering menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana dikatakan dapat menyegarkan tubuh badan, menghilangkan rasa loya dan mempunyai rasa yang sedap.

Selain itu, air lemon juga dikatakan mempunyai kandungan nutrisi yang berkhasiat dan memberikan kebaikan kepada kesihatan badan. Oleh itu, dalam artikel ini, kita akan membongkarkan rahsia air lemon.

Kandungan Nutrisi

Selalunya, bahan yang digunakan untuk membuat air lemon adalah buah lemon dan air. Adalah dinasihatkan bahawa tiada gula yang ditambah ke dalam minuman tersebut kerana dalam buah lemon juga mengandungi gula. Ini adalah penting terutamanya pesakit penyakit kencing manis untuk memastikan paras gula dalam darah terkawal. Berikut adalah nilai nutrisi yang terkandung dalam air lemon untuk satu gelas bersaiz 250ml dan perahan sebiji (48g) buah lemon.

KomponenKuantiti
Kalorikcal10.6 kcal
Karbohidratg4.66 g
Proteing0.55 g
Fatg0.15 g
Gulag1.25 g
Thiamin (Vitamin B1)mg0.02 mg
Riboflavin (Vitamin B2)mg0.01 mg
Niasin (Vitamin B3)mg0.05 mg
Asid Pentotenik  (Vitamin B5)mg0.09 mg
Piridoksin (Vitamin B6)mg0.04 mg
Folat (Vitamin B9)g5.5 g
Vitamin Cmg26.5 mg
Kalsiummg13.0 mg
Magnesiummg4.0 mg
Zat Besimg0.3 mg
Kaliummg69.0 mg
Zinkmg0.03 mg
Fosforusmg8.0 mg

Rajah 1: Kandungan Nutrisi dalam Air Lemon

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat dalam Air Lemon

Asid sitrik adalah asid karbosilik yang lemak dan selalunya dijumpai pada buah-buahan sitrus. Asid sitrik selalunya digunakan sebagai pengawet makanan untuk memberikan rasa asidik dan rasa masam dalam makanan dan minuman. Garam sitrat digunakan untuk membawa mineral dalam bentuk yang mudah diserap dalam badan.



Air lemon mengandungi asid sitrik yang tinggi kerana buah lemon adalah antara buah yang tinggi dengan asid sitrik. Asid sitrik terhasil disebabkan oleh proses metabolisme endogenus dalam mitokondria melalui penghasilan tenaga dalam kitaran asid sitrik. Penyerapan asid sitrik dalam perut daripada pemakanan berkait rapat dengan rembesan sitrat dalam air kencing yang tinggi.

Air lemon adalah sumber antioksidan semulajadi dan disebabkan oleh itu, buah lemon menjadi tanaman utama dan penghasilannya hampir 80 juta setahun. Air lemon terkenal dalam industri pemakanan dan dapat dibuktikan dengan penghasilan pelbagai jenis jenama berasaskan air lemon.

Air lemon kaya dengan sumber flavonoid semulajadi dan sebatian fenolik. Flavonoid dan sebatian fenolik berupaya dalam meningkatkan kesihatan tubuh badan dan komponen penting dalam bidang perubatan. Ini kerana flavonoid mengandungi sifat antioksidan, anti keradangan, anti mutagenik dan anti karsinogen yang merangsang fungsi enzim. Kedua-dua komponen ini berupaya dalam melawan penyakit kanser, penyakit Alzheimer, aterosklerosis dan lain-lain.

10 Khasiat Air Lemon Pada Kesihatan Badan

1. Merawat Penyakit Skurvi

Air lemon dikatakan mampu untuk merawat penyakit Skurvi, iaitu penyakit yang disebabkan oleh kekurangan vitamin C dalam makanan. Antara tanda-tanda penyakit Skurvi adalah gusi bengkak dan berdarah, pendarahan di bawah kulit dan ulser pada bahagian lidah dan mulut.

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam air lemon membantu dalam merawat penyakit Skurvi. Sejarah menceritakan bahawa pada zaman dahulu, anggota askar dan para pelayar diberikan air perahan lemon untuk mengelakkan penyakit. Kini, para pekerja yang berkhidmat di persekitaran yang tercemar seperti kilang semen, kawasan lombong, kawasan relau dan kedai lukisan diberikan air perahan lemon untuk mengelakkan penyakit Skurvi.

Artikel Berkaitan: Penyakit Skurvi dan Rawatan

2. Penjagaan Kulit



Air lemon memberi manfaat kepada kulit kerana mampu melembapkan kulit, menjadikan kulit berseri-seri, melindungi kulit daripada jangkitan dan mengurangkan bau badan. Ini kerana, air lemon mengandungi vitamin C dan flavanoid yang tinggi.

Kedua-dua komponen ini diklasifikasikan sebagai antioksidan kelas pertama, antibiotik dan pembasmi kuman. Perahan buah lemon yang disapu pada permukaan kulit akan bertindak sebagai skrub asid.

Perahan buah lemon mampu menanggalkan sel kulit mati, kelimumur, ruam dan bengkak. Sekiranya air perahan lemon dicampur ke dalam air mandian, ini akan memberikan kesegaran kepada tubuh badan.

3. Membantu Dalam Sistem Pencernaan

Air lemon membantu dalam sistem pencernaan kerana air lemon merangsang lebih banyak penghasilan air liur. Air liur penting untuk mencernakan makanan dalam mulut. Kandungan asid dalam air lemon membantu dalam asid dalam perut untuk mencernakan molekul makro makanan.

Selain itu, kajian menunjukkan ekstrak perahan buah lemon yang mengandungi komponen flavonoid merangsang sistem pencernaan dan meningkatkan penghasilan jus pencernaan, asid, dan hempedu serta merangsang pergerakan peristalsis.

Sedikit ilmu tambahan, masyarakat di India mengamalkan jus lemon untuk diminum semasa makan tengah hari dan malam untuk menjaga sistem penghadaman.

4. Mengelakkan Masalah Sembelit



Seperti yang telah diketahui, kehadiran asid dalam air lemon membantu untuk melancarkan sistem perkumuhan dengan membersihkan laluan tersebut. Analogi penggunaan asid dalam membersihkan lantai dan tandas sama seperti air lemon.

Kandungan serat dalam air lemon turut membantu dalam mengelakkan masalah sembelit. Masyarakat terdahulu mengamalkan air lemon bersama garam kerana berfungsi sebagai ubat julap yang membantu masalah sembelit tanpa memberikan sebarang kesan sampingan.

Artikel Berkaitan: Rawatan untuk Masalah Sembelit

5. Membantu Masalah Jangkitan Saluran Kencing

Kandungan kalium yang tinggi dalam air lemon sangat efektif dalam membuang bahan toksik dan mendakan yang berkumpul pada buah pinggang, pundi kencing dan ciri pembasmi kuman mambantu dalam merawat jangkitan pada saluran kencing.

Selain itu, air lemon berfungsi dalam menghentikan pembesaran prostat yang menjadi masalah utama untuk golongan lelaki yang berumur 40 tahun keatas. Air lemon turut membersihkan saluran kencing yang tersumbat disebabkan oleh pengerasan kalsium pada saluran air kencing.

6. Mengurangkan Paras Kolesterol

Hiperkolesterolemia adalah penyakit disebabkan oleh paras kolesterol dalam darah yang tinggi. Paras kolesterol dalam darah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti pemakanan, genetik dan masalah metabolik seperti penyakit kencing manis.



Paras kolesterol dalam darah boleh diukur melalui ujian darah. Satu kajian terhadap haiwan dilakukan dan haiwan tersebut diberikan telur kuning sehingga mencapai tahap hiperkolesterolemia. Haiwan itu diberikan perahan buah lemon dan keputusan menunjukkan terdapat pengurangan paras kolesterol apabila dibandingkan dengan paras kolesterol sebelum rawatan.

Ini berlaku disebabkan oleh kehadiran flavonoid dan vitamin C yang membantu dalam peroksidasi kolesterol.

Artikel Berkaitan: Punca Tinggi Kolesterol dan Rawatan

7. Menghalang Penyakit Obesiti

Obesiti adalah masalah kesihatan yang berlaku disebabkan oleh berlebihan lemak badan yang berkumpul dan menyebabkan masalah kepada kesihatan. Satu tips yang ingin dikongsikan, campurkan buah lemon dengan air suam untuk menghasilkan air lemon.

Air lemon yang suam ini mampu memecahkan tisu adipos (tisu lemak) dan lemak badan. Air lemon suam ini turut mengawal mengidam makanan disebabkan oleh kehadiran pektin dalam air lemon. Ektrak kulit buah lemon yang dijadikan air minuman digunakan dalam perubatan kanak-kanak dan golongan dewasa untuk mengelakkan masalah obesiti. Kehadiran sitrus dalam air lemon mengurangkan paras lipid dalam lapisan lipoprotein dalam badan.

Artikel Berkaitan: Punca Obesiti dan Rawatan

8. Mengelakkan Penyakit Tekanan Darah Tinggi



Penyakit tekanan darah tinggi adalah penyakit utama yang menyerang golongan tua dan muda. Air lemon yang mengandungi flavonoid seperti erioktitrin, heperidin dan diaosmin serta vitamin C membantu dalam mengatasi masalah ini. Kajian menunjukkan bahawa air lemon mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik.

Kajian menunjukkan bahawa air lemon dijadikan sebagai terapi kerana berupaya dalam merawat pembentukan ketulan kalsium yang disebabkan oleh kalsium tidak dirembes keluar melalui air kencing (hipositraturia). Oleh itu, ini adalah salah satu alternatif bagaimana pemakanan mampu menggantikan ubat-ubatan.

Air lemon dan juga jus buah sitrus yang lain digunakan sebagai terapi farmakologi seperti kalium sitrat yang membantu masalah hypositraturia.

Artikel Berkaitan: Simptom dan Rawatan Darah Tinggi

9. Mengelakkan Penyakit Kanser

Kanser adalah penyakit dimana sel membahagi secara abnormal dan boleh menyebabkan kematian. Namun demikian, penyakit kanser boleh dirawat dengan bantuan tumbuhan yang mempunyai kesan antikanser kerana kandungan alkaloid dalam tumbuhan tersebut.

10. Mengelakkan Penyakit Hiperurisemia

Penyakit hiperurisemia adalah penyakit metabolik yang berlaku apabila paras asid urik yang tinggi dalam darah. Ianya disebabkan oleh kurangnya asid urik yang dirembes keluar dari badan atau disebabkan oleh penghasilan asid urik yang berlebihan.



Air lemon dikatakan membantu untuk mengelakkan penyakit hiperurisemia. Kajian terhadap haiwan dijalankan dan keputusan menunjukkan bahawa air lemon mampu mengurangkan paras asid urik dalam darah. Air lemon adalah ubatan tradisional masyarakat Cina dan kajian turut dijalankan terhadap manusia menunjukkan bahawa paras asid urik dalam darah berkurangan.

Air lemon dikatakan mampu menggantikan ubat yang digunakan untuk mengawal paras asid urik yang mempunyai kesan sampingan.

Penutup

Setelah mengetahui kandungan nutrisi dan khasiat rahsia air lemon, diharap agar dapat mengubah tanggapan para pembaca terhadap air lemon. Ini disebabkan oleh rakyat di Malaysia telah diterapkan dengan pandangan bahawa minuman air lemon hanya untuk orang yang ingin menurunkan berat badan.

Namun demikian, air lemon turut memberikan impak yang positif kepada aspek yang lain. Akan tetapi, para pembaca tidak boleh terlalu obses sehingga minum air lemon secara berlebihan kerana perbuatan sedemikian akan menyebabkan masalah refluksi perut, ketidakselesaan pada bahagian perut dan pedih ulu hati.

Oleh itu, pengambilan air lemon haruslah secara bersederhana dan sekali lagi dinasihatkan bahawa tiada gula tambahan pada minuman tersebut untuk mengawal paras gula dalam darah.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan:

  1. Ajugwo, M. (2012). Nutritional value of lime and lemon in hypercholesterolaemic  induced rats. Asian Journal of Medicinal Sciences, 3(1), 1-5.
  2. Lin Chen, M.L., Wu, J.L., Li, J.X., & Ma, Z.C. (2019). Effect of lemon water soluble extract on hyperuricemia in a mouse model. The Royal Society of Chemistry,
  3. Mohanapriya, M., Ramaswamy, L., & Rajendran, R. (2013). Health and medicinal properties of lemon (Citrus Limonum). International Journal of Ayurvedic and Herbal medicine, 3(1), 1095-1100.
  4. Penniston K.L., Nakada, S.Y., Holmes, R.P., & Assimos, D.G. (2008). Quantitative assessment of citric acid in lemon juice, lime juice and commercially-available    fruit juice products. National Institutes of Health, 22(3), 567-570.     doi:10.1089/end.2007.0304
  5. Ramzan, I., Mahmood, S., Irfan, S., & Masood, A. (2019). A critical review on nutritional and medicinal importance of lemon. Acta Scientific Agriculture, 3(6), 2-4.
  6. Szalay, J. (2018). Lemons: Health Benefits & Nutrition Facts. Live Sciences. 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × two =