Skip to content

Antibodi Covid-19 Boleh Bertahan Sekurang-kurangnya 4 Bulan, Kajian dari Iceland

Novel Koronavirus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, dapat dilihat di sini melalui microskop elektron sebagai sel apoptotik (warna hijau) yang dijangkiti dengan virus SARS-CoV-2 (warna kuning).

Kajian baru yang berskala besar dari Iceland menunjukkan bahawa antibodi terhadap SARS-CoV-2, iaitu koronavirus yang menyebabkan Covid-19 dapat bertahan sekurang-kurangnya selama 4 bulan dalam kebanyakan orang.

Terdapat banyak perdebatan mengenai imuniti, antibodi dan Covid-19 – dan semuanya masih banyak lagi yang perlu diketahui. Namun begitu, tidak seperti beberapa kajian sebelumnya, penyelidikan yang baharu ini dengan yakin telah membuktikan bahawa beberapa tahap kekebalan imuniti terhadap Covid-19 boleh dicapai oleh sesetengah individu dalam masa sekurang-kurangnya empat bulan. Penemuan kajian ini telah diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.



Iceland menjadi sangat produktif dalam penyaringan Covid-19, di mana mereka telah menguji sekitar 15 peratus masyarakat daripada keseluruhan populasi negara Nordic. Dengan memanfaatkan ujian yang banyak ini, para saintis merebut peluang untuk mencari antibodi dalam sampel darah yang diambil lebih daripada 30,500 orang di Iceland (melebihi 8 peratus populasi negara itu).

Mereka menemui bahawa lebih 91 peratus daripada 1,797 orang yang pulih daripada jangkitan Covid-19 di Iceland disahkan positif antibodi. Selain itu, sekumpulan kecil masyarakat merangkumi sekitar 2,000 orang telah menunjukkan tahap virus-khusus antibodi yang kekal stabil sekurang-kurangnya selama 4 bulan selepas diagnosa awal. Mereka juga mendapati bahawa tahap antibodi ini terus meningkat dalam dua bulan pertama dan menjadi plateau dalam 2 bulan seterusnya.

“Kami berasa gembira dapat menghilangkan kerisauan mengenai anti-viral antibodi yang pada awalnya dipercayai menurun dalam beberapa minggu selepas jangkitan”, kata Kari Stefansson, pengarang kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif deCODE genetics, iaitu sebuah syarikat biofarmaseutikal swasta yang berafiliasi dengan penyelidikan.

Semua ini amat enak terdengar. Walau bagaimanapun, para penyelidik lain telah bertindak pantas dengan menunjukkan bahawa kekebalan antibodi terhadap penyakit baharu boleh berubah-ubah. Sebagai permulaan, kekebalan imuniti bukanlah sekadar kes mengenai antibodi ; maksudnya tindak balas imun terhadap patogen juga bergantung kepada pasukan B sel (sel darah putih yang mengeluarkan antibodi) and T sel (sel darah putih yang berfungsi untuk membunuh sel yang dijangkiti secara langsung).

Kajian terdahulu tidak memberi gambaran yang optimis. Satu penyelidikan yang dilakukan pada bulan Mei mendapati bahawa individu yang mengalami jangkitan Covid-19 secara ringan boleh kehilangan antibodi dengan lebih pantas berbanding individu yang sakit parah. Ini memberi kesimpulan bahawa tahap peneutralan antibodi menurun sebanyak 81 peratus terhadap pesakit tanpa gejala, berbanding 62 peratus terhadap pesakit yang mempunyai gejala dalam masa 8 minggu selepas sembuh. Kajian ini juga tidak menunjukkan bukti bahawa individu yang pernah dijangkiti Covid-19 boleh dijangkiti semula dengan virus itu.



Limitasi lain daripada penyelidikan ini ialah Iceland merupakan negara yang unik di mana masyarakatnya terdiri daripada populasi kecil yang berasal dari etnik dan geografi yang tunggal; yang bermaksud penemuan penyaringan mereka tidak semestinya menggambarkan keadaan di negara lain.

Namun, sifat semulajadi imuniti terhadap Covid-19 masih lagi kabur, penyelidikan baharu dari Iceland ini masih memberi gambaran bahawa terdapat harapan yang bermakna terhadap imuniti Covid-19.

“Pemerhatian yang paling menonjol adalah mengenai antibodi yang kekal stabil selama 4 bulan selepas diagnosis. Tidak seperti kajian sebelumnya, kajian pada kali ini mencadangkan kestabilan imuniti humoral SARS-CoV-2,” kata dua penyelidik bebas dari Universiti Harvard dan Institut Kesihatan Nasional AS, yang tidak terlibat secara langsung dengan kajian ini, melalui penulisan mereka dalam artikel komentar yang dikeluarkan bersama dengan kajian ini.

“Sama ada antibodi yang berterusan memberikan perlindungan dan mengekalkan peneutralan atau berfungsi sebagai pelindung lain yang diperlukan untuk menyekat jangkitan semula masih lagi tidak jelas,” tambah duo itu.

Diterjemah dari:

  1. Antibodies To Covid-19 Can Last For At Least 4 Months, Icelandic Study Shows
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve + 13 =