24/09/2020

The Diagnosa

Dapatkan Tips kesihatan dan penjelasan kepada penyakit anda disini

ubat aspirin

Aspirin: Fungsi, Dos dan Kesan Sampingan

Aspirin merupakan sejenis ubat tahan sakit yang tergolong dalam kumpulan Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDs). Ubat ini boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan yang bertaraf ringan dan sederhana.

Aspirin mempunyai bahan aktif iaitu Acetyl Salicylic Acid yang berfungsi sebagai ubat penahan sakit.

Ubat ini boleh didapati di farmasi tanpa preskripsi doktor. Ubat ini dijual dengan menggunakan beberapa nama di Malaysia, bergantung kepada syarikat pengeluaran ubat tersebut.

Mekanisma

Aspirin akan menghalang pengeluaran sejenis bahan kimia semulajadi di dalam badan yang dipanggil sebagai prostaglandin. Bahan kimia ini mendatangkan beberapa kesan kepada badan seperti rasa sakit, pembengkakan atau keradangan, serta pembekuan darah. Selain itu, Prostaglandin ini juga melindungi lapisan perut kita supaya tidak dihakis oleh asid perut yang digunakan untuk memecahkan makanan seharian.

Fungsi Aspirin

Ubat aspirin mempunyai pelbagai fungsi. Antaranya termasuklah:

  • Ubat tahan sakit. Sakit yang biasa dan tidak kuat seperti sakit otot, gigi, kepala, dan senggugut boleh dikurangkan dengan penggunaan ubat ini.
  • Ubat demam. Seseorang yang mengalami demam panas boleh mengambil ubat ini bagi menurunkan suhu badan.
  • Ubat cair darah. Ubat ini juga membantu menghalang pembentukan darah beku dalam saluran darah.

Tetapi di Malaysia secara umumnya, aspirin ini kerap digunakan sebagai ubat cair darah terutamanya mereka yang pernah mengalami serangan sakit jantung ataupun angin ahmar.

Cara pengambilan Aspirin

Ubat ini wujud dalam bentuk tablet dan boleh ditelan atau dilarutkan di dalam air sebelum diminum. Ianya boleh diambil ketika atau selepas makan bagi mengelakkan kesan sampingan pada perut iaitu pembentukan ulser.

Kesan Sampingan Aspirin

Ubat ini mempunyai beberapa kesan sampingan. Sesetengah kesan adalah ringan dan tidak memerlukan rawatan yang rapi. Manakala terdapat juga beberapa kesan sampingan yang lebih serius dan memerlukan rawatan segera daripada doktor.

Antara contoh kesan sampingan ubat aspirin ialah:

Ulser di dalam perut boleh berlaku akibat mekanisma ubat ini itu sendiri yang menghalang pengeluaran prostaglandin. Prostaglandin selain menyebabkan peningkatan suhu badan, pembengkakan tisu, serta pembekuan darah, ianya juga mempunyai fungsi lain iaitu menghasilkan lapisan pelindung di dalam perut.

Lapisan pelindung ini berfungsi untuk menghalang asid perut daripada menghakis dinding perut. Sekiranya penghasilan prostaglandin dihentikan, lapisan pelindung ini tidak boleh terbentuk. Oleh sebab itu, asid perut mampu menghakis bahagian dinding sehingga menyebabkan gastritis dan ulser perut.

Ulser perut sekiranya bertambah besar, ianya boleh menyebabkan pendarahan berlaku kerana salur darah yang terdapat di sekeliling ulser turut terhakis. Antara gejala masalah ini ialah pesakit boleh mengalami muntah darah atau najis bertukar menjadi warna hitam.

Sekiranya darah hilang dengan banyak, pesakit boleh mengalami simptom anaemia seperti pucat, pening kepala, keletihan, sesak nafas, dan sakit dada. Pada masa ini, penggunaan ubat ini akan dinilai semula oleh doktor.

Penambahan ubat lain yang membantu mengurangkan risiko pembentukan ulser perut mungkin akan diberikan.

Pengambilan secara berlebihan

Pada masa yang sama, sekiranya seseorang mengambil ubat aspirin dalam dos yang berlebihan, gejala seperti pernafasan laju, berpeluh, telinga berdesing, badan menggigil, sawan, ataupun pengsan boleh berlaku. Mereka yang mengalami masalah ‘overdose’ ini perlu dibawa ke hospital dengan segera untuk rawatan yang lebih lanjut.

Alahan pada Aspirin

Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan bahawa seseorang itu mungkin mempunyai allergi terhadap ubat ini. Antaranya termasuklah pembentukan ruam pada kulit, pembengkakan muka, mata, bibir, lidah, tekak, ataupun sesak nafas. Pengambilan ubat ini perlulah dihentikan dan pesakit perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

Interaksi Aspirin dengan ubat lain

Pesakit yang mengambil ubatan seperti Mifepristone, Acetazolamide, ubat pencair darah seperti Warfarin atau Heparin, ubat steroid seperti Prednisone, ubat Methotrexate, Asid Valproik, atau herba seperti gingko biloba, perlu beritahu kepada doktor. Antara interaksi yang boleh berlaku termasuklah peningkatan risiko pembentukan ulser perut, pening kepala, kekeliruan, sawan, loya, dan muntah.

Peringatan tentang Aspirin

Sesetengah pesakit tidak sesuai untuk menggunakan ubat ini kerana risiko mendapat penyakit lain ataupun kesan sampingan daripada ubat. Antara perkara yang perlu diketahui oleh doktor sebelum memberikan preskripsi aspirin kepada pesakit ialah:

  • Sejarah penyakit haemofilia. Penyakit ini menyebabkan tubuh seseorang sukar menghentikan pendarahan sekiranya berlaku. Pengambilan aspirin akan menambah teruk pendarahan kerana ianya bertindak sebagai pencair darah.
  • Sejarah penyakit ulser perut. Ubat ini akan meningkatkan risiko ulser perut untuk berulang dan seterusnya pendarahan.
  • Sejarah penyakit asma. Pesakit asma adalah lebih berisiko untuk mendapat serangan asma daripada aspirin.
  • Pengambilan alkohol berlebihan. Golongan ini berisiko untuk mendapat ulser perut. Pemberian ubat aspirin akan meningkatkan lagi risiko mendapat penyakit ini.
  • Umur pesakit. Mereka yang berusia 16 tahun ke bawah tidak boleh menerima ubat ini bagi mengelakkan Sindrom Reye, iaitu pengumpulan lemak pada organ seperti hati, otak, dan sebagainya.
  • Wanita mengandung. Ubat ini boleh menyebabkan masalah ketika bersalin kerana risiko pendarahan yang banyak.

Rujukan

1. Aspirin, MyHEALTH
2. Aspirin, MIMS