28/09/2020

The Diagnosa

Dapatkan Tips kesihatan dan penjelasan kepada penyakit anda disini

bengkak sendi

Bengkak Sendi: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah sebab-sebab berlakunya bengkak sendi? Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap tentang punca-punca yang menyebabkan bengkak sendi dan cara rawatannya.

Pengenalan

Sendi ialah struktur yang menghubungkan antara tulang dengan tulang lain dalam badan. Ia dijumpai di bahagian pergelangan kaki, tangan, bahu, siku, punggung, lutut, buku lali dan jari kaki. Sendi kita dikelilingi dan dilapisi oleh tisu lembut. Pembengkakan sendi boleh terjadi disebabkan oleh proses keradangan, di mana cecair akan berkumpul di tisu-tisu ini sehingga menyebabkan rasa sakit dan kaku. Anda juga mungkin menyedari bahawa sendi yang bengkak akan kelihatan lebih besar dan berasa suam berbanding normal.

Simptom Bengkak Sendi

Gejala bengkak sendi ialah:

  • Sakit yang mendalam dan pedih
  • Sendi rasa panas ketika disentuh
  • Rasa kaku
  • Tidak dapat menggerakkan sendi secara normal

Punca Bengkak Sendi

Salah satu punca pembengkakan sendi yang paling kerap adalah arthritis. Beberapa jenis arthritis yang paling biasa terjadi termasuklah:

1. Gout

Gout lazimnya berlaku apabila terdapat peningkatan asid urik dalam darah sehingga berlakunya deposit kristal asid urik di sendi anda, yang menyebabkan pembengkakan dan sakit sendi. Asid urik ialah asid yang dihasilkan oleh badan semasa proses pemecahan bahan makanan terutama makanan yang tinggi kandungan purine.

Biasanya asid ini larut dalam darah dan dirembes keluar dari badan melalui air kencing. Namun, apabila tidak dirembeskan dengan betul, ia boleh terkumpul di sendi dan membentuk kristal seperti jarum. Keadaan yang menyakitkan ini boleh menjadi akut atau kronik. Golongan lelaki lebih cenderung kepada penyakit ini daripada wanita, tetapi wanita menjadi lebih mudah terkena gout selepas menopaus.

2. Osteoartritis (OA)

Osteoartritis adalah sejenis arthritis yang paling kerap terjadi. Ia disebabkan oleh proses kemerosotan semula jadi tulang rawan sendi dari masa ke masa. Apabila tulang rawan di keliling sendi anda semakin luntur, tulang akan bergesek satu sama lain yang boleh mengakibatkan bengkak, sakit, dan kekejangan sendi.

3. Rheumatoid artritis (RA)

Rheumatoid artritis merupakan penyakit autoimun (sejenis keadaan di mana badan anda menyerang tisu sihatnya sendiri) dan bersifat progresif yang menyebabkan keradangan pada sendi. Ia mempengaruhi kira-kira 5 dari 1000 orang di Malaysia dan boleh terjadi kepada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

Jika anda mempunyai RA, anda akan berasa sendi menjadi sakit, kaku dan bengkak, terutamanya di bahagian tangan, kaki, dan lutut. Sekiranya rawatan ditangguhkan atau tidak mencukupi, RA mampu menyebabkan hakisan tulang, kemusnahan tulang rawan dan kehilangan keseluruhan integriti sendi.

4. Psoriatic arthritis

Psoriatic arthritis adalah sejenis arthritis yang terjadi bersama penyakit kulit iaitu psoriasis. Ia juga bersifat autoimun yang mengakibatkan keradangan, bengkak, sakit, dan kekejangan sendi. Sehingga 30% orang yang mempunyai psoriasis akan menghidap psoriatic arthritis.

5. Arthritis septik

Pembengkakan sendi juga boleh berlaku akibat jangkitan bakteria, virus, atau kulat pada sendi. Pembengkakan sendi jenis ini disebut sebagai arthritis septik. Penyebab arthritis septik yang paling biasa adalah jangkitan oleh bakteria Staphylococcus aureus. Jangkitan bergerak ke sendi melalui aliran darah dari bahagian tubuh yang lain, seperti kulit, hidung, tekak, telinga, atau luka.

Dalam beberapa jam hingga beberapa hari, rasa sakit, keradangan, bengkak sendi, dan demam boleh menjadi semakin teruk. Bahagian badan yang paling kerap terkena arthritis septik adalah lutut, pinggul, bahu, pergelangan kaki, dan pergelangan tangan. Sendi yang rosak akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan.

6. Kecederaan sendi

Kecederaan sendi boleh mengakibatkan sakit sendi, bengkak, dan rasa kaku. Kadang kala sakit sendi boleh berlaku disebabkan oleh otot, tendon, dan ligamen yang cedera atau terkoyak di sekitar sendi, bursitis, tendonitis, dislokasi, ketegangan, dan patah tulang.

7. Punca lain

Selain jenis-jenis artritis yang dinyatakan, keadaan kesihatan yang lain boleh juga menyebabkan bengkak sendi. Contohnya seperti:

  • Ankylosing Spondylitis iaitu penyakit kronik yang menyebabkan radang sendi
  • Systemic Lupus Erythematosus iaitu gangguan autoimun yang menyebabkan keradangan
  • Hipotiroid
  • Sarcoidosis iaitu penyakit di mana kumpulan sel-sel keradangan terkumpul di dalam badan anda
  • Rheumatid Fever iaitu penyakit radang yang disebabkan oleh radang tekak yang tidak dirawat
  • Tendinitis iaitu radang pada tendon

Rawatan

Rawatan yang disyorkan oleh doktor akan bergantung kepada punca bengkak sendi anda. Berikut merupakan beberapa cara yang boleh digunapakai untuk merawat bengkak sendi:

  • Letakkan ais atau pek sejuk yang dibalut dengan kain ke bahagian sendi yang bengkak selama 10-30 minit pada satu masa untuk mengurangkan bengkak dan kemerahan.
  • Letakkan tekanan pada sendi menggunakan pembalut elastik atau balut. Tinggikan sendi ketika anda berehat, iaitu pada paras yang lebih tinggi dari jantung anda.
  • Gunakan ubat tahan sakit seperti paracetamol (panadol) atau kumpulan NSAID yang lain (jika paracetamol tidak membantu).
  • Elakkan daripada bergerak atau meletakkan sesuatu berat pada sendi yang cedera untuk jangka masa tertentu.
  • Walaupun penting untuk memberi masa kepada tubuh anda untuk sembuh, tidak menggunakan sendi dengan terlalu lama juga boleh menyebabkan kekuatan otot dan gerakan anda merosot.
  • Pakai kasut yang rata

Sekiranya anda di diagnosis dengan keadaan penyakit kronik seperti osteoartritis atau lupus, ikut rawatan yang disyorkan oleh doktor anda. Mereka mungkin mengesyorkan ubat, terapi fizikal, atau rawatan lain untuk membantu melegakan simptom dan menjaga kesihatan sendi anda.

Rujukan

  1. O’Connell, K. (2014, May 14). What You Need to Know About Joint Swelling. Retrieved August 17, 2020, from
  2. Swollen Joints (Joint Effusion): 7 Causes of Swelling in Joints. (2020, June 12). Retrieved August 17, 2020,
  3. Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS). (2019). Malaysia CPG – MANAGEMENT OF RHEUMATOID ARTHRITIS. Retrieved August 17, 2020, from
  4. Arthritis Foundation, Malaysia ” Blog Archive ” Rheumatoid arthritis. (n.d.). Retrieved August 17, 2020, from http://afm.org.my/wp/?p=72/