Skip to content

Diet Ketogenik: Indikasi, Cara, Kelebihan dan Kesan Sampingan

Apakah fungsi diet ketogenik? Artikel ini akan menghuraikan secara lengkap berkenaan diet ketogenik, kelebihan serta kesan sampingannya.

Isi Kandungan
  1. Apa itu Diet Ketogenik
  2. Diet Ketogenik dan Masalah Saraf
  3. Ciri-ciri diet ketogenik dalam rawatan pesakit
  4. Bagaimana Diet Ketogenik berfungsi?
  5. Simptom Ketosis
  6. Jenis Diet Ketogenik
  7. Bagaimana mengamalkan diet?
  8. Kesan Positif
  9. Mengawal berat badan
  10. Kesan Sampingan
  11. Kontradiksi

Apa itu Diet Ketogenik?

Diet ketogenik (DK) mula diperkenalkan pada tahun 1921 untuk merawat epilepsi dalam kalangan kanak-kanak. Sawan adalah salah satu simptom epilepsi. Asas kepada DK adalah melibatkan komposisi lemak yang tinggi dan karbohidrat yang rendah dalam pemakanan harian. Sebagai contoh, pecahan makronutrien dalam diet DK dianggarkan kira-kira 55-60% lemak, 30-35% protein, dan 5-10% karbohidrat daripada jumlah tenaga (kalori) harian.

Secara asasnya, DK tergolong dalam kumpulan diet terapeutik, iaitu diet yang diubah kandungan nutriennya untuk membantu merawat sesuatu penyakit atau keadaan. Pengubahsuaian kandungan nutrien ini boleg melibatkan peningkatan atau pengurangan makronutrien (karbohidrat, protein, lemak) atau mikronutrien (vitamin dan mineral) bagi memenuhi keperluan pesakit.



Menurut Manual Diet Hospital 2016 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, diet ketogenik ditakrifkan sebagai:

‘Diet yang tinggi kandungan lemak dan rendah karbohidrat bagi tujuan meransang dan mengekalkan ketosis.‘

Diet Ketogenik dan Masalah Saraf

Pesakit yang memerlukan diet sebegini biasanya terdiri daripada mereka yang menghidapi penyakit berkaitan neurologi (sistem saraf). Contohnya, pesakit epilepsi yang tidak dapat mengawal keadaan mereka dengan ubat/mengalami kesan sampingan ubat atau pesakit amyotrophic lateral sclerosis, ALS (penyakit neuron motor).

Epilepsi adalah gangguan otak apabila sel saraf mengeluarkan isyarat yang berlainan daripada isyarat normal manakala ALS adalah keadaan di mana saraf otak dan saraf tunjang yang mengawal pergerakan badan berhenti berfungsi.

Terdapat hasil kajian yang menunjukkan DK berkesan mengurangkan episod sawan dalam 4 daripada 10 pesakit epilepsi kanak-kanak. Dos ubat juga dapat direndahkan selepas 3 bulan DK diamalkan.



Mekanisme DK dalam merawat epilepsi masih diteliti. Antara kemungkinan mengapa diet ini dapat membantu pesakit epilepsi adalah kerana perubahan metabolisme tenaga bagi keperluan otak, yang menstabilkan fungsi sel saraf.

Ia juga dapat memberi manfaat buat pesakit kanser, ketumbuhan, ekzema, serta autoimun kerana melibatkan pengambilan karbohidrat yang rendah.

Untuk mengamalkan DK, pesakit perlu mendapat nasihat dan pemantauan rapi daripada pakar neurologi serta pengiraan dan pengawasan terperinci oleh Pegawai Dietetik.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ciri-ciri Diet Ketogenik dalam Rawatan Pesakit

  1. Semua makanan perlu ditimbang dengan tepat berdasarkan pengiraan menggunakan ketocalculator.
  2. Pengambilan karbohidrat ringkas (gula, kordial, kuih manis) perlu dielakkan.
    • Karbohidrat ringkas dihadam dengan lebih cepat dan meningkatkan kadar gula dalam darah dengan lebih laju.
  3. Pengambilan lemak daripada sumber rantai sederhana (Medium Chain Triglycerides) adalah digalakkan.
    • Lemak rantai sederhana dicerna dan diserap ke dalam badan dengan lebih cepat. Sumber MCT adalah seperti minyak kelapa, santan, dan suplemen minyak MCT (MCT oil).
  4. Pengambilan sumber karbohidrat kompleks (nasi, kentang, roti mil penuh, oat) digalakkan.
    • Karbohidrat kompleks dihadam dengan lebih perlahan berbanding karbohidrat ringkas dan meningkatkan gula dalam darah dengan kadar yang lebih perlahan.
  5. Pengambilan air mengikut saranan adalah digalakkan bagi mengelakkan masalah batu karang.
  6. Suplemen multivitamin, kalsium, dan zat besi perlu diberi kerana DK adalah diet tidak seimbang.

Bagaimana Diet Ketogenik Berfungsi?

Seperti yang kita tahu, terdapat tiga kumpulan makanan utama yang membekalkan tenaga kepada kita setiap hari. Tiga kumpulan itu ialah karbohidrat (nasi, mi, roti, bijirin, sayur-sayuran berkanji), protein (daging, ayam, ikan, telur, susu dan produk tenusu), serta lemak (minyak, mentega, marjerin).

Karbohidrat adalah penyumbang tenaga yang utama kepada manusia. Apabila badan kekurangan sumber karbohidrat (pengambilan karbohidrat kurang daripada 50 gram sehari), ia akan melalui dua proses metabolik iaitu glukoneogenesis dan ketogenesis.

Glukoneogenesis ialah penghasilan glukosa atau gula dalam badan oleh organ hati bagi membekalkan tenaga. Apabila jumlah gula dalam badan semakin berkurangan, proses ketogenesis akan bermula bagi memastikan keperluan tenaga mencukupi supaya badan berfungsi dengan normal.

Ketogenesis akan menghasilkan keton, pengganti kepada glukosa untuk membekalkan tenaga kepada jantung, tisu otot, serta buah pinggang. Ia juga merupakan sumber tenaga alternatif untuk otak. 

Kebiasaannya, DK akan didahului dengan fasa berpuasa bagi mengurangkan jumlah simpanan glukosa (gula) dalam badan. Keadaan ini akan memastikan tubuh badan beralih kepada simpanan lemak sebagai sumber tenaga.



*Ketosis = Keadaan di mana keton membekalkan sumber tenaga lalu mengurangkan keperluan glukoneogenesis dan memelihara protein dalam badan.

*Ketogenesis = Proses pemecahan asid lemak untuk menghasilkan keton.

Bagaimana untuk mengetahui bahawa badan sedang mengalami ketosis?

Selain daripada mengambil sampel air kencing, ujian darah, atau sampel nafas, terdapat beberapa tanda yang menunjukkan badan sedang berada dalam keadaan ketosis. Antaranya ialah mulut kering, dahaga, dan lebih kerap membuang air kecil.

Jenis Diet Ketogenik

  1. Diet Ketogenik Klasik
    • DK Klasik melibatkan nisbah jumlah (gram) lemak kepada protein & karbohidrat sekitar 4:1. Dalam erti kata yang lain, DK jenis ini perlu mengandungi 4 kali ganda sumber lemak berbanding protein dan karbohidrat. Ia juga boleh diamalkan dalam julat 3:1 sehingga 5:1.
  2. Diet Trigliserida Rantai Sederhana (Medium Chain Trygliceride @ MCT)
    • Diet MCT adalah berasaskan minyak MCT. Pesakit memerlukan 60% keperluan tenaga (kalori) daripada sumber minyak MCT. Berbanding DK jenis klasik, DK jenis ini mempunyai sumbangan kalori yang lebih tinggi daripada sumber karbohidrat dan protein.

Terdapat dua lagi jenis DK yang direka bertujuan untuk merawat pesakit epilepsi:

1. Modified Atkins Diet

Melibatkan pengambilan lemak yang tinggi dan pengawasan ketat terhadap pengambilan karbohidrat. Lebih fleksibel berbanding dua jenis DK di atas kerana lebih banyak protein boleh diambil dan tidak memerlukan perkiraan berat bagi setiap makronutrien.

2. Low Glycaemic Index Treatment

Memberi fokus terhadap indeks glisemik serta jumlah karbohidrat yang diambil. Tidak bertujuan untuk menghasilkan keadaan ketosis.



Bagaimana mengamalkan DK?

  1. Secara asasnya, diet ketogenik mengehadkan pengambilan karbohidrat. Pengambilan karbohidrat biasanya dihadkan kepada kurang 50 gram sehari, dan lebih ideal apabila mencapai serendah 20 gram sehari. Berikut merupakan senarai porsi makanan yang bersamaan dengan 15 gram karbohidrat (75 kcal).
    • Sesenduk nasi
    • Secawan bubur nasi
    • Setengah cawan kuetiau
    • 3 sudu makan membumbung oat mentah
    • 6 keping biskut krim kraker kecil
    • 3 keping biskut marie
    • Sekeping roti
    • Sebiji ubi kentang (berat 84 gram)
    • Antara makanan yang mempunyai kurang atau sifar kandungan karbohidrat ialah minyak, daging, ikan dan makanan laut, keju, telur, serta sayur-sayuran yang melata di atas tanah.
  2. Pengambilan makanan dari kumpulan lemak harus mencukupi. DK dapat mengelakkan rasa terlalu lapar berbanding berpuasa secara keseluruhan. Ini dapat mengekalkan momentum untuk terus mengamalkan diet sebegini. Berikut merupakan senarai makanan daripada kumpulan lemak yang mana setiap satu daripadanya mengandungi 5 gram lemak (45 kcal).
    • 1 sudu teh membumbung mayonis
    • 1 sudu teh aras marjerin
    • 1 hirisan mentega
    • 1 sudu teh minyak
    • Sumber lemak juga boleh didapati daripada kacang dan kekacang seperti almond, walnut, gajus, yang turut mengandungi protein.
  3. Kekalkan pengambilan protein dalam kadar sederhana, iaitu dalam anggaran 40 hingga 50 gram bagi wanita dan 50 hingga 60 gram bagi lelaki. Bagaimanapun, ini hanyalah anggaran secara kasar. Angka sebenar harus ditentukan mengikut jenis DK yang diamalkan dan keperluan serta keadaan tubuh badan. Senarai di bawah menunjukkan contoh sumber makanan yang mengandungi 7 gram protein.
    • Seketul daging ayam bahagian dada seberat 38 gram
    • Seketul daging sebesar kotak mancis
    • Seketul kepak ayam
    • Sebiji telur
    • Seekor kecil ikan kembong
    • Setengah keping tenggiri
  4. Ambil sayur-sayuran rendah karbohidrat, terutamanya sayur-sayuran berdaun hijau. Sayur-sayuran, seperti saranan dalam kebanyakan jenis diet, mesti diambil dalam setiap hidangan berat. Ini juga adalah satu cara untuk meningkatkan pengambilan lemak, sebagai contoh, salad yang dicampur bersama minyak zaitun.

Nombor pada setiap makanan adalah kandungan karbohidrat (gram) bagi 100 gram makanan tersebut.

Apakah kesan positif DK?

  1. Membantu menurunkan berat badan
  2. Apabila badan beralih kepada lemak sebagai sumber tenaga yang menggantikan glukosa, berat badan akan lebih mudah untuk diturunkan.
  3. Mengawal selera makan
  4. Membantu mengawal paras gula dalam darah
  5. Membantu mengawal tekanan darah
  6. Meningkatkan prestasi kesihatan mental
  7. Ketosis membekalkan keton kepada otak secara berterusan. Ini juga dapat menambah baik daya fokus dan tumpuan.
  8. Mengurangkan insiden perut kembung terutama bagi individu yang mempunyai iritasi pada usus.
  9. Meningkatkan ketahanan fizikal

Walau bagaimanapun, penting untuk kita tahu bahawa DK adalah diet jangka masa pendek yang lebih memberi fokus kepada penurunan berat badan berbanding untuk mendapat manfaat kesihatan yang lain.

Diet Ketogenik bagi Mengawal Berat Badan

Seiring dengan kemajuan bidang kesihatan di mana ubat-ubatan untuk merawat epilepsi diperkenalkan, diet ketogenik kini lebih sinonim sebagai salah satu cara untuk menurunkan berat badan dengan cepat. Ini kerana, apabila tubuh badan tidak mendapat sumber tenaga daripada karbohidrat, ia akan beralih kepada sumber tenaga alternatif, iaitu dengan ‘membakar’ lemak.

Pengamal DK pada mulanya akan kehilangan berat badan secara mendadak sehingga 4.5 kg dalam masa 2 minggu atau kurang dari itu. DK juga mempunyai kesan diuretik (meningkatkan pengeluaran air kencing), maka sebahagian daripada penurunan awal berat badan ini adalah disebabkan kehilangan air dari dalam badan.

Harus diingat bahawa pemantauan yang ketat terhadap fungsi buah pinggang adalah sangat penting sekiranya DK diamalkan.

Kesan Sampingan Diet Ketogenik

Antara kesan jangka pendek DK ialah:

DK juga berisiko membawa kesan jangka masa panjang seperti:

  • Fatty Liver (Penyakit hati berlemak)
  • Hypoproteinemia (Kekurangan protein dalam darah)
  • Batu karang
  • Kekurangan vitamin dan mineral

Kontraindikasi untuk Diet Ketogenik

Terdapat beberapa keadaan yang berisiko membahayakan individu tersebut sekiranya mengamalkan diet ketogenik. Antaranya ialah:



  1. Pesakit kencing manis yang mengambil insulin atau ubat-ubatan bagi mengawal gula dalam darah
  2. Risiko menghadapi hipoglisemia (paras gula rendah dalam darah) sekiranya tidak melaraskan waktu atau dos ubat sebelum mengamalkan DK
  3. Pesakit radang pankreas
  4. Pesakit kegagalan hati
  5. Pesakit dengan masalah metabolisme lemak

Bagi pesakit ataupun individu sihat, sebelum mengamalkan diet ketogenik, nasihat dan tunjuk ajar daripada pakar perubatan, pegawai dietetik atau pemakanan adalah sangat penting untuk menentukan kesesuaian diet ini diamalkan oleh individu tersebut.

Ini kerana, komposisi makronutrien yang diubah berbanding pemakanan kebiasaan mungkin akan mendatangkan kesan sampingan. Di samping itu, kaedah pengiraan bagi lemak, protein, dan karbohidrat bagi diet ini juga mungkin adalah lebih kompleks dan memerlukan bantuan pegawai pemakanan.

Rujukan:

  1. Eenfeldt, A., & Scher, B. (2020). A ketogenic diet for beginners.
  2. Emory University Health Sciences Center. (2005). Ketogenic diet prevent seizures by enhancing brain energy production, increasing neuron stability.
  3. Masood, W., Annamaraju, P., & Uppaluri, K. R. Ketogenic Diet. [Updated 2020 Jun 22]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2020 Jan.
  4. Ministry of Health Malaysia. (2016). Hospital Diet Manual.
  5. Schoeler, N. (2019). Ketogenic Diet.
  6. Universiti Sains Malaysia. (n.d.). Diet Ketogenik.
  7. Zelmen, K. M. (2019). What’s a Ketogenic Diet.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7 + sixteen =