Skip to content

Buku Lali Bengkak: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah buku lali bengkak? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah buku lali.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca
  3. Sejarah Pesakit dan Simptom
  4. Pemeriksaan dan Ujian
  5. Cara dan Rawatan
  6. Bilakan kena berjumpa dengan doktor?

Pengenalan

Bengkak buku lali berlaku apabila bendalir badan seperti darah dan cecair limfa berkumpul di bahagian buku lali dan sukar untuk bergerak ke bahagian badan yang lain akibat punca yang pelbagai. Keadaan ini dipanggil “edema buku lali”.

Bengkak buku lali mungkin nampak merisaukan tetapi dalam banyak keadaan, terutamanya setelah berdiri lama atau berjalan secara berterusan, bengkak buku lali bukanlah masalah serius dan biasanya akan hilang dengan sendiri. Namun ada juga sebab yang lebih serius dan penting untuk diketahui di sebalik masalah bengkak buku lali.

Punca



Masalah Aliran Darah dan Limfa

1. Berdiri Lama atau Berjalan Berterusan

Berdiri terlalu lama atau berjalan berterusan menyebabkan graviti mengumpulkan darah dalam salur vena di kaki dan menyukarkan vena untuk mengangkut darah kembali ke jantung. Darah yang terkumpul dalam vena di kaki menyebabkan buku lali bengkak, terutamanya dalam kalangan individu yang jarang bergerak aktif dan kemudiannya berdiri lama atau berjalan berterusan. Dalam kalangan individu yang aktif, otot kaki mereka bekerja lebih kuat dan efisien untuk mengangkut darah vena melawan graviti dari kaki ke jantung.

2. Berat Badan Berlebihan

Obesiti dan juga mengandung boleh menyebabkan pengangkutan darah dari vena di kaki ke jantung menjadi tidak efisien, menyebabkan buku lali dan kaki bengkak.



3. Kekurangan Vena Kronik (Chronic Venous Insufficiency)

Vena berperanan mengangkut darah melawan graviti dari kaki ke jantung. Vena dilengkapi dengan injap untuk mengelakkan darah daripada ditarik graviti kembali ke bawah pada kaki setelah diangkat ke atas menuju jantung.

Akan tetapi, dalam masalah kekurangan vena kronik atau CVI (singkatan untuk istilah bahasa inggerisnya iaitu chronic venous insufficiency) pesakit mengalami masalah pada injap vena tersebut dan darah pesakit bertakung di kaki kerana tidak disekat oleh injap yang bermasalah. Takungan darah ini menyebabkan bengkak pada buku lali dan kaki. CVI juga menyebabkan perubahan pada warna kaki, gatal pada kaki dan ulser di buku lali. 

4. Thrombosis Vena Dalam (Deep Vein Thrombosis)

Darah beku pada salur vena menyebabkan aliran darah dari kaki ke jantung tersekat, mengakibatkan darah bertakung di bahagian buku lali dan kaki. Masalah ini berpotensi berlaku dalam kalangan ibu mengandung, individu yang duduk lama dalam kapal terbang dan penghidap kanser.

Antara simptomnya ialah bengkak buku lali dan kaki, sakit pada betis dan demam. Jika darah beku bergerak ke paru-paru dan menyebabkan sesak nafas, sakit dada atau batuk berdarah, keadaan ini dipanggil “pulmonary embolism” dan boleh menyebabkan kematian pada pesakit. 

5. Lymphedema 

Jaringan salur limfa berperanan membantu salur darah untuk mengalirkan bendalir badan. Namun pergerakan bendalir boleh terbantut apabila jaringan salur limfa ini rosak dan tercedera akibat punca seperti rawatan radioterapi atau dibedah dalam keadaan tertentu seperti untuk mengelakkan penularan kanser dalam badan. Pergerakan bendalir yang terbantut menyebabkannya terkumpul dan mengakibatkan bengkak yang biasanya berlaku di tangan atau kaki. Keadaan ini dipanggil lymphedema. 



Kehamilan

1. Fisiologi Normal Kehamilan

Untuk menyediakan badan agar dapat menampung tumbesaran janin, tubuh ibu meningkatkan lagi isipadu plasma dalam darah agar alirah darah dapat dilancarkan ke dan dari janin untuk keperluan pembekalan oxygen, nutrien dan mengangkut hasil kumuh. Pada masa sama badan juga bertambah berat dan rahim bertambah besar, menyebabkan aliran bendalir badan yang sudah sedia ada meningkat isipadunya menjadi lebih perlahan dan bertakung di bahagian buku lali dan kaki. Takungan bendalir darah ini menyebabkan buku lali bengkak dalam ibu mengandung namun keadaan ini merupakan proses fisiologi kehamilan yang normal.

2. Pre-Eclampsia 

Pre-eclampsia ialah masalah darah tinggi dalam ibu mengandung yang diiringi dengan kehadiran lebihan protein dalam air kencing. Masalah ini boleh menyebabkan edema pada buku lali dan berat badan bertambah mendadak kerana masalah air yang bertakung dalam badan. 

Kecederaan 

Kecederaan seperti terseliuh buku lali atau patah buku lali menyebabkan keradangan pada buku lali. Keradangan ialah respon kepada kecederaan dan merupakan manifestasi usaha badan untuk memulihkan kecederaan tersebut. Disebabkan oleh keradangan, aliran darah dan sel imun badan bertambah ke kawasan buku lali yang tercedera untuk membantu usaha pemulihan. Akan tetapi, pertambahan aliran darah dan sel imun ini menyebabkan bengkak berlaku pada buku lali sebaik sahaja selepas pesakit rasa sakit pada awalnya ketika kecederaan berlaku. 

Keradangan 



Penyakit-penyakit radang seperti gout, osteoarthritis, rheumatoid arthritis, atau psoriatic arthritis yang menyerang sendi buku lali bukan sahaja menyebabkan rasa sakit dan sukar untuk menggerakkan kaki tetapi juga bengkak. Osteoarthritis (kemerosotan tulang rawan di sendi) mungkin boleh jadi berlaku di buku lali sahaja terutamanya dalam kalangan individu yang pernah mengalami kecederaan pada buku lali sebelum ini tetapi masalah seperti gout dan autoimun seperti rheumatoid arthritis atau psoriatic arthritis juga akan menyerang sendi-sendi lain di badan. 

Selain radang pada sendi, radang pada struktur tendon atau bursa di buku lali juga boleh menyebabkan bengkak. Radang pada tendon dipanggil tendonitis, dan masalah ini berlaku biasanya dalam kalangan pelari dan atlet, tetapi boleh juga berlaku kepada orang yang lebih berumur, memiliki berat badan berlebihan, mempunyai sejarah kecederaan buku lali dan memakai kasut yang tidak sesuai. Radang pada bursa pula dipanggil bursitis dan antara punca kepada bursitis di buku lali ialah penggunaan buku lali secara berterusan dalam aktiviti lasak, berlari tanpa meregangkan badan terlebih dahulu, pemakaian kasut yang tidak sesuai, kecederaan dan juga masalah medikal seperti penyakit-penyakit dalam kategori arthritis.

Jangkitan Kuman

Jangkitan kuman pada sendi buku lali iaitu septic arthtritis boleh menyebabkan demam, sakit buku lali, ketidakupayaan untuk menggerakkan kaki dan bengkak pada buku lali.

Cellulitis, jangkitan bakteria pada lapisan kulit dalam biasanya berlaku pada bahagian kaki dan menyebabkan simptom demam, kemerahan dan juga bengkak.

Pesakit diabetes lebih berisiko mendapat jangkitan pada kawasan kaki dan buku lali yang boleh menyebabkan bengkak pada kawasan tersebut.

Masalah Jantung, Hati dan Buah Pinggang

1. Masalah Jantung



Jantung ada bahagian kiri dan kanan. Bahagian kanan jantung menerima darah dari seluruh badan dan mengepamnya ke paru-paru. Bahagian kiri jantung pula menerima darah dari paru-paru dan mengepamnya ke seluruh badan. Darah dari seluruh badan akan bergerak ke jantung kanan, dipam ke paru-paru, mengalir ke jantung kiri, dipam ke seluruh badan dan kembali semula ke jantung kanan untuk meneruskan kitaran darah seterusnya.

Kegagalan jantung sebelah kanan (right sided heart failure) boleh menyebabkan darah dari seluruh badan tidak dapat dipam ke paru-paru, menyebabkan darah dari seluruh badan bertakung dalam salur darah. Antara bahagian yang terkesan akibat takungan darah dalam salur darah badan itu ialah bahagian buku lali dan kaki, menyebabkannya jadi bengkak dan besar lebih daripada biasa. 

Simptom lain kegagalan jantung ialah senang rasa penat, tidak boleh tidur tanpa bantal tinggi dan sesak nafas. Pesakit juga boleh ada sakit dada, muntah-muntah dan berpeluh kerana kegagalan jantung (heart failure) boleh berlaku bersama serangan jantung (acute coronary syndrome).

2. Masalah Hati

Hati merupakan pusat penghasilan albumin yang berfungsi mengekalkan bendalir dalam salur darah agar dapat dialirkan ke lokasi lain dan dikembalikan ke jantung. Apabila hati bermasalah, penghasilan albumin berkurang dan bendalir dari salur darah mula melimpah ke tisu badan sekeliling lalu berkumpul di kawasan tersebut tanpa dapat dialirkan ke tempat lain dan tidak dapat dikembalikan ke jantung. Simptom masalah hati merangkumi bengkak buku lali, masalah perut membesar atau “busung” (ascites), ketulan di bahagian kanan perut dan kuning pada badan. 

3. Masalah Buah Pinggang

Buah pinggang berfungsi menapis bendalir dari salur darah yang masuk ke saluran kencing. Antara bahan yang ditapis masuk ke saluran kencing ialah garam sodium dan air dalam darah akan turut meresap ke dalam saluran kencing bersama garam sodium. Jika ada masalah pada sistem penapis buah pinggang, garam sodium akan terkumpul dalam darah lalu menyebabkan bendalir terus terkumpul dalam salur darah bersama sodium kerana sodium gagal dipindahkan ke saluran kencing.

Kegagalan buah pinggang juga boleh menyebabkan albumin yang mengekalkan aliran bendalir dalam darah berkurang, mengakibatkan bendalir melimpah ke tisu di sekeliling salur darah dan terkumpul di situ. Sama seperti keadaan dalam masalah hati, bendalir yang melimpah ke tisu tidak dapat dialirkan dan tidak dapat dikembalikan ke jantung.



Antara risiko terbesar masalah buah pinggang ialah penyakit kencing manis dan darah tinggi yang tidak dirawat. Namun masalah buah pinggang boleh juga berlaku dalam keadaan lain seperti sindrom nefrotik dan nefritik, serangan autoimun, salur arteri buah pinggang menjadi sempit (renal artery stenosis), dan struktur buah pinggang tidak normal.

Kesan Sampingan Ubat

Ada banyak ubat yang kesan sampingannya ialah bengkak akibat masalah edema. Antaranya:

  • Hormon estrogen (dalam pil kontraseptif atau rawatan untuk menopaus) dan testosteron
  • Steroid
  • Ubat demam dan tahan sakit jenis NSAID
  • Ubat untuk masalah depresi 
  • Ubat darah tinggi kategori calcium channel blocker seperti nifedipine, amlodipine, diltiazem dan verapamil
  • Ubat diabetes kategori thiazolidinedione (TDZ) seperti pioglitazone dan rosiglitazone

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Sejarah Pesakit dan Simptom

Buku lali bengkak juga boleh datang bersama dengan simptom-simptom berikut

  • Sakit buku lali
  • Kemerahan pada buku lali
  • Sukar menggerakkan kaki
  • Sendi buku lali terasa keras

Doktor akan dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai risiko untuk buku lalu bengkak seperti

  • Berdiri lama atau berjalan berterusan
  • Memakai kasut ketat
  • Berat badan berlebihan dan gaya hidup tidak sihat
  • Kehamilan
  • Masalah salur darah di kaki
  • Sejarah rawatan radioterapi atau pembedahan limfa 
  • Masalah radang pada buku lali 
  • Cedera buku lali
  • Jangkitan kuman pada sendi buku lali dan kaki
  • Masalah kencing manis
  • Masalah jantung, hati atau buah pinggang
  • Mengambil ubat yang boleh menyebabkan edema sebagai kesan sampingan

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan periksa jika ada apa-apa perubahan rupa dan warna kulit pada bahagian buku lali yang bengkak. Doktor akan periksa juga jika pesakit ada atau tidak ada sakit pada kawasan buku lali bengkak. Kaki akan digerakkan untuk menilai sama ada buku lali bengkak mengganggu pergerakan atau tidak.

Jika doktor mengesyaki ada masalah jantung, buah pinggang, hati, dan salur darah pada kaki, pemeriksaan dada, abdomen, sistem saraf dan kaki akan dibuat dengan teliti. 

Pesakit mungkin tidak memerlukan apa-apa ujian makmal lanjut namun ujian-ujian berikut mungkin dipertimbangkan bergantung kepada punca yang disyaki dan keadaan pesakit:



  1. Ujian fungsi hati: untuk memeriksa masalah hati
  2. Ujian fungsi buah pinggang: untuk memeriksa masalah buah pinggang
  3. Ujian sel darah: jika ada jangkitan kuman
  4. X-ray: x ray sendi buku lali jika doktor mengesyaki ada patah buku lali, x ray dada jika doktor mengesyaki ada kegagalan jantung
  5. ECG dan Echocardiogram: jika pesakit ada masalah jantung
  6. Duplex ultrasound: ujian ultrasound pada kaki jika doktor mengesyaki ada masalah pada salur vena di kaki
  7. Sampel biopsi dan cecair synovial: jika ada masalah-masalah medikal seperti septic arthritis, rheumatoid arthritis dan gout

Cara Rawatan

Rawatan Kendiri di Rumah

Rawatan berikut boleh dicuba untuk masalah buku lali bengkak

  • Tinggikan kaki di atas bantal atau kerusi
  • Angkat kaki dan tegakkan ke dinding sambil baring
  • Pakai stokin kompresi 
  • Berjalan atau buat senaman ringan untuk membaiki aliran darah pada kaki
  • Pakai kasut yang tidak terlalu ketat dengan tumit rendah dan tapak yang lembut
  • Menjaga berat badan agar kekal pada tahap ideal
  • Mengamalkan gaya hidup sihat dengan makanan yang seimbang dan senaman yang mencukupi

Jika ada kecederaan berlaku sebelum buku lali bengkak dan jika ada rasa sakit pada buku lali, pesakit boleh ambil ubat tahan sakit seperti NSAID dan cuba teknik RICE (rest, ice, compression, elevation):

  • Rehat (rest): elakkan bergerak terlalu banyak atau berdiri terlalu lama 
  • Ais (ice): meletakkan ais yang dibalut dengan kain ke tempat yang sakit dalam jangka masa 15-20 minit sebanyak tiga kali sehari.
  • Pemampatan (compression): gunakan kain pembalut untuk mengurangkan bengkak, tetapi jangan balut sehingga menjadi terlalu ketat
  • Peninggian (elevation): Naikkan kaki pada paras yang lebih tinggi daripada jantung dengan merehatkannya di atas bantal.

Rawatan oleh doktor

Ubat yang diberikan oleh doktor bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Misalnya ubat diuretik seperti furosemide atau spironolactone mungkin diberi jika pesakit ada masalah bengkak buku lali dan kaki akibat kegagalan jantung, hati atau buah pinggang.

Ubat-ubat lain yang mungkin diberikan kepada pesakit bergantung kepada punca masing-masing.

Bilakah kena berjumpa dengan doktor?

Pesakit perlu bertemu dengan doktor jika

  • Ada sesak nafas atau sakit dada
  • Perut turut membengkak bersama
  • Bengkak buku lali tidak surut walaupun dengan rawatan sendiri di rumah selepas beberapa hari
  • Ada sakit buku lali yang bertambah teruk atau menjadi terlalu sakit sehingga tidak boleh berdiri atau berjalan langsung
  • Bengkak buku lali berlaku mendadak ketika pesakit mengandung
  • Ada simptom demam
  • Ada kemerahan dan perubahan warna kulit pada buku lali yang bengkak
  • Ada rasa kebas dan hilang deria di kaki
  • Pesakit ada bengkak buku lali dan pada masa sama ada kencing manis
  • Ada sejarah masalah jantung, buah pinggang atau hati

Pembacaan bagi masalah yang lain



Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Rujukan 

  1. Swollen Ankles and Feet: 8 Known Causes of Foot & Ankle Swelling – Webmd
  2. 12 causes of swollen ankles – Medical News Today
  3. Foot, Leg, and Ankle Swelling: Causes, Treatment and Risks – Healthline
  4. Thrombosis Vena Dalam (DVT) – PORTAL MyHEALTH 
  5. Swollen ankles, feet and fingers in pregnancy – NHS 
  6. Foot or Ankle Tendonitis | Orthopedics | Mercy Health. 
  7. Bursitis: Ankle Bursa, Care, and Prevention – Healthline
  8. Septic Arthritis | Johns Hopkins Medicine 
  9. Cellulitis – Mayo Clinic  
  10. Swollen ankles, feet and legs (oedema) – NHS 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 + seven =