Skip to content

Gatal Kemaluan Wanita: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah gatal pada kemaluan wanita? Artikel ini akan membincangkan punca dan rawatan kepada masalah ini,

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca
  3. Sejarah Pesakit dan Simptom
  4. Pemeriksaan dan Ujian
  5. Cara Rawatan

Pengenalan

Struktur kemaluan wanita dikenali dalam istilah saintifik sebagai vulva, iaitu kawasan luar kemaluan wanita yang merangkumi labia majora dan minora, saluran kencing, klitoris dan pintu masuk ke bahagian dalam vagina. Kulit pada bahagian kemaluan wanita sensitif kepada pelbagai keadaan yang boleh menyebabkan kegatalan. Gatal kemaluan boleh berlaku kepada wanita pada mana-mana peringkat umur akibat pelbagai punca dan keadaan ini amat mengganggu kehidupan mereka yang mengalaminya. 

Punca

Iritasi dan Trauma



Pelbagai jenis bahan kegunaan seharian yang dipakai oleh wanita untuk penjagaan kemaluan boleh menyebabkan iritasi pada bahagian kemaluan dan mengakibatkan kegatalan. Kegatalan berlaku jika wanita yang memakai bahan-bahan perengsa lebih sensitif daripada biasa terhadapnya atau menggunakannya secara berlebihan. 

Antara bahan-bahan itu ialah

  • Sabun, krim dan losyen wangi
  • Pencuci, peluntur dan pelembut pakaian
  • Kain seluar jeans atau seluar dalam yang terlalu ketat
  • Pad haid dan douche faraj
  • Tisu tandas
  • Kondom
  • Kontraseptif yang disapu atau dipakai pada kemaluan wanita

Selain iritasi akibat bahan perengsa, pencukur juga boleh menyebabkan kegatalan dan rasa pedih pada kawasan kemaluan.

Stress

Stress yang bersifat fizikal mahupun emosi boleh menyebabkan kegatalan pada kemaluan wanita akibat gangguan hormon dan sistem imun badan.



Masalah kulit 

1. Ekzema

Ekzema ialah keadaan yang biasanya berlaku dalam kalangan penghidap asma atau resdung. Kulit penghidap ekzema menjadi kering dan gatal pada bahagian-bahagian badan yang tertentu dan bahagian kemaluan juga antara bahagian badan yang boleh terkesan.

2. Dermatitis Sentuhan

Dermatitis sentuhan ialah radang kulit yang berlaku apabila kulit dicuci atau bersentuhan dengan bahan perengsa atau bahan yang menyebabkan alahan. Bahan-bahan itu merangkumi sabun, pencuci, krim, kain, atau apa-apa sahaja yang dipakai pada bahagian kemaluan. Jika pesakit alah terhadap bahan-bahan itu, tindak balas alahan dan iritasi kulit akan menyebabkan radang pada bahagian kemaluan dan mengakibatkan rasa gatal.

3. Liken Planus atau Sklerosus

Liken planus dan sklerosus kedua-duanya ialah masalah radang kulit kronik yang boleh berlaku pada bahagian kemaluan wanita. Liken planus juga boleh berlaku pada permukaan lain seperti mulut dan kuku manakala liken sklerosus cenderung berlaku pada bahagian kemaluan terutamanya dalam kalangan wanita yang telah mencapai menopaus.

Antara simptom yang boleh berlaku ialah rasa gatal, sakit dan pedih, munculnya tompok-tompok putih, kulit menjadi tebal dan dalam kes-kes tertentu pesakit juga boleh ada pendarahan. Liken planus dan sklerosus berlaku akibat tindak balas sistem imun dan bukannya jangkitan kuman, jadi masalah ini tidak berjangkit kepada orang lain.



4. Psoriasis 

Psoriasis berlaku apabila sistem imun badan menyerang tisu-tisu badan sendiri dan mengakibatkan masalah sistemik yang kronik dan berpanjangan. Kulit ialah bahagian yang diserang, menyebabkan ruam kemerahan yang sangat gatal dan plak seakan-akan warna perak muncul di kulit kepala, lutut, belakang badan dan belakang siku.

Namun ada sesetengah pesakit yang turut mengalami psoriasis pada bahagian kemaluan dan kadang kala, bahagian kemaluan ialah satu-satunya kawasan yang terkesan akibat psoriasis yang mereka hadapi tanpa ada mana-mana bahagian badan lain yang terlibat. Psoriasis pada bahagian kemaluan tidak berjangkit kepada orang lain kerana ia bukan disebabkan oleh mana-mana serangan kuman. 

Jangkitan

1. Jangkitan Kulat

Jangkitan yang kerap berlaku dalam kalangan wanita ialah jangkitan kulat candida yang menyebabkan vaginal candidiasis. Candida merupakan organisma biasa (normal flora) yang mendiami kemaluan wanita namun dalam keadaan-keadaan tertentu,

Kulat candida boleh tumbuh secara berlebihan dan menyebabkan jangkitan. Risiko yang mendedahkan pesakit kepada jangkitan ini ialah kehamilan, kencing manis dan pengambilan antibiotik yang membunuh bakteria-bakteria normal yang mendiami kemaluan. Antara simptom yang dialami ialah gatal kemaluan, sakit ketika melakukan hubungan intim atau ketika kencing dan lelehan cecair putih pekat dari faraj. 

2. Bacterial Vaginosis



Gangguan kestabilan bakteria normal yang mendiami kemaluan wanita boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil bacterial vaginosis. Bakteria yang kebanyakannya mendiami kemaluan wanita ialah lactobacilli namun dalam keadaan tertentu lactobacilli boleh berkurang dan menyebabkan bakteria lain bertambah lalu menyebabkan jangkitan. Antara simptom masalah ini ialah kegatalan pada kemaluan dan keluar lelehan cair berwarna putih atau kelabu yang berbau seperti ikan busuk dari faraj.

3. Penyakit Kelamin (Sexually Transmitted Disease)

Penyakit kelamin yang turut dikenali sebagai STD (singkatan bagi istilah bahasa inggerisnya iaitu sexually transmitted disease) ialah jangkitan kuman yang kerap berlaku dalam kalangan wanita yang melakukan seks bebas atau isteri kepada suami yang suka melakukan seks bebas dengan wanita lain. 

Pelbagai organisma boleh menyebabkan masalah ini seperti 

  • Bakteria chlamydia trachomatis
  • Bakteria neisseria gonorrhoeae (penyebab masalah gonorrhea)
  • Bakteria treponema pallidum (penyebab masalah sifilis)
  • Virus herpes (penyebab kudis herpes pada kemaluan)
  • Virus HPV (penyebab ketuat pada kemaluan)
  • Parasit trichomonas vaginalis (penyebab trikomoniasis)
  • Parasit phthirus pubis (penyebab kutu kelamin)

Antara simptom penyakit kelamin ialah gatal kemaluan, kemerahan dan bengkak pada kemaluan, keluar lendir dari faraj, sakit ketika melakukan hubungan intim atau kencing, demam, dan sakit perut jika kuman sudah merebak dari kemaluan ke organ rahim.

Menopaus 

Apabila wanita mengalami menopaus, hormon estrogen dalam darah berkurang lalu menyebabkan lapisan mukosa pada kemaluan menipis. Penipisan lapisan ini menyebabkan kemaluan wanita kering dan cenderung menjadi gatal dan mendapat iritasi. 

Kanser



Kemaluan gatal yang berlaku disebabkan oleh kanser lebih jarang berlaku berbanding punca-punca yang lain, namun kanser vulva antara punca yang mungkin dipertimbangkan dalam keadaan tertentu. Antara simptomnya ialah gatal pada kemaluan, pendarahan tidak normal dari kemaluan dan rasa sakit pada kemaluan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Sejarah Pesakit dan Simptom

Doktor akan bertanya lebih lanjut mengenai simptom-simptom lain yang dialami selain gatal kemaluan seperti

  • Keluar cecair atau bau busuk dari kemaluan
  • Sakit pada kemaluan
  • Bengkak pada kemaluan
  • Kemerahan, ketuat, tompok, kudis, luka atau ulser pada kemaluan
  • Sakit ketika kencing atau melakukan hubungan intim
  • Pendarahan tidak normal dari faraj
  • Demam
  • Sakit pada perut atau bahagian pinggul

Doktor akan bertanya lebih lanjut mengenai tempoh masa pesakit alami simptom, progres dan tahap keparahan simptom, bahan-bahan perengsa yang dipakai pesakit, sejarah alergi, sejarah penyakit lain yang pesakit ada, ubat yang diambil, kontraseptif yang diambil, dan sejarah kitaran haid. Doktor juga mungkin akan bertanya soalan sensitif seperti sama ada pesakit ada sejarah melakukan hubungan seks bebas atau bersuamikan lelaki yang mengamalkan seks bebas. 

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan periksa bahagian kemaluan untuk meneliti perubahan corak kulit, luka, ulser, kemerahan, ketuat, kudis atau bengkak yang ada pada kemaluan. Spekulum mungkin akan dipasang pada kemaluan untuk membantu penelitian lanjut. Pemeriksaan bimanual (doktor akan memasukkan jari ke dalam faraj untuk melakukan pemeriksaan ini) untuk memeriksa organ reproduktif juga mungkin akan dibuat, bergantung kepada keperluan dan keadaan. 

Ujian darah, ujian air kencing dan ujian swab kemaluan akan diambil untuk menyiasat punca spesifik secara lebih lanjut jika doktor mengesyaki ada jangkitan kuman. Masalah kulit pula mungkin akan memerlukan biopsi kulit. 

Cara Rawatan

Rawatan dan pencegahan kendiri:

  • Pastikan kemaluan bersih selepas membuang air kecil dan juga air besar
  • Gunakan air suam dan cuci kemaluan dengan lembut
  • Elakkan sabun wangi dan losyen wangi
  • Elakkan bahan pencuci dan sabun yang dikenal pasti menyebabkan alahan atau iritasi
  • Elakkan penggunaan douche 
  • Pesakit digalakkan pakai seluar dalam kapas. Elakkan pemakaian seluar dalam ketat dan pastikan seluar dalam ditukar setiap hari
  • Tukar pad dan panty liner secara kerap
  • Elakkan seks bebas
  • Makan diet seimbang dan minum air secukupnya. Minimakan pengambilan gula 

Rawatan berikut mungkin dibuat oleh doktor bergantung kepada keadaan dan punca:

  • Ubat antifungal untuk jangkitan kulat
  • Antibiotik untuk jangkitan bakteria
  • Ubat antiviral untuk jangkitan virus
  • Krim steroid untuk masalah kulit
  • Rawatan hormon untuk pesakit yang mengalami menopaus

Rujukan



  1. Vaginal Itching: Causes, Treatments, and Diagnosis – Healthline
  2. Raef, H. S., & Elmariah, S. B. (2021). Vulvar pruritus: a review of clinical associations, pathophysiology and therapeutic management. Frontiers in Medicine, 412.
  3. Woelber, L., Prieske, K., Mendling, W., Schmalfeldt, B., Tietz, H. J., & Jaeger, A. (2020). Vulvar pruritus—causes, diagnosis and therapeutic approach. Deutsches Ärzteblatt International, 117(8), 126.
  4. Lichen sclerosus – Symptoms and causes – Mayo Clinic
  5. Lichen planus | The Royal Women’s Hospital
  6. Genital Psoriasis: Symptoms, Causes, Diagnosis, Treatment. – Webmd
  7. Vaginal Candidiasis | Fungal Diseases | CDC 
  8. Kairys, N., & Garg, M. (2017). Bacterial vaginosis.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 3 =