Skip to content

Mabuk Laut: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah mabuk laut? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pendahuluan

Peluang bercuti ke pulau-pulau yang indah dan perjalanan merentas laut mungkin satu pengalaman yang diimpikan oleh ramai orang, namun pada masa sama digeruni kerana simptom mabuk laut yang menghantui.

Mabuk laut ialah masalah yang biasa berlaku kepada ramai orang terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak. Masalah ini terjadi apabila otak yang berperanan memproses maklumat mengenai keseimbangan, kedudukan dan pergerakan tidak berkoordinasi dengan telinga, mata dan badan seperti yang sepatutnya.



Masalah mabuk laut sudah pun dikenali dalam sejarah sejak zaman Greek purba lagi. Istilah loya dalam bahasa inggeris, “nausea” berasal daripada perkataan “naus” dalam bahasa Greek yang bermaksud kapal. Perkataan “nautika” dalam istilah “batu nautika” yang digunakan untuk pengukuran jarak di laut juga berasal daripada perkataan Greek yang sama. Hal ini menunjukkan bahawa fenomena loya itu sendiri, antara simptom utama mabuk laut, sebenarnya sangat sinonim dengan kapal dan laut. 

Punca

Otak menerima dan memproses maklumat yang disampaikan oleh penglihatan mata, strukur vestibular di telinga, dan pengesan propioseptif di otot dan sendi untuk mengenal pasti pergerakan, kedudukan dan tahap keseimbangan badan. Dalam kapal yang bergerak terumbang ambing atas laut, maklumat dari mata, telinga, otot dan sendi bercampur baur dan menyebabkan kecelaruan pemprosesan maklumat di otak mengenai kedudukan, pergerakan dan keseimbangan badan. Kecelaruan ini mengakibatkan simptom-simptom mabuk laut seperti muntah, pening dan berpeluh. 

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Risiko

Golongan berikut lebih berisiko mendapat mabuk laut

  • Jantina perempuan
  • Ibu mengandung
  • Kanak-kanak antara 3-12 tahun
  • Pelancong yang kurang berpengalaman
  • Masalah medikal seperti vertigo, masalah sistem vestibular, penyakit Meniere dan migrain 

Simptom

Mabuk laut berlaku biasanya dengan simptom-simptom berikut

  • Loya
  • Pening dan sakit kepala
  • Muntah 
  • Rasa penat
  • Pucat 
  • Berpeluh
  • Keluar air liur berlebihan
  • Rasa penat

Simptom yang dialami biasanya tidak teruk dan tidak berlaku lebih daripada beberapa jam selepas perjalanan laut berakhir. Jika simptom berlarutan sekalipun, simptom biasanya tidak berpanjangan melebihi 3 hari. 

Pemeriksaan dan Ujian



Sejarah pesakit dan pemeriksaan fizikal sahaja sudah mencukupi untuk mengenal pasti masalah mabuk laut, terutamanya jika simptom berlaku secara konsisten dengan sejarah menaiki kapal.

Doktor akan siasat dahulu kebarangkalian pesakit ada masalah lain yang seakan-akan sama dengan simptom mabuk laut seperti migrain sebelum doktor mengesahkan bahawa pesakit benar-benar mengalami masalah mabuk laut. 

Rawatan

Rawatan dan pencegahan kendiri oleh pesakit yang boleh dicuba

  • Tidak menaiki bot atau kapal dengan perut kosong
  • Tidak makan terlalu banyak sebelum dan semasa berada dalam kapal atau bot
  • Duduk di bahagian tengah bot atau kapal. Jangan duduk di bahagian yang mudah bergolek 
  • Pegunkan kepala dan kurangkan pergerakan badan
  • Fokuskan pandangan mata pada objek yang tidak bergerak atau pandang ufuk jauh
  • Cuba tenangkan diri dengan mengambil nafas dalam dan panjang, menutup mata atau mengira secara terbalik daripada 100 ke 0
  • Jika boleh, cuba berbaring sambil menutup mata
  • Elakkan membaca atau menatap telefon ketika dalam perjalanan. Pesakit digalakkan mendengar muzik
  • Elakkan merokok atau mengambil alkohol 
  • Ambil halia atau pudina untuk mengurangkan rasa mual

Ubat penahan muntah mungkin tidak sepenuhnya berkesan, malah datang dengan kesan-kesan sampingan seperti rasa mengantuk. Akan tetapi, fungsinya dapat dioptimumkan apabila pesakit mengambilnya sebagai pencegah (prophylaxis) sebelum menaiki bot atau kapal dan ketika detik-detik awal simptom mabuk laut muncul. 

Ubat penahan berikut mungkin diberikan oleh doktor

  • Antihistamine: antara contoh ubat ini ialah diphenhydramine, cyclizine, dan meclizine. Kesan sampingan utama antihistamine ialah rasa mengantuk.
  • Anticholinergic: tampalan scopolamine dilekatkan di bahagian belakang telinga 4 jam sebelum perjalanan bermula. Antara kesan sampingan ubat ini ialah mata dan mulut kering, mata sensitif kepada cahaya, pandangan kabur, rasa pening, sakit kepala dan rasa mengantuk. Ubat ini akan dielakkan untuk diberi kepada kanak-kanak bawah 12 tahun, orang tua dan penghidap glaukoma.

Komplikasi dan Prognosis

Kebanyakan individu dengan masalah mabuk laut hanya mengalami simptom ringan yang berlarutan hanya selama beberapa jam selepas perjalanan atas kapal atau bot berakhir. Dalam perjalanan laut yang lebih panjang, simptom mabuk laut mungkin berlarutan sehingga ke tiga hari selepas perjalanan berakhir. Simptom tidak sepatutnya terlalu teruk atau berlarutan terlalu lama, namun jika simptom berlaku dengan teruk, pesakit boleh mengalami dehidrasi akibat kehilangan air daripada badan. 

Kanak-kanak yang kerap mengalami mabuk laut biasanya akan mengalami simptom dalam kadar yang kurang kerap apabila mereka semakin membesar dan meningkat usia. Individu dengan masalah mabuk laut yang menaiki bot atau kapal secara kerap lama kelamaan boleh membentuk ketahanan terhadap simptom apabila mereka telah membiasakan diri (habituation) dengan perjalanan atas laut. 

Rujukan 



  1. Mabuk Perjalanan – PORTAL MyHEALTH 
  2. Takov, V., & Tadi, P. (2019). Motion sickness.
  3. Why Do I Get Motion Sickness? – Webmd
  4. Scopolamine Transdermal Patch: MedlinePlus Drug Information 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =