Skip to content

Cirit Birit: Punca dan Cara Rawatan

Cirit birit adalah satu keadaan yang akan dihadapi oleh semua orang. Ianya adalah masalah buang air besar yang menghasilkan najis yang cair dan juga pesakit akan lebih kerap membuang air besar.

Kebanyakan pesakit akan mengalami cirit birit untuk beberapa hari sahaja dan ia akan baik dengan sendirinya. Tetapi jika masalah tersebut berlaku lebih daripada seminggu, ia mungkin menunjukkan jangkitan kuman yang berterusan, keradangan usus ataupun kanser usus. Dan jika cirit-biritnya terlalu teruk, ia mungkin disebabkan jangkitan kuman yang serius

Simptom dan tanda tanda cirit birit

Pesakit yang mengalami keadaan ini akan mempunyai simptom dan tanda seperti berikut:

  • Najis yang cair
  • Sakit perut secara memulas
  • Demam
  • Loya
  • Muntah
  • Perut rasa kembung
  • Tiba-tiba rasa nak buang air besar


Periksa Simptom anda Di Sini

Punca cirit birit

Terdapat beberapa punca yang selalu menjadi penyebab kepada masalah ini. Punca tersebut adalah:

  • Jangkitan virus: Virus yang boleh menyebabkan masalah ini adalah virus Norwalk, cytomegalovirus, enterovirus. Rotavirus pula selalunya menyebabkan masalah cirit birit yang teruk pada kanak-kanak
  • Bakteria: Bakteria yang selalunya menyebabkan masalah ini adalah salmonella, shigella dan E. coli.
  • Ubat: Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku seperti ubat gastrik yang mengandungi magnesium. Antibiotik juga boleh menyebabkan masalah ini kerana ia akan membunuh semua bakteria baik dan jahat di dalam usus menyebabkan bakteria yang tidak dibunuh oleh antibiotik tersebut menjadi dominan dan menyebabkan masalah ini berlaku
  • Keradangan usus(Inflammatory bowel disease): Beberapa jenis penyakit ini adalah Chron’s disease, ulcerative colitis, celiac disease dan terdapat beberapa jenis penyakit lagi. Walaubagaimanapun masyarakat Malaysia jarang menghadapi masalah ini
  • ‘Lactose intolerance’: Terdapat beberapa individu yang tidak boleh mengambil susu kerana mereka mesti  mengalami masalah cirit birit jika mengambilnya. Ini disebabkan individu tersebut tidak dapat menghasilkan enzim yang mencukupi untuk menguraikan gula laktosa di dalam susu tersebut.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komplikasi cirit-birit

Cirit birit boleh menyebabkan seseorang itu mengalami dehidrasi (kekeringan). Dehidrasi adalah berbahaya terutamanya bagi kanak-kanak.

Jika anda atau anak anda mengalami tanda tanda dehidrasi (kekeringan), sila berjumpa doktor dengan segera

Tanda tanda dehidrasi (Kekeringan) pada orang dewasa

  • Rasa haus yang melampau
  • Mulut kering
  • Kurang buang air kencing
  • Rasa letih
  • Kepala pening
  • Kencing pekat
  • Rasa berdebar


Tanda tanda dehidrasi (Kekeringan) pada kanak-kanak

  • Mulut kering
  • Lidah kering
  • Menangis tanpa air mata
  • Mata cekung
  • Kencing sedikit atau tidak kencing.
  • Kulit menjadi kurang segah

Cara untuk mengelakkan Cirit birit

Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan masalah ini

1. Mengelakkan cirit birit yang disebabkan virus

Membasuh tangan adalah salah satu cara untuk mengelakkan cirit birit disebabkan virus. Untuk memastikan perkara tersebut, beberapa perkara perlu dibuat iaitu:

  • Selalu membersihkan tangan: Basuhlah tangan anda sebelum menyediakan makanan terutamanya setelah keluar daripada tandas.
  • Gunakan sabun ketika basuh tangan
  • Gunakan ‘hand sanitizer’ ketika mana tidak dapat membasuh tangan.

2. Penggunaan vaksin

Terdapat satu jenis vaksin yang boleh digunakan untuk mengelakkan jangkitan Rotavirus. Rotavirus selalunya menyebabkan masalah cirit birit yang teruk pada kanak-kanak. Dengan memberi imunisasi jenis ini, ia akan mengelakkan anak anda daripada terkena jangkitan rotavirus yang menyebabkan cirit birit yang serius

3. Mengelakkan cirit birit ketika percutian

Cirit birit selalunya berlaku pada mereka yang bercuti di negara terutamanya mereka yang pergi ke kawasan yang tidak mempunyai saliran air yang baik. Disebabkan perkara tersebut, air yang dibekalkan mungkin masih tercemar.



Untuk mengurangkan risiko tersebut, anda boleh:

  • Sentiasa berjaga dengan makanan yang anda ambil: Ambillah makanan yang pada ketika itu masih panas, dimasak secara keseluruhan. Anda juga dinasihatkan untuk mengelak makanan separuh masak
  • Sentiasa berjaga dengan air yang diminum: Minumlah air daripada botol yang baru dibeli. Jika ingin meminum air daripada paip, panaskan ia sehingga mendidih terlebih dahulu.
  • Sentiasa membasuh tangan sebelum makan ataupun minum

Penyiasatan

Kebanyakan masalah cirit-birit adalah disebabkan jangkitan virus dan ia akan baik dengan sendirinya tanpa memerlukan ubat. Oleh itu, jarang doktor melakukan siasatan lebih lanjut untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut kecuali jika terdapat beberapa perkara sebagai contoh:

  • Disyaki keracunan makanan
  • Cirit-birit yang teruk berserta demam
  • Cirit-birit yang berterusan
  • Cirit-birit berserta dengan darah

Siasatan yang biasa dilakukan bagi pesakit yang mengalami cirit birit adalah:

  • Fungsi buah pinggang(renal profile): Ujian ini dilakukan untuk melihat samada pesakit mengalami kekeringan yang melampau ataupun tidak.
  • Full blood count: Ujian ini dilakukan untuk melihat sel darah putih. Jika ia tinggi, cirit birit tersebut mungkin disebabkan jangkitan bakteria

Beberapa ujian yang dibuat untuk mengesan punca cirit birit adalah:

  • Ujian najis: Selalunya sampel najis akan diambil dan bakteria akan dibiakkan untuk mengetahui punca kepada masalah cirit birit tersebut
  • kolonoskop: Ini adalah satu prosedur dimana satu kamera dimasukkan ke dalam usus besar untuk melihat keadaan di dalam usus tersebut.

Rawatan cirit birit

Kebanyakan cirit birit boleh baik dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan. Ini kerana majoriti daripada masalah ini adalah disebabkan jangkitan virus yang boleh baik dengan sendirinya. Badan sendiri akan menghasilkan antibodi untuk melawan virus tersebut

Ubat cirit birit

Terdapat beberapa jenis ubat yang akan diberikan oleh doktor jika anda mengalami masalah ini

  • Ubat untuk mengurangkan cirit birit: Ubat yang selalu digunakan adalah lomotil dan loperamide
  • Tablet arang(charcoal tablet): Pesakit yang disyaki mengalami keracunan makanan selalunya akan diberikan ubat ini
  • Garam: Selalunya doktor akan memberi satu jenis garam. Garam tersebut perlulah dilarutkan dalam air untuk diminum setiap kali seseoran itu cirit. Ia berfungsi untuk menghidratkan badan dan mengelakkan seseorang itu daripada mengalami dehidrasi (kekeringan)

Jika pesakit terlalu kering, jarum akan dimasukkan ke dalam saluran darah supaya air dapat diberikan terus ke dalam badan melalui salur darah tersebut

Cara rawatan atau hilangkan cirit birit di rumah

Walaupun cirit birit akan hilang setelah beberapa hari. Pesakit perlulah mengamalkan beberapa perkara untuk mengelakkan pesakit mengalami dehidrasi (kekeringan).



Beberapa perkara yang boleh dibuat adalah:

  • Mengambil air dengan secukupnya. Boleh minum air kosong ataupun jus buah. Elakkan kopi atau minuman yang mengandungi kafein kerana ia boleh menyebabkan masalah ini menjadi lebih teruk
  • Ambil makanan yang separa pepejal seperti roti, telur dan juga nasi
  • Elakkan pengambilan susu, makanan berminyak ataupun makanan yang mempunyai serat tinggi

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Diarrheal diseases: Acute and chronic. American College of Gastroenterology. Accessed March 27, 2020.
  2. Managing diarrhea. International Foundation for Functional Gastrointestinal Disorders. Accessed March 27, 2016.
  3. Rotavirus vaccination. Centers for Disease Control and Prevention. Accessed March 29, 2016.
  4. Sumber featured image dari thefitglobal.com
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 1 =