Vertigo: Punca, Simptom dan Rawatan

vertigo

Vertigo adalah satu keadaan dimana pesakit merasakan keadaan disekelilingnya berpusing ataupun merasakan dirinya sedang berpusing walhal pada ketika itu pesakit tidak bergerak. Pesakit pada ketika itu akan merasakan badannya tidak seimbang dan boleh jatuh disebabkan masalah ini.

Masalah vertigo ini tidaklah sama seperti pening kepala yang selalu kita hadapi. Untuk masalah yang selalu kita hadapi selalunya pesakit akan merasakan kepalanya ringan, berpinar, rasa letih dan jika teruk ada yang merasakah hendak pengsan.

Punca dan Penyebab vertigo

Terdapat beberapa jenis kawasan di dalam badan kita yang mengawal keseimbangan badan terutamanya ketika berdiri atau berjalan. Salah satu struktur telinga yang penting untuk keseimbangan badan kita adalah koklear.

Terdapat 2 jenis kepada masalah ini iaitu:

  • Vertigo periferi: Masalah jenis ini melibatkan bahagian saraf yang menghantar maklumat daripada telinga ke otak ataupun masalah pada bahagian dalam telinga. Majoriti vertigo adalah disebabkan masalah ini.
  • Vertigo berpusat: pula adalah masalah pada bahagian otak terutamanya bahagian cerebellum yang mengawal keseimbangan badan.

Punca vertigo periferi adalah:

  • Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV): Masalah pening kepala jenis ini selalunya berlaku ketika pergerakan kepala yang laju hingga menyebabkan saraf bahagian telinga terganggu. Ia berlaku disebabkan pengumpulan kalsium di dalam bahagian tengah telinga. Selalunya BPPV berlaku tanpa sebab yang jelas.
  • Menieres’s disease: Masalah pada bahagian dalam telinga yang memberi kesan kepada pendengaran dan keseimbangan. Ia disebabkan penghasilan bendalir yang banyar dibahagian tengah telinga dan selalunya ia berserta simptom telinga berdesing dan kurang pendengaran.
  • Acute peripheral vestibulopathy (APV) adalah keradangan di kawasan dalam telinga yang menyebabkan masalah ini. Selalunya ia disebabkan jangkitan kuman pada bahagian saraf yang mengawal keseimbangan pada bahagian telinga.

Terdapat juga beberapa punca yang jarang berlaku iaitu:

  • Hakisan cholesteatoma
  • Otosclerosis: Penumbuhan tulang yang tidak normal di dalam telinga

Punca vertigo berpusat pula adalah:

  • Strok (angin ahmar)
  • Tumor di bahagian cerebellum
  • Migrain
  • Multiple sclerosis
  • Kecederaan pada bahagian leher dan kepala

Simptom dan tanda tanda vertigo

Pesakit ini selalunya akan mengadu pemandangan matanya berpusing. Jika doktor memeriksa pesakit, akan kelihatan matanya bergerak ke tepi banyak kali dan perkara ini dinamakan sebagai Nystagmus.

Simptom dan tanda-tanda yang lain adalah:

  • Loya
  • Muntah
  • Sakit kepala
  • Rasa tidak stabil ketika berjalan
  • Keadaan menjadi lebih teruk bila kepala digerak atau dipusingkan
  • Jalan melelong-lelong

Penyiasatan dan Ujian untuk menentukan Punca

Beberapa penyiasatan dan ujian akan dilakukan untuk mengetahui punca dan jenis masalah yang anda ada

1. Ujian mata

Doktor akan meletakkan jarinya dihadapan pesakit dan pesakit perlu melihat jari tersebut. Doktor akan menggerakkan jari itu ke kiri atau ke kanan sambil melihat mata pesakit samada mempunyai pergerakan yang normal ataupun tidak

2. Ujian Romberg (Romberg test)

Pesakit akan diminta berdiri secara lurus kemudian pesakit perlu menutupkan matanya. Pesakit diminta untuk mengimbangkan dirinya dalam keadaan itu tanpa jatuh. Selalunya pesakit yang mengalami masalah pada bahagian cerebellum tidak akan mampu berdiri dalam keadaan mata tertutup.

Terdapat juga ujian dan prosedur lain seperti ujian imbasan CT dan MRI. Ujian tersebut hanya dibuat jika diperlukan sebagai contoh jika pesakit disyakit mengalami stroke ataupun tumor dibahagian otak.

Tanda tanda berbahaya jika mengalami Vertigo

Terdapat beberapa simptom yang berbahaya jika seseorang itu mengalami masalah ini. Pesakit perlulah segera berjumpa dengan doktor jika mengalami simptom tersebut. Simptom dan tanda tersebut adalah:

  • Vertigo yang berterusan
  • Mempunyai simptom lain seperti tidak mampu menggerakkan kaki atau tangan. (Pesakit mungkin mengalami strok/ angin ahmar)
  • Mempunyai masalah pendengaran
  • Sakit telinga yang melampau
  • Telinga bernanah

Rawatan Vertigo

Rawatan masalah ini bergantung kepada penyebabnya. Tetapi kebanyakan masalah ini boleh sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan apa jenis ubat.

Pesakit yang mengalami vertigo periferi boleh mencuba ubat jenis perencat vestibular. Contohnya adalah:

  • Antihistamine : Promethazine, betahistine
  • Benzodiazepines: Diazepam, lorezepam
  • Antiemetics: Prochloperazine, metoclopramide

Jika ia disebabkan vertigo berpusat, rawatannya adalah bergantung kepada penyebab masalah tersebut.

Apakah yang perlu dibuat ketika vertigo menyerang?

Terdapat beberapa perkara yang perlu dibuat ketika vertigo menyarang.

  1. Jika anda dalam keadaan berdiri, anda perlu terus duduk ataupun barang. Berjalan ketika dalam keadaan pening akan meningkatkan risiko untuk terjatuh dan mencederakan diri. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk duduk atau baring ketika PKP
  2. Minta pertolongan jika anda tidak mampu untuk menahan rasa pening tersebut. Ketika vertigo menyerang, kebanyakkan pesakit tidak mampu menahan kepeningan tersebut dan pesakit boleh terbaring. Oleh itu, minta pertolongan supaya rawatan boleh diberikan kepada anda

Rujukan:

  1. Kerber KA. (2009). Vert and dizziness in the emergency department.
  2. Kuo CH, et al. (2008). Vert: Part 1-assessment in general practice.
  3. Kuo CH, et al. (2008). Vert: Part 2-management in general practice.

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science.

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *