Skip to content

Gigi Tercabut: Punca dan Cara Rawatan

Apakah rawatan atau perkara yang perlu dilakukan ketika gigi tercabut?

Artikel ini akan menerangkan secara lengkap berkenaan gigi tercabut secara langkah-langkah yang anda perlu lakukan ketika gigi anda mengalami masala ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Gigi Tercabut
  3. Keadaan lain yang berkaitan
  4. Rawatan Kecemasan
  5. Faktor Risiko
  6. Langkah Pencegahan

Pengenalan


Pernahkah anda mengalami atau menyaksikan suatu situasi dimana gigi anda atau gigi anak kecil anda tercabut daripada soketnya selepas terjatuh ke atas permukaan yang keras?



Gigi tercabut atau avulsion adalah salah satu situasi yang boleh terjadi akibat trauma yang melibatkan bahagian muka. Masih ramai yang tidak tahu bahawa gigi kekal yang tercabut daripada soketnya masih boleh diselamatkan. Ia boleh ditanam semula jika langkah yang betul diambil segera.

Punca Gigi Tercabut


Gigi yang tercabut daripada soket boleh disebabkan oleh beberapa perkara termasuk :

  1. Sukan lasak
  2. Kemalangan kenderaan bermotor
  3. Penderaan
  4. Pergaduhan
  5. Hentaman yang kuat ke bahagian mulut dan gigi
  6. Faktor pendedahan awal ;  mereka yang mempunyai gigi kacip yang jongang dan bibir yang tidak kompeten (tidak bersentuhan ketika rehat) lebih terdedah dengan risiko gigi tercabut atau patah.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Keadaan Lain yang Berkaitan


Faktor-faktor yang telah disebutkan diatas bukan sahaja menyebabkan gigi boleh tercabut daripada soket, malah ia boleh membawa kepada situasi lain yang telah disenaraikan dibawah. Ia penting untuk dikenalpasti oleh masyarakat umum agar tindakan susulan boleh dilaksanakan sebaiknya. Trauma terhadap bahagian mulut dan gigi boleh mengakibatkan beberapa kecederaan termasuk :

  1. Retakan enamel (enamel infarction)
  2. Gigi patah yang melibatkan atau tidak melibatkan akar gigi
  3. Akar gigi patah
  4. Gigi goyang
  5. Pendarahan dan luka pada gusi (laceration or abrasion)
  6. Lebam pada bahagian gusi yang terlibat (contusion)
  7. Gigi terkeluar sedikit daripada soket (extrusive luxation)
  8. Gigi termasuk ke bahagian dalam socket (intrusive luxation)

Periksa Simptom anda Di Sini

Rawatan Kecemasan untuk Gigi Tercabut


Jika anda atau anak anda mengalami situasi gigi tercabut , anda tidak perlu cemas dan panik. Ikuti langkah-langkah dibawah sebelum hadir ke klinik gigi berdekatan ( langkah di bawah hanya boleh diguna pakai untuk gigi kekal sahaja). Ini kerana gigi kekal boleh ditanam semula jika ianya masih tidak rosak lagi.



1. Elakkan dari panik

Anda perlulah bertenang dan sentiasa tahu apa yang perlu dibuat jika anda menghadapi masalah ini.

2. Simpan gigi yang tercabut

Cari gigi yang tercabut tadi dan pegang ia dibahagian kepala gigi(crown). Elakkan daripada memegang bahagian akar supaya ia tidak tercemar.

3. Basuh air di bawah air paip

Jika gigi tersebut kotor, (disebabkan jatuh atas pasir atau tanah), basuh gigi tersebut di bawah air paip yang mengalir selama 10 saat.

4. Masukkan semula gigi tersebut ke dalam soket

Jika mampu, cuba untuk masukkan semula gigi tersebut ke dalam soketnya, kemudian gigit kain atau sapu tangan untuk mengelakkan ia bergerak atau jatuh.



5. Simpan dalam tempat yang sesuai

Jika tidak mampu ( disebabkan pendarahan yang banyak atau kesakitan gigi yang melampau ), simpan gigi tersebut dalam sebuah bekas yang mengandungi medium yang sesuai seperti susu , cecair saline atau air liur. Gigi tersebut juga boleh disimpan didalam mulut; di ruang antara gigi geraham dan pipi bahagian dalam. Elakkan menyimpan didalam air paip.

6. Pergi klinik

Segera ke klinik gigi berdekatan untuk dapatkan rawatan selanjutnya.

Faktor Risiko


Kanak-kanak dikira sebagai golongan yang berisiko tinggi untuk tercabut gigi. Hal ini kerana mereka berada dalam fasa aktif ketika berumur 7-10 tahun , dan pada masa yang sama, gigi kekal hadapan mereka baru mula keluar. Sesetengah golongan juga menjadi lebih berisiko disebabkan oleh beberapa faktor seperti dibawah:

  1. Kurang daya imbang (disebabkan sindrom atau semasa proses tumbesaran)
  2. Hyperactivity atau mereka yang terlebih aktif
  3. Kanak-kanak yang terdedah dengan penderaan atau pengabaian.
  4. Mereka yang mempunyai maloklusi seperti gigi jongang dan bibir tidak kompeten
  5. Aktif dalam bidang sukan lasak tanpa menggunakan alat pelindung mulut (mothguard).

Langkah Pencegahan


Gigi tercabut merupakan satu kemalangan yang tidak terduga oleh sesiapa pun. Tetapi, bagi mereka yang mempunyai risiko, langkah pencegahan mesti diambil untuk mengelakkan keadaan yang lebih teruk.

Bagi para atlet atau mereka yang aktif dengan sukan, pakar pergigian mengesyorkan agar mereka memakai alat pelindung mulut dan gigi atau mouthguard semasa bermain sukan. Mouthguard berfungsi sebagai ‘shock absorber’ atau penyerap hentakan apabila berhadapan dengan daya hentaman yang kuat selain bertindak sebagai penghadang dan pelindung gigi .

Ia mampu mengelakkan gigi seseorang daripada menghadapi kesan yang teruk seperti gigi tercabut atau patah apabila berhadapan dengan hentaman atau momentum yang kuat.  Alat ini boleh didapati di premis pergigian yang mempunyai pakar dalam Pergigian Kanak-kanak , biasanya di hospital kerajaan , hospital swasta dan juga klinik persendirian . Elakkan daripada bertemu dengan tukang gigi yang tidak terjamin kebersihan dan keberkesanan alat dan rawatannya.



Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. Flores, M. T., Andersson, L., Andreasen, J. O., Bakland, L. K., Malmgren, B., Barnett, F., … von Arx, T. (2007). Guidelines for the management of traumatic dental injuries. II. Avulsion of permanent teeth. Dental Traumatology23(3), 130–136.
  2. ANDREASEN, J. O. (1970). Etiology and pathogenesis of traumatic dental injuries A clinical study of 1,298 cases. European Journal of Oral Sciences78(1–4), 329–342
  3. American Dental Association. “Using mouthguards to reduce the incidence and severity of sports-related oral injuries.” The Journal of the American Dental Association (2006) 137: 1712-1720.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × one =