24/09/2020

The Diagnosa

Dapatkan Tips kesihatan dan penjelasan kepada penyakit anda disini

jari putus

Jari Putus: Apa perlu dibuat dan Rawatan

Apakah cara rawatan awal untuk masalah jari putus? Artikel ini akan membincangkan berkenaan kaedah rawatan yang boleh diberikan kepada mereka yang mengalami masalah ini

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Rawatan awal
  3. Rawatan Pembedahan
  4. Jari yang tidak boleh disambung
  5. Fasa selepas pembedahan
  6. Kerosakan Saraf
  7. Terapi fizikal
  8. Komplikasi

Pengenalan


Jari yang putus memberi maksud bahawa sebahagian atau keseluruhan jari terputus atau terpisah dari tangan. Ianya merupakan sejenis kecederaan yang kerap dilihat terutamanya dalam bidang mekanikal ataupun melibatkan penggunaan mesin di kilang.

Rawatan awal Jari Putus


Jika anda mengalami jari terputus, anda harus mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera. Jika dibiarkan terlalu lama, ia mungkin akan mengganggu fungsi tangan.

Di tempat kejadian:

  • Minta pertolongan orang di sekeliling. Tutup mesin jika ada.
  • Panggil ambulans ataupun segera bawa pesakit ke jabatan kecemasan berdekatan.
  • Jika keseluruhan jari terputus, dapatkan jari tersebut.

Kecederaan:

  • Bilas kawasan tercedera dengan air bersih
  • Tutup kawasan tercedera dengan kain bersih atau gauze.
  • Letakkan tangan lebih tinggi dari paras jantung bagi mengurangkan pendarahan dan bengkak.
  • Letakkan sedikit tekanan pada luka bagi membantu menghentikan pendarahan.
  • Jangan pakaikan gauze atau balutan terlalu ketat di kawasan jari atau tangan kerana ini boleh menyekat saluran darah.

Jari yang terputus:

  • Jangan buang pakaian atau perhiasan pada jari
  • Basuh jari putus dengan air bersih
  • Tutup jari dengan balutan yang lembap
  • Letakkan jari dalam beg yang bersih dan kalis air
  • Letakkan bag mengandungi jari ke dalam bag plastik yang lain
  • Letakkannya di atas bekas berisi ais
  • Jika lebih dari satu jari terputus, letakkannya dalam beg bersih yang berasingan. Ini bagi mengelakkan berlakunya jangkitan dan kerosakan pada jari.

Elakkan dari meletakkan jari yang putus secara terus di atas ais. Anda boleh menggunakan ais ataupun campuran ais dengan air. Jika tidak mempunyai ais, pastikan jari kekal sejuk dengan meletakkan beg mengandungi jari dalam beg makanan beku ataupun letakkan bag dalam beg berisi air sejuk tapi pastikan jari tidak terkena air.

Renjatan(Shock)

Shock disini bermaksud tekanan darah menjadi rendah daripada normal hingga menyebabkan pesakit mengalami simptom pening kepala atau pengsan. Sebarang kemalangan atau kecederaan pada badan boleh menyebabkan shock atau kejutan. Anda mungkin mengalami simptom berikut:

  • Kulit sejuk dan pucat
  • Pening atau pengsan
  • Berdebar-debar
  • Bernafas dengan laju
  • Loya
  • Muntah
  • Lemah badan
  • Menggigil

Rawatan awal kejutan:

  • Baringkan pesakit
  • Tinggikan sedikit bahagian kaki
  • Tutup badan dengan selimut
  • Letakkan tekanan pada kawasan pendarahan jika ada
  • Baringkan pesakit dibahagian sisi sekiranya muntah bagi mengelakkan tersedak

Penting bagi pesakit dengan shock adalah untuk memantau mereka, mengekalkan suhu badan dan segera hantar ke hospital.

Rawatan pembedahan Untuk Jari Putus


Pembedahan diperlukan bagi menyambungkan kembali jari yang telah putus.

Pakar bedah akan memeriksa terlebih dahulu keadaan jari yang terputus samada ia masih boleh disambungkan atau tidak. Jari yang hanya putus sebahagiannya lebih berpeluang baik untuk disambungkan kembali. Jari yang terputus sepenuhnya lebih sukar untuk disambung.

Langkah langkah bagi menyambungkan jari termasuk:

  • Anaesthesia. Anda akan diberikan ubat bius penuh melalui suntikan. Ini membuatkan anda tidur dan tidak akan merasa sakit.
  • Mencuci luka. Doktor akan membuang tisu yang mati daripada kawasan luka dan jari. Ini bagi mengelakkan jangkitan.
  • Penjagaan tulang. Doktor mungkin perlu membuang sebahagian tulang sekiranya terdapat kerosakan. Ini bagi memastikan penyambungan berjalan lancar.
  • Pembedahan rekonstruktif. Jika jari yang terputus boleh diselamatkan, anda mungkin memerlukan microsurgery iaitu pembedahan kecil. Pakar bedah akan menjahit saraf, saluran darah dan tendon di dalam jari . Ini membantu mengekalkan fungsi jari setelah disambungkan.
  • Penyambungan. Tulang akan disambungkan dengan plate dan skru atau wayar.
  • Penutupan. Luka akan dijahit tutup dan kawasan terlibat dibalut.

Pembedahan pembedahan di atas akan dilakukan melalui kerjasama pakar bedah tulang dan pakar bedah plastik.

Jari putus yang tidak boleh disambung


Apabila terdapat kerosakan yang banyak ataupun jari terbiar terlalu lama, jari yang terputus mungkin tidak dapat disambung.

Jika jari tidak boleh disambung, anda masih memerlukan pembedahan bagi membaiki luka. Pakar bedah akan menggunakan flap atau graf dari kulit sendiri bagi menutup kawasan tercedera.

Fasa selepas pembedahan


Waktu penyembuhan dan dan keadaan selepas pembedahan bergantung kepada jenis kecederaan dan prosedur diperlukan bagi membaikinya. Tempoh penyembuhan mungkin mengambil masa beberapa minggu mahupun tahun. Ubat tahan sakit sangat berguna bagi membantu anda sembuh.

Anda juga mungkin memerlukan antibiotik selepas pembedahan bagi mengelakkan jangkitan. Segera hubungi doktor sekiranya anda mempunyai simptom berikut:

  • Sakit
  • Kemerahan
  • Hangat
  • Bengkak
  • Luka yang lambat sembuh
  • Demam
  • Nanah
  • Bau yang busuk
  • Perubahan warna kulit atau kuku

Doktor juga akan mengajar anda bagi menukar kain balutan setiap 2 hari. Anda perlu berjumpa doktor beberapa minggu selepas pembedahan bagi membuka jahitan.

Kerosakan saraf pada jari


Saraf pada jari sekiranya rosak mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh. Ia juga mungkin tidak akan menjadi seperti asal. Kerosakan saraf akan menyebabkan anda mengalami simptom berikut:

  • Jari lemah
  • Kebas
  • Tidak mempunyai deria sentuh
  • Kejang
  • Sakit

Saraf mungkin mengambil masa 3 hingga 6 bulan untuk sembuh.

Terapi fizikal selepas pembedahan


Proses rehabilitasi sangat penting selepas pembedahan. Ia bagi mengembalikan fungsi tangan dan kekuatan tangan.  Doktor akan menyarankan anda melakukan terapi fizikal dan terapi cara kerja 4 hingga 8 minggu selepas pembedahan.

Anda juga perlu melakukan terapi cara kerja sehingga 24 minggu setelah pembedahan ataupun lebih lama. Anda juga mungkin memerlukan alat sokongan pada tangan atau jari.

Terapi fizikal akan menjadikan tangan dan jari lebih kuat dan fleksibel:

  • Meluruskan dan membengkokkan jari
  • Menggerakkan jari
  • Menggunakan ibu jari bagi mengambil barangan kecil
  • Mengepal tangan dan memegang barangan

Komplikasi selepas pembedahan


Terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku selepas pembedahan. Ia adalah:

  • Sakit dengan jangkamasa yanglama
  • Ketulan darah beku
  • Sensitif terhadap benda sejuk
  • Sakit sendi
  • Parut

Rujukan

  1. Severed finger – Heathline