Skip to content

Kaki kebas: Punca dan Cara Rawatan

Kaki kebas selalunya merupakan keadaan yang normal bagi mereka yang duduk dalam keadaan yang tidak selesa. Ini kerana jika kaki berada pada posisi yang salah, ia akan menyebabkan saraf di bahagian kaki terhimpit dan menyebabkan kebas tersebut berlaku.

Akan tetapi jika ia berterusan sehingga menyebabkan kaki sentiasa merasa kebas, ia mungkin disebabkan beberapa jenis penyakit

Bagi mereka yang mengalami masalah ini secara berterusan, individu tersebut perlulah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca kepada masalah tersebut.

Simptom kebas kaki



Simptom ataupun komplain yang selalu diperkatakan oleh mereka yang mengalami kaki kebas adalah kaki mereka tidak boleh rasa. Bila pijak lantai seolah-olah mereka memakai stoking.

Akan tetapi ada juga simptom-simpton lain yang berkaitan dengan kaki kebas seperti

  • Kaki rasa mencucuk cucuk
  • Kaki rasa tidak kuat
  • Bila berjalan seolah olah memakai stoking

Periksa Simptom anda Di Sini

Punca kaki kebas

Pesakit yang mempunyai kebas kaki ini selalunya akan berkait rapat dengan masalah saraf sebagai contoh masalah tulang belakang dan kencing manis.

Kerana saraflah yang akan memberi deria rasa pada seluruh badan termasuk kaki. Jika saraf tersebut mempunyai masalah ataupun terdapat penyakit yang menyebabkan masalah tersebut berlaku, maka anda akan mengalami masalah kebas kaki



Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah ini iaitu:

1. Kencing Manis

Kencing manis memang merupakan salah satu punca yang selalu menyebabkan kaki kebas. Ini kerana gula yang tinggi ini akan merosakkan sedikit demi sedikit saraf terutamanya dibahagian hujung kaki. Bahkan ia juga boleh merosakkan saluran darah kecil dibahagian hujung kaki.

Bila saraf itu rosak, pesakit tidak akan rasa bila dia terpijak paku atau tersepak sesuatu yang keras. Maka pesakit ini akan selalu mengalami kecederaan pada bahagian kaki. Salur darah yang bermasalah pula akan menyebabkan kurangnya darah pergi ke bahagian tersebut.

Oleh itu, jika ada jangkitan kuman pada bahagian kaki, amat sukar ia untuk baik malah boleh ada jangkitan kuman hingga menyebabkan kaki terpaksa dipotong.

2. Slipped Disc

Slipped disc berlaku apabila cakera di bahagian tulang belakang mengalami masalah dan terkeluar hingga menghimpit saraf tunjang di dalam tulang belakang.

Perlu diketahui saraf tunjang ini berfungsi seolah-olah seperti wayar yang menyambungkan otak dengan kaki dan seluruh bahagian badan yang lain. Jika ia terhimpit maka maklumat rangsang daripada kaki tidak akan sampai ke otak. Oleh sebab itu, pesakit akan merasa kebas pada bahagian kaki jika mengalami masalah ini.



3. Kecederaan pada saraf tunjang

Kemalangan yang menyebabkan patah tulang belakang boleh menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang.

Seperti penerangan di atas, saraf tunjang ini berfungsi sebagai wayar. Jika ia putus atau terhimpit maka, pesakit akan merasa kebas pada bahagian yang terlibat.

4. Kayap

Jarang untuk kayap berlaku pada bahagian kaki. Tetapi jika ia berlaku, ia akan menyebabkan rasa sakit yang teruk pada bahagian yang terlibat. Ia juga boleh menyebabkan rasa kebas di bahagian tersebut.

5. Multiple sclerosis

Penyakit ini merupakan salah satu penyakit autoimun di mana sel imun badan kita akan menyerang sel badan sendiri dan dalam masalah ini ia akan menyerang tisu saraf itu sendiri.

Apabila tisu saraf itu tidak boleh berfungsi seperti biasa, maka bahagian badan yang terlibat dengan saraf tersebut boleh mengalami kebas. Bahkan ia boleh menyebabkan kelumpuhan pada pesakit.



Anda juga mungkin akan merasakan kebas pada bahagian kaki ketika lama duduk terutamanya mereka yang duduk bersila. Ia akan bermula dengan rasa kebas pada kaki kemudian anda akan bangun ataupun mengubah kedudukan untuk memberi keselesaan kepada kaki tersebut

Setelah darah berjalan semula ke kaki tersebut dan saraf tidak terhimpit lagi, ia akan menjadi kebas pada mulanya dan diikuti dengan rasa seperti dicucuk-cucuk. Setelah beberapa minit, kaki anda akan menjadi seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kencing Manis dan Slipped disc

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Bila perlu berjumpa dengan doktor?

Kaki kebas bersama dengan simptom yang seperti sesak nafas adalah suatu yang perlu dirisaukan. Oleh itu, disini kami senaraikan beberapa simptom yang akan memberi tanda amaran kepada anda dan anda perlu segera pergi berjumpa dengan doktor. Ia adalah:

1. Tidak boleh kawal buang air sama ada buang air besar atau air kecil

Ini menunjukkan saraf ke bahagian tersebut telah mengalami himpitan atau kerosakan yang teruk. Perkara ini menyebabkan otot yang mengawal bahagian buang air besar atau kecil sudah tidak boleh dikawal.

2. Sesak nafas

Kaki kebas dan sesak nafas boleh disebabkan darah beku dibahagian kaki. Jika darah beku itu terlepas dan naik ke jantung, darah beku itu boleh tersumbat dibahagian paru-paru dan menyebabkan kekurangan oksigen dan sesak nafas. Tetapi selalunya pesakit juga akan mengalami kaki yang bengkak, merah dan panas.



3. Susah bercakap

Bila seseorang itu tiba-tiba bercakap dengan suara yang pelik ataupun tidak mampu bercakap, maka pesakit perlu dibawa berjumpa dengan doktor. Ia boleh disebabkan angin ahmar yang baru sahaja menyerang pesakit.

4. Sakit kepala yang kuat

Sakit kepala yang kuat boleh disebabkan pelbagai perkara seperti pendarahan otak, kanser otak dan sebagainya. Anda juga perlu berjumpa dengan doktor jika kebas itu menjadi semakin teruk.

Jika anda mempunyai kencing manis, simptom ini perlulah diceritakan kepada doktor yang merawat agar pendidikan untuk menjaga kaki dapat diberikan kepada pesakit.

Penyiasatan

Kebas kaki yang biasa iaitu disebabkan terhimpit tidaklah perlu kepada penyiasatan. Manakala jika seseorang itu mempunyai masalah kencing manis pula, selalunya doktor di klinik kesihatan akan memeriksa kaki anda untuk melihat sama ada telah wujudnya komplikasi hingga menyebabkan kaki anda menjadi kebas

Jika doktor mengesyaki masalah selain daripada itu, pesakit perlulah menjalani beberapa jenis ujian

1. X-ray tulang belakang



X-ray ini sangat membantu kerana ia dapat melihat struktur tulang belakang samada mempunyai masalah ataupun tidak. Mereka yang mengalami ‘slipped disc’ ataupun tulang belakang yang semakin tua dapat dilihat melalui x-ray.

Tetapi x-ray tidak dapt menunjukkan samada masalah tersebut benar-benar telah menyebabkan himpitan pada saraf tunjang ataupun tidak

2. CT-Scan

Boleh digunakan untuk melihat seseorang itu mempunyai angin ahmar ataupun tidak. Jika slipped disc disyaki, ct-scan boleh digunakan untuk melihat struktur tulang belakang. Ia boleh menunjukkan samada berlakunya himpitan pada saraf ataupun tidak.

Walaubagaimanapun, pengimejan yang paling sesuai untuk melihat keadaan saraf tunjang adalah dengan membuang MRI. Ia juga boleh digunakan untuk melihat penyakit multiple sclerosis

3. Nerve Conduction Study (Kajian aliran saraf)

Ia digunakan untuk melihat adakah saraf yang menghantar maklumat ke kawasan otot dapat berfungsi dengan baik ataupun tidak.

Rawatan Kaki kebas

Rawatan kepada masalah ini sangat bergantung kepada punca masalah tersebut. Jika ia disebabkan himpitan pada saraf kaki, pesakit perlulah mengelakkan daripada duduk dalam satu keadaan yang lama. Ubah kedudukan ataupun berdiri setiap setengah jam untuk mengelakkan saraf dan saluran darah daripada terus terhimpit.



1. Kencing manis

Kaki kebas disebabkan kencing manis selalunya tidak boleh dikembalikan balik. Oleh itu, pesakit yang mengalami masalah ini akan diajar bagaimana untuk menjaga kakinya kerana bila kaki tidak merasa sakit, ia lebih mudah luka disebabkan terpijak benda tajam dan sebagainya

Jika luka itu tidak disedari, kawasan luka itu akan mengalami jangkitan kuman dan inilah perkara yang selalu berlaku sebelum kaki mereka menjadi mati dan gangrene menyebabkan kakinya perlu dipotong

2. Masalah tulang belakang

Ia bergantung kepada jenis masalah tersebut. Jika pesakit mengalami slipped disc dengan kebas yang sedikit, selalunya doktor akan memberi peluang terlebih dahulu. Jika ia boleh baik dengan sendirinya, pesakit tidak perlu membuat sebarang prosedur

Jika kebas tersebut menyebabkan kaki menjadi lemah dan pesakit tidak mampu mengawal buang air kencing dan air besar, pesakit mungkin akan dinasihati untuk melakukan pembedahan.

Bagi rawatan bagi penyakit yang kompleks seperti multple sclerosis dan juga penyakit salur darah periferi, ia akan diterangkan dalam post berkenaan penyakit tersebut

Pembacaan bagi masalah yang lain



Benjolan KetiakPening kepala
Kaki BengkakSakit Leher
Kentut VaginaKerap Kentut
Mata KaburSesak Nafas
Kaki KejangKaki Kebas
Badan LemahKaki Tangan Sejuk
Sakit RusukSakit Otot
Mata BengkakPerut Berangin
Benjolan di LeherLeher Hitam
Kulit Gatal

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. McKoy J. (n.d.). Fibromyalgia and numb feet
  2. Sanders L. (2010). What can I do for numb, painful feet and legs?
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + four =