Skip to content

Kanser Mata: Punca, Simptom dan Rawatan

Mata ialah organ yang penting kepada semua kehidupan. Bak kata pepatah, mata ialah jendela jiwa dan dunia. Tanpa mata, seseorang tidak berpeluang untuk melihat keindahan dunia dengan sempurna. Oleh itu, penjagaan mata sangat penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku seperti kanser mata. Artikel pada kali ini akan mengupas tentang kanser mata, simptom serta rawatannya.

Pengenalan

Kanser mata ialah kanser yang sering berlaku di permukaan tisu mata. Kanser ini mula terjadi apabila pertumbuhan sel berlaku secara berlebihan dan di luar kawalan. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain seperti payudara dan paru-paru.

Di Malaysia, terdapat satu kajian yang dilakukan di Pusat Genom Manusia di Universiti Sains Malaysia kepada 36 orang anak kecil dan didapati bahawa sebanyak 80% daripada mereka yang berbangsa Melayu mempunyai variasi DNA lebih tinggi untuk mendapat masalah ini. Namun usah anda risau, ini tidak bermaksud semua bangsa Melayu akan mudah mendapat kanser mata, sebaliknya ia bergantung kepada DNA seseorang itu.

Jenis Kanser Mata



Terdapat beberapa jenis kanser mata, bergantung kepada lokasi kanser di tisu mata. Dua klasifikasi utama bagi kanser ini ialah intraokular primer (kanser yang bermula di mata) dan intraokular sekunder (kanser yang berlaku di bahagian lain dan merebak ke bahagian mata. Intraokular sekunder terjadi lebih kerap berbanding intraokular primer.

Intraokular primer

Terdapat beberapa jenis kanser intraokular primer. Antaranya ialah:

1. Melanoma

Melanoma ialah kanser mata yang terbentuk apabila melanocytes iaitu sel yang menghasilkan pigmen tumbuh secara pantas dan tidak normal. Ia juga dikenali sebagai melanoma uveal atau choroidal, bergantung kepada bahagian mata yang terjejas. Selalunya, melanoma akan bermula sebagai tompokan hitam di bahagian mata (iris) dan mengambil masa beberapa tahun untuk membesar.



2. Limfoma

Limfoma ialah kanser yang berasal dari sel darah putih yang disebut sebagai sel limfatik. Ia boleh berlaku di bahagian retina, vitreous dan saraf optic iaitu di bahagian belakang mata. Kebanyakan orang yang mempunyai limfoma mata ialah warga tua atau individu yang mempunyai masalah sistem imun badan yang lemah seperti AIDS. Limfoma mata juga boleh berlaku bersama limfoma otak.

3. Retinoblastoma

Retinoblastoma selalunya berlaku kepada kanak-kanak yang disebabkan oleh mutasi genetik. Ini terjadi apabila sel saraf retina mula tumbuh dan membiak secara tidak normal. Kanser ini juga boleh merebak ke bahagian badan yang lain.

Selain itu, terdapat beberapa jenis kanser mata lain yang berlaku di orbit dan adnexa mata:

4. Kanser kelopak mata

Ini merupakan sejenis kanser kulit yang juga dikenali sebagai karsinoma sel basal atau karsinoma sel skuamosa, bergantung kepada histologi sel kanser.

5. Kanser orbital



Ia selalunya terjadi di otot mata yang berfungsi untuk mengerakkan bola mata dan di tisu penghubung di sekitar bola mata (rhabdomyosarcoma).

6. Melanoma konjunktiva

Melanoma ini sangat jarang berlaku tetapi bersifat lebih agresif kerana ia dapat merebak melalui darah dan sistem limfa, hingga ke organ-organ lain seperti paru-paru, hati, atau otak yang boleh mengancam nyawa. Pada peringkat awal, ia boleh muncul sebagai ketumbuhan nodular berpigmen yang biasanya terletak di limbus mata.

7. Tumor kelenjar air mata

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Faktor Risiko

Berikut ialah faktor risiko yang boleh terjadi jika seseorang mempunyai kanser mata:

1. Umur

Individu yang berumur 50 tahun ke atas lebih cenderung untuk di diagnos dengan melanoma intraokular primer. Ia jarang berlaku kepada kanak-kanak atau individu melebihi 70 tahun.



2. Bangsa

Melanoma intraokular primer lebih kerap berlaku pada orang berkulit cerah berbanding dengan orang berkulit gelap. Ini kerana kulit putih mempunyai pigmen yang kurang dan lebih sensitif kepada cahaya matahari.

3. Jantina

Melanoma intraokular lebih banyak terjadi kepada kaum lelaki berbanding wanita.

4. Sejarah kesihatan individu

Seseorang yang mempunyai masalah kesihatan seperti berikut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser mata:

  • Kanser tahi lalat
  • Warna mata yang cerah seperti hijau, biru atau kelabu. Ini kerana mata yang cerah mempunyai pigmen yang lebih sedikit untuk melindungi seseorang daripada cahaya UV matahari.
  • Sindrom nevus displastik, iaitu mempunyai banyak tahi lalat datar yang tidak teratur dari segi bentuk atau warna.

5. Sejarah keluarga

Kebarangkalian untuk seseorang menghidapi kanser mata adalah agak tinggi sekiranya mempunyai ahli keluarga yang menghidapi masalah yang sama. Biasanya, ini disebabkan oleh mutasi atau perubahan gene BAP1, yang kebanyakannya dikaitkan dengan kanser mata uveal metastatik. Perubahan gene ini juga dapat dilihat pada jenis kanser lain, seperti kanser ginjal dan kanser paru-paru (mesothelioma).



6. Faktor lain

Kerap terdedah kepada cahaya matahari atau bahan kimia

Simptom atau Tanda Kanser Mata

Kanser mata tidak semestinya menyebabkan simptom yang jelas. Kadang-kadang, ia hanya boleh dikenal pasti semasa pemeriksaan rutin mata. Namun, jika anda mempunyai masalah ini, anda mungkin mengalami simptom seperti:

  • Ternampak bayang-bayang, kelip-kelip cahaya, atau garis-garis selari dalam penglihatan
  • Penglihatan menajdi kabur
  • Tompok gelap di mata semakin besar
  • Kehilangan sebahagian atau keseluruhan penglihatan
  • Mata membonjol
  • Benjolan di kelopak mata atau dalam mata mula membesar
  • Sakit di dalam atau sekeliling mata

Walau bagaimanapun, gejala ini tidak semestinya disebabkan oleh kanser. Ia juga boleh berlaku disebabkan oleh masalah kesihatan lain. Oleh itu, adalah amat penting untuk anda berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti punca sebenar anda menghadapi gejala di atas.

Ujian Pemeriksaan

Selain daripada sejarah kesihatan dan pemeriksaan mata, diagnosis kanser juga selalunya dilakukan secara biposi, iaitu dengan mengambil sampel tisu dan memeriksa jenis tisu tersebut menggunakan mikroskop.

Pemeriksaan mata melalui kaedah yang lain juga dilakukan untuk mengenal pasti jenis kanser yang di alami:

1. Angiografi fluorescein.

Prosedur ini memberi gambaran tentang saluran darah di bahagian mata. Ia juga digunakan untuk mengetahui masalah mata selain kanser.



2. CT Scan

Imbasan CT boleh menunjukkan sebarang kelainan atau ketumbuhan sama ada dari segi bentuk, saiz dan jenis kanser.

3. MRI

MRI mampu membantu doktor untuk mengenal pasti sama ada kanser mata merebak ke bahagian lain.

Rawatan Kanser Mata

Seperti kebanyakan masalah kesihatan, rawatan bagi masalah ini juga bergantung kepada saiz,lokasi serta keadaan yang pesakit alami. Tujuan utama rawatan adalah untuk mengelakkan komplikasi serta memelihara mata yang terjejas sebaik mungkin. Antara rawatan yang diberikan ialah:

1. Brachytherapy

Prosedur ini yang juga dikenali sebagai radiasi dalaman yang meletakkan sumber radioaktif di dalam pesakit untuk membunuh sel kanser dan mengecilkan tumor. Ini membolehkan doktor anda menggunakan jumlah dos radiasi yang lebih tinggi bagi merawat kawasan yang lebih kecil dalam masa yang lebih singkat.

2. Radioterapi luaran



Radioterapi ini menggunakan sinaran radiasi yang dapat memberi fokus secara terperinci kepada sel kanser, seterusnya dapat membantu membunuh sel tersebut tanpa memberi kesan yang ketara kepada sel sihat di sekelilingnya.

3. Pembedahan

Mungkin boleh dilakukan jika saiz tumor kecil dan penglihatan mata masih tidak terjejas.

4. Pembuangan mata (enucleation)

Ini mungkin dilakukan jika saiz tumor anda besar atau telah menyebabkan penglihatan mata terjejas dengan teruk. Mata yang dibuang akan digantikan dengan mata buatan yang sesuai untuk anda

5. Kemoterapi

Periksa Simptom anda Di Sini

Masalah Kanser yang lain



Kanser UsusKanser Esofagus
Kanser HatiKanser Perut
Kanser MataKanser Buah Pinggang
Kanser ProstatKanser Payudara
Kanser TulangKanser Testis
Kanser Pundi KencingKanser Hidung
Kanser OvariKanser Rahim
Kanser Paru-paruKanser Pankreas
Kanser LimfomaKanser Otak
Kanser TiroidKanser Kulit
Kanser GusiKanser Tekak
Kanser TonsilKanser Lidah
Kanser MulutKanser Serviks

Rujukan

  1. What Is Eye Cancer? (n.d.). Retrieved October 18, 2020
  2. Eye Cancer – Risk Factors. (2015, September 01). Retrieved October 18, 2020, from Cancer
  3. Malays More Prone to Eye Cancer. (2007, January 29). Retrieved October 11, 2020, from The Star
  4. Boyd, K. (2020, March 27). Eye Cancer. Retrieved October 18, 2020, from
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − seven =