Skip to content

10 Khasiat Aprikot Yang Anda Perlu tahu

Apakah khasiat aprikot pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat aprikot, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam aprikot.

Pengenalan

Terdapat beberapa pendapat tentang asal usul Aprikot, sebahagian mengatakan Aprikot berasal daripada China, dan ada juga yang mengetengahkan Aprikot ditanam sejak purba di kawasan Armenia atau India. Namun begitu, Aprikot mula menempah populariti sejak penduduk Sepanyol di kawasan Mediterranien memperkenalkan Aprikot ke Amerika. Walaupun perselisihan pendapat wujud tentang asal usul Aprikot, tetapi tiada yang menafikan tentang kepelbagaian manfaatnya terhadap kesihatan. Aprikot dikenali dan dimakan sebagai buah kering, namun buah segarnya juga tidak kurang popularnya. Nama Aprikot berasal daripada bahasa Latin, yang bermaksud “berharga” kerana Aprikot kebiasaanya akan masak lebih awal daripada buah musim panas yang lain.

Kandungan Nutrisi

Aprikot terkenal kerana kandungan nutrisinya yang sangat baik bagi kesihatan tubuh badan. Menurut US Department of Agriculture (USDA), sebiji Aprikot seberat 35 gram menyumbang sebanyak 16.8 kalori, 3.89 karbohidrat dengan 3.23 gram daripadanya merupakan gula, protein 0.49 gram serta lemak 0.14 gram. Selain daripada komponen-komponen utama tersebut, Aprikot juga mengandungi serat sebanyak 0.17 gram serta pelbagai mineral dan vitamin seperti potassium, calcium, vitamin A dan beta-karotena yang pastinya sangat membantu dalam memelihara kesihatan seseorang individu.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat



Aprikot kaya dengan beberapa nutrien yang memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan. Antara komponen berkhasiat yang terdapat dalam Aprikot adalah beta-karotena, lutein dan zeaxanthin, iaitu antioksida yang sangat baik untuk melawan radikal bebas. Selain daripada itu, Aprikot juga mengandungi flavonoid seperti asid klorogenik, catechin dan quarcetin yang juga bersama-sama dengan antioksida lain bagi memelihara tubuh badan daripada kerosakan tekanan oksidatif. Artikel ini seterusnya akan membincangkan lebih lanjut manfaat dan kebaikan Aprikot untuk kesihatan tubuh badan.

10 Khasiat Aprikot kepada Kesihatan

1. Mengurangkan keradangan

Keradangan merupakan suatu proses semulajadi badan untuk membantu dalam pemulihan dan pemeliharaan kesihatan. Namun, seandainya keradangan itu berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama, atau dikenali sebagai keradangan kronik, perkara ini boleh menyebabkan kepada penyakit-penyakit seperti obesiti, sakit jantung dan sebagainya. Menurut kajian, pengambilan flavonoid dan anthocyanin mampu mengurangkan tahap keradangan. Justeru, memasukkan Aprikot, yang kaya dengan flavonoid, dalam diet seharian dilihat baik bagi membantu dalam mengurangkan keradangan seseorang individu.

2. Berpotensi untuk memperbaiki kesihatan mata

Banyak faktor yang mempengaruhi kesihatan mata seseorang, antaranya adalah faktor umur, pemakanan serta gaya hidup. Dari segi pemakanan, vitamin A dan E yang terdapat dalam Aprikot baik bagi membantu menghalang daripada kebutaan malam serta kerosakan oksida. Selain daripada itu, karotena seperti lutein dan zeaxanthin yang terdapat didalam Aprikot juga berupaya melindungi mata daripada tekanan oksida yang boleh membawa kepada kerosakan mata.



3. Kesihatan kulit

Kulit merupakan pertahanan pertama yang melindungi badan daripada kuman, bakteria serta bahan-bahan berbahaya yang lain. Justeru, kesihatan kulit perlu dipelihara dengan baik agar kita terhindar daripada penyakit. Vitamin C yang terdapat didalam Aprikot berfungsi memelihara kesihatan kulit dengan melindungi daripada kerosakan sinaran UV serta membantu menghasilkan kolagen yang secara tidak langsung dapat mencegah kedutan. Aprikot juga mengandungi beta-karotena yang didapati berpotensi melindungi kulit daripada selaran matahari (sunburn).

4. Kesihatan perut

Antara faktor penting yang menyumbang kepada kesihatan perut adalah pertumbuhan bakteria baik, juga dikenali sebagai probiotik. Probiotik ini berfungsi membantu dalam pencernaan serta membantu dalam melawan bakteria jahat yang boleh membawa kepada penyakit. Aprikot mengandungi serat, yang bermanfaat sebagai makanan untuk probiotik, bagi memastikan probiotik tersebut dapat berfungsi dengan baik dalam memelihara kesihatan perut dan pencernaan seseorang individu.

5. Berpotensi untuk mengawal tekanan darah

Tekanan darah yang dikawal dengan baik dapat memelihara individu daripada penyakit seperti sakit jantung serta hipertensi. Antara langkah bagi mendapatkan tekanan darah tinggi yang terkawal adalah dengan pengambilan potassium yang mencukupi. Aprikot mengandungi nilai potassium yang tinggi, berpotensi membantu memelihara keseimbangan cecair didalam badan serta memelihara kesihatan tekanan darah seseorang individu.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Tekanan Darah Tinggi

6. Baik untuk hidrasi badan



Mengekalkan hidrasi badan adalah penting bagi memastikan proses-proses dan sistem-sistem didalam badan dapat berfungsi dengan sebaiknya. Aprikot memiliki kandungan air yang tinggi, membantu individu yang kurang pengambilan air untuk kekal hidrat supaya nutrien-nutrien serta bahan kumuh didalam badan dapat diproses dengan baik.

7. Berpotensi memelihara kesihatan hati

Hati merupakan antara organ utama dalam badan yang memainkan banyak peranan penting seperti detoksifikasi (proses pembuangan toksin dalam badan), penghasilan protein dan kolesterol serta tempat penyimpanan tenaga. Justeru, penjagaan hati yang baik perlu dititikberatkan agar kesihatan badan terpelihara. Menurut kajian, Aprikot melalui komponen antioksidanya berpotensi membantu memelihara kesihatan hati dengan melindungi hati daripada kerosakan dan tekanan oksidatif. Namun, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti kesan sampingan serta dos yang sesuai untuk diambil untuk kesihatan hati.

8. Baik untuk kesihatan jantung

Jantung berfungsi mengepam darah keseluruh badan menerusi salur darah. Justeru memelihara kesihatan jantung adalah penting bagi memastikan darah dapat disalurkan dengan baik kesetiap inci tubuh kita. Kajian mendapati, flavonoid, iaitu sejenis antioksida seperti yang terdapat didalam Aprikot berpotensi memelihara jantung daripada kerosakan dan tekanan oksidatif, secara tidak langsung membantu memelihara kesihatan jantung.

Artikel Berkaitan: Serangan Sakit Jantung dan tanda-tandanya

9. Berpotensi memelihara daripada anaemia

Anemia merupakan suatu kondisi yang dihadapi seseorang individu berikutan pengurangan penghasilan sel darah merah yang sihat dalam badan. Jika dibiarkan, kondisi ini boleh menyebabkan seseorang individu untuk berasa letih dan lemah. Pengambilan makanan yang mengandungi zat besi, seperti yang terdapat didalam Aprikot membantu dalam penghasilan sel darah merah, secara tidak langsung berpotensi melindungi individu daripada anemia.



Artikel Berkaitan: Tanda-tanda kurang darah merah

10. Kesihatan tulang

Tulang manusia memerlukan beberapa zat dan mineral utama untuk kekal sihat, salah satu daripadanya adalah kalsium. Namun, kalsium sebenarnya memerlukan kehadiran potassium bagi memastikan ia dapat diserap oleh badan dengan baik. Justeru, Aprikot, yang mengandungi potassium dan kalsium dilihat merupakan antara makanan yang sangat sesuai diambil untuk membantu individu mendapatkan tulang yang sihat.

Kesimpulan

Sebagai titipan akhir artikel, buah aprikot dilihat memiliki manfaat yang sangat berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan. Justeru, memasukkan aprikot dalam diet seharian merupakan langkah yang baik bagi memastikan badan kekal sihat dan terhindar daripada penyakit. Di samping itu, adalah penting juga bagi individu untuk sentiasa mengamalkan pemakanan yang seimbang dengan mengikuti konsep Pinggan Sihat Suku-suku Separuh serta gaya hidup yang aktif agar kesihatan tubuh badan kekal terpelihara.

Diharapkan artikel khasiat aprikot ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat mengenai kebaikan dan khasiat aprikot kepada tubuh badan

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan

  1. Davidson K. (2019). 9 Health and Nutrition Benefits of Apricots. Retrieved from Healthline
  2. Nandy P. (2020). 8 Amazing Benefits of Apricot (khubani): The Nutritional Heavyweight among Fruits.
  3. Olsen N. (2020). What are the health benefits of Apricots? Retrieved from Medical News Today
  4. WebMD (2020). Apricots: Health Benefits, Nutrition and Uses. Retrieved from Webmd
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen − thirteen =