Skip to content

Kuat Berpeluh: Punca dan Rawatan

Adakah anda atau orang sekeliling anda mengalami masalah kuat berpeluh? Artikel ini membincangkan tentang punca, simptom berkaitan, dan rawatan kepada masalah kuat berpeluh.

Pengenalan

Kuat berpeluh atau juga dikenali sebagai hiperhidrosis merupakan keadaan dimana individu mengalami masalah berpeluh yang berlebihan yang tidak berkait dengan berpanas atau bersukan diluar keperluan biasa badan. Masalah ini boleh mengganggu aktiviti harian yang normal dan boleh membawa kepada gangguan keresahan sosial dan membuatkan individu tersebut berasa malu untuk berhadapan dengan orang lain apabila peluh berlebihan sehingga baju menjadi basah dan tapak tangan kelihatan basah yang jelas.

Peluh merupakan cecair yang dihasilkan oleh kelenjar peluh ekrin yang terdapat di seluruh kulit terutama dibahagian tapak tangan dan tapak kaki. Fungsi peluh adalah sebagai mekanisma bagi menyejukkan. Kawasan yang berpeluh menjadikan kulit kelihatan basah dan terdedah kepada jangkitan.

Punca Kuat Berpeluh



Punca sebenar hiperhidrosis masih tidak diketahui. Hiperhidrosis boleh dibahagikan kepada hiperhidrosis primer yang mana merupakan idiopatik atau tanpa sebab yang diketahui dan hyperhidrosis sekunder pula disebabkan oleh masalah kesihatan atau ubat. Hiperhidrosis primer kebiasaannya terjadi bermula dari kanak-kanak atau remaja dan lebih biasa berlaku berbanding hiperhidrosis sekunder.

Hiperhidrosis primer terjadi apabila pusat termoregulasi di hipotalamus di otak bertindak lebih aktif dari biasa dan di hantar melalui sistem saraf simpatetik kepada kelenjar peluh ekrin. Antara pencetus kepada masalah peluh berlebihan bagi hiperhidrosis primer adalah termasuk :

  • Cuaca panas
  • Bersukan
  • Demam
  • Kegelisahan
  • Makanan pedas

Antara masalah kesihatan yang berpotensi mengakibatkan hiperhidrosis sekunder adalah termasuk :

  • Obesiti
  • Diabetes
  • Menopause
  • Hipertiroid
  • Penyakit jantung
  • Kegagalan sistem pernafasan
  • Tumor endokrin seperti phaechromocytoma
  • Ubat-ubatan seperti antidepresan, ubat tekanan darah, antibiotic dan suplemen seperti zink

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom Berkaitan

Hiperhidrosis boleh juga dibahagi kepada hiperhidrosis lokal atau setempat yang mana mempengaruhi bahagian bawah lengan, tapak tangan, tapak kaki, muka atau bahagian lain. Seterusnya adalah hiperhidrosis general yang mempengaruhi keseluruhan tubuh badan. Selain itu, boleh juga dibahagikan kepada hiperhidrosis primer atau sekunder.

Simptom berkaitan hiperhidrosis primer adalah termasuk :

  • Bermula dari kanak-kanak atau remaja
  • Boleh kekal seumur hidup atau bertambah baik apabila semakin meningkat umur
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai masalah sama
  • Masalah peluh berlebihan terutama pada bahagian bawah lengan, tapak tangan atau tapak kaki pada kedua-dua belah kanan dan kiri
  • Kebiasaannya masalah berpeluh kurang pada waktu malam dan tidak berlaku ketika tidur


Simptom berkaitan hiperhidrosis sekunder adalah termasuk :

  • Lebih jarang ditemui berlaku berbanding hiperhidrosis primer
  • Masalah berpeluh terjadi pada satu bahagian badan atau tidak simetri atau secara umum
  • Masalah berpeluh terjadi pada waktu malam atau ketika tidur
  • Disebabkan oleh masalah endokrin atau masalah neurologi atau kesan sampingan ubat-ubatan

Ujian Pemeriksaan

Sekiranya anda mempunyai masalah kuat berpeluh yang mengganggu rutin harian, anda hendaklah mendapatkan nasihat dan pengesahan diagnosis daripada doktor perubatan anda. Masalah kuat berpeluh atau hiperhidrosis kebiasaannya didiagnos secara klinikal. Ujian yang berkaitan bagi mengetahui punca hiperhidrosis juga boleh dilakukan berdasarkan pada penilaian doktor, terutama bagi hiperhidrosis sekunder seperti ujian gula dalam darah dan ujian fungsi tiroid.

Rawatan

Rawatan bagi masalah kuat berpeluh boleh dibahagikan kepada rawatan umum dan rawatan spesifik. Rawatan permulaan kebiasaannya adalah tidak invasif. Antara rawatan umum adalah termasuk :

  • Memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat
  • Memakai bedak selepas mandi
  • Memakai sarung kaki yang diperbuat daripada kain kapas dan perlu ditukar setiap hari
  • Mendedahkan bahagian kaki sekerap yang mungkin bagi tujuan pengudaraan

Antara rawatan spesifik adalah termasuk :

  • Antipeluh Topikal – merupakan astringen yang membantu mengurangkan kadar pengeluaran peluh oleh kelenjar ekrin dan apokrin. Garam aluminium yang terdapat dalam antipeluh topikal akan berkumpul di dalam kelenjar peluh dan menghalang pengeluaran peluh berlebihan.
  • Iontophoresis – merupakan alat yang mengalirkan tenaga elektrik dan menggunakan air paip sebagai media untuk mengurangkan aktiviti kelenjar peluh. Namun, rawatan ini mempunyai kontroindikasi pada wanita mengandung, individu yang mempunyai masalah kulit yang teruk atau luka dan individu yang mempunyai masalah degupan jantung.
  • Ubat – ubatan oral yang bersifat antikolinergik seperti glycopyrrolate dan propantheline bromida dapat membantu mengurangkan peluh berlebihan akibat aktiviti asetilkolina. Namun, antara kesan sampingannya adalah seperti mulut kering, penglihatan kabur, pening, sembelit dan sebagainya.
  • Botox (botulinum toksin) – dapat membantu masalah kuat berpeluh dengan menghalang kelenjar ekrin daripada menghasilkan peluh. Kesan daripada pengambilan botox termasuk rasa sakit dan lemah otot yang sementara.
  • Pembedahan – Endoscopic Thoracic Sympathectomy (ETS) merupakan pembedahan yang memusnahkan sebahagian daripada bekalan saraf kepada kelenjar peluh di kulit. Pembedahan ini hanya boleh dilakukan selepas rawatan lain gagal dan selepas berunding dengan pakar bedah.

Pencegahan

Antara pencegahan bagi hiperhidrosis primer adalah dengan mengelakkan daripada pencetus masalah peluh berlebihan seperti cuaca panas, dan makanan pedas. Bagi hiperhidrosis sekunder, anda hendaklah mendapatkan rawatan bagi penyakit yang telah disebutkan diatas. Memakai pakaian yang longgar, beserta kain yang mudah menyerap peluh juga dapat membantu bagi mengurangkan masalah peluh berlebihan. Kerap mendedahkan bahagian kaki atau tangan yang mudah berpeluh bagi pengudaraan. Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda hiperhidrosis seperti yang telah dinyatakan, segeralah dapatkan bantuan sewajarnya daripada doktor perubatan.

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Rujukan:

  1. Hyperhidrosis – Uptodate
  2. Hyperhidrosis – Dermnernz.org
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 − nine =