Apakah fungsi ubat metformin? Artikel ini akan membincangkan penggunaan ubat ini, dos yang digunakan, kesan sampingan dan pelbagai lagi.
Pengenalan
Metformin tablet merupakan ubat oral antidiabetik yang digunakan untuk membantu individu yang menghidap penyakit kencing manis atau lebih popular dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai Type 2 Diabetes Mellitus (T2DM). Ia digunakan dalam rawatan kencing manis yang telah gagal dengan kawalan diet ataupun bacaan kencing manis yang tinggi. Metformin tergolong dalam kumpulan biguanida.
Cara Metformin Berfungsi
Mekanisma utama fungsi Metformin(HCl) ialah, ia menurunkan kandungan gula dalam darah melalui pengurangan penghasilan glukosa dari hati. Bukan itu sahaja, Metformin juga menambahkan keupayaan otot-otot untuk menggunakan glukosa yang ada sebagai tenaga. Lebih banyak glukosa yang digunakan, maka lebih banyak glukosa keluar daripada salur darah.
Seperti ubat-ubatan diabetik yang lain, untuk mendapatkan kawalan gula yang baik, Metformin tablet hendaklah dimakan berjadual mengikut nasihat doktor dan ahli farmasi. Individu yang memerlukan terapi ini akan diajar ‘step-by-step’ oleh doktor mahupun pegawai farmasi kerana cara pengambilan yang tepat akan menghasilkan keputusan terapi yang baik.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Penggunaan
Dos Metformin
Secara umumnya, menurut Malaysian Diabetes Education Society dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia, dos tablet metformin yang diberikan biasanya dimulakan dengan dos yang rendah iaitu 1 tablet, 500mg sebagai permulaan untuk dua minggu pertama. Cara pemakanan nya adalah; ambil 1 biji tablet metformin (500mg) selepas makan satu kali sehari sahaja untuk dua minggu petama.
Kemudian dos akan beransur-ansur ditingkatkan sehingga tidak melebihi 3g sehari secara dos terbahagi mengikut keperluan individu. Jangka masa kawalan peningkatan dos setiap individu adalah berbeza dan kadang kala ia boleh memakan masa lebih lama daripada dua minggu.
Kunci utama untuk keberhasilan terapi ini ialah memastikan badan telah serasi dan mampu memproses ubat ini dengan sempurna tanpa sebarang atau dengan minimal kesan sampingan sebelum dos ditingkatkan. Oleh itu kepatuhan individu terhadap jadual pengambilan adalah sangat penting.
Jika Terlupa
Seandainya jika terlupa, ambil ‘dos terlupa’ sebaik teringat. Jika ia mendekati waktu dos seterusnya, tinggalkan ‘dos terlupa’ ini dan mulai dos seterusnya mengikut jadual biasa. Jangan sesekali anda menggandakan dos ubat atau ambil dos yang berlebihan untuk menggantikan dos yang terlupa. Peraturan pengambilan tetap sama, iaitu ambil Metformin tablet bersama makanan atau selepas makan untuk mengurangkan kesan sampingannya seperti loya, muntah dan cirit-birit.
Metformin Jenis SR atau XR
Lain pula cerita untuk tablet Metformin(HCl) berformulasi ‘slow release (SR)’ dan ‘extended release (XR)’, tahap maksimum dos pengambilan sehariannya mungkin berbeza atas faktor formulasinya bahan aktif yang ditargetkan untuk diuraikan dalam masa yang tertentu di dalam badan. Selalunya pengambilan ubat jenis ini hanya sekali sehari sahaja kerana kemampuan ubat ini bertahan di dalam badan dalam jangka yang lebih lama berbanding ubat metformin yang biasa.
Usah khuatir jenis tablet metformin anda, kerana perkataan ‘SR’ dan ‘XR’ akan dipaparkan dengan jelas pada bungkusan kotak ubat berdaftar di Malaysia. Formulasi-formulasi ini juga berkesan dalam menangani kelupaan individu terhadap pengambilan ubat mereka serta dapat mengurangkan kesan sampingan.
Kesan Sampingan
Usah khuatir, bahawa simptom kesan sampingan major sangat jarang terjadi. Contoh kesan sampingan yang mungkin berlaku adalah:
- Cirit Birit
- Sakit perut
- Rasa Loya
- Kerap kentut
- Badan Lemah
- Perut Berangin
- Pedih ulu hati
- Muntah
- Simptom rendah gula seperti tangan menggeletar, pengsan dan sawan jika gula terlalu rendah
Sila rujuk kepada doktor atau ahli farmasi jika anda mengalami gejala-gejala lain semasa mengambil ubat ini.
Sekiranya setelah peningkatan dos anda mengalami kesan sampingan yang tidak menyenangkan, anda mungkin perlu kembali ke dos sebelumnya. Sekiranya kesan sampingan tidak pulih selepas 2 minggu, maka buatlah janji temu atau menghubungi klinik dengan doktor yang sama. Metformin tidak dapat menyembuhkan diabetes anda. Tetapi, membantu mengawal glukosa darah, mengurangkan tahap diabetes anda yang mungkin akan menyebabkan masalah serius pada masa akan datang.
Peringatan
Adalah diingatkan untuk tidak tiba- tiba menghentikan terapi tablet metformin tanpa nasihat doktor. Apabila kandungan gula di dalam darah tidak terkawal. Lama kelamaan, ini boleh merosakkan saluran darah dan saraf anda, yang menyebabkan serangan jantung atau strok dan kerosakan saraf sehingga boleh menyebabkan kebutaan.
Penggunaan ketika kehamilan masih dibenarkan. Tetapi perlu pantauan yang rapi oleh doktor. Kajian pada haiwan dan manusia menunjukkan tiada kesan sampingan
Interaksi Antara Ubat
Terdapat beberapa jenis ubatan yang tidak digalakkan diambil bersama tablet Metformin. Maklumkan kepada doktor dan ahli farmasi jika anda sedang mengambil ubatan seperti Vitamin B12. Pengambilan penggabungan terapi metformin bersama tablet anti diabetik yang lain secara senyap tanpa pengetahuan dan pengawasan doktor juga bahaya.
Ini penting supaya individu tersebut tidak mengalami hipoglisemia iaitu kekurangan gula dalam darah yang berlaku secara mendadak. Hal ini akan meyebankan individu tersebut menggigil, lemah, amat lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar, gelisah dan perkara yang membimbangkan adalah tidak sedarkan diri.
Penyimpanan
Cara penyimpanannya sangat mudah, iaitu simpan ubat-ubatan tablet anda dalam botol atau kotak yang asal atau di dalam bekas khas berjadual ubat yang kedap udara.
Pastikan botol atau kotak tersebut ditutup ketat dan disimpan di tempat yang dingin dan kering serta jauh dari sinaran matahari. Simpan jauh daripada sumber haba seperti atas peti sejuk mahupun berdekatan ketuhar adalah tidak sesuai.
Jauhi ubat ini daripada kanak-kanak. Buangkan semua ubat yang telah luput. Mengenai pelupusan; jangan buang ubat-ubatan yang berlebihan secara sebarangan. Dapatkan nasihat ahli farmasi anda mengenai cara-cara pelupusan ubat dengan betul.
Rujukan:
- Metformin – Myhealth Portal
- Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna
- Malaysian Diabetes Education Society
- Metformin -MIMS Malaysia
- Metformin – Rxlist