Skip to content

Penyakit OCD: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca dan rawatan kepada penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD)? Artikela ini akan menerangkan dengan lengkap berkenaan simptom dan rawatan masalah ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Definisi
  3. Punca Penyakit OCD
  4. Simptom Penyakit OCD
  5. Penyiasatan
  6. Rawatan

Pengenalan


Gangguan mental atau penyakit mental adalah satu penyakit yang boleh melibatkan semua orang. Luarannya mungkin nampak seperti normal, tetapi di dalamnya sedang bergelut untuk menstabilkan diri dan berlawan dengan masalah yang dihadapi.

Gangguan mental adalah gangguan perasaan, personaliti dan pemikiran yang boleh mengganggu psikologi seseorang yang normal. Bagi orang yang mempunyai masalah mental, mereka amat susah untuk bersosial dan beraktiviti bersama masyarakat kerana dalam diri mereka mempunyai fikiran yang sentiasa bercelaru dan merasakan diri mereka lain daripada orang yang lain.



Namun begitu, seseorang yang mengalami gangguan mental ini tidak sepatutnya dikategorikan sebagai orang yang gila dan tidak waras. Mereka juga sama seperti pesakit lain yang seharusnya diubati dan dirawat.

Sering berasa gelisah, cemas dalam apa jua keadaan antara salah satu petanda seseorang itu mengalami masalah mental. Antara yang berkait rapat dengan sikap gelisah (anxiety) ini adalah Obsessive Compulsive Disorder.  

Apakah itu Obsessive Compulsive Disorder(OCD)


Obsessive Compulsive Disorder (OCD) adalah salah satu penyakit mental yang menyebabkan pesakit sentiasa berada dalam keadaan cemas yang menyebabkan pesakit ingin melakukan sesuatu perkara secara berkali-kali. Dalam erti kata yang lain mempunyai sifat rasa was-was yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.

Ia akan melakukan sesuatu perkara secara berulang kali dalam keadaan mereka tidak mahu, tetapi disebabkan perasaan dan pemikiran was-was ini menyebabkan pesakit ini melakukan secara berulang kali sehingga hati dan pemikiran mereka berasa puas.

OCD terdiri daripada perkataan “Obsession” dan “Compulsion”.



Obsession atau obsesi adalah satu keadaan di mana seseorang itu mempunyai pemikiran tidak ingin (unwanted thought) kepada sesuatu perkara yang menyebabkan mereka bertindak melakukan sesuatu secara berulang kali (compulsion).  Compulsion atau terdesak adalah satu perbuatan yang dilakukan secara berulang kali.

Secara mudahnya pemikiran yang gelisah dan terdesak (obsessive) menyebabkan pesakit melakukan tindakan secara berulang kali (compulsion).

Membasuh tangan berulang kali selama tujuh kali apabila menyentuh sesuatu objek yang mungkin kotor antara contoh situasi orang yang mempunyai OCD.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Penyakit OCD


Punca kepada masalah OCD ini masih belum dapat diketahui secara spesifik. Tetapi terdapat beberapa kemungkinan yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami OCD.

  1. Biologi: OCD boleh berlaku jika terdapat perubahan secara kimia kepada fungsi otak.
  2. Genetik: Genetik atau keturunan juga mungkin penyebab kepada OCD.
  3. Pengalaman: OCD boleh terjadi disebabkan pengalaman apabila berada dalam suasana yang sama seperti mereka.

Ada beberapa juga faktor yang menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mempunyai OCD:

  • Sejarah keluarga: Mempunyai keluarga yang menghidapi OCD juga boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidapi OCD.
  • Suasana yang tertekan atau trauma: Stress atau tertekan sering menjadi punca kepada masalah gangguan mental.
  • Gangguan mental yang lain: Penyakit seperti depresi, gelisah antara risiko yang boleh menyebabkan OCD.

Simptom dan Gejala Penyakit OCD


Pemikiran yang obses (obsession) seperti contoh:

  • Sentiasa berasa risau tentang diri sendiri dan diri orang sekeliling akan disakiti.
  • Sentiasa dalam keadaan yang sedar dengan sentiasa berkelip mata, bernafas dan pergerakan anggota badan yang lain.
  • Rasa curiga dengan orang sekeliling tanpa mempunyai bukti yang jelas untuk dipercayai.

Tabiat atau tindakan secara berulang kali (compulsion):



  • Melakukan tugasan dengan berulang kali sehingga merasakan betul-betul hasil kerja yang bagus.
  • Sentiasa mengira dan mengulang-ulang sesuatu seperti langkah berjalan, mengira nombor dan sebagainya.
  • Berasa takut untuk bersentuhan dan berkongsi dengan orang lain seperti penggunaan tandas awam, berjabat tangan.

Namun begitu, terdapat beberapa simptom yang boleh kita lihat bagi seseorang yang mempunyai OCD ini:

  • Menyemak (checking): Sentiasa menyemak dan memeriksan keadaan sekeliling untuk memastikan keadaan sentiasa selamat seperti contoh kunci rumah, suis lampu, sistem penggera.
  • Membersih (cleaning): Membasuh tangan secara berulang kali dalam tempoh masa yang lama sehingga diyakini benar-benar bersih dari kotoran.
  • Teratur (orderliness): Terlalu teratur dan perlahan untuk melakukan sesuatu tindakan.
  • Sentiasa mengulang-ulang (counting) perkataan yang didengarinya.

Penyiasatan dan Diagnosa


Kaedah penyiasatan adalah lebih kepada pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan darah untuk menentukan pesakit tidak mempunyai simptom-simptom yang lain.

Secara umumnya, doktor psikiatri akan berbicara dengan pesakit secara lebih dalam berkenaan perasaan, pemikiran dan tindakan yang dilakukan oleh pesakit. Pesakit akan disahkan mengalami masalah ini berdasarkan simptom dan gejala yang dialami seperti yang telah diterangkan di atas.

Rawatan Penyakit OCD


OCD tidak mempunyai rawatan yang khusus untuk menghilangkan penyakit ini, tetapi rawatan yang diberikan adalah lebih kepada untuk merawat simptom yang dihadapi oleh pesakit.

Rawatan yang diberikan adalah:

1. Psikoterapi

Terapi tingkah laku kognitif (cognitive behavioural therapy) boleh membantu pesakit dalam mengubah corak pemikiran. Ia akan membantu pesakit untuk mengawal keadaan dan pemikiran jika berlaku dalam keadaan yang cemas dan OCD.

2. Berehat dan relaks (relaxation)



Aktiviti-aktiviti yang boleh merehatkan badan dan tenang sangat membantu untuk mengurangkan OCD seperti bersenam, urutan badan dan lain-lain.

3. Ubat-ubatan

Ubat yang diberikan oleh pakar psikiatri adalah ubat yang berbentuk selective serotonin reuptake inhibitors yang berfungsi untuk mengawal OCD. Antaranya ialah:

  • citalopram (Celexa),
  • escitalopram (Lexapro),
  • fluoxetine (Prozac),
  • fluvoxamine,
  • paroxetine (Paxil), dan
  • sertraline (Zoloft).

Perlu diingat, pesakit yang mempunyai gangguan mental bukanlah orang yang gila dan tidak waras. Seharusnya kita tidak menyisihkan mereka daripada kehidupan normal dan kita perlu membantu mereka untuk keluar daripada penyakit ini dan boleh mengawalnya dengan sebaiknya.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Psychiatry.org – Obsessive Compulsive Disorder
  2. Webmd – Obsessive Compulsive Disorder
  3. Mayoclinic – Obsessive Compulsive Disorder
  4. Helpguide.org – Obsessive Compulsive Disorder
  5. My health – Mental Disorder
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 15 =