Simptom sejuk di bahagian tangan dan kaki boleh menjadi satu simptom yang normal. Perubahan dalam suhu dan juga gaya hidup boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom tangan atau kaki sejuk.
Punca Tangan dan Kaki Sejuk
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah ini berlaku. Beberapa punca tersebut adalah:
1. Suhu persekitaran yang sejuk
Ini merupakan punca utama yang menyebabkan kawasan tangan dan kaki menjadi sejuk.
Apabila badan berada di persekitaran yang sejuk, salur darah akan mengecut terutamanya pada kawasan kaki dan tangan. Ini akan mengurangkan peredaran darah di kawasan tersebut. Ia merupakan salah satu mekanisma badan untuk mengelakkan badan kehilangan haba daripada badan.
Jika dibiarkan lama, peredaran darah yang kurang ini akan menyebabkan kurangnya oksigen yang sampai dikawasan tersebut. Selalunya perkara ini akan menyebabkan kawasan kaki dan tangan tersebut berwarna kerbiru-biruan. Jika persekitaran badan menjadi panas semula, warna tangan atau kaki tersebut akan menjadi normal semula
2. Kebimbangan, rasa cemas atau tekanan yang melampau
Dalam keadaan bimbang, stress dan cemas boleh menyebabkan badan memberi respons dengan merembeskan hormon adrenalin di dalam darah.
Hormon ini akan menyebabkan jantung berdenyut dengan lebih laju.
Disamping itu, ia juga akan menyebabkan salur darah terutamanya dibahagian tangan dan kaki mengecut. Perkara ini akan menyebabkan peredaran darah dikawasan tersebut kurang dan tangan/kaki akan menjadi sejuk.
3. Masalah peradaran darah
Masalah peredaran darah selalu lebih mudah berlaku di bahagian kaki berbanding tangan. Mereka yang mempunyai masalah peredaran darah ini akan selalu mempunyai simptom sejuk kaki.
Masalah peredaran darah ini mempunyai pelbagai punca seperti:
- Posisi duduk yang tidak betul: Selalunya posisi tersebut menyebabkan salur darah kaki terhimpit dan mengurangkan peredaran darah pada kawasan kaki
- Merokok: Perbuatan ini boleh menyebabkan salur darah lebih mudah tercedera dan kolesterol lebih mudah masuk ke salur darah menyebabkan ia menjadi keras dan mengecil. Bila diameter saluran darah mengecil, ia akan menyebabkan peredaran darah ke kawasan tersebut semakin berkurangan.
- Kolesterol tinggi: Bacaan kolesterol yang tinggi juga akan menyebabkan salur darah mengecil.
- Masalah jantung: Mereka yang mengalami masalah lemah jantung selalu menghadapi simptom sejuk tangan dan kaki. Ini kerana jantung tidak mampu mengepam darah keseluruh tubuh badan pesakit.
4. Kurang darah merah (anemia)
Anemia adalah keadaan dimana sel darah merah dalam badan kurang daripada biasa. Ia mempunyai pelbagai punca seperti kekurangan zat besi, Vitamin B12, asid folik, kegagalan buah pinggang dan juga pendarahan.
Anemia yang teruk boleh menyebabkan tangan dan kaki menjadi sejuk.
5. Kencing manis
Pesakit kencing manis boleh mengalami masalah dalam peredaran darah terutamanya pada bahagian tangan dan kaki.
Kadar gula yang tinggi akan menyebabkan saluran darah menjadi lebih sempit dan kurangnya peredaran darah pada tangan dan kaki. Perkara ini menyebabkan simptom tangan dan kaki sejuk.
Terdapat juga pesakit kencing manis yang mengalami kerosakan pada sarafnya. Ini menyebabkan kaki mereka mengalami rasa kebas, sakit dan seolah-olah terbakar.
6. Hipotiroid
Masalah hipotiroid adalah disebabkan kalenjar tiroid yang tidak menghasilkan hormon tiroid dengan secukupnya. Perkara ini akan memberi kesan kepada metabolisma badan.
Kesemua metabolisma badan akan berkurangan jika hormon tiroid tidak cukup dan ini menyebabkan denyutan nadi menurun, pembesaran terbantut dan suhu badan pun berkurangan.
Pesakit hipotiroid selalunya tidak boleh tahan ketika berada di dalam persekitaran yang sejuk berbanding orang biasa.
Rawatan Kaki dan Tangan Sejuk
Jika simptom tersebut tidak terlalu teruk, ada beberapa rawatan yang anda boleh buat dirumah.
1. Berjalan
Kaki sejuk disebabkan masalah peredaran darah selalunya berlaku kerana posisi duduk yang tidak betul. Dengan berjalan, peredaran darah akan menjadi normal semula dan suhu kaki akan mula meningkat.
Berjoging pula bagus sebagai aktiviti kardio bagi menguatkan jantung dan memperbetulkan peredaran darah dalam badan.
Walaubagaimanapun, terdapat pesakit yang mengalami penyempitan salur darah pada kaki yang teruk. Ini selalunya akan menyebabkan kaki pesakit akan menjadi sakit bila berjalan ataupun berlari terlalu lama.
2. Stokin dan sarung tangan
Penggunaan stokin dan sarung tangan akan memerangkap haba di kawasan tersebut. Ini akan mengelakkan tangan menjadi sejuk
3. Rendam kaki dengan air panas
Salah satu cara yang paling cepat untuk merawat masalah ini adalah dengan cara merendam kaki atau tangan dalam air suam ataupun mandi dengan menggunakan air panas.
Pesakit juga boleh memenuhkan kolam air dalam bilik mandi dengan air suam. Mandi dengan menggunakkan air suam ini akan merelakskan otot-otot dan juga mengurangkan stress badan.
Pesakit yang mempunyai kencing manis dinasihatkan untuk tidak menggunakan air panas untuk memanaskan kaki mereka. Ini kerana deria rasa meraka telah rosak menyebabkan mereka tidak boleh merasa dengan tepat air tersebut terlalu panas ataupun tidak.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Cadangan produk yang boleh digunakan:
Bila perlu berjumpa dengan doktor?
Walaupun kebanyakan simptom tangan dan kaki sejuk ini adalah sesuatu yang biasa, akan tetapi jika anda mempunyai simptom-simptom ini, anda perlu berjumpa dengan doktor. Simptom tersebut adalah:
- Badan lemah
- Berat badan turun mendadak
- Demam
- Sakit sendi yang teruk
- Luka pada tangan dan kaki yang mengambil masa yang lama untuk sembuh
- Perubahan pada kulit seperti mempunyai ruam atau kulit menjadi tebal.
Pembacaan bagi masalah yang lain
Rujukan:
- Bae, K.-H., Jeong, Y.-S., Go, H.-Y., Sun, S.-H., Kim, T.-H., Jung, K.-Y., … & Jeon, C.-Y. (2017, November 16). The definition and diagnosis of cold hypersensitivity in the hands and feet: Finding from the experts survey. Integrative Medicine Research, (2017)
- Causes of cold feet. (2013, July) – Harvard
- Davidson, E.a P., Coppey, L. J., Kardon, R. H., & Yorek, M. A. (2014, March). Differences and similarities in development of corneal nerve damage and peripheral neuropathy and in diet-induced obesity and type 2 diabetic rats. Investigative Ophthalmology & Visual Science, 55(3), 1222–1230
- Namkoong, S., Shim, J., Kim, S., & Shim, J. (2015, August 21). Effects of different sitting positions on skin temperature of the lower extremity. Journal of Physical Therapy Science, 27(8), 2637–2640.