Jenis Ubat

Ubat Atorvastatin: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

ubat atorvastatin

Apakah kegunaan ubat Atorvastatin? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, cara guna, dos dan kesan sampingan ubat atorvastatin ini.

Pengenalan

Ubat ini sesuai digunakan bagi mereka yang mengalami masalah:


  1. Kolesterol tinggi
  2. Untuk pencegahan sakit jantung atau angin ahmar bagi mereka yang berisiko
  3. Untuk rawatan mereka yang baru sahaja mengalami serangan sakit jantung atau angin ahmar

Jenis Kolesterol

Terdapat dua jenis kolesterol yang utama. Ia adalah.

  1. Lipoprotein berketumpatan rendah(Low Densitiy Lipoprotein) atau lebih dikenali sebagai “LDL”. LDL adalah kolesterol yang tidak baik yang boleh menyebabkan atherosclerosis.
  2. Lipoprotein berketumpatan tinggi(High Density Lipoprotein) iaitu “HDL”. Juga dikenali sebagai kolesterol yang baik.

Apabila perubahan gaya hidup dan pemakan yang rendah lemak telah gagal, doktor akan mula memberi preskripsi ubat atorvastatin bermula dengan 10mg.

Ubat ini lazimnya mempunyai jumlah bahan aktif atorvastatin berkekuatan 10 mg, 20mg, 40mg dan 80mg. Ubat ini digunakan untuk menurunkan kolesterol dan trigliseride dalam darah.

Nama Brand dalam Pasaran

  • Lipitor
  • Storvas
  • Lipistad
  • Winthrop
  • Tulip
  • Eturion

Cara Ubat Berfungsi

Salah satu enzim yang terlibat dalam penghasilan kolesterol adalah enzim HMG-CoA reductase. Ubat jenis statin iaitu atorvastatin ini akan merencat fungsi enzim tersebut. Ini akan menyebabkan penghasilan kolesterol dalam badan berkurangan. Ubat atorvastatin mengurangkan kolesterol tidak baik dan meningkatkan kolesterol baik.

Kesimpulan mudahnya ialah ubat ini merupakan ubat untuk mengawal lipid (lemak). Ianya mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar, serangan jantung dan sakit dada terutama kepada faktor risiko penyakit jantung seperti : Umur, merokok, tekanan darah tinggi, HDL-C rendah dan penyakit jantung dalam keluarga.

Cara Makan/Pengambilan

Tablet atorvastatin perlulah diambil pada waktu malam. Ini kerana penghasilan kolesterol adalah paling banyak ketika waktu malam. Tablet atorvastatin perlu ditelan bulat-bulat dengan air dan jangan hancurkan atau menyunyah ubat ini.

Anda adalah dinasihatkan agar anda mengambilnya pada masa yang sama setiap hari sebelum ataupun selepas makan. Tentang berapa lama perlu digunakan?

Pesakit seharusnya meneruskan pengambilan untuk tempoh masa yang ditetapkan oleh doktor anda sehingga objektif terapi dicapai.

Kesan Sampingan

Sakit kepala, gatal, keletihan, sembelit dan biasanya keadaan ini akan reda apabila tubuh anda telah menyesuaikan diri dengan pengambilan dos tersebut. Namun ingin ditegaskan sekali lagi, keberkesanan dan kesan sampingan yang mungkin dihadapi adalah berbeza antara setiap individu dan bukan semua orang akan mengalaminya.

Berikut antara kesan sampingan yang kerap mengikut laporan daripada risalah pengguna ubat ‘Eturion film coated tablet’ keluaran Pfizer.

  • Keradangan laluan pernafasan, sakit tekak, hidung berdarah dan peningkatan gula dalam darah.

Bagi pesakit diabetes teruskan memantau tahap gula dalam darah anda dengan teliti.

  • Sakit Otot dan Sendi
  • Bunyi berdengung dalam telinga
  • Hepatitis (keradangan hati)
  • Kolestasis (kekuningan pada kulit dan bahagian putih mata)
  • Berasa tidak sihat, suhu yang meningkat
  • Mimpi ngeri
  • Penglihatan kabur

Oleh disebabkan ia boleh memberi kesan kepada hati, doktor selalunya akan memberi temujanji sebulan untuk memeriksa fungsi hati.

Peringatan

Sila ambil ubat ini seperti yang diarahkan oleh doktor dan jangan hentikan pengambilan tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu. Rata-ratanya ubat statin perlulah diambil pada waktu malam.

Sekiranya anda terlupa mengambil ubat pada waktu yang ditetapkan, abaikan dos tersebut. Penggandaan dos adalah dilarang melaikan dengan arahan doktor. Keberkesanan ubat statin ini berbeza bagi setiap individu.

Antara cara lain untuk meningkatkan keberkesanan ubat ini ialah dengan cara mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang, melakukan senaman, berhenti merokok serta mengurangkan dan menghentikan pengambilan alkohol.

Kontraindikasi

Ubat ini tidak boleh diambil oleh:

  • Individu yang mengalami kerosakan hati
  • Individu yang mengalami masalah dengan otot rangka
  • Individu yang mengandung dan menyusukn anak

Interaksi antara Ubat

Risiko miopati (penyakit otot) akan meningkat sekiranya atorvastatin dimakan bersama ubat imunosupresan jenis cyclosporin, antibiotik (erythromycin), ubat antikulat jenis Azole.

Selain itu, antara ubat yang akan mengurangkan kepekatan plasma atorvastatin seperti antasid. Antasid merupakan kumpulan ubat-ubatan yang mengurangkan kerengsaan perut akibat gastrik dan pedih ulu hati.     

Penyimpanan Ubat

Seperti ubat-ubatan yang lain, simpan ubat ini pada suhu yang lebih daripada suhu bilik.  Semestinya jauhkan strip atau kotak ubat-ubatan daripada kanak-kanak. Jangan makan selepas tarikh tamat tempoh yang tertera pada strip atau kotak ubat.

Sebagai contoh “EXP: NOV 2022”, tarikh tamat tempoh ini merujuk kepada hari terakhir pada bulan yang dinyatakan itu. Tetapi kebanyakan kilang ubat kini telah menulis tarikh luputnya dengan lengkap seperti “30112022” di tepi atau belakang strip ubat.

Selain itu, anda juga dinasihatkan agar tidak memakan mana-mana ubat-ubatan setelah anda dapati perubahan pada rupa tablet ini. Pelupusan, jangan buang ubat bersama-sama air sisa atau sampah dari rumah. Beranyalah ahli farmasi tentang cara membuang ubat yang tidak diperlukan lagi.

Rujukan:

  1. MIMS Malaysia
  2. Risalah pengguna Eturion flm coated tablet
  3. Risalah pengguna Lipistad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *