Skip to content

Ubat Gliclazide: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat gliclazide? Artikel ini akan menerangkan kegunaan ubat ini, dos, kesan sampingan dan simptom yang dialami jika mengambil dos secara berlebihan

Penggunaan

Gliclazide adalah antara ubat-ubatan terawal yang diberikan untuk merawat penyakit kencing manis jenis 2 dalam kalangan pesakit dewasa, warga tua dan pesakit berisiko tinggi seperti penyakit komplikasi jantung, darah tinggi, kolesterol, strok, buah pinggang dan sebagainya.

Dalam kanak-kanak pula, walaupun tidak digunakan secara meluas, ubat gliclazide juga ada digunakan bagi pesakit yang mengalami kecacatan genetik sel beta pankreas. Ubat ini juga adalah ubat terkawal dan memerlukan preskripsi dari doktor untuk membelinya. Ubat ini wujud dalam tablet berkekuatan 80 mg (untuk jenis biasa) serta 30 mg dan 60 mg (bagi jenis pelepasan diubah suai [modified-released tablet, MR]).

Cara Pengambilan Ubat



Berikut adalah cara pengambilan ubat tersebut:

  • Dos dimulakan kebiasaannya mengikut kawalan gula pesakit
  • Biasa diambil sebelum makan (bagi ubat jenis biasa) dan boleh diambil sebelum dan selepas makan pagi (bagi jenis Modified Release).
  • Dos permulaan untuk dewasa boleh dimulakan 40 mg sekali sehari (jenis biasa) atau 30 mg sekali sehari (jenis MR), dan dos boleh dinaikkan dan diturunkan mengikut keadaan semasa pesakit. Pengambilan ubat boleh mencapai tahap maksimum 2 kali sehari (selang 12 jam) (untuk jenis biasa) atau selang 24 jam / 1 hari (untuk jenis MR). Maksimum ubat boleh diberikan ialah 160 mg 2 kali sehari (untuk ubat biasa) dan 120 mg sekali sehari (untuk ubat jenis MR).
  • Ubat gliclazide jenis biasa dan jenis MR boleh dipotong (yang berkekuatan 60 mg MR sahaja). Ubat jenis biasa boleh dipecahkan. Namun begitu, ubat formulasi MR tidak boleh dipecahkan kerana boleh menyebabkan dos harian sepenuhnya diserap oleh tubuh badan dan menyebabkan risiko hipoglisemia lebih tinggi. Sebaiknya ubat MR dan juga ubat biasa perlu ditelan bersama segelas air kosong 250 ml.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Simpan di suhu bilik bawah 30°C di tempat yang kering. Jauhkan dari kanak-kanak dan kelembapan.

Jenama ubat yang ada dalam pasaran

Ubat giliclazide yang asal berjenama Diamicron (Servier): terdapat dalam 2 jenis, jenis biasa 80 mg dan jenis MR (didagangkan sebagai Diamicron MR) berkekuatan 30 mg dan 60 mg.

Ubat generik gliclazide turut dijual dalam negara meliputi:

  • Dimax (Averroes): Jenis MR (60 mg)
  • Gluvecron (Abio Marketing): Jenis MR (30 mg)
  • Sun-Glizide (Sunward): Jenis MR (30 mg)
  • Azukon MR (Torrent): Jenis MR (30 mg)
  • Ranbaxy: Remicron (30 mg MR) dan Oziclide (60 mg MR)
  • Gliclada (Pahang Pharmacy): Jenis MR (30 dan 60 mg)
  • Glimicron (Hovid): Jenis biasa (80 mg) dan MR (60 mg)
  • Pharmaforte: Glucodex (biasa, 80 mg) dan Apo-Gliclazide (30 mg MR)
  • Rolazide (Royce): Jenis biasa (80 mg)
  • Diamitex (Duopharma): Jenis biasa (80 mg)
  • Pharmaniaga Gliclazide: Jenis biasa (80 mg)
  • Mexan (Imeks): Jenis biasa (80 mg)
  • Sam Chun Dang (The Zyfas): Jenis biasa (80 mg)
  • Melicron (Xepa-Soul Pattinson): Jenis biasa (80 mg)
  • Dianid (Medispec): Jenis biasa (80 mg)
  • Glyade (Merck): Jenis biasa (80 mg)
  • Glizid (Prime Pharmaceutical): Jenis biasa (80 mg)
  • Diatica (Unilab): Jenis biasa (80 mg)
  • Idaman Pharma Gliclazide (Idaman Pharma): Jenis biasa (80 mg)

Cara Ubat Berfungsi

Ubat gliclazide tergolong dalam kalangan ubat generasi pertama sulfonilurea (sulfonylurea, SU) yang diketahui meningkatkan sensitiviti tubuh badan terutamanya sel beta pankreas untuk menghasilkan insulin.



Penggunaan ubat ini hanya berkesan sekiranya pesakit masih lagi mampu menghasilkan insulin dari tubuh badannya sendiri. Sulfonilurea menurunkan kadar gula dengan pengurangan sebanyak 0.64 – 1.62% tahap HbA1c.

Penggunaan ubat sulfonilurea secara amnya boleh menghasilkan kesan hipoglisemia serta menaikkan berat badan (kebiasaannya antara 1.31 – 3.32 kg). Namun begitu ubat tersebut mempunyai separuh masa yang agak pendek dalam badan, jadi penggunaannya amat berkesan terutamanya dalam kalangan warga tua dan pesakit buah pinggang.

Kesan sampingan

Kesan sampingan biasa:

  • Sakit-sakit abdomen badan
  • Loya dan muntah
  • Ketidakcernaan
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Kerosakan hati (jaundis, hepatitis, kolestasis) (tidak selalunya berlaku)

Kesan sampingan jarang-jarang berlaku:

  • Masalah kurang darah termasuklah sel darah merah dan putih (pansitopenia, agranulositois, eritropenia, hemolitik anemia, leukopenia, trombositopenia)
  • Kesan sensitif (biasa dalam 6 – 8 minggu selepas terapi; dengan antara simptom biasa ditemui):
    • Ruam
    • Kemerahan
    • Gatal
    • Lepuh
    • Angioedema (pembengkakan tisu dengan cepat seperti kelopak mata, mulut, tekak, muka, bibir atau lidah yang menyebabkan kesukaran pernafasan)
    • Gangguan visual (disebabkan perubahan tahap gula dalam darah)

Oleh sebab itu, bagi pesakit tersebut, mereka tidak boleh sama sekali mengambil ubat gliclazide ini, iaitu:

  • Pesakit hipersensitif terhadap gliclazide dan ubat-ubat sulfonilurea lain atau bahan-bahan berkaitan sulfonamida.
  • Kencing manis jenis 1 (badan tidak mampu merembeskan insulin seperti biasa disebabkan kecacatan genetik)
  • Pesakit diabetis pra-koma dan koma
  • Pesakit diabetik ketoasidosis (DKA): komplikasi berkaitan hiperglisemia (lebih gula dalam darah) yang juga turut melibatkan simptom berkaitan metabolik asidosis serta lebihan ketona dalam darah.
  • Kanak-kanak (tiada bukti yang mencukupi)
  • Wanita mengandung
  • Wanita menyusu

Golongan yang Perlu Berjaga-jaga

Ubat ini boleh menyebabkan mengantuk serta pening-pening dan mungkin pengsan, dan ianya menandakan tahap gula dalam badan turun. Jika tahap gula turun, tidak sesuai untuk melakukan kerja-kerja berat dan memandu. Jangan melakukan latihan terlalu berat untuk mengelakkan hipoglisemia dan ambil makanan seimbang.

Ubat ini masih lagi boleh digunakan untuk pesakit terbabit:

  • Warga tua
  • Pesakit buah pinggang
  • Pesakit hati ringan dan sederhana
  • Pesakit G6PD
  • Pesakit yang berisiko tinggi hipoglisemia serta kurang pengambilan karbohidrat dan pemakanan tidak seimbang seperti
    • Kurang zat (malnourished)
    • Masalah penyakit berkaitan vaskular (strok, dsb)
    • Pesakit tidak sepenuhnya terkawal rawatan kencing manis
  • Pesakit dalam keadaan kritikal (trauma, kemalangan atau dalam pembedahan)

Interaksi antara ubat

Sebaiknya berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu jika pesakit ada mengambil apa-apa ubatan bersama gliclazide. Berikut disertakan beberapa interaksi penting:



  • Alkohol: Menaikkan kesan hipoglisemia
  • St John’s wort, cimetidine (ubat gastrik), rifampicin (ubat antibiotik), glukokortikoid (prednisolone, methylprednisolone dsb), ubat penebat beta (bisoprolol, metoprolol, atenolol dsb), danazol (ubat hentikan pendarahan haid): Mengurangkan kepekatan gliclazide dalam darah, menaikkan kesan hiperglisemia
  • Ubat kulat (miconazole, itraconazole dsb), aspirin (ubat cair darah dan tahan sakit, termasuklah juga diclofenac, mefenamic acid, ibuprofen dan lain-lain), fenofibrate dan gemfibrozil (ubat turunkan lemak), hydroxychloroquine (ubat malaria), chloramphenicol dan ubat sulfa seperti sulfamethoxazole (ubat antibiotik), sulfasalazine (ubat ulseratif kolitis), ubat penebat enzim monoamina oksida (MAOI) seperti tranylcypromine : Menaikkan kesan hipoglisemia
  • Menaikkan kesan nefrotoksisiti cyclosporin (ubat imunosupresan)

Kesan Terlebih Dos

Simptom biasa yang boleh dijumpai:

  • Hipoglisemia
  • Pengsan
  • Kadang-kadang mungkin melibatkan koma atau sawan ataupun tidak.

Rawatan suportif biasanya diberikan kepada pesakit berkenaan kes toksisiti melibatkan ubat ini. Terutamanya:

  • Pengambilan bahan-bahan bergula (gula-gula ringkas) dan pertukaran diet mengikut kesesuaian.
  • Jika pesakit biasa: penukaran dos mungkin perlu dilakukan.
  • Rawatan serius boleh melibatkan pemberian suntikan intravena 50 ml (20 – 30%) sebatian dekstrosa pekat diikuti infusi berterusan 10% sebatian dekstrosa cair. Kebiasaanya pemantauan tahap gula pesakit perlu dilakukan.

Rujukan

  1. Buku Biru Farmaseutikal Kebangsaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  2. MIMS Gateway
  3. BNF 78
  4. BNF for Children 2014 – 2015
  5. QUEST 3+ Product Search.
  6. Malaysia Endocrine & Metabolic Society, Ministry of Health, Academy of Medicine Malaysia, Diabetes Malaysia & Family Medicines Specialists of Malaysia (2021). Clinical practice guidelines: Management of type 2 diabetes mellitus (6th Edition). Malaysia: Ministry of Health.
Advertisements

2 thoughts on “Ubat Gliclazide: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan”

    1. Selalunya panadol kita makan 2 biji iaitu 1000mg. Klu makan 2 biji setiap 6 jam sepatutnya tidak overdose

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − ten =