Skip to content

Ubat Morfin: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Ramai yang mengetahui ubat morfin sendiri adalah ubat yang kerap disalahgunakan malah siap diletakkan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 lagi. Tapi tahukah anda juga bahawa ubat morfin masih lagi digunakan kini sebagai antara ubat utama penahan sakit? Artikel kali ini membedah bersama peranan bahan terbitan utama opium ini.

Kegunaan

FDA dan Buku Formulari Kebangsaan meletakkan ubat ini sebagai rawatan berikut:

  • Penahan sakit pesakit tahap sederhana hingga ke serius; lebih banyak digunakan untuk melegakan kesakitan kronik pesakit-pesakit kanser (yang biasanya sukar dilegakan dengan rawatan ubat tahan sakit biasa)
  • Apabila alternatif ubat lain seperti NSAID (aspirin, diclofenac, ataupun celecoxib) tidak berkesan.

Selain rawatan tahan sakit, morfin juga ada digunakan sebagai:

  • Penahan sakit dalam rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU)
  • Rawatan ketagihan ubat opioid dalam bayi (neonatal abstinence syndrome: sindrom pemberhentian secara tiba-tiba bayi terhadap sesetengah bahan yang digunakan oleh ibu ketika mengandung, tidak mengira bahan yang menyebabkan ketagihan ataupun tidak)


Ubat ini tidak boleh senang-senang dimulakan tanpa penelitian menyeluruh dari para doktor. Lagipun, ubat ini sendiri setakat mana penulis dapat nyatakan di sini tidak sama sekali dijual di luar memandangkan ubat ini tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (amat mudah untuk disalahgunakan). Lagipun, ubat tablet dan sirap serta supositori dubur misalnya amat memerlukan preskripsi Doktor Pakar untuk memulakannya. Suatu perkara yang perlu difahami mengenai pemberian ubat ini berbanding ubat tahan sakit seperti tramadol adalah ubat ini perlu sentiasa direkod seiring dengan peruntukan undang-undang.

Pemberian ubat ini kebiasaannya diberi dalam bentuk berikut:

  • Suntikan (intravena, intrathecal – suntikan dalam ruang subaraknoid, epidural – suntikan dalam ruang epidura saraf tunjang, subkutaneus)
  • Sirap – walaupun terdapat sediaan sirap komersial (ini hanyalah untuk luar negara), namun begitu pihak hospital terutamanya hospital kerajaan biasa dengan sediaan 10 mg /5 ml ubat sirap morfin dibuat secara extemporanus (ada dalam Formulari). Pemberian sirap boleh diberikan secara jumpa terus (walk-in) ataupun ketika temujanji dan discaj doktor.
  • Tablet – pemberian tablet secara jumpa terus (walk-in) ataupun ketika temujanji dan discaj doktor. Farmasi di hospital kerajaan biasanya ada menyimpan tablet jenis serapan segera 5 dan 10 mg serta ubat pelepasan terkawal 10, 30 dan 60 mg. (Ini ada disebutkan dalam Formulari sekali)
  • Supositori dubur – farmasi di hospital kerajaan juga ada menyimpan supositori berkekuatan 10, 20 dan 30 mg. (Juga dalam Formulari)

Cara-cara pemberian ubat tersebut secara ringkasnya bolehlah dirujuk seperti berikut:

  • Dos morfin diberikan kebiasaannya mengikut berat badan pesakit (terutamanya pesakit kanser) dan juga menurut situasi pesakit. Sesetengah pesakit yang pernah dalam terapi opioid (ubat seperti tramadol dan seumpamanya), pesakit dari warga tua serta kegagalan buah pinggang dan hati juga perlu dipertimbangkan pengambilan dosnya oleh para doktor. Oleh sebab itu, silalah ambil ubat ini mengikut dos dan kekerapan seperti disyorkan doktor.
  • Dos rendah perlu digunakan terlebih dahulu (untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini) dan boleh dinaikkan dan diturunkan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa dan juga prestasi buah pinggang dan hati pesakit selepas penilaian berterusan doktor. Ubat ini tidak boleh dihentikan secara mengejut kerana melibatkan pelbagai risiko kesan sampingan dan kesan penarikan yang teruk. Bertanyalah pada para doktor jika pesakit perlu berhenti atau teruskan pengambilan ubat tersebut.
  • Ubat makan perlu diambil selepas makan; boleh diberikan sehingga 4 kali sehari (selang 6 jam bagi tablet serapan segera) dan 2 kali sehari (selang 12 jam) bagi tablet pelepasan terkawal. Pesakit yang dalam tablet pelepasan terkawal yang masih lagi mengalami kesakitan dalam tempoh semasa rawatan juga mungkin dipertimbangkan pengambilan tablet serapan segera jika perlu, semuanya dengan pemerhatian dan kawalan doktor. Pengambilan ubat makan bagi tablet pelepasan terkawal mesti ditelan sepenuhnya dengan segelas air biasa, tidak boleh dikunyah dan dihancurkan dan dipecahkan. Jika tertinggal dos, ambil dos terkemudian dan jangan double-dosing.
  • Ubat ini bukan digunakan sebagai penahan sakit untuk sakit akut biasa dan sakit-sakit biasa.

Penyimpanan

Ubat tablet, sirap, ampul dan supositori: simpan di suhu bawah 30°C (suhu bilik) dan kering. Jauhkan ubat tersebut dari kanak-kanak dan cahaya. Ubat ini tidak boleh digunakan melebihi tarikh luput. Sebaiknya bawa kembali ubat morfin melepasti tarikh luput kepada pihak hospital untuk dilupuskan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Seperti yang diterangkan sebentar tadi, ubat ini sendiri setakat mana penulis dapat nyatakan di sini tidak sama sekali dijual di luar memandangkan ubat ini tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (amat mudah untuk disalahgunakan).

Cara Ubat Berfungsi



Salah satu sebatian asli opiod yang didapati daripada tumbuhan opium iaitu morfin dapat merencat laluan impuls kesakitan di dalam badan dan ini menyebabkan pesakit kurang berasa sakit

Kesan sedatif turut berlaku dengan cara yang sama. Ubat ini turut mengurangkan respons pusat kawalan pernafasan di kawasan otak menyebabkan pesakit boleh berhenti bernafas.

Ubat ini juga didapati mengurangkan refleks batuk melalui tindak balas kawalan batuk di kawasan medula otak, namun begitu penggunaannya jarang digunakan kerana terdapat alternatif lain lebih selamat, seperti dextromethorphan. Ubat ini juga turut melibatkan efek dilatasi saluran darah, yang juga boleh berkemungkinan besar membahayakan pesakit terlibat dengan penyakit kardiovaskular dan sebagainya (huraian dinyatakan di bawah).

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan direkodkan termasuklah:

  • Sembelit
  • Sukar membuang air kencing
  • Kering mulut
  • Hilang selera makan
  • Sakit perut
  • Loya dan muntah
  • Pening dan sakit kepala
  • Lesu
  • Otot badan rasa terlampau lemah (badan terasa lemah luar biasa)
  • Kekeliruan
  • Kesukaran tidur
  • Mengantuk (mungkin tidak berkekalan lama bagi sesetengah pesakit)
  • Ruam atau kegatalan pada kulit
  • Berpeluh
  • Kekebasan tulang dan otot (mungkin berlaku kekejangan)
  • Sesak nafas
  • Tekanan darah rendah, muka kemerah-merahan (merah padam)
  • Berdebar-debar (palpitasi mungkin juga berlaku)
  • Bengkak di tangan, kaki
  • Kabur penglihatan
  • Kemerosotan ujian fungsi hati (jika ada diambil masa yang lama)

Antara kesan sampingan teruk yang pernah dilaporkan termasuklah:

  • Hipersensitiviti
  • Kesukaran pernafasan

Seperti tramadol, morfin juga boleh menjadi ketagih dan boleh disalahgunakan jika diambil dalam jangka masa panjang.  Jika rawatan dihentikan secara tiba-tiba pesakit mungkin mengalami sindrom pemberhentian (withdrawal symptom) seperti:

  • Naik tekanan darah dan nadi jantung
  • Disforia (rasa murung tiba-tiba)
  • Mudah marah, tidak selesa dan gelisah
  • Sukar tidur
  • Mengantuk
  • Mata berair
  • Hidung berhingus
  • Kejang otot perut dan cirit-birit
  • Berpeluh
  • Rasa menggigil dan seram sejuk
  • Sakit otot, belakang dan sendi-sendi

Oleh disebabkan itu, ubat morfin tidak boleh sama sekali digunakan pada golongan ini:

  • Kanak-kanak bawah 1 bulan (tiada sebarang kajian menyeluruh dilakukan untuk kanak-kanak bawah 1 bulan)
  • Hipersensitiviti terhadap ubat morfin dan terbitan morfin lain (tramadol, pethidine dan sebagainya)
  • Ada sejarah atau mengalami masalah pernafasan, misalnya penyakit saluran pernafasan obstruktif (menjadi sempit)
  • Ada sejarah atau mengalami masalah berkaitan kardiovaskular dan komplikasinya, seperti sakit jantung
  • Pernah mengalami kemalangan melibatkan otak dan kecederaan kepala
  • Pesakit mabuk akut
  • Kegagalan hati dan buah pinggang yang serius
  • Mempunyai masalah berkaitan sistem penghadaman terutamanya dalam usus, seperti kesakitan pada abdomen badan, kelumpuhan usus kecil dan pengosongan gastrik tertunda
  • Ada mengambil ubat-ubatan jenis monoamine oxidase (MAO) [isocarboxazide,  tranylcypromide dan sebagainya] dalam tempoh 14 hari sebelum mengambil ubat opioid.
  • Pesakit yang terbukti memiliki polimorfisme enzim sitokroma CYP2D6 setelah disahkan melalui ujian makmal terutamanya jika pesakit demikian mampu memetabolisme tramadol sangat cepat (ultra-rapid metabolised CYP2D6 polymorphism) – risiko kesukaran pernafasan serius.

Peringatan (precaution)

Ubat ini boleh menyebabkan kesukaran pernafasan dan boleh menyebabkan mengantuk. Tidak boleh sama sekali melakukan aktiviti berat termasuklah memandu dan memegang jentera berat.



Ubat ini masih lagi boleh digunakan tetapi dengan pemerhatian dan kawalan doktor bagi golongan ini:

  • Asma atau penyakit pernafasan lain
  • Hipotiroidisme
  • Pesakit autoimun seperti myasthenia gravis
  • Kegagalan buah pinggang: Pengurangan dos 25% (bagi pesakit kegagalan buah pinggang dengan eGFR 10-50 ml/min) dan 50% dari dos utama morfin (bagi pesakit kegagalan buah pinggang dengan eGFR bawah 10 ml/min) boleh diberikan. Jika boleh, mungkin bertukar ke terapi opioid lain untuk pesakit eGFR bawah 10 ml/min.
  • Kegagalan hati: pengurangan dos sama seperti pesakit buah pinggang, dan boleh dipertimbangkan pertukaran ke opioid lain. Kegagalan hati akut perlu dielakkan dari menggunakan ubat ini.
  • Pesakit berkaitan jantung (infarksi miokardial sebagai contoh)
  • Sakit kepala serius (mungkin akan menaikkan tekanan tempurung otak [subarachnoidal pressure])
  • Pernah atau mengalami sawan
  • Masalah berkaitan keradangan usus, pankreas ataupun melibatkan pundi hempedu
  • Pesakit yang mengamai masalah abnormal pada pundi kencing dan kelenjar prostat serta kelenjar adrenal dari sistem perkumuhan (penyakit Addison, benign prostatic hyperplasia dan sebagainya)
  • Pesakit yang mengalami masalah mental (skizofrenia, kemurungan dsb)
  • Pesakit mengalami ketagihan opioid dan dadah lain, dan juga pernah mengalami sindrom penarikan selepas berhenti mengambil opioid atau dadah lain (agitasi, terketar-ketar, keresahan, berpeluh dsb)
  • Pesakit mengandung dan menyusukan anak (boleh dimulakan setelah mengambil kira keadaan semasa pesakit juga).

Interaksi antara ubat

Sebaiknya berbincang dahulu dengan doktor jika ada mengambil apa sahaja ubat-ubatan dan makanan yang diambil ketika dalam rawatan morfin. Berikut antara contoh-contoh interaksi morfin bersama makanan dan ubat-ubatan.

  • Makanan kaya protein tyramine (susu dan bahan terbitan tenusu, kekacang, telur), MAO (isocarboxazide, tranylcypromine) boleh menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi
  • Alkohol: menaikkan insiden kesukaran pernafasan dan sedatif morfin
  • Ubat-ubat berkaitan morfin lain (pethidine,tamadol, methadone dsb), ubat-ubat benzodiazepine (diazepam dsb), ubat kebimbangan (chloral hydrate), ubat antihistamin untuk selsema dan gatal (chlorpheniramine misalnya), ubat sawan dan sakit saraf (gabapentin): menaikkan kesan sedatif dan kesukaran pernafasan
  • Kesan analgesik berkurang jika dicampur bersama ubat terbitan opioid yang mempunyai kesan agonis-antagonis sekaligus (buprenorphine, pentazocine)
  • Ubat gastrik cimetidine, ubat antibiotik erythromycin, ubat jantung (amiodarone, quinidine): menaikkan kesan toksisiti morfin
  • Ubat antibiotik rifampicin, ubat antivrus (ritonavir, indinavir dsb): meningkatkan kepekatan morfin dalam badan
  • Menaikkan sindrom serotonin (tekanan darah dan nadi jantung menaik, refleks badan meningkat, demam, cirit-birit, loya, muntah, gegaran, halusinasi dan koma – jika serius): Ubat penebat pengambilan semula serotonin (SSRI) [sertraline, citalopram, escitalopram, fluoxetine, fluvoxamine, paroxetine], ubat penebat pengambilan semula noradrenalin (SNRI)  [duloxetine, venlafaxine, desvenlafaxine], antibiotik linezolid, ubat bipolar (garam lithium), ubat reseptor agonis serotonin (sumatriptan), herba (St John’s wort), antibiotik untuk TB (isoniazid) dan pengambilan bersama ubat-ubatan opioid lain (morfin, fentanyl dan sebagainya)
  • Menaikkan kesan ubat pengendur otot (oprhenadrine, suxamethonium dsb)

Kesan terlebih dos

Dos morfin kerap disalahgunakan dan ketagihan lebih cepat berlaku dari ubat opioid lain, dengan kes pesakit datang dengan simptom yang dimanifestasi dari kesan sampingan biasa morfin seperti dinyatakan di atas.

Kebiasaannya, rawatan keracunan biasa diberikan mengikut respons dan simptom pesakit yang ada. Ini termasuklah:

  • Kawalan parameter penting seperti tekanan darah dan nadi, serta kepekatan oksigen dan karbon dioksida dalam darah
  • Naloxone (ubat antagonis reseptor opioid) sebagai antidot untuk mengelakkan depresi pernafasan lebih ketara dalam kes serius.
  • Benzodiazepine, barbiturat dan ubat sedatif lain untuk kes sawan
  • Prosedur gastric lavage atau arang ubatan jika kes toksisiti diketahui lebih awal
  • Sokongan pernafasan, intubasi dan defibrilator untuk kes serius
  • Sindrom serotonin: selain rawatan segera dengan benzodiazepine, pengambilan cyproheptadine mungkin difikirkan sesuai untuk kes sederhana/serius

Rujukan

  1. BNF 78
  2. Micromedex
  3. Medscape
  4. Statex. Dalam: RxList [Internet].
  5. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) MST CONTINUS® TABLETS
  6. MIMS Gateway
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − three =