Skip to content

Ubat Omeprazole: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan.

Apakah dos ubat omeprazole dan kegunaannya? Artikel ini akan membincangkan dos, kegunaan dan kesan sampingan ubat ini

Pengenalan

Organ perut manusia mempunyai peranan penting dalam sistem pencernaan manusia. Perut berfungsi dengan menghasilkan cecairnya yang tersendiri iaitu asid hidroklorik.

Asid ini penting untuk memecahkan makanan yang telah dimakan oleh kita kepada saiz yang amat kecil sebelum diserap ke dalam saluran darah kita untuk membekalkan nutrien-nutrien penting kepada sel-sel badan kita.



Namun, asid hidroklorik tersebut boleh memberi kesan buruk kepada badan kita jika ia dihasilkan dengan jumlah yang berlebihan. Untuk situasi ini, omeprazole adalah antara ubat yang disyorkan oleh doktor untuk diambil oleh para pesakit.

Apakah Kegunaan Omeprazole?

Omeprazole sering digunakan untuk merawat penyakit atau situasi yang berlaku disebabkan terlalu banyak asid hidroklorik dihasilkan oleh perut kita. Antara penyakit-penyakit tersebut ialah:

  • Penyakit refluks asid.
  • Gastrik.
  • Ulser duodenum.
  • Dispepsia, penyakit yang menyebabkan masalah pentakcernaan, pedih ulu hati, atau kuat sendawa.
  • Zollinger-Ellison sindrom. Penyakit ini berpunca daripada satu atau lebih tumor terbentuk di pankreas atau duodenum pesakit. Tumor ini merembes hormon gastrin dengan jumlah yang sangat banyak, lalu menyebabkan perut kita menghasilkan banyak asid hidroklorik.

Selain itu, omeprazole juga digunakan bersama ubat lain untuk merawat penyakit yang lain. Contohnya, ubat antibiotik seperti amoxicillim dan clarithromycin digunakan bersama omeprazole untuk merawat pesakit ulser yang mengalami jangkitan berpunca daripada bakteria Helicobacter pylori (H. pylori).

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Bagaimanakah Ubat Ini Berfungsi?

Omeprazole ialah ubat penahan pam proton (proton pump inhibitor atau PPI). Berbeza dengan antasid yang berfungsi dengan meneutralkan tahap keasidan cecair perut yang tinggi, omeprazole bertindak dengan mengurangkan jumlah cecair hidroklorik dihasilkan oleh perut kita.

Jenama Omeprazole dalam Pasaran

  • Ometac.
  • Clometro 7HP.
  • Omelon.
  • Omesec.
  • Omilock kapsul.
  • Vaxcel Omeprazole.
  • Losec MUPS.
  • Medoprazole.

Cara Penyimpanan Omeprazole

  • Simpan ubat ini dalam bekas tertutup.
  • Simpan dalam suhu bilik.
  • Jauhkan ubat ini daripada sumber suhu yang tinggi.
  • Elakkan simpan di tempat yang lembap.
  • Jangan simpan di tempat yang sangat sejuk seperti peti ais.
  • Simpan ubat ini di tempat yang selamat daripada kanak-kanak.
  • Tidak simpan atau mengambil omeprazole yang sudah tamat tarikh luput atau sudah tidak digunakan.
  • Minta nasihat atau serahkan ubat kepada pihak farmasi berdekatan untuk proses pelupusan omeprazole dengan lebih selamat.

Kesan Sampingan

Setiap ubat pasti akan menghasilkan kesan yang tidak diingini oleh pesakit. Walaupun kesan sampingan ubat ini amat jarang berlaku, anda perlu segera mendapatkan pemeriksaan daripada doktor jika anda mengalami simptom tersebut.



Antara kesan sampingan omeprazole ialah:

  • Sakit perut, kaki, atau bahagian belakang.
  • Bibir berkerak atau berdarah.
  • Kulit melecet.
  • Kegatalan kulit.
  • Air kencing berdarah.
  • Mengalami kesukaran atau sakit ketika kencing.
  • Demam.
  • Badan merasa tidak selesa.
  • Sakit sendi.
  • Sakit otot.
  • Mata menjadi merah.
  • Sakit tekak.
  • Kurang selera makan.

Interaksi antara Omeprazole dengan Ubat Lain

Berikut ialah senarai ubat-ubat yang boleh menghasilkan interaksi dengan omeprazol:

  • Ubat untuk jantung seperti digoxin.
  • Cilostazol.
  • Ubat antikulat atau antifungal seperti itraconazole, posaconazole, dan voriconazole.
  • Methotrexate.
  • Ubat untuk rawat HIV.
  • Phenytoin.
  • Ubat antibiotik seperti rifampicin, amoxicillin, dan clarithromycin.
  • Clopidogrel.
  • Warfarin.
  • Ubat diuretik.

Kesan Terlebih Dos Omeprazole

Anda perlu dapatkan bantuan dengan kadar segera jika anda mengalami sebarang gejala akibat mengambil terlebih dos omeprazole. Antara gejala-gejala tersebut ialah:

  • Pandangan menjadi kabur.
  • Mulut menjadi kering.
  • Sakit kepala.
  • Pesakit mengalami kekeliruan.
  • Kulit menjadi kemerah-merahan.
  • Kuat berpeluh.
  • Rasa mual.
  • Muntah-muntah.
  • Depresi.
  • Cirit-birit.
  • Sakit di abdomen.

Peringatan Sebelum Mengambil Omeprazole

Walaupun omeprazole boleh menghasilkan kesan yang diperlukan oleh pesakit, ada beberapa situasi yang membuatkan kita tidak boleh mengambil omeprazole kerana kemungkinan situasi tersebut akan membuatkan ubat ini meghasilkan lebih banyak kesan buruk kepada kesihatan kita berbanding kesan baik.

Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu anda ambil perhatian sebelum mengambil ubat ini:

1. Sejarah pesakit

Anda perlu maklumkan kepada doktor jika anda sedang atau pernah mengalami sebarang penyakit, untuk melihat sama ada anda boleh mengambil ubat ini tanpa memberi kesan buruk kepada kesihatan anda. Anda juga perlu beritahu kepada doktor apakah ubat-ubatan atau makanan-makanan tambahan yang anda ambil.

2. Alahan



Maklumkan kepada doktor jika anda mempunyai sebarang alahan kepada omeprazole atau ubat-ubat yang lain. Anda juga boleh maklumkan kepada doktor jika anda mempunyai sebarang alahan kepada makanan lain.

3. Umur pesakit

Anda perlu dapatkan nasihat dan bimbingan daripada doktor jika pesakit masih berumur dalam lingkungan kanak-kanak dan warga emas. Hal ini kerana kemungkinan ubat tersebut tidak sesuai untuk diambil oleh pesakit.

4. Perancangan keluarga

Dapatkan nasihat daripada doktor jika isteri anda merancang untuk hamil, sedang hamil, atau dalam tempoh menyusukan anak.

Ubat Gastrik yang lain

Ubat OmeprazoleUbat Pantoprazole
Ubat EsomeprazoleUbat Rabeprazole
Ubat AntasidUbat Gastrik

Rujukan

  1. Omeprazole – Drugs
  2. Omeprazole – Medlineplus
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × four =